Dituduh bikin filem lucah – Metro


Dituduh bikin filem lucah

Oleh Mohd Nur Asnawi Daud

Melaka: Seorang guru wanita sekolah kebangsaan dan peniaga lelaki warga Pakistan dihadapkan ke Mahkamah Majistret semalam, atas tuduhan membuat filem lucah.

Kedua-dua tertuduh, Lizah Buang, 49, dan pasangannya Muhamad Usman Ali Liqat, 27 tidak mengaku bersalah atas pertuduhan ke atas mereka di hadapan Majistret Mohd Firdaus Saleh.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa membuat filem lucah atau bertentangan dengan kesopanan awam di sebuah rumah di Pangsapuri Bukit Beruang Utama jam 8.30 pagi pada 16 November lalu.

 

Bagi kesalahan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 5(1)(b), Akta Penapisan Filem 2002 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM10,000 atau tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Norshazwani Ishak yang mengendalikan kes menawarkan jaminan RM3,000 pada Lizah, manakala Muhamad Usman tidak ditawarkan jamin kerana lelaki itu adalah warga asing.
Lizah ketika merayu pengurangan jaminan memberitahu, hanya dia seorang bekerja, manakala suaminya sakit, selain mempunyai tanggungan enam anak.

 

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Mohd Firdaus membenarkan Lizah diikat jamin RM2,500, manakala Muhamad Usman RM10,000 dan menetapkan 23 Januari depan untuk sebutan semula kes.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret berasingan, rakan Muhamad Usman iaitu Irfan Ahmed Ashraf Muhammad, 38, turut dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan memiliki bahan lucah termasuk kesalahan memeras ugut.

 

Mengikut pertuduhan pertama, Irfan Ahmed didakwa melakukan pemerasan hingga mendorong penyerahan wang tunai RM10,000 oleh Lizah. Perbuatan itu dilakukan Irfan Ahmed di hadapan sebuah restoran di Bukit Beruang jam 12 tengah hari 20 November lalu.
Bagi kesalahan itu, Irfan Ahmed didakwa mengikut Seksyen 383, Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua seksaan itu.
Pertuduhan kedua dan ketiga, Irfan Ahmed didakwa memiliki sebuah pemacu pena jenama Kingston dan telefon bimbit mengandungi filem lucah.
Untuk pertuduhan keempat, tertuduh didapati ada dalam kawalannya sebuah komputer riba Dell mengandungi filem lucah.
Kesalahan itu dilakukan tertuduh kira-kira jam 7.30 malam di sebuah hotel di Taman Kota Laksamana dan dia didakwa mengikut seksyen sama seperti pertuduhan kedua dan ketiga.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nabilah Nizam yang mengendalikan kes memohon mahkamah tidak membenarkan tertuduh dijamin disebabkan lelaki itu adalah warga asing.
Majistret Syajaratudur Abd Rahman kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM13,000 bagi semua pertuduhan dan menetapkan 7 Januari depan untuk tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/21

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s