Koma angkara anjing – Metro


Koma angkara anjing

Oleh NUR IZZATI MOHAMAD

Bukit Mertajam: “Kami langsung tak ingat apa-apa dan hanya rasa sakit sebelum jatuh tidak sedarkan diri,” kata Suhail Zolkifly, 14, dan adiknya Omar, 11 diserang anjing liar ketika bermain sekitar kawasan rumah mereka di Taman Cermai, Permatang Pauh, di sini, Rabu lalu.

Menurut Suhail, dia tidak mampu berbuat apa-apa apabila sekumpulan anjing liar menyerang mereka dan ketika itu hanya berfikir untuk lari menyelamatkan diri bersama adiknya.
“Saya hanya terbayangkan wajah adik namun agak sukar menyelamatkannya kerana kumpulan anjing berkenaan terus mengejar dan menyerang kami berdua menyebabkan kami terjatuh.

 

“Selepas itu, saya langsung tidak sedarkan diri dan tidak tahu apa yang berlaku,” katanya yang ditemui di Hospital Pantai dekat sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang Rabu lalu, dua beradik berkenaan koma dua hari selepas mengalami retak tempurung kepala serta pendarahan dalam otak kerana tersungkur ketika cuba menyelamatkan diri kerana dikejar dan diserang sekumpulan anjing liar.
Bapa mangsa Zolkifly Md Lazim,50, berkata, ketika kejadian, dia berada di Alor Setar, Kedah kerana urusan kerja sebelum menerima panggilan mengenai kejadian yang menimpa kedua-dua anaknya itu.

 

FotoKEADAAN Suhail yang dirawat di Hospital Pantai.

“Saya terkejut apabila diberitahu anak koma dan mengalami kecederaan serius di kepala serta tempurung otak retak dan tanpa berlengah saya terus bergegas pulang.
“Saya difahamkan kecederaan itu berlaku akibat kepala anak terhentak di permukaan jalan ketika mereka cuba menyelamatkan diri daripada diserang sekumpulan anjing liar,” katanya.

 

Sehubungan itu, Zolkifly berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) lebih kerap membuat tinjauan di kawasan perumahannya kerana kawasan terbabit dilihat mempunyai banyak anjing.
“Kawasan perumahan ini terlalu banyak anjing bahkan anak saya berumur tujuh tahun pernah mengalami kecederaan kecil kerana diserang anjing baru-baru ini.
“Kali ini terjadi lagi kepada dua anak saya dan berharap PBT berbuat sesuatu terutamanya mewujudkan polisi penjagaan haiwan kepada penduduk yang membela haiwan di kawasan ini,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) Rozali Mohamod berkata, MPSP kesal dengan kejadian yang menimpa dua kanak-kanak itu yang hampir maut apabila diserang anjing liar.
Menurutnya, berikutan kes itu, satu operasi secara drastik diambil MPSP dengan menangkap anjing liar di kawasan terbabit dan pihaknya berjaya menangkap 10 anjing.
“Kita dapat juga kumpulkan satu pasukan untuk menangani kes ini.
“MPSP kesal dalam kejadian dua kanak-kanak yang cedera akibat dikejar anjing liar ini dan akan terus membuat rondaan untuk menangkap baki anjing yang berkeliaran,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan bagi menangkis dakwaan pihak yang mengatakan MPSP mengabaikan isu anjing liar itu, di sini, semalam.
Operasi penangkapan anjing liar itu diadakan di beberapa lokasi termasuk Taman Himilaya dan persekitaran Pasar Awam Sama Gagah, Permatang Pauh.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/29

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s