TM Kelantan sumbang peralatan sekolah RM18,000 – Bernama


TM Kelantan sumbang peralatan sekolah RM18,000
22 Disember 2013

KOTA BHARU – Telekom Malaysia Berhad (TM) dengan kerjasama Badan Kebajikan Islam TM hari ini memberi sumbangan berupa peralatan sekolah bernilai RM18,000 kepada 100 pelajar miskin di Kelantan.

“Sumbangan yang diberi termasuk beg, alat tulis dan wang untuk membeli keperluan persekolahan yang lain,” kata Pengurus Besar TM Kelantan Ab Rashid Che Othman kepada pemberita selepas program penyampaian bantuan itu di sini.

Sementara itu, beliau berkata kemudahan dan peralatan milik TM Kelantan tidak mengalami sebarang kerosakan ketika banjir gelombang pertama baru-baru ini.

“Kita sebenarnya belajar sejak banjir besar 2004. Kedudukan semua peralatan telah kita tinggikan, jadi dalam banjir baru-baru ini (peralatan kami) tak terlibat,” jelasnya. – Bernama

Baju sekolah anak hangus – Sinar Harian


Baju sekolah anak hangus
WARTAWAN SINAR HARIAN
23 Disember 2013
  • Baju sekolah anak hangusRekha (kanan) ditemani adik iparnya, C Nagiswaree, sedih melihat rumah sewanya dijilat api dalam kejadian kebakaran, awal pagi kelmarin.
< 1 / 2 >

JASIN – Sebuah keluarga tinggal sehelai sepinggang setelah rumah sewa yang didiami mereka sejak lebih dua tahun lalu musnah dalam kebakaran di Taman Kesang Damai, awal pagi kelmarin.

Semasa kejadian yang berlaku sekitar jam 1.30 pagi itu, penghuninya bermalam di rumah keluarga mereka di Taman Maju Jasin.

Mangsa, S Rekha, 26, berkata, dia terkejut menerima panggilan telefon daripada adik iparnya yang tinggal berdekatan rumahnya.

Menurutnya, dia dan suami bergegas pulang ke rumah, namun api marak menyebabkan mereka gagal menyelamatkan harta benda termasuk barang kemas dan dokumen penting.

Katanya, lebih menyedihkan barang persekolahan anak-anak turut musnah dalam kebakaran itu dan jumlah kerugian masih belum dapat dipastikan.

“Perabot dan katil yang saya baharu beli sebelum Deepavali lalu, malah ada yang belum habis dibayar turut musnah.

“Namun lebih sedih baju sekolah anak-anak yang dapat bantuan dua hari lalu juga tak dapat diselamatkan,” katanya.

Ibu kepada tiga anak ini berkata, untuk sementara waktu mereka sekeluarga menumpang di rumah ahli keluarga lain dan berharap ada pihak yang prihatin dengan nasib mereka.

“Saya kasihankan anak-anak, lagipun hanya tinggal beberapa hari sahaja sekolah nak buka.

“Harap ada pihak yang sudi membantu meringankan beban kami sekeluarga terutama anak-anak saya yang berumur 8, 7 dan 5 tahun yang akan bersekolah,” katanya yang menyewa rumah dengan kadar RM250 sebulan.

Sementara itu, Ketua Operasi Johari Masum berkata, sebanyak dua jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Jasin serta Jasin Bestari, berserta seramai lapan anggota dikejarkan ke lokasi kebakaran sejurus menerima panggilan pada jam 1.34 pagi.

Menurutnya, pihaknya mengambil masa lebih kurang dua jam untuk memadamkan kebakaran.

“Keseluruhan api dipadamkan pada jam 3.30 pagi. Punca kejadian masih disiasat,” katanya.

e-Book tingkat prestasi pelajar – Kosmo


e-Book tingkat prestasi pelajar

 


 

HASLINAH HUSSIN, 12, bergenang air mata menahan sebak sebaik menerima keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Bunga, Kuala Terengganu, Terengganu yang diumum pada 14 November lalu. Tanpa disedari air mata membasahi pipi anak bongsu pengawal keselamatan itu.

Pelajar tersebut menangis bukan kerana meraih keputusan cemerlang tetapi tidak dapat menahan kesedihan kerana gagal melakar keputusan yang membanggakan ayahnya, Hussin Ibrahim, 63, yang datang menemaninya.

Menjadi calon tercorot sekolah itu dengan memperoleh keputusan 1A, 3B dan 1C, kesedihan jelas terpancar pada raut wajah Haslinah.

Abjad-abjad tertera pada slip keputusan dilihat berkali-kali sebelum memberanikan diri untuk ditunjukkan kepada ayahnya yang setia menemaninya sejak pagi lagi. Bagaimanapun, raut wajah Hussin sama sekali tidak menunjukkan sebarang reaksi amarah. Dengan perlahan-lahan, naluri seorang ayah memujuk puteri bongsunya itu supaya tidak tertekan dengan keputusan diperoleh.

Lantas membiarkan anaknya bersama rakan lain sambil dia duduk di satu sudut memerhatikan gerak-geri mereka.

Peningkatan pelajaran

Pengawal keselamatan itu menjelaskan, dia tidak menaruh harapan tinggi terhadap anak bongsu daripada lima beradik itu yang hanya mencatat keputusan sederhana dalam pelajaran.

“Ada A dan semua mata pelajaran lulus sudah sudah memadai. Ini kerana dia hanya menunjukkan peningkatan dalam pelajaran sejak dua tahun ini.

“Anak saya ini perlu diajar berkali-kali sebab dia sukar memahami dan jika dia dapat lulus pun merupakan satu pencapaian yang sangat baik,” katanya ketika ditemui baru-baru ini. Biarpun menyedari anaknya memerlukan usaha berlipat ganda untuk berjaya, dia tetap menghantar puteri bongsunya menimba ilmu di sekolah.

Akui Hussin, anaknya itu bukan tergolong dalam pelajar pintar tetapi demi masa depan anaknya dia tetap menghantar ke sekolah.

“Dia seorang pelajar yang sederhana tetapi saya tetap ingin dia menuntut ilmu di sekolah setiap hari. Kena ajar banyak kali baru dia boleh faham tapi anak saya ni memang rajin,” katanya sambil mengukir senyuman.

JURUTEKNIK Top IT Industries menunjukkan komponen e-Book yang digunakan murid sekolah rendah di Terengganu.

 

Jelasnya, dia menyerahkan kepada pihak sekolah memberi ilmu pengetahuan kepada anaknya kerana tidak mempunyai latar belakang pendidikan tinggi.

Bagaimanapun, dia memberitahu, sejak dua tahun kebelakangan ini, prestasi anaknya semakin baik.

“Saya perasan perubahan ini berlaku sebaik sahaja sekolah memberi e-Book (buku elektronik) dan mulakan sekolah maya pada tahun 2011.

“Saya tidak begitu memahami penggunaan teknologi itu tetapi apa yang dapat lihat, setiap kali peperiksaan dijalankan, sudah kurang tanda merah pada buku rekodnya.

“Ini bermakna perubahan yang dilakukan pihak sekolah membuahkan hasil dalam meningkatkan prestasi pelajar-pelajar sekolah,” ujarnya.

Menurut Hussin yang setia menemani anaknya sepanjang peperiksaan berlangsung, ketika menduduki UPSR baru-baru ini, anaknya terkena keracunan makanan dan banyak kali muntah sepanjang hari pertama.

“Sepanjang tiga hari peperiksaan berlangsung keadaan anak saya semakin baik tetapi keadaan kesihatan mengganggu tumpuannya ketika menduduki peperiksaan,” katanya.

Cerita Hussin, anaknya mungkin mendapat markah lebih baik sekiranya keadaan kesihatannya tidak terjejas ketika peperiksaan.

“Kesemua mata pelajaran lulus sudah cukup baik kerana kalau tengok dia muntah hampir setiap lima minit sekali ketika menjawab peperiksaan memang kami jangka dia akan gagal.

“Alhamdulillah keputusan yang diperoleh tidak begitu mengecewakan,” katanya.

Pupuk minat

Dalam pada itu, Haslinah mengakui bahawa dia bukan seorang pelajar pintar tetapi pengenalan kelas maya dan pemberian e-book membakar semangat untuk belajar.

Dia menjelaskan guru-guru di sekolah banyak membantu dengan mempelbagaikan kaedah pembelajaran meningkatkan kefahaman para pelajar.

Salah seorang daripada tiga calon SK Paya bunga yang memperoleh keputusan semua A dalam UPSR baru-baru ini, Muhammad Naim Najmi Hazre, 12, berkata, kelas maya dan e-book banyak membantunya.

“Saya berasa seronok untuk belajar dan mudah memahami apa yang diajar oleh guru,” katanya.

Jelasnya, pembelajaran secara interaktif dengan menggunakan imej video dan lagu untuk mata pelajaran tertentu seperti sains menyebabkan mereka lebih mudah faham.

DARI kiri: Nurul Fatin Athirah, Muhammad Naim dan Siti Nur Suhaila Sariful Anuar yang mendapat semua A diraikan rakan-rakan di SK Paya Bunga, Kuala Terengganu.

 

Faham pelajaran

“Dulu cikgu perlu melukis atau tunjuk imej semasa di dalam kelas. Justeru, kami perlu membayangkan sendiri bagaimana rupa sebenar objek ditunjukkan tetapi sekarang guru hanya perlu tunjuk video dengan imej lebih cantik.

“Ia menyebabkan para pelajar lebih mudah memahami pembelajaran di dalam kelas malah tidak membosankan,” katanya.

Seorang lagi pelajar memperoleh keputusan 5A, Nurul Fatin Athirah Mohd. Fauzy, 12, memberitahu, penggunaan teknologi itu banyak membantunya.

“Saya rasa seronok belajar di sekolah ini dan setiap hari saya tidak sabar untuk menjejakkan kaki ke sekolah,” ujarnya.

Salah seorang guru sekolah berkenaan, Zulkifli Maliki, 53, memberitahu, para pelajarnya mula menunjukkan minat kerana seronok dengan cara pembelajaran baharu yang diguna pakai itu.

“Pada masa yang sama mereka lebih fokus dan memberi tindak balas dengan apa yang diajarnya dan pelajar secara tidak langsung tidak banyak bermain dalam kelas,” katanya.

Pada awal pelaksanaan kelas maya pada 2011, Zulkifli menambah, guru-guru berdepan sedikit masalah dengan sistem digunakan tetapi selepas mengikuti beberapa kursus, mereka mampu menggalas tanggungjawab diamanahkan dalam mendidik pelajar menggunakan teknologi.

“Tidak sukar sebenarnya kalau kita pandai menggunakan teknologi malah murid kelihatan lebih seronok belajar.

“Pada masa sama, para guru akan menjadi lebih bersemangat untuk mengajar apabila para pelajar menunjukkan minat terhadap pembelajaran,” katanya.

Sementara itu, Guru Besar SK Paya Bunga, Rohaya Ibrahim, 56, memberitahu, sekolah tersebut sangat kecil dan hanya mempunyai 84 orang dengan hanya satu kelas untuk setiap darjah.

“Saya datang ke sekolah ini pada tahun 2010 dan sudah dimaklumkan mengenai sekolah ini mempunyai pelajar kurang berdisiplin.

“Memang betul apa yang dikata sebab hendak tengok kelas penuh setiap hari memang susah dengan kira-kira 70 peratus pelajar gagal hadir setiap hari,” katanya ketika ditemui sempena lawatan beberapa kakitangan Intel ke sekolah tersebut baru-baru ini.

Kebanyakan pelajar sekolah tersebut terdiri daripada golongan berpendapatan rendah. Bahkan, ada antara mereka menjadikan sekolah tersebut tempat untuk meninggalkan anak-anak sementara mereka keluar bekerja.

SEORANG pelajar ketika sesi pembelajaran dalam kelas maya.

 

Tiada harapan

“Ada ibu bapa yang datang dari Gong Badak dan kerja di Stesen Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan mereka hanya hantar anak ke sekolah sebab tidak mahu anak mereka merayau tidak tentu hala,” katanya.

Jelasnya, apabila pihak sekolah berbincang mengenai prestasi akademik anak mereka yang kurang memberangsangkan, mereka seperti tidak kisah.

Menurut Rohaya, ibu bapa pelajar terbabit hanya memberitahu bahawa anak mereka sudah tidak ada harapan untuk jadi pandai tanpa meminta pihak sekolah melakukan sesuatu untuk mengubah keadaan tersebut.

Jelasnya, ada juga ibu bapa yang bawa anak mereka keluar bekerja sehingga pukul 2 atau 3 pagi setiap hari menyebabkan anak mereka gagal hadir ke sekolah.

“Kebanyakan ibu bapa pelajar di sini merupakan penjaja dan setiap hari mereka akan bawa anak bersama sehingga awal pagi.

“Kesudahannya mereka gagal untuk bangun pagi dan kejutkan anak ke sekolah walaupun rumah mereka hanya di belakang sekolah ini,” katanya sambil menunjukkan beberapa buah rumah yang kelihatan usang yang terletak selang beberapa meter dari pagar sekolah tersebut.

Kualiti pendidikan setara global – Sinar Harian


Kualiti pendidikan setara global

Oleh Rosyahaida Abdullah

Usaha mengukuhkan penguasaan mata pelajaran Sains, Matematik dan Bacaan dalam kalangan murid dan pelajar sekolah sudah bermula lebih awal melalui inisiatif yang digerakkan kerajaan ke arah meningkatkan kualiti pendidikan negara setara peringkat antarabangsa.

Ini termasuk mewujudkan pasukan petugas atau Task Force yang berperanan, antaranya merancang pelan strategik pendidikan secara menyeluruh untuk jangka masa pendek dan panjang serta memantau pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PDP) di sekolah untuk lebih berpusatkan murid dan lebih penekanan diberikan kepada Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

Pasukan ini dianggotai ahli akademik serta pakar dalam bidang sains dari institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan, badan berkanun serta pertubuhan profesional seperti Petrosains, Institut Kimia Malaysia, Akademi Sains Malaysia dan Kumpulan Industri Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) selain pegawai kanan Kementerian sendiri.

Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum Kementerian Pendidikan Dr Masnah Ali Muda berkata, Task Force diperkenalkan pada Februari tahun lalu dengan matlamat melaksanakan langkah lebih proaktif bagi memenuhi keperluan menghasilkan modal insan cekap sains dan teknologi.

Bersesuaian dengan penyertaan Malaysia dalam Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) dan Program Penilaian Murid Antarabangsa (PISA), beliau berkata, pasukan itu turut dipertanggungjawabkan melakukan analisis terperinci ke atas dapatan dua pentaksiran terbabit bagi mengenal pasti sebarang kelemahan mahupun penambaikan yang boleh dilakukan dalam sistem pendidikan sedia ada.

“Penubuhan Task Force lebih menjurus kepada usaha meningkatkan prestasi murid dan pelajar dalam bidang Sains di bawah dasar 60 nisbah 40 (6:4) bagi Sains dan Sastera.

Dalam hal ini, langkah meningkatkan keupayaan murid untuknya sudah pun dilakukan lebih awal.

“Kini, penyertaan Malaysia dalam TIMSS dan PISA akan menjadi kayu ukur terhadap tindakan yang diambil kerajaan untuk bidang ini dan kami komited merealisasikan hasrat negara untuk berada pada kedudukan satu pertiga teratas menjelang tahun akhir pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) pada 2025,” katanya.

Menurut Masnah, pihaknya mengenal pasti beberapa faktor yang boleh diberi penekanan untuk ditambah baik dalam PISA baru-baru ini antaranya kurang pendedahan dalam kalangan pelajar terhadap format soalan antarabangsa yang agak berbeza berbanding dalam negara.

Oleh itu, beliau berkata, antara inisiatif di bawah PPPM 2013-2025 termasuk menanda aras kurikulum antarabangsa dalam sistem pendidikan negara menerusi sukatan yang digubal semula serta penyediaan soalan berbentuk aras tinggi seumpama dua pentaksiran berkenaan di sekolah.

“Seperti contoh, soalan TIMSS ada menyentuh isu persekitaran yang mana pelajar tingkatan dua yang mengambil mata pelajaran Geografi pasti tiada masalah untuk menjawabnya, namun tidak kepada pelajar yang tidak mempelajarinya melainkan dia mengambil inisiatif belajar sendiri,” katanya.

Mengulas mengenai sistem PDP sedia ada, Dr Masnah berkata, kelengkapan khususnya makmal sudah tersedia di sekolah untuk mempersiapkan murid dan pelajar dengan kemahiran amali, namun penggunaannya perlu diperkemaskan dan dimanfaatkan sebaik mungkin bagi memantapkan lagi latihan itu.

Disebabkan itu, katanya, kurikulum sudah pun digubal semula yang mana transformasi ini dimulakan di peringkat sekolah rendah lagi membabitkan murid tahun satu pada 2011.

Bahan rujukan dan buku teks turut diberi nafas baru bagi menyesuaikan sukatan mengikut standard antarabangsa yang lebih holistik.

“Kementerian juga memperhalusi kompetensi guru khususnya bagi yang mengajar mata pelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Malaysia supaya mereka turut sama diberi peluang meningkatkan keupayaan melahirkan insan yang selari dengan kehendak zaman,” jelasnya.

Kajian PISA 2012 yang membabitkan 65 negara menunjukkan peningkatan bagi mata pelajaran Matematik apabila berada di kedudukan 52 berbanding 57 pada PISA 2009.

Bagaimanapun, keputusan bagi Sains dan Bacaan mencatatkan kemerosotan dengan Sains berada di kedudukan 53, jatuh satu anak tangga, manakala Bacaan sekadar menduduki tempat ke-59 berbanding 55 pada PISA sebelumnya.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/23

‘Seluruh badan bertukar kuning’ – Metro


‘Seluruh badan bertukar kuning’

Oleh Mohd Fauzi Abdullah

Kuantan: “Seluruh badannya bertukar menjadi kuning menyebabkan kami sekeluarga bingung.

“Bimbang sesuatu buruk berlaku, kami membawanya ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dengan bantuan ambulans, namun dia meninggal dunia keesokannya,” kata Samsiah Harun, 37, ibu kepada seorang pelajar berusia 15 tahun, Nik Ammar Shahril Nik Mustafa, yang meninggal dunia pada 17 Disember lalu disyaki akibat kencing tikus.

Menurutnya, anak ketiganya daripada tujuh beradik itu mula tidak sihat sehari selepas negeri ini dilanda banjir pada 3 Disember lalu.

Katanya, pada hari berkenaan, arwah yang sedang menunggu keputusan Penilaian membantu mangsa banjir di Kampung Padang Garuda, Batu 9, Jalan Gambang, di sini.

“Arwah keluar seawal jam 6 pagi dan membantu mengalihkan motosikal serta barangan dalam rumah beberapa penduduk di kawasan ini sehingga jam 7 malam.

“Bagaimanapun, dia pulang ke rumah kira-kira jam 4 petang untuk makan sebelum menyambung semula kerja menolong mangsa banjir selepas itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Peniaga kedai makan itu berkata, keesokannya iaitu pada 4 Disember lalu, arwah yang juga pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Gudang Rasau, di sini, mengalami kekejangan pada kaki kiri menyebabkan dia tidak mampu berdiri.

“Ketika itu keadaannya masih dikatakan tidak begitu teruk, hanya kejang pada kaki, tetapi tidak mengalami demam.

“Memandangkan keadaannya begitu, neneknya cuba mengurut kakinya dan selepas itu dia boleh berdiri dan berjalan secara perlahan-lahan,” katanya.

Samsiah berkata, namun pada 6 Disember lalu, kekejangan dialami arwah kembali menyerang apabila kaki kiri Nik Ammar langsung tidak boleh memijak dan sakit.

Katanya, keadaan itu menyebabkan Nik Ammar hanya mengensot untuk bergerak selain hilang selera makan.

“Keadaan itu berlarutan sehingga 14 Disember lalu apabila dia mengalami muntah-muntah selepas minum air dan mula mengalami demam, namun tidak teruk.

“Ia berlarutan sehingga Isnin lalu (16 Disember lalu), namun keadaannya bertambah teruk apabila mengalami demam panas dan langsung tidak bermaya,” katanya.

Menurutnya, lebih mengejutkan apabila seluruh badan anaknya itu bertukar menjadi kuning dan keadaannya begitu lemah kira-kira jam 2 petang pada hari berkenaan.

“Seluruh badannya termasuk kaki dan tangan menjadi kuning.

Ia tidak pernah berlaku sebelum ini menyebabkan kami sekeluarga bimbang sesuatu buruk berlaku,” katanya.

Samsiah berkata, melihatkan keadaan Nik Ammar bertambah teruk, dia dan suami, Nik Mustafa Abd Fatah, 43, mengambil keputusan membawa arwah ke HTAA kira-kira jam 8 malam untuk mendapatkan rawatan dengan bantuan ambulans.

“Ketika berada di HTAA, keadaannya bertambah pulih selepas dimasukkan dua botol air ke dalam badan dan menunjukkan perkembangan positif serta boleh bercakap.

“Namun, mungkin sudah ditakdirkan ajalnya tiba apabila anak saya disahkan meninggal dunia keesokannya (17 Disember lalu) pada jam 10.20 pagi,” katanya.

Menurutnya, pihak hospital yang merawat Nik Ammar memaklumkan arwah disyaki terkena kencing tikus, namun laporan perubatan kes itu hanya akan diketahui esok.

“Tadi (semalam) ada kakitangan Jabatan Kesihatan datang ke rumah saya dan mereka memaklumkan dua kemungkinan menyebabkan kematian anak saya iaitu disebabkan kencing tikus atau jangkitan virus pada kakinya.

“Bagaimanapun, saya reda dengan apa yang berlaku dan menerima kejadian ini sebagai ketentuan Allah walaupun berasa terkilan arwah tidak sempat mengambil keputusan PMR yang diumumkan Khamis lalu,” katanya yang memaklumkan jenazah Nik Ammar dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 8, di sini, kira-kira jam 3 petang, Selasa lalu.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Kesihatan Pahang memaklumkan kes berkenaan sudah dirujuk kepada Pakar Perunding Perubatan HTAA selain siasatan lanjut dilakukan Pejabat Kesihatan Daerah Kuantan bagi mendapatkan maklumat lebih tepat mengenai kematian mangsa.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/23

Angkara ‘kuda’ – Metro


Angkara ‘kuda’

Oleh Nazdy Harun

Kuala Terengganu: “Angkara ‘kuda’, saya sanggup mencuri wang di dalam poket seluar bapa dan beg duit ibu untuk membeli bahan terlarang itu,” kata Ilham, 15, (bukan nama sebenar) penghuni Pusat Khidmat Pulih dan Rawat (CCSC) kendalian Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Jalan Pusara, di sini, kelmarin.

Menurutnya, dia mula terjebak dengan penyalahgunaan dadah jenis pil kuda sejak awal tahun lalu akibat terpengaruh dengan pujukan rakan.

Katanya, akibat ketagihan dadah, dia mula ‘panjang tangan’ dan mencuri wang milik ibu bapanya bagi membolehkannya membeli bahan terlarang itu.

“Saya tidak pernah mengaku sewaktu ibu bapa menyoal apabila wang mereka hilang mengakibatkan tembelang saya mencuri wang itu tidak diketahui.

“Pelbagai alasan diberikan untuk meyakinkan ibu bapa saya bahawa kehilangan wang itu bukan berpunca daripada saya,” kata anak sulung daripada lapan beradik itu.

Ilham berkata, biasanya dia akan mengambil RM100 sama ada di dalam poket seluar bapanya atau dalam beg ibunya untuk membolehkannya membeli tiga biji pil kuda.

Katanya, kebiasaannya pada hujung minggu apabila tidak bersekolah, dia akan melepaskan gian ketagihan bagi mengelak ibu bapanya mengetahui tabiat buruknya itu.

Bagaimanapun, kegiatan buruknya itu berjaya dihidu ibu bapanya sebelum menghantarnya ke CCSC untuk mendapatkan rawatan.

“Saya menyesal dengan perlakuan sebelum ini.

Saya anak sulung, jadi tidak sepatutnya menunjukkan contoh tidak baik kepada adik-adik selain perbuatan itu juga menjejaskan pelajaran saya.

“Kehidupan di CCSC banyak mengubah kehidupan saya apabila setiap hari solat lima waktu selain adanya aktiviti kerohanian dan riadah,” katanya.

Menurutnya, dia ingin melupakan kisah silam dan kembali pada landasan yang betul kerana tiada manfaatnya mengambil ‘kuda’ sedangkan pil itu boleh membinasakannya.

Sementara itu, Ketua Pegawai AADK Kuala Terengganu Hafiz Hassan berkata, Ilham antara 10 penghuni di CCSC Kuala Terengganu yang mendapat rawatan dan pemulihan sejak dua bulan lalu.

“Ilham menunjukkan sikap positif dalam memulihkan dirinya daripada ketagihan pil kuda sepanjang berada di CCSC.

“Kesedaran yang timbul dalam dirinya dapat membantu dia untuk menjalani sesi rawatan pemulihan dengan lebih sempurna kerana mereka datang untuk mendapatkan rawatan secara sukarela tanpa dipaksa,” katanya.

FotoPENGURUS Kes Pusat Khidmat Pulih dan Rawat AADK Kuala Terengganu, Faridah Akmal Abdul Aziz bersama Ilham (bukan nama sebenar).

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/23