Kualiti pendidikan setara global – Sinar Harian


Kualiti pendidikan setara global

Oleh Rosyahaida Abdullah

Usaha mengukuhkan penguasaan mata pelajaran Sains, Matematik dan Bacaan dalam kalangan murid dan pelajar sekolah sudah bermula lebih awal melalui inisiatif yang digerakkan kerajaan ke arah meningkatkan kualiti pendidikan negara setara peringkat antarabangsa.

Ini termasuk mewujudkan pasukan petugas atau Task Force yang berperanan, antaranya merancang pelan strategik pendidikan secara menyeluruh untuk jangka masa pendek dan panjang serta memantau pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PDP) di sekolah untuk lebih berpusatkan murid dan lebih penekanan diberikan kepada Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

Pasukan ini dianggotai ahli akademik serta pakar dalam bidang sains dari institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan, badan berkanun serta pertubuhan profesional seperti Petrosains, Institut Kimia Malaysia, Akademi Sains Malaysia dan Kumpulan Industri Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) selain pegawai kanan Kementerian sendiri.

Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum Kementerian Pendidikan Dr Masnah Ali Muda berkata, Task Force diperkenalkan pada Februari tahun lalu dengan matlamat melaksanakan langkah lebih proaktif bagi memenuhi keperluan menghasilkan modal insan cekap sains dan teknologi.

Bersesuaian dengan penyertaan Malaysia dalam Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) dan Program Penilaian Murid Antarabangsa (PISA), beliau berkata, pasukan itu turut dipertanggungjawabkan melakukan analisis terperinci ke atas dapatan dua pentaksiran terbabit bagi mengenal pasti sebarang kelemahan mahupun penambaikan yang boleh dilakukan dalam sistem pendidikan sedia ada.

“Penubuhan Task Force lebih menjurus kepada usaha meningkatkan prestasi murid dan pelajar dalam bidang Sains di bawah dasar 60 nisbah 40 (6:4) bagi Sains dan Sastera.

Dalam hal ini, langkah meningkatkan keupayaan murid untuknya sudah pun dilakukan lebih awal.

“Kini, penyertaan Malaysia dalam TIMSS dan PISA akan menjadi kayu ukur terhadap tindakan yang diambil kerajaan untuk bidang ini dan kami komited merealisasikan hasrat negara untuk berada pada kedudukan satu pertiga teratas menjelang tahun akhir pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) pada 2025,” katanya.

Menurut Masnah, pihaknya mengenal pasti beberapa faktor yang boleh diberi penekanan untuk ditambah baik dalam PISA baru-baru ini antaranya kurang pendedahan dalam kalangan pelajar terhadap format soalan antarabangsa yang agak berbeza berbanding dalam negara.

Oleh itu, beliau berkata, antara inisiatif di bawah PPPM 2013-2025 termasuk menanda aras kurikulum antarabangsa dalam sistem pendidikan negara menerusi sukatan yang digubal semula serta penyediaan soalan berbentuk aras tinggi seumpama dua pentaksiran berkenaan di sekolah.

“Seperti contoh, soalan TIMSS ada menyentuh isu persekitaran yang mana pelajar tingkatan dua yang mengambil mata pelajaran Geografi pasti tiada masalah untuk menjawabnya, namun tidak kepada pelajar yang tidak mempelajarinya melainkan dia mengambil inisiatif belajar sendiri,” katanya.

Mengulas mengenai sistem PDP sedia ada, Dr Masnah berkata, kelengkapan khususnya makmal sudah tersedia di sekolah untuk mempersiapkan murid dan pelajar dengan kemahiran amali, namun penggunaannya perlu diperkemaskan dan dimanfaatkan sebaik mungkin bagi memantapkan lagi latihan itu.

Disebabkan itu, katanya, kurikulum sudah pun digubal semula yang mana transformasi ini dimulakan di peringkat sekolah rendah lagi membabitkan murid tahun satu pada 2011.

Bahan rujukan dan buku teks turut diberi nafas baru bagi menyesuaikan sukatan mengikut standard antarabangsa yang lebih holistik.

“Kementerian juga memperhalusi kompetensi guru khususnya bagi yang mengajar mata pelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Malaysia supaya mereka turut sama diberi peluang meningkatkan keupayaan melahirkan insan yang selari dengan kehendak zaman,” jelasnya.

Kajian PISA 2012 yang membabitkan 65 negara menunjukkan peningkatan bagi mata pelajaran Matematik apabila berada di kedudukan 52 berbanding 57 pada PISA 2009.

Bagaimanapun, keputusan bagi Sains dan Bacaan mencatatkan kemerosotan dengan Sains berada di kedudukan 53, jatuh satu anak tangga, manakala Bacaan sekadar menduduki tempat ke-59 berbanding 55 pada PISA sebelumnya.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/23

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s