Jarang ganti seragam sekolah – Sinar Harian


Jarang ganti seragam sekolah
WARTAWAN SINAR HARIAN
29 Disember 2013
  • Jarang ganti seragam sekolahAbdul Latiff menyarungkan pakaian kepada salah seorang pelajar yang terpilih dari Dun Mengkebang.
< 1 / 1 >

KUALA KRAI – Kekangan kewangan menyebabkan seorang ibu tunggal dari Kampung Padang Kebun Pisang, Chenulang, dekat sini, pasrah apabila pakaian seragam sekolah-anaknya jarang diganti baharu.

Sebaliknya, setiap kali menjelang penggal baharu persekolahan, Che Sakinah Saat, 45 akan membasuh pakaian seragam sekolah lama tujuh anaknya dan dia bersyukur apabila mereka seolah-olah faham dengan keadaan yang dilalui.

Menurut Che Sakinah, kesemua anak-anaknya sedar keadaan kewangan keluarga terhad dan mereka tidak merengek untuk mendapatkan seragam sekolah baharu.

“Saya gembira mempunyai anak-anak yang memahami keadaan hidup kami sekeluarga. Tiga anak saya masih di sekolah rendah, tiga di sekolah menengah manakala seorang lagi baru menjejakkan kaki ke alam pendidikan awal.

“Anak-anak sudah biasa dengan situasi ini dan saya bersyukur apabila ada kalanya terdapat pihak tertentu memilih anak-anak saya untuk menerima bantuan persekolahan,” katanya ketika ditemui selepas menerima bantuan pakaian sekolah daripada Adun Mengkebang, Abdul Latiff Abdul Rahman, kelmarin.

Tambah Che Sakinah, walaupun tidak semua anak-anaknya mendapat seragam sekolah baharu, dia tetap gembira kerana sekurang-kurangnya masih ada pihak yang prihatin dengan nasib mereka sekeluarga.

Katanya, selain dapat mengurangkan beban golongan kurang berkemampuan seperti dirinya, bantuan yang diberi sekurang-kurangnya dapat memberi dorongan kepada anak-anak untuk terus belajar bersungguh-sungguh.

“Saya tidak bekerja dan setiap bulan kami hanya bergantung kepada bantuan bulanan RM400 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Duit itulah saya gunakan untuk persekolahan anak-anak dan juga perbelanjaan harian kami sekeluarga. Kerana itulah saya sangat menghargai setiap sumbangan yang dihulurkan kepada anak-anak,” katanya.

Sementara itu, Abdul Latiff berharap sumbangan yang diberikan dapat meringankan beban rakyat kurang berkemampuan.

Menurutnya, golongan seperti itu merupakan golongan yang paling merasai kesan setiap kali menjelang penggal baharu persekolahan memandangkan pelbagai persediaan perlu dilakukan termasuk pakaian dan keperluan lain seperti buku latihan, alat tulis dan sebagainya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s