Murid hidap masalah jantung dapat perhatian – Sinar Harian


Murid hidap masalah jantung dapat perhatian
2 Januari 2014

KUALA TERENGGANU – Kes Muhd Faiz Muntazil Muzir, 8, yang menghidap masalah kedudukan jantung tidak normal mendapat perhatian Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-tugas Khas Terengganu Ghazali Taib yang akan membawa kes itu kepada kerajaan negeri.

Ghazali berkata beliau akan berusaha memastikan murid tahun dua Sekolah Kebangsaan (SK) Wakaf Mempelam itu mendapat rawatan kesihatan yang sewajarnya.

“Saya akan merujuk perkara ini kepada Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Muhammad Pehimi Yusof untuk tindakan susulan,” katanya kepada pemberita ketika melawat sekolah itu hari ini.

Muhd Faiz Muntazil merupakan antara empat individu di negara ini yang dilahirkan dengan keadaan jantung terletak di luar “sarung” dan yang pertama di Terengganu.

Dari segi luaran tidak ada yang membezakan murid kelas pendidikan khas itu dengan kanak-kanak lain, kecuali keadaan jantungnya yang jelas terbonjol di dada.

Masalah itu juga memerlukannya berhati-hati dalam melakukan aktiviti fizikal bagi melindungi jantungnya.

Sementara itu bapanya Munzir Awang, 38, mengalu-alukan sebarang bentuk bantuan daripada kerajaan negeri bagi menyelamatkan nyawa anak sulungnya.

“Saya dah cuba merawat Muhd Faiz di merata tempat dan membuat rawatan secara berkala di Institut Jantung Negara tetapi doktor memaklumkan peluangnya hanya 50-50 untuk hidup normal jika menjalani pembedahan.

“Saya enggan mengambil risiko itu dan berharap akan ada teknologi perubatan yang lebih canggih di masa depan untuk merawat penyakit anak saya ini,” katanya.

Ketika memulakan persekolahannya awal tahun lalu, kerajaan Terengganu menyumbangkan sebuah kerusi roda bagi memudahkan pergerakan Muhd Faiz Muntazil selain membina sebuah tandas khas untuknya.

Guru Besar SK Wakaf Mempelam, Muda Awang berkata beliau akan terus memantau dan memastikan murid itu selesa sepanjang berada di sekolah.

“Muhd Faiz memerlukan penjagaan yang sangat rapi kerana keadaan fizikalnya boleh mendatangkan bahaya bila-bila masa dan kami sangat mengambil berat soal keselamatannya,” katanya. – Bernama

Lebih 400 pelajar terjejas di Sarawak – Sinar Harian


Lebih 400 pelajar terjejas di Sarawak
2 Januari 2014

KUCHING – Lebih 400 pelajar dari dua buah sekolah di Sarawak tidak dapat memulakan sesi persekolahan mereka hari ini selepas sekolah mereka dilanda banjir.

Pengarah Pelajaran Negeri, Datuk Abdillah Adam hari ini berkata pelajar-pelajar terlibat adalah dari Sekolah Kebangsaan (SK) Nyalau di bahagian Bintulu dan SK Deshon Sibu.

“Sekolah-sekolah ini ditangguhkan operasi buat sementara sehinggalah keadaan cuaca mengizinkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pelajar-pelajar terbabit merupakan antara 465,414 orang yang dijangka memulakan sesi persekolahan di negeri ini. – Bernama

Trending FB: Ramai murid tersepit di kerusi? – Sinar Harian


Trending FB: Ramai murid tersepit di kerusi?
MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI
2 Januari 2014
  • Trending FB: Ramai murid tersepit di kerusi?Wajah murid-murid yang dirakam tersepit pada kerusi di hari pertama persekolahan yang tersebar di laman sosial Facebook. Foto Ihsan Facebook
< 1 / 1 >
SHAH ALAM – Hari ini merupakan hari pertama untuk sesi persekolahan bagi tahun 2014 bagi sesetengah negeri, pelbagai ragam dan keletah murid-murid yang menarik perhatian lensa kamera.
Carian Sinar Harian Online di laman sosial Facebook mendapati ‘keterujaan serta kegembiraan’ murid yang baru memasuki alam persekolahan terselit dengan adegan ‘mencuit hati’ tak kurang juga yang mencemaskann.
Mana tidaknya tindakan segelintir murid yang dirakam lensa kamera dari seluruh pelusuk negara melihatkan pelbagai ragam. Ada yang menangis, tertidur, gembira malah ada yang tersepit di kerusi.
Benarkah gambar-gambar yang dikongsikan ini adalah senario sebenar, mungkin pembaca di luar sana ada jawapannya.
Kepada pembaca, sekiranya anda maklumat sahih mengenai ‘kejadian’ ini bolehlah berkongsi bersama kami.

Langgar polis: 3 lelaki, remaja bawah umur ditahan – Sinar Harian


Langgar polis: 3 lelaki, remaja bawah umur ditahan
2 Januari 2014

SANDAKAN – Polis menahan tiga lelaki dan seorang remaja perempuan bawah umur yang disyaki terlibat dalam kejadian melanggar seorang pegawai polis dalam satu pemeriksaan di Kampung Air Kota Kinabalu pada 20 Disember tahun lepas.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asiten Komisioner Rowell Marong berkata, tiga lelaki berusia lingkungan 20 hingga 27 tahun dan remaja perempuan berusia 15 tahun itu ditahan semalam selepas polis menjumpai kenderaan pacuan empat roda yang disyaki terlibat dalam kejadian itu kira-kira jam 5.30 petang.

Katanya ekoran penemuan kenderaan itu di kawasan letak kereta depan sebuah bangunan kedai di Kim Fung dekat sini, polis menyerbu rumah yang mereka diami di kawasan tersebut.

“Mereka dipercayai melarikan diri dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda itu ke daerah ini selepas terlibat dalam kejadian langgar itu yang mengakibatkan pegawai polis tersebut cedera di rusuknya,” katanya.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kenderaan itu menggunakan nombor pendaftaran SAB6866C berbeza dengan nombor pendaftaran SA767L yang terdapat pada cukai jalan yang digunakan.

Katanya beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk pecah rumah ditemui di dalam kenderaan itu manakala di dalam rumah pula polis menemui pistol mainan, pisau, komputer riba, lima telefon bimbit dan kunci.

Beliau berkata kesemua mereka kini ditahan reman untuk siasatan lanjut. – Bernama

Kantin sekolah naikkan harga – Kosmo


Kantin sekolah naikkan harga

 

 

Oleh IKHWAN HAZWAN HAMIDUN
ikhwan.hamidun@kosmo.com.my

 

BEBERAPA buah kantin sekolah mula menaikkan harga jualan mereka pada 2014. – Gambar hiasan

 

KUALA LUMPUR – Hari pertama persekolahan di seluruh negara semalam memberi kejutan kepada ramai ibu bapa dan pelajar yang mendapati harga makanan di beberapa buah kantin sekolah semkain mahal berbanding tahun lalu.

Kosmo! menerima aduan daripada ibu bapa yang menyatakan terdapat pengusaha kantin menaikkan harga makanan antara 50 sen hingga RM1 satu hidangan untuk pelbagai jenis makanan yang dijual.

Seorang pengadu yang hanya mahu dikenali dengan nama Nora berkata, dia terkejut apabila anaknya yang bersekolah menengah di Cheras di sini mengadu terpaksa membayar harga lebih mahal untuk sepinggan nasi ayam pada waktu rehat sekolah pagi semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

10 ‘anak manja’ ditahan – Metro


10 ‘anak manja’ ditahan

Oleh Raja Puteri Nabiha Raja Ayub

Shah Alam: Sikap tidak ambil peduli segelintir ibu bapa yang membenarkan anak remaja mereka berusia 17 tahun menunggang motosikal tanpa memiliki lesen memandu sah boleh diibaratkan seperti sengaja membiarkan mereka ‘mati katak’.

Tindakan itu dikesan dalam Ops Samseng Jalanan sempena Ambang Tahun Baru 2014 yang dijalankan di Dataran Shah Alam, di sini, kelmarin apabila lebih 10 remaja berusia 17 tahun ditahan kerana menunggang motosikal tanpa memiliki lesen memandu. Operasi dijalankan sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dibantu Unit Penguatkuasaan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang ditahan dalam operasi itu mendakwa, dia diberi kebenaran oleh ibu bapanya untuk menunggang motosikal ke Kompleks PKNS untuk mengambil ‘hadiah’ bapanya. Menurut remaja yang baru selesai menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu, ibu bapanya membiarkan dia menunggang motosikal tanpa lesen kerana lokasi dituju terletak berhampiran rumahnya. “Saya mahu ambil lesen, tetapi buat masa ini tidak berkesempatan mendaftarkan diri di sekolah memandu. “Lazimnya saya menunggang motosikal di sekitar Shah Alam kerana menetap di kawasan ini, tetapi jika perlu ke tempat jauh, ibu dan ayah tidak benarkan saya menunggang seorang diri,” katanya, kelmarin. Pemerhatian Harian Metro ketika operasi berkenaan juga mendapati ada remaja perempuan berusia 16 tahun dibenarkan ibu bapa mereka melepak bersama teman lelaki hingga awal pagi.

 

Remaja perempuan yang menetap di Klang itu mendakwa datang ke Shah Alam bersama teman lelakinya untuk menyambut ambang tahun baru bersama. “Ibu dan ayah tahu saya berada di luar bersama kawan dan membenarkan saya melepak bersama mereka hingga awal pagi asalkan saya pulang ke rumah,” katanya. Sementara itu, Ketua Bahagian Trafik dan Ketenteraman Awam IPD Shah Alam Deputi Superintendan Goh Lee Shen berkata, dalam operasi bermula jam 2 hingga 6 pagi itu, 200 saman dikeluarkan dan 58 motosikal disita. “Kira-kira 300 motosikal diperiksa kerana pelbagai kesalahan seperti mengubah suai ekzos dan tiada cermin sisi direkodkan. “Selain itu, kami juga mendapati ramai penunggang motosikal terutama remaja menunggang tanpa memiliki lesen memandu sah,” katanya. Menurutnya, tindakan menyita motosikal dilakukan terhadap penunggang motosikal yang tidak mempunyai lesen sah.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/02

6 web digodam – Metro


6 web digodam

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Kuala Lumpur: Belum tamat isu perhimpunan haram, tirai 2014 dipalit pula dengan gangguan jenayah siber yang melumpuhkan akses ke laman web rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Laman rasmi pendidikan itu dikesan mengalami gangguan sejak sambutan ambang Tahun Baru 2014 berikutan serangan kumpulan penggodam menamakan diri mereka ‘EvilShadow Team’.
Kumpulan terbabit meninggalkan mesej Selamat Tahun Baru di muka depan laman web di samping identiti kumpulan. Akibat serangan, laman berkenaan diletakkan di bawah proses penyelenggaraan.

 

Selain KPM, sekurang-kurangnya lima laman web rasmi pusat pendidikan Islam dengan domain edu.my turut mengalami gangguan selepas digodam kumpulan berasingan.
Dalam serangan kumpulan penggodam yang menggelarkan diri mereka ‘Code Newbie Crew’ itu, lapan laman web Malaysia menjadi sasaran sebelum disenaraikan di laman Facebook mereka.
Berdasarkan tinjauan, kumpulan terbabit dipercayai bergerak bebas sebagai gabungan penggodam ‘topi hitam’ tempatan dan Indonesia. Mereka bergabung membawa mesej kononnya prihatin terhadap keselamatan laman web digodam, namun jelas berniat sebaliknya kerana meninggalkan jenayah vandalisme di laman terbabit.

 

Turut diselitkan sebagai mesej adalah kritikan terhadap senario politik negara yang didakwa huru-hara serta dibelenggu pelbagai masalah.
Semua mesej dan amaran itu bagaimanapun bercampur aduk dengan pelbagai komen lain menggunakan bahasa Melayu serta Indonesia.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/02

Tangguh dulu kenaikan – Metro


Tangguh dulu kenaikan

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Semua 15,000 ahli Gabungan Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia (GPBSM) di seluruh negara akur arahan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) supaya tidak menaikkan kadar tambang bas sekolah bagi sesi persekolahan 2014 bermula semalam.

Presiden GPBSM Mohd Rofik Mohd Yusof berkata, pihaknya tidak menerima laporan ada pengusaha menaikkan kadar tambang bas sekolah biarpun sebelum ini gabungan itu bercadang menaikkan sehingga 30 peratus.
Katanya, pihaknya sudah memaklumkan kepada semua ahli GPBSM di seluruh negara supaya menangguhkan dulu cadangan menaikkan tambang bas sekolah sehingga mendapat kelulusan dan diputuskan SPAD.

 

“Pada hari pertama sesi persekolahan hari ini (semalam), tiada kenaikan tambang bas sekolah dan semua pengusaha dalam kalangan ahli GPBSM diminta mengekalkan harga asal tambang itu sehingga keputusan muktamad diputuskan SPAD.
“Setakat ini, GPBSM tidak menerima sebarang laporan daripada mana-mana pihak terutama ibu bapa mengenai kenaikan kadar tambang bas sekolah, bagaimanapun kami tidak bertanggungjawab jika ada kalangan pengusaha menaikkan kadar tambang sesuka hati kerana mereka bukan ahli GPBSM.
“Ahli gabungan ini kekal dengan komitmen mereka untuk menunggu sehingga kadar baru itu diputuskan SPAD seperti dibincang dan dipersetujui dalam perbincangan antara gabungan ini dengan agensi berkenaan pada 24 Disember lalu,” katanya.

 

Menurut Mohd Rofik, GPBSM sedia bertolak ansur dengan SPAD bagi menangguhkan sementara rancangan menaikkan kadar tambang bas sekolah kerana tidak mahu menambah beban masyarakat yang membuat persiapan persekolahan anak masing-masing bagi sesi 2014.
Beliau berkata, bagaimanapun kenaikan kadar baru itu tetap akan dilaksanakan selepas Tahun Baru Cina seperti diputuskan dalam mesyuarat bersama SPAD baru-baru ini., biarpun agensi itu tidak membuat keputusan dalam tempoh terdekat ini.

 

Katanya, ini kerana pengusaha tidak lagi mampu menanggung kenaikan kos bahan api dan alat ganti kenderaan yang naik mendadak.
“Kos operasi bulanan pengusaha bas sekolah di seluruh negara kini meningkat mendadak antara RM600 hingga RM800 kesan kenaikan harga diesel.
“Selama ini, pengusaha menyerap kenaikan itu sementara menunggu keputusan permohonan kepada SPAD, namun jika tiada sebarang keputusan, kami tidak dapat mengawal lebih 15,000 ahli di seluruh negara untuk menaikkan sendiri kadar tambang.
“Justeru, kami berharap SPAD tidak menangguh terlalu lama cadangan menaikkan kadar tambang itu sebaliknya membuat keputusan secepat mungkin seperti dipersetujui dalam mesyuarat 24 Disember lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/03

Bapa tak sedar anak dalam kereta – Metro


Bapa tak sedar anak dalam kereta

Oleh Mohd Fauzi Abdullah

Kuantan: “Kami terlupa, minta maaf.” Demikian kata seorang wanita berusia 39 tahun selepas anaknya yang berusia tiga tahun, Muhammad Arif Mohd Yusof ditemui tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira jam 6.30 petang, semalam, selepas ditinggalkan dalam kenderaan selama kira-kira sembilan jam.

Bagaimanapun, keluarga mangsa yang ditemui di wad kecemasan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, petang semalam, enggan mengulas lanjut mengenai kejadian itu dan menyerahkannya untuk siasatan polis.

Harian Metro difahamkan, kejadian berlaku apabila bapa mangsa yang berusia 41 tahun terlupa untuk menghantar anak bongsunya itu ke sebuah taska di Indera Mahkota, di sini, sebelum menyedari mangsa berada di bahagian tempat duduk belakang kenderaannya kira-kira jam 5.30 petang, semalam.

Sumber berkata, pasangan suami isteri terbabit keluar dari rumah mereka di Kampung Pandan 2, di sini, kira-kira jam 7.30 pagi, semalam, bersama lima anak mereka untuk dihantar ke sekolah.

FotoKAKITANGAN hospital membawa keluar mayat seorang kanak-kanak yang ditemui tidak sedarkan diri dalam kenderaan bapa, semalam.

Katanya, bapa mangsa kemudian menghantar dua anak bersama isterinya yang bekerja sebagai pembantu tadbir ke sebuah sekolah menengah di Pandan, di sini.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/03