Sempat telefon sepupu ajak mandi – Metro


Sempat telefon sepupu ajak mandi

Oleh Hafizudin Mohd Safar

Padang Besar: Keseronokan sebuah keluarga mengunjungi kawasan rekreasi Sungai Bukit Jerneh, Chuping, di sini, berakhir dengan tragedi apabila seorang remaja perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki ditemui lemas ketika mandi-manda, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 4 petang, mangsa, Zalika Izati Johari, 15, ditemui di dasar sungai kira-kira tiga meter sebelum menemui mayat Muhammad Afiq Aiman Abdul Hamid, 7, di kawasan sama.
Difahamkan, Muhammad Afiq bersama kakaknya, Nur Ayuni Athirah, 12, dan Zalika, ke lokasi itu bersama ibu Zalika iaitu Zuraidah Osman, 40-an, dan seorang ibu saudara mereka dengan menunggang motosikal dari Kampung Guar Medang Gatal, Chuping, jam 2 petang.

 

Nur Ayuni dari Simpang Empat, Alor Setar, berkata, sebelum kejadian, Zalika sempat menelefon sepupunya, Norashikin Azizan, 14, untuk mengajaknya mandi bersama-sama di kawasan itu.
“Ika (Zalika) kemudian turun mandi di tepi sungai yang cetek, tetapi tidak puas dan ingin mencuba kawasan yang lebih dalam.
“Secara tidak sedar, Ika bergerak sedikit demi sedikit ke kawasan lebih dalam dan turut diekori adik saya tanpa disedari kerana saya masih berada di atas tebing sungai untuk mengambil barang di motosikal.

 

“Apabila menoleh ke arah sungai, saya ternampak tangan salah seorang daripada mereka dalam keadaan terkapai-kapai lalu terus berlari ke arah sungai dan mendapati mereka hilang daripada pandangan dipercayai tenggelam dalam sungai itu,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar, di sini, malam kelmarin.
Menurutnya, dia kemudian menjerit meminta pertolongan sebelum beberapa lelaki yang berada di kawasan itu datang membantu.

 

“Apabila kedua-duanya dibawa naik ke atas tebing oleh orang ramai, saya mendapati mereka sudah tidak lagi bernyawa,” katanya.
Menurutnya, dia kemudian diberitahu oleh Norashikin yang tiba di tempat kejadian bahawa arwah Zalika yang berasal dari Kampung Pida Tiga, Kodiang, Kedah sememangnya sudah lama teringin untuk mandi di kawasan itu sejak seminggu lalu.
Bapa kepada Muhammad Afiq, Abdul Hamid Yahaya, 34, berkata, sebelum ini dia pernah membawa arwah untuk mandi di kawasan itu, tetapi tidak dapat berbuat demikian pada hari kejadian kerana mempunyai urusan lain.
“Saya pernah membawanya (Muhammad Afiq) untuk mandi di Sungai Bukit Jerneh dan beberapa lagi tempat perkelahan, tetapi dia sebenarnya takut dengan air sungai walaupun kawasan yang cetek.
“Sehari sebelum kejadian iaitu sebelum bertolak balik ke Chuping, arwah kelihatan suram dan tidak mahu pulang bersama saya dengan memberi alasan mahu tinggal di Alor Setar dengan abangnya.
“Selepas dipujuk bahawa semua ahli keluarga akan pulang ke sini (Chuping), baru arwah bersetuju untuk ikut bersama tetapi tidak ceria,” katanya.
Menurutnya, dia bercakap dengan arwah buat kali terakhir pada pagi hari kejadian ketika ibu saudaranya bergurau dengan menghalangnya pergi mandi di Sungai Bukit Jerneh, tetapi dibantah olehnya yang beria-ia mahu pergi juga.
“Sepatutnya isteri saya, Normi Ramly, 33, menemani arwah untuk berkelah dan mandi di situ tetapi tidak dapat pergi disebabkan anak lelaki saya yang baru berusia tiga bulan asyik menangis sejak malam berkemungkinan tidak sihat.
“Saya hanya mengetahui kejadian selepas mendapat panggilan telefon daripada Nur Ayuni lalu terus meninggalkan urusan dan bergegas ke lokasi kejadian,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Besar Superintendan Che Man Md Dros ketika dihubungi semalam mengesahkan menerima laporan kejadian. dan berkata, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/30

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s