Guru resah kontraktor belum serah kunci bilik guru – Sinar Harian


Guru resah kontraktor belum serah kunci bilik guru
NOOR’AINON MOHAMED YUSOF
31 Disember 2013
  • Sekolah Rendah Agama Rakyat Al-AuliaKeadaan SRAR Al-Aulia di Jalan Kuala Kangsar yang tidak mempunyai bilik guru sejak tahun 1990-an.
< 1 / 3 >

IPOH – Empat guru Sekolah Rendah Agama Rakyat Al-Aulia di Jalan Kuala Kangsar di sini, runsing persediaan mengajar menjelang sesi persekolahan bermula Khamis ini terjejas apabila bilik guru masih berkunci.

Bangunan menempatkan bilik guru dan sebuah stor berkenaan sudah siap dibina sejak Julai lalu tetapi masih belum dapat digunakan apabila mendakwa kontraktor terlibat pembinaan enggan menyerahkan kunci pintu bangunan itu.

Difahamkan, ia pertama kali sekolah terbabit mempunyai bilik guru selepas ditubuhkan sejak tahun 1990-an.

Pengerusi sekolah berkenaan, Hashim Sulaiman berkata, dia sendiri berasa pelik dengan sikap kontraktor yang sehingga kini belum menyerahkan kunci bilik guru itu walaupun projek pembinaan telah siap sepenuhnya Ogos lalu.

“Kontraktor terbabit ada menghubungi dan memberikan khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk memberikan kunci kepada saya namun, sehingga kini kami masih tidak menerima kunci tersebut.

“Kami tidak mengetahui alasan sebenarnya kenapa tidak diberikan kunci bilik itu sejak lima bulan lalu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Hashim berkata, guru-guru sebelum ini hanya menumpang di kelas-kelas kosong terutama selepas waktu pengajaran untuk mengadakan mesyuarat atau berbincang bersama guru besar.

Katanya, kesemua guru lega apabila pihak Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU) meluluskan peruntukan sejumlah RM50,000 untuk bina bangunan terbabit.

“Dengan adanya bilik guru, tenaga pengajar dapat buat persediaan sebelum memulakan sesi pengajaran,” katanya.

Ganti segera pagar sekolah

Pada masa yang sama, Hashim berkata, pihaknya bertegas mahukan pihak kontraktor terbabit segera menggantikan pagar baru yang dibinanya kepada pagar lama yang lebih kukuh.

“Ketika projek sedang berjalan, pihak kontraktor merobohkan pagar dawai besi untuk membolehkan kenderaan berat masuk untuk projek terbabit. Tetapi, bila sudah siap, mereka menggantikan dengan pagar dawai yang tidak berkualiti.

“Penggunaan pagar itu tidak selamat berikutan ia mudah dirosakkan  oleh murid berbanding pagar besi yang lebih kukuh sebelum ini. Lebih baik sekiranya pagar lama berkenaan  dipasang semula berikutan ia hasil wang sumbangan masjid dan orang ramai,” katanya.

Kata beliau, pihaknya akan berusaha memastikan guru terbabit dapat memasuki bilik berkenaan walaupun terpaksa mengeluarkan kos untuk menggantikan tombol pintu.

“Saya tidak akan menandatangani surat penyerahan jika pihak kontraktor tidak mahu memasang semula pagar lama dan saya berusaha untuk keselesaan guru-guru di situ,” katanya.

Sementara itu, seorang bapa murid sekolah berkenaan, Mohd Risham Mohd Ibrahim berharap  segala masalah yang berlaku antara  pihak kontraktor dan pihak sekolah dapat diselesaikan demi keselesaan guru-guru.

“Sebelum ini, saya nampak barangan milik guru banyak dilambakkan di setiap kelas disebabkan mereka tidak mempunyai bilik. Malah, dengan tambahan meja-meja baru, diharapkan bangunan tersebut dapat digunakan.

“Kita tidak mahu hanya kerana tidak mendapatkan kunci, pelajaran murid terjejas terutama dua anak saya berusia sembilan dan 11 tahun yang belajar di sekolah berkenaan,” katanya.

Kontraktor, sekolah perlu bincang

Sementara itu, Exco Kerajaan Negeri, Mohd Nizar Zakaria mahu kedua-dua pihak iaitu kontraktor dan lembaga pentadbiran sekolah dapat bersemuka bagi menyelesaikan segala masalah yang mungkin timbul.

Menurutnya, perbincangan tersebut perlu diadakan segera supaya tidak menjejaskan segala penyediaan sesi persekolahan baru yang akan bermula tidak lama lagi.

“Kedua-dua pihak perlu duduk berbincang  serterusnya  mengambil keputusan terbaik demi kebaikan bersama. Perkara itu (pagar) perlu diselesaikan demi kepentingan pelajaran anak-anak dan sekolah itu sendiri,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s