Tindakan tegas terhadap pihak naikkan harga alat tulis, buku – Bernama


Tindakan tegas terhadap pihak naikkan harga alat tulis, buku

2013/12/27 – 16:27:47 PMCetakEmel Kawan
KUALA LUMPUR: Persekutuan Pertubuhan Penjual Alat Tulis dan Buku Malaysia berdepan tindakan tegas di bawah Akta Persaingan 2010 jika menaikkan harga barang sesuka hati.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek menegaskan antara tindakan yang boleh dikenakan terhadap persekutuan itu ialah denda, penutupan premis perniagaan selain barang jualan dirampas.

Beliau berkata tindakan itu boleh diambil kerana rancangan persekutuan untuk menaikkan harga barang merupakan aktiviti kartel iaitu bertujuan mengaut keuntungan berlebihan akibat monopoli pasaran.

“Ini satu kesalahan kerana ia perbuatan kartel apabila pengusaha di bawah persekutuan bermuafakat untuk naikkan harga,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Jualan Kembali ke Sekolah di sebuah pasar raya besar di sini, hari ini.

Hasan berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar berbahasa Inggeris tempatan hari ini yang menyebut pihak persekutuan merancang menaikkan harga alat tulis dan buku antara 20 hingga 30 peratus dalam suku pertama tahun depan.

Presiden persekutuan itu Tey Tong Sing dipetik sebagai berkata kenaikan itu tidak dapat dielak susulan pelaksanaan gaji minimum serta kenaikan kos operasi termasuk pengangkutan dan sewaan premis.

Tey juga mendakwa kadar pertukaran mata wang antara Ringgit dan Yuan Renminbi turut menjadi faktor kenaikan harga barang memandangkan kebanyakan alat tulis serta buku diimport dari China.
Hasan berkata beliau akan mengarahkan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) meneliti semua dakwaan persekutuan terbabit bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.

Mengenai Kempen Jualan Kembali ke Sekolah, Hasan menggesa lebih banyak syarikat peruncitan tampil dan menyertainya kerana ia secara tidak langsung membantu kerajaan mengukuhkan ekonomi negara.

“Program seumpama ini berkonsepkan menang-menang kerana syarikat mendapat peningkatan jualan, manakala pengguna mendapat lebih banyak pilihan dan penjimatan,” katanya.

Pada majlis itu Hasan yang juga anggota Parlimen Kuala Pilah turut menyampaikan bantuan persekolahan kepada 150 pelajar kurang bernasib baik di sekitar Negeri Sembilan dan Pahang.

– BERNAMA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s