19 sekolah terbabit banjir di Terengganu mula sesi persekolahan hari ini – Berita Harian


19 sekolah terbabit banjir di Terengganu mula sesi persekolahan hari ini

2014/01/01 – 13:39:34 PMCetakEmel Kawan
KUALA TERENGGANU: Banjir di Terengganu awal bulan lalu tidak menjejaskan sesi persekolahan apabila semua 19 buah sekolah yang terbabit banjir memulakan sesi persekolahan seperti biasa hari ini.

Pengarah Pelajaran Terengganu, Zakaria Husin berkata sekolah yang terbabit dengan banjir dibersihkan, sebelum sesi persekolahan bermula.

“Kesemua sekolah itu sudah dibersihkan dan kesemua perabot di sekolah yang terjejas sudah diganti. Begitu juga dengan buku teks dan keperluan alat pembelajaran yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-Tugas Khas negeri Terengganu, Ghazali Taib melawat seorang murid istimewa di SK Kuala Telemong di sini hari ini.

Zakaria menambah, untuk tahun ini seramai 17,481 murid memasuki Tahun Satu di 350 buah sekolah rendah manakala seramai 21,923 pelajar Tingkatan Satu memulakan sesi persekolahan di 143 buah sekolah menengah.

Dari jumlah itu, seramai 426 pelajar adalah pemegang kad Orang Kelainan Upaya (OKU) yang cacat fizikal mengikuti persekolahan aliran kelas perdana pada tahun ini.

Murid pendidikan khas yang mengalami masalah penglihatan dan keperluan khas pula seramai 2,293 (sekolah rendah) dan 1,304 (sekolah menengah).
Zakaria juga memaklumkan bahawa terdapat sebuah sekolah baharu mula beroperasi pada tahun ini, iaitu Sekolah Kebangsaan Tengir dekat Manir di sini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan bahawa semua sesi persekolahan termasuk di negeri yang dilanda banjir bermula seperti dijadualkan, iaitu hari ini di Terengganu, Kelantan dan Kedah manakala esok untuk negeri-negeri lain.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan menambah sesi persekolahan di Sarawak yang bermula Khamis, boleh ditangguhkan sementara waktu jika keadaan banjir di negeri itu bertambah buruk.

Di ALOR SETAR, Pengarah Pelajaran Kedah, Mansor Lat memberitahu seramai 33,467 pelajar memasuki Tahun Satu di 543 sekolah rendah di negeri ini iaitu meningkat sebanyak 2,222 pelajar berbanding tahun lalu.

Mansor menambah seramai 27,969 pelajar mendaftar di Sekolah Kebangsaan (SK), 3,842 pelajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SKJC) dan 1,656 pelajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Beliau berkata, pelajar Tingkatan Satu pula seramai 36,328 pelajar mendaftar di 185 buah sekolah iaitu meningkat sebanyak 4,272 pelajar berbanding tahun lalu.

Mansor berkata, untuk tahun ini sebuah sekolah rendah dibuka iaitu Sekolah Kebangsaan Laguna, Merbok dalam daerah Kuala Muda, manakala dua sekolah menengah baharu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerlun dalam daerah Kubang Pasu dan SMK Taman Ria di daerah Kuala Muda.

“Tiga sekolah tersebut mula beroperasi hari ini,” katanya kepada pemberita ketika mengiringi Timbalan Menteri Pendidikan II, P Kamalanathan melawat SJKT Barathy di sini, hari ini.

Ibu bapa boleh dapat nasihat kemasukan anak ke tingkatan satu secara online – Bernama


Ibu bapa boleh dapat nasihat kemasukan anak ke tingkatan satu secara online

2014/01/01 – 13:51:55 PMCetakEmel Kawan
ALOR SETAR: Ibu bapa boleh mendapat maklumat serta mengetahui status kemasukan anak mereka ke tingkatan satu secara online, kata Timbalan Menteri Pendidikan II, P Kamalanathan.

Beliau berkata, sistem online itu diperkenalkan tahun lalu bagi kemasukan ke sekolah berasrama penuh dan sekolah kawalan iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan sekolah aliran agama.

“Kita menerima banyak rungutan daripada ibu bapa dan berharap mereka bersabar. Pada masa yang sama ibu bapa boleh dapatkan maklumat di Pejabat Pendidikan Daerah,” katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Barathy, di Jalan Stadium di sini, hari ini.

Menurut Kamalanathan, antara rasa tidak puas hati ibu bapa dengan sistem online itu ialah permohonan yang tidak sama sebagaimana surat tawaran untuk memasuki sekolah yang dipilih.

Beliau turut melawat Sekolah Kebangsaan Sultanah Asma di Jalan Langgar dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Pumpong bagi melihat sendiri keperluan sekolah itu.

Sesi persekolahan di Kedah bermula hari ini. – BERNAMA

Guru tadika KEMAS meninggal dunia ketika mengajar – Berita Harian


Guru tadika KEMAS meninggal dunia ketika mengajar

2014/01/01 – 12:50:34 PMCetakEmel Kawan
CHUKAI: Seorang guru tadika KEMAS Kampung Beris Meraga, Kijal, di sini, meninggal dunia ketika sedang mengajar di tadika itu pada hari pertama persekolahan yang bermula hari ini.

Noraima Sulong, 43, rebah ketika sedang mengajar sebelum meninggal dunia kira-kira jam 9 pagi.

Guru lain di tadika berkenaan kemudian mengejarkan mangsa ke Hospital Kemaman dan mangsa disahkan sudah meninggal dunia.

Suami mangsa, Kamarudin Salim, 41, bagaimanapun memaklumkan isterinya tidak menghidap sebarang penyakit dan kejadian menimpa isterinya sangat mengejutkan.

Noraima meninggalkan tiga anak berusia empat hingga 15 tahun.

Kerajaan ganti keperluan rosak – Sinar Harian


Kerajaan ganti keperluan rosak
ERMA YUSNIDA JUSOH
1 Januari 2014
  • Kerajaan ganti keperluan rosakMuhyiddin bersama Adnan bergambar dengan sebahagian murid yang menerima bantuan persekolahan pada majlis itu.
< 1 / 1 >

KUANTAN –  Kementerian Pendidikan sudah menggantikan keperluan persekolahan yang rosak supaya sesi persekolahan 2014 dapat bermula seperti yang dijadualkan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyuddin Yassin berkata, kesan banjir di Pahang menyebabkan  41 sekolah  terjejas dengan kos kerosakan mencecah RM7.3 juta.

Menurutnya, sebanyak 31,173 set buku teks  telah rosak melibatkan sekolah rendah dan menengah.

“Kita putuskan untuk ganti keperluan itu dan bekalannya sudah pun dihantar sebahagiannya tetapi sebelum sekolah bermula buku-buku teks ini sudah disediakan.

“Kita juga akan pastikan setiap murid yang memulakan persekolahan mendapat kelengkapan meja dan kerusi serta buku teks,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan oleh Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) di Sekolah Kebangsaan Permatang Badak, di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Dr. Khair  Mohamad Yusof dan Pengerusi YYS, Datuk Zuraidah Atan.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, kelengkapan ICT juga banyak yang rosak oleh itu, pihaknya menyarankan agak makmal komputer  beroperasi di tingkat atas untuk mengelak kerosakan berlaku pada musim banjir.

“Saya juga sudah keluarkan arahan pelajar yang tidak kurang mampu dan tidak mempunyai seragam sekolah supaya tetap hadir ke sekolah sebelum bantuan sewajarnya diperoleh.

“Setakat ini, semua sekolah di seluruh negara akan memulakan sesi persekolahan 2014 pada awal tahun ini dan sekiranya ada sekolah di landa banjir, kita sudah keluarkan arahan supaya tidak dibuka,” katanya.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut meninjau murid-murid tahun satu yang memulakan sesi orientasi di sekolah itu selain menyampaikan bantuan persekolahan.

SPAD Belum Luluskan Tambang & Surcaj Baharu Bas Sekolah – Bernama


SPAD Belum Luluskan Tambang & Surcaj Baharu Bas Sekolah

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) belum meluluskan sebarang surcaj dan tambang baharu bas sekolah seperti dilapor akhbar harian baru-baru ini.

Suruhanjaya itu, dalam kenyataannya pada Selasa, menjelaskan bahawa keputusan yang dicapai dengan wakil Persatuan-Persatuan bas Sekolah Malaysia (PPPBSM) dan Gabungan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia (GPBSM) ialah tiada surcaj atau kenaikan tambang bas sekolah sehingga SPAD mengumumkan skim baharu bas sekolah pada Mac 2014.

“Pada masa ini SPAD dalam peringkat akhir untuk memuktamadkan skim tambang baharu bas sekolah dengan mengambil kira tiga elemen penting.

“Oleh itu, semua pengusaha perlu mengekalkan struktur tambang semasa seperti yang diluluskan Lembaga Perlesenan Kenderaan Komersial pada Ogos 2009,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu berkata tiga elemen berkenaan termasuk mengadakan sesi pertemuan dengan persatuan ibu bapa dan guru serta melihat skim baharu itu untuk meningkatkan pendapatan pemandu bas sekolah.

SPAD juga melihat kemungkinan menggunakan kuasa pasaran untuk mentransformasi industri bas sekolah yang akan meningkatkan persaingan sihat di kalangan pengusaha dari segi harga tambang serta tahap perkhidmatan yang lebih baik.

“Adalah penting tiga elemen itu dikaji secara teliti supaya apa-apa keputusan kerajaan tidak akan membebankan ibu bapa dan pada masa sama memastikan industri bas sekolah berdaya maju dalam menyediakan perkhidmatan berkualiti,” demikian menurut kenyataan itu. – BERNAMA

6 penyamun kebas 30 komputer sekolah – Metro


6 penyamun kebas 30 komputer sekolah

Kuala Lumpur: Akibat tidak membenarkan pengawal keselamatan membuat rondaan di tingkat atas bangunan, sebuah sekolah di Setapak di sini, kerugian lebih RM10,000 apabila 30 komputer dilarikan sekumpulan enam perompak bertopeng, kelmarin.

Harian Metro difahamkan, dalam kejadian antara jam 1 hingga 3 pagi itu, terdapat dua pengawal keselamatan berusia 30-an sedang bertugas, namun tidak menyedari kehadiran kumpulan penjenayah terbabit.
Menurut sumber, pengawal keselamatan tidak dibenarkan pentadbiran sekolah untuk melakukan rondaan di tingkat atas bangunan, sebaliknya hanya diarah melakukan pemantauan di kawasan sekitar.

 

Katanya, kesempatan itu digunakan kumpulan penjenayah berkenaan untuk menceroboh dengan mengumpil gril dan memasuki makmal komputer untuk melarikan peralatan berkenaan.
“Kumpulan yang dipercayai bersenjata itu kemudian melarikan 30 komputer dianggarkan bernilai lebih RM10,000,” katanya.
Sumber itu berkata, kehilangan komputer berkenaan hanya disedari pihak sekolah jam 8 pagi semalam.

 

“Berikutan itu, satu laporan mengenai kehilangan itu dibuat di Balai Polis Setapak,” katanya.
Menurutnya, polis sudah merekodkan percakapan dua pengawal keselamatan sekolah berkenaan selain kakitangan pentadbiran sekolah.

 

Katanya, berdasarkan siasatan awal, polis percaya kumpulan penjenayah itu sudah melakukan pemantauan sejak beberapa bulan lalu.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan kumpulan penjenayah berkenaan giat dijalankan.
Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/01

Laman Kementerian Pendidikan Malaysia Menjadi Mangsa Godam


Laman Kementerian Pendidikan Malaysia Menjadi Mangsa Godam

Diterbitkan pada 4 jam lepas oleh 
9
Hari ini, tahun baru dilihat dimulakan dengan sebuah laman Malaysia, iaitu laman Kementerian Pendidikan Malaysia menjadi mangsa godam oleh sekumpulan pengodam daripada kumpulan yang mengelarkan diri mereka sebagai EvilSha0w Team.

Tiada sebarang mesej yang ditinggalkan pada laman berkenaan, selain daripada hanya memaparkan nama pengodam serta ucapan Selamat Hari Tahun Baru.

Seperti biasa, masalah sekuriti seperti CMS yang tidak dikemaskini, dan mungkin beberapa kerentanan lain menjadi penyebab utama untuk laman tersebut digodam pada ambang tahun baru 2014 ini.

Sumber : http://amanz.my/2014/01/laman-kementerian-pendidikan-malaysia-menjadi-mangsa-godam/

KPDNKK: Jangan naikkan harga barangan sekolah – Bernama


KPDNKK: Jangan naikkan harga barangan sekolah
31 Disember 2013

ALOR SETAR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) tidak akan bertolak ansur dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pembekal dan peniaga peralatan sekolah yang menaikkan harga barangan tersebut.

Timbalan Menterinya Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata para peniaga perlu ingat bahawa harga barangan tersebut dikawal oleh kementerian.

Beliau meningatkan peniaga agar tidak mengambil kesempatan tetapi mengambil kira bebanan ibu bapa yang perlu membuat pelbagai pembayaran pada setiap musim persekolahan bermula.

Ahmad Bashah bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada murid Pra Sekolah dan Tahun Satu Sekolah Kebangsaan Mergong di sini, hari ini. – Bernama