3 remaja pecah kedai diberkas – Sinar Harian


3 remaja pecah kedai diberkas
WARTAWAN SINAR HARIAN
31 Disember 2013
  • Ernest JohnErnest John
< 1 / 1 >

SUNGAI SIPUT – Tiga remaja diberkas sepasukan anggota polis tidak sampai 30 minit selepas memecah masuk sebuah restoran.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Deputi Superintendan Ernest John berkata, polis bertindak memburu suspek sebaik sahaja menerima laporan berhubung kes berkenaan.

Katanya, pemilik restoran  yang berusia 42 tahun menyedari kejadian itu setelah terdengar alat penggera keselamatan dipasang pada premisnya di Taman Jalong Baru,di sini, berbunyi.

Menurutnya, mangsa segera memeriksa premisnya sebelum mendapati pintu restoran itu diumpil dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi semalam.

“Mangsa yang melakukan pemeriksaan rapi pada premisnya kemudian mendapati berpuluh kotak rokok, wang tunai RM300 dan lebih 20 botol minuman keras  disimpan di dalam premis itu hilang.

“Mangsa segera membuat laporan polis sebelum sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput mengadakan operasi bagi menjejaki kumpulan penjenayah berkenaan,” ujarnya.

Tambah beliau, polis kemudian menemui tiga remaja tempatan dalam keadaan mencurigakan di sekitar kawasan Taman Jalong Baru sebelum menahan mereka dan dibawa ke IPD Sungai Siput untuk disoal siasat.

“Hasil soal siasat, ketiga-tiga remaja terbabit mengaku melakukan kes pecah kedai itu bersama seorang lagi rakan mereka bernama Vinod yang masih bebas.

“Suspek mendakwa mengumpil pintu restoran itu menggunakan kayu sebelum mengambil wang, minuman keras dan rokok di dalam premis itu. Bagaimanapun  polis hanya menemui semula 10 botol minuman keras, 29 kotak rokok dan wang syiling berjumlah RM12,” katanya.

Menurutnya Ernest, suspek dipercayai meminum minuman keras yang dicuri sejurus melakukan jenayah tersebut.

Ketiga-tiga remaja terbabit yang berusia 17 tahun kini ditahan reman dan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Leave a comment