19 sekolah terbabit banjir di Terengganu mula sesi persekolahan hari ini – Berita Harian


19 sekolah terbabit banjir di Terengganu mula sesi persekolahan hari ini

2014/01/01 – 13:39:34 PMCetakEmel Kawan
KUALA TERENGGANU: Banjir di Terengganu awal bulan lalu tidak menjejaskan sesi persekolahan apabila semua 19 buah sekolah yang terbabit banjir memulakan sesi persekolahan seperti biasa hari ini.

Pengarah Pelajaran Terengganu, Zakaria Husin berkata sekolah yang terbabit dengan banjir dibersihkan, sebelum sesi persekolahan bermula.

“Kesemua sekolah itu sudah dibersihkan dan kesemua perabot di sekolah yang terjejas sudah diganti. Begitu juga dengan buku teks dan keperluan alat pembelajaran yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-Tugas Khas negeri Terengganu, Ghazali Taib melawat seorang murid istimewa di SK Kuala Telemong di sini hari ini.

Zakaria menambah, untuk tahun ini seramai 17,481 murid memasuki Tahun Satu di 350 buah sekolah rendah manakala seramai 21,923 pelajar Tingkatan Satu memulakan sesi persekolahan di 143 buah sekolah menengah.

Dari jumlah itu, seramai 426 pelajar adalah pemegang kad Orang Kelainan Upaya (OKU) yang cacat fizikal mengikuti persekolahan aliran kelas perdana pada tahun ini.

Murid pendidikan khas yang mengalami masalah penglihatan dan keperluan khas pula seramai 2,293 (sekolah rendah) dan 1,304 (sekolah menengah).
Zakaria juga memaklumkan bahawa terdapat sebuah sekolah baharu mula beroperasi pada tahun ini, iaitu Sekolah Kebangsaan Tengir dekat Manir di sini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan bahawa semua sesi persekolahan termasuk di negeri yang dilanda banjir bermula seperti dijadualkan, iaitu hari ini di Terengganu, Kelantan dan Kedah manakala esok untuk negeri-negeri lain.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan menambah sesi persekolahan di Sarawak yang bermula Khamis, boleh ditangguhkan sementara waktu jika keadaan banjir di negeri itu bertambah buruk.

Di ALOR SETAR, Pengarah Pelajaran Kedah, Mansor Lat memberitahu seramai 33,467 pelajar memasuki Tahun Satu di 543 sekolah rendah di negeri ini iaitu meningkat sebanyak 2,222 pelajar berbanding tahun lalu.

Mansor menambah seramai 27,969 pelajar mendaftar di Sekolah Kebangsaan (SK), 3,842 pelajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SKJC) dan 1,656 pelajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Beliau berkata, pelajar Tingkatan Satu pula seramai 36,328 pelajar mendaftar di 185 buah sekolah iaitu meningkat sebanyak 4,272 pelajar berbanding tahun lalu.

Mansor berkata, untuk tahun ini sebuah sekolah rendah dibuka iaitu Sekolah Kebangsaan Laguna, Merbok dalam daerah Kuala Muda, manakala dua sekolah menengah baharu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerlun dalam daerah Kubang Pasu dan SMK Taman Ria di daerah Kuala Muda.

“Tiga sekolah tersebut mula beroperasi hari ini,” katanya kepada pemberita ketika mengiringi Timbalan Menteri Pendidikan II, P Kamalanathan melawat SJKT Barathy di sini, hari ini.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s