‘Anak saya nak sekolah…’ – Sinar Harian


‘Anak saya nak sekolah…’
ASYRAF MUHAMMAD
25 Disember 2013
  • 'Anak saya nak sekolah...'Zuhaidi mengharapkan agar JPN dapat membantu dalam menyelesaikan permasalahan yang dihadapi oleh anak-anaknya.
< 1 / 1 >

SUNGAI BULOH – “Tak ada ayah yang tak mahu lihat anak-anaknya dapat pendidikan sempurna,” demikian luahan seorang bapa, Mohd Zuhaidi Mohd Kodzi, 40, yang kini dalam kebimbangan kerana tujuh anaknya tidak dapat meneruskan persekolahan akibat tidak memiliki sijil lahir.

Menurut Zuhaidi, semuanya bermula pada 2011 apabila mereka sekeluarga berpindah ke Ladang Bukit Darah dan anak-anaknya terpaksa menukar sekolah.

“Namun proses pemindahan sekolah tak dapat dilakukan kerana tiada sijil lahir,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagaimanapun akuinya, dia memang tidak dapat mendaftarkan kelahiran anak-anaknya sebelum ini kerana dihimpit masalah kewangan, malah ada di antara mereka yang terpaksa dilahirkan di rumah sahaja dengan bantuan jiran.

Zuhaidi berkata, sebelum ini, terdapat beberapa pihak cuba memanjangkan permasalahan yang dihadapi mereka sekeluarga kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) namun segala usaha yang dibuat hanya separuh jalan.

Dengan taraf pendidikan tidak seberapa, Zuhaidi mengakui dia tidak begitu memahami prosedur permohonan.

Dalam pada itu, menurut isteri Zuhaidi, Fadhillah Hanum Mat, 42, dia berharap agar pihak bertanggungjawab dapat membantu dalam menyelesaikan masalah ini memandangkan dia dan suaminya merupakan warga tempatan dan lahir di negara ini.

“Sebelum ini dengan gaji harian sebanyak RM35 sehari, suami saya tak mampu uruskan pendaftaran sijil lahir. Tapi setelah berpindah ke Ladang Bukit Darah, suami saya dah dapat kerja sebagai pengawal ladang dengan gaji bulanan dan hidup selesa sedikit. Tapi timbul pula masalah nak daftarkan anak sekolah,” katanya.

Dalam pada itu, masalah yang dihadapi keluarga Zuhaidi turut mendapat perhatian Adun Kota Damansara, Halimaton Saadiah Bohan yang turun padang bagi meninjau keadaan mereka.

Halimaton berkata, pihaknya akan menyediakan surat sokongan dan memanjangkan permasalahan tersebut kepada JPN bagi membolehkan ia diselesaikan dengan kadar segera.

Tiga remaja ditahan lakukan khianat kepada kenderaan awam, peronda polis – Berita Harian


Tiga remaja ditahan lakukan khianat kepada kenderaan awam, peronda polis

2013/12/25 – 13:58:10 PMCetakEmel Kawan
Kuantan: Polis menahan tiga remaja selepas mereka melakukan khianat ke atas kenderaan awam termasuk kereta peronda polis yang berada di Teluk Chempedak, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, sekumpulan remaja dikatakan menyembur buih kepada kereta yang melalui kawasan berkenaan menyebabkan orang ramai menghubungi polis.

Timbalan Ketua Polis daerah, Superintendan Abdul Aziz Ahmad berkata, sebaik anggota polis tiba, mereka dapati tempat kejadian sesak di kiri dan kanan jalan serta dipenuhi oleh orang awam yang sedang berkumpul.

“Kumpulan remaja itu kemudian menyembur buih sabun dan melontar tin, batu dan botol air mineral ke arah kereta peronda di setiap sudut.

“Kedua-dua anggota seterusnya meminta bantuan dari bilik gerakan IPD Kuantan,” katanya.

Beliau berkata, susulan itu tiga remaja berusia 16 hingga 23 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

“Semua suspek tiada rekod jenayah dan direman bermula hari ini hingga Sabtu ini,” katanya.
Katanya, akibat kejadian kereta peronda mengalami kerosakan di beberapa bahagian.

“Kereta kemek di bahagian belakang kiri dan kanan akibat disepak, lampu belakang sebelah kiri retak, cermin depan retak dan berlekuk di bonet depan akibat dibaling objek keras.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 186/427 Kanun Keseksaan,” katanya.

Didik OKU dalami ibadah solat – Kosmo


Didik OKU dalami ibadah solat

 


 

LAUNGAN azan menandakan masuknya waktu solat fardu Zohor. Orang ramai berpusu-pusu masuk ke pekarangan masjid untuk menunaikan rukun Islam kedua itu.

Di satu sudut di masjid yang tersergam indah itu, kelihatan sekumpulan insan istimewa sedang berkumpul. Ada yang berbaring, ada yang berkerusi roda dan ada yang duduk di sisi keluarga.

Meskipun pergerakannya terbatas, namun Rahmat Jamil, 17, benar-benar bersyukur kerana berpeluang berada di majlis itu. Bahkan, peluang berkumpul bersama rakan-rakan untuk mempelajari ilmu agama bukanlah peluang yang selalu diperoleh oleh insan sepertinya.

Mengakui amat bertuah kerana terpilih untuk menyertai program seumpama itu, remaja lembam yang berasal dari Lahad Datu, Sabah itu, benar-benar teruja.

“Pergerakan kami agak terbatas dan aktiviti untuk kami sertai juga terhad. Saya bersyukur berada di sini sekurang-kurangnya saya dapat memahami dan memperbetulkan bacaan solat,” jelas Rahmat yang tahu serba sedikit mengenai asas solat. Remaja yang agak kurang lancar pertuturannya menjelaskan, sebelum ini dia hanya mengetahui pergerakan asas solat.

Kerah kudrat

Begitu juga dengan Afiqah Syamimi Mohd. Aizuddin, 15. Remaja lembam itu menjelaskan, dia kini memahami konsep solat seperti yang dituntut oleh agama.

“Sebelum ini ramai dalam kalangan kami beranggapan ibadah solat adalah sesuatu yang sukar, namun selepas mengikuti program ini, ternyata ia ibadah yang cukup mudah dilakukan,” katanya ketika ditemui.

Mereka sebenarnya merupakan golongan orang kelainan upaya (OKU). Hari itu, mereka dengan tekad yang sama atas nama seorang Islam mengerah segala kudrat dan tenaga untuk hadir ke masjid.

Tujuannya hanya satu iaitu mempelajari asas-asas solat sebagai seorang OKU. Bukan sesuatu yang mudah, tetapi dengan inisiatif Pertubuhan Prihatin Orang Kurang Upaya 1Malaysia (Prihatin), semua yang dirancang menjadi kenyataan.

SEORANG peserta membantu mengelap mulut rakannya.

 

Menggunakan jenama I Love Klinik Solat Bersama OKU Sabah, Prihatin tampil menerusi pendekatan teori dan amali untuk mendekatkan golongan OKU dengan kewajipan solat.

Berlangsung selama dua hari di Masjid Bandaraya di Likas, Kota Kinabalu, Sabah, pelbagai pengisian diatur sepanjang program tersebut. Acara tersebut disertai hampir 200 peserta mewakili 19 Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) seluruh Sabah.

Takrif solat seperti yang ditetapkan ahli-ahli fiqah membawa pengertian beberapa ucapan dan perbuatan yang dimulai dengan takbir, disudahi dengan salam dan dengannya seseorang beribadah kepada Allah, menurut syarat-syarat yang telah ditentukan.

Solat juga merupakan penghubung antara hamba dan Tuhannya. Ibadah solat merupakan salah satu daripada tuntutan Rukun Islam dan ibadah yang utama selepas mengucap dua kalimah syahadah.

Solat diwajibkan kepada seseorang mukalaf yakni berakal dan baligh lima waktu sehari semalam. Malah, kecacatan tidak mengecualikan seseorang daripada menunaikan solat selagi memenuhi syarat-syarat wajib solat.

Pakar motivasi yang juga pensyarah kanan Universiti Putra Malaysia (UPM), Ustaz Dr. Shauqi Othman berkata, golongan OKU boleh menunaikan solat mengikut kemampuan mereka.

Ikut kemampuan

Katanya, Allah tidak memberi ujian ataupun bebanan kepada seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Atas sebab itu, golongan seperti OKU juga boleh menunaikan solat.

“Islam membolehkan seseorang Muslim melakukan sesuatu ibadah termasuk solat sesuai dengan kemampuan tanpa memberatkan mereka.

“Jika seseorang itu tidak mampu berdiri, maka dia boleh solat dengan cara duduk, jika tidak boleh duduk, dia boleh melakukannya hanya dengan berbaring,” katanya ketika ditemui pada program tersebut.

SHAUQI (belakang) melakukan demonstrasi kepada peserta-peserta OKU yang menyertai bengkel solat.

 

Sepanjang program tersebut, Shauqi turut berkongsi ilmu dengan para peserta OKU mengenai cara-cara menunaikan solat mengikut kategori kecacatan.

Selain itu, para peserta juga diberi bimbingan mengenai syarat-syarat solat seperti berwuduk, menutup aurat dan menghadap kiblat.

“Setiap individu yang beragama Islam wajib solat tidak kira dia insan yang sempurna fizikal ataupun sebaliknya. Jika kita sebagai manusia perlukan makanan dalam kehidupan, begitu jugalah kita perlukan solat dalam kehidupan.

“Harus diingat, lebih banyak ujian yang kita terima maka lebih banyak pahala yang kita peroleh asalkan kita bersabar dan berada di atas landasan Allah,” ujar Shauqi.

Beliau turut mengakui terdapat segelintir OKU yang tidak mampu menguasai bacaan-bacaan wajib dalam solat selain memiliki kekangan untuk menghafal surah.

Dalam hal ini katanya, setiap OKU perlu mempraktikkan perkara tersebut berulang-ulang kali dengan bantuan ibu bapa ataupun guru termasuklah pergerakan solat.

“Jika OKU itu tergolong dalam kalangan mereka yang bisu atau tidak boleh bercakap, maka dia hanya perlu menggerakkan bibir ketika melafazkan surah dan bacaan-bacaan dalam solat.

“Begitu juga dengan OKU yang lain kerana pelbagai kaedah boleh dilakukan untuk bersolat mengikut kemampuan masing-masing,” jelasnya.

Kewajipan bersolat dalam kalangan OKU bukan hanya tertakluk kepada solat fardu, malah solat Jumaat juga perlu ditunaikan oleh golongan OKU kaum lelaki.

“Kita jangan malu datang ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat hanya kerana kita golongan OKU. Di sisi Tuhan, kita semua sama dan apa yang membezakan kita adalah amalan kita,” tegasnya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Usahawan Istimewa (OKU) Malaysia, Norman Ismail mengakui golongan OKU berdepan dengan cabaran untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan insan normal lain.

Justeru katanya, golongan seperti ini tidak perlu merasa rendah diri dan tersisih, sebaliknya mencari platform terbaik untuk menonjolkan diri.

Sebagai contoh katanya, Persatuan Usahawan Istimewa yang ditubuhkan sejak tiga tahun lalu memainkan peranan bukan hanya untuk menjaga kebajikan para OKU, bahkan melatih mereka berdikari.

SEORANG peserta OKU membuat demonstrasi solat sambil dibimbing oleh petugas prihatin dalam Program I Love Solat.

 

Ilmu agama

“Masyarakat sering melabel golongan OKU sebagai orang yang suka meminta-minta sehinggakan golongan ini sering menjadi mangsa pihak lain untuk meraih keuntungan.

“Atas dasar itu persatuan memikul tanggungjawab besar dalam membantu golongan ini khususnya untuk meningkatkan ekonomi dan pendapatan mereka menerusi khidmat nasihat dan latihan yang disediakan,” katanya.

Bagaimanapun ujar beliau, sebelum menempuh kehidupan berdikari, setiap OKU perlu mempersiapkan diri dengan ilmu agama termasuk dalam hal-hal solat.

“Saya tertarik untuk terlibat dalam program ini selepas melihat pendekatan yang diberikan kepada para OKU khususnya dalam ilmu-ilmu berkaitan agama.

“Bab agama sangat penting kerana sama ada dia OKU ataupun insan biasa banyak didasari oleh amalan dan ketaatannya kepada Tuhan,” ujarnya.

Tenaga pengajar PDK Desa Kencana Lahad Datu, Rusni Lutong berkata, perjalanan jauh hampir 10 jam yang ditempuh rombongannya untuk menyertai program berkenaan nyata berbaloi dengan segala ilmu yang diterima.

“Para peserta bukan hanya didedahkan dengan cara bersolat yang sebenar, malah mereka turut diberi peluang menunjukkan bakat masing-masing menerusi pertandingan azan dan nasyid.

“Penglibatan ibu bapa juga penting dalam membantu kami menjayakan aktiviti berkumpulan, sekali gus memberi semangat kepada anak-anak OKU untuk terus berusaha mencari ilmu,” katanya.

Seronok ke sekolah – Metro


Seronok ke sekolah

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Seramai 109 pelajar dari lima sekolah dan rumah kebajikan menerima barang kelengkapan sekolah menerusi program ‘Kembali ke Sekolah 2014’ anjuran Yayasan Pendidikan Pelajar Melayu (YPPM).

Pengerusinya, Datuk Suhaimi Ibrahim berkata, program itu bertujuan menerapkan semangat tolong-menolong serta bantu-membantu untuk meringankan beban pelajar yang kurang berkemampuan.

Katanya, YPPM sentiasa mengambil berat mengenai keadaan semasa masyarakat, malah pihaknya juga turut mengumpul dana daripada beberapa organisasi untuk membeli barangan terbabit.

Menurutnya, ia sebagai tanda keprihatinan YPPM supaya pelajar terbabit dapat belajar dengan kelengkapan mencukupi, sekali gus memberi mereka semangat baru untuk masuk ke sekolah.

“Seperti yang kita sedia maklum, kanak-kanak ini selalu rasa rendah diri apabila terpaksa memakai atau menggunakan barangan dan pakaian yang sudah dipakai adik-beradik lain.

“Keadaan ini secara tidak langsung membuatkan pelajar tiada semangat dan rasa tersisih daripada rakan-rakan.
Kami percaya dengan sumbangan ini ia sedikit sebanyak dapat menggembirakan mereka,” katanya pada majlis penyerahan sumbangan di sini, semalam.
Turut hadir, Ketua Eksekutif YPPM Datuk Mustapa Othman.

Antara sekolah dan rumah kebajikan yang menerima sumbangan berkenaan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Rokan; SK Datuk Abdullah Gemencheh, Rumah Amal Nur El Amin, Pusat Jagaan Desa Fahmi dan Rumah Amal Peribadi Mulia.

Ketika ditanya mengenai sumbangan kepada pelajar yang terbabit dengan banjir, Suhaimi berkata, pihaknya masih berbincang mengenai perkara itu.

“Ini kerana, kebanyakan badan bukan kerajaan (NGO) sudah menghulurkan sumbangan kepada mereka, jadi kita tidak mahu ada pertindihan yang berlaku nanti.

“Oleh sebab itu, kami masih mencari tempat atau kawasan yang belum menerima sumbangan supaya barangan kelengkapan sekolah ini dapat diagihkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/25

Niat baik kakak bertukar tragedi – Metro


Niat baik kakak bertukar tragedi

Oleh Rosli Ilham

DUNGUN: Kegembiraan lima beradik termasuk seorang sepupu mereka mandi di kawasan air terjun Tasek Puteri, Bukit Besi, di sini, bertukar tragedi selepas seorang daripada mereka lemas.

Bagaimanapun, mangsa Nur Sumayyah Mukhtar, 13, pelajar Sekolah Menengah Agama Sultan Ismail, di sini, disahkan meninggal di Hospital Dungun kira-kira jam 9.20 malam tadi.

Sebelum kejadian, mangsa mandi bersama adik-beradiknya, Nurhidayah, 24, Nur Aisyah, 16, Nur Nasisah 10, dan sepupunya, Hanis Syazira Anum Suhaimi, 14, kira-kira 5 petang.

Ketika sedang mandi, mangsa bersama kakaknya, Nur Aisyah dikatakan lemas dan tenggelam timbul di tasik terbabit sebelum kakaknya Nurhidayah mengharungi tasik itu dan berjaya menarik Nur Aisyah sebelum dibawa ke tebing sungai.

Foto 

Kakaknya itu yang mendapati mangsa tenggelam ke dasar tasik terbabit sekali lagi bertindak mengharungi tasik dan berusaha mencari mangsa termasuk menggunakan kaki untuk menyentuh mangsa berikutan air tasik yang keruh.
Usahanya itu berjaya dan mangsa ditarik oleh kakaknya itu sebelum dibawa naik ke daratan.

Beberapa pengunjung yang terdengar jeritan meminta tolong daripada kakak mangsa bergegas ke tempat kejadian sebelum mengejarkan mangsa ke Klinik Kesihatan Bukit Besi.

Mangsa yang kelihatan lemah kemudiannya dikejarkan ke hospital untuk untuk menerima rawatan lanjut dan mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia.

Sementara itu, Nurhidayah berkata, dia membawa adik-adiknya itu berkunjung ke tasik terbabit untuk beriadah.

Katanya, mereka mandi di kawasan yang cetek dan tidak menyangka keseronokan itu membawa kepada kejadian yang cukup menyedihkan.

“Saya sama sekali tidak menyangka hasrat unyuk menggembirakan adik-adik bertukar dengan kejadian sedih yang membuatkan saya sukar melupakan kejadian malang terbabit,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Pemangku Superintendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan pihak hospital memaklumkan kejadian itu kepada pihak polis.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut dan sehingga ini polis masih belum menerima laporan daripada keluarga mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/25