‘Seluruh badan bertukar kuning’ – Metro


‘Seluruh badan bertukar kuning’

Oleh Mohd Fauzi Abdullah

Kuantan: “Seluruh badannya bertukar menjadi kuning menyebabkan kami sekeluarga bingung.

“Bimbang sesuatu buruk berlaku, kami membawanya ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dengan bantuan ambulans, namun dia meninggal dunia keesokannya,” kata Samsiah Harun, 37, ibu kepada seorang pelajar berusia 15 tahun, Nik Ammar Shahril Nik Mustafa, yang meninggal dunia pada 17 Disember lalu disyaki akibat kencing tikus.

Menurutnya, anak ketiganya daripada tujuh beradik itu mula tidak sihat sehari selepas negeri ini dilanda banjir pada 3 Disember lalu.

Katanya, pada hari berkenaan, arwah yang sedang menunggu keputusan Penilaian membantu mangsa banjir di Kampung Padang Garuda, Batu 9, Jalan Gambang, di sini.

“Arwah keluar seawal jam 6 pagi dan membantu mengalihkan motosikal serta barangan dalam rumah beberapa penduduk di kawasan ini sehingga jam 7 malam.

“Bagaimanapun, dia pulang ke rumah kira-kira jam 4 petang untuk makan sebelum menyambung semula kerja menolong mangsa banjir selepas itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Peniaga kedai makan itu berkata, keesokannya iaitu pada 4 Disember lalu, arwah yang juga pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Gudang Rasau, di sini, mengalami kekejangan pada kaki kiri menyebabkan dia tidak mampu berdiri.

“Ketika itu keadaannya masih dikatakan tidak begitu teruk, hanya kejang pada kaki, tetapi tidak mengalami demam.

“Memandangkan keadaannya begitu, neneknya cuba mengurut kakinya dan selepas itu dia boleh berdiri dan berjalan secara perlahan-lahan,” katanya.

Samsiah berkata, namun pada 6 Disember lalu, kekejangan dialami arwah kembali menyerang apabila kaki kiri Nik Ammar langsung tidak boleh memijak dan sakit.

Katanya, keadaan itu menyebabkan Nik Ammar hanya mengensot untuk bergerak selain hilang selera makan.

“Keadaan itu berlarutan sehingga 14 Disember lalu apabila dia mengalami muntah-muntah selepas minum air dan mula mengalami demam, namun tidak teruk.

“Ia berlarutan sehingga Isnin lalu (16 Disember lalu), namun keadaannya bertambah teruk apabila mengalami demam panas dan langsung tidak bermaya,” katanya.

Menurutnya, lebih mengejutkan apabila seluruh badan anaknya itu bertukar menjadi kuning dan keadaannya begitu lemah kira-kira jam 2 petang pada hari berkenaan.

“Seluruh badannya termasuk kaki dan tangan menjadi kuning.

Ia tidak pernah berlaku sebelum ini menyebabkan kami sekeluarga bimbang sesuatu buruk berlaku,” katanya.

Samsiah berkata, melihatkan keadaan Nik Ammar bertambah teruk, dia dan suami, Nik Mustafa Abd Fatah, 43, mengambil keputusan membawa arwah ke HTAA kira-kira jam 8 malam untuk mendapatkan rawatan dengan bantuan ambulans.

“Ketika berada di HTAA, keadaannya bertambah pulih selepas dimasukkan dua botol air ke dalam badan dan menunjukkan perkembangan positif serta boleh bercakap.

“Namun, mungkin sudah ditakdirkan ajalnya tiba apabila anak saya disahkan meninggal dunia keesokannya (17 Disember lalu) pada jam 10.20 pagi,” katanya.

Menurutnya, pihak hospital yang merawat Nik Ammar memaklumkan arwah disyaki terkena kencing tikus, namun laporan perubatan kes itu hanya akan diketahui esok.

“Tadi (semalam) ada kakitangan Jabatan Kesihatan datang ke rumah saya dan mereka memaklumkan dua kemungkinan menyebabkan kematian anak saya iaitu disebabkan kencing tikus atau jangkitan virus pada kakinya.

“Bagaimanapun, saya reda dengan apa yang berlaku dan menerima kejadian ini sebagai ketentuan Allah walaupun berasa terkilan arwah tidak sempat mengambil keputusan PMR yang diumumkan Khamis lalu,” katanya yang memaklumkan jenazah Nik Ammar dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 8, di sini, kira-kira jam 3 petang, Selasa lalu.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Kesihatan Pahang memaklumkan kes berkenaan sudah dirujuk kepada Pakar Perunding Perubatan HTAA selain siasatan lanjut dilakukan Pejabat Kesihatan Daerah Kuantan bagi mendapatkan maklumat lebih tepat mengenai kematian mangsa.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/23

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s