Murid hidap masalah jantung dapat perhatian – Sinar Harian


Murid hidap masalah jantung dapat perhatian
2 Januari 2014

KUALA TERENGGANU – Kes Muhd Faiz Muntazil Muzir, 8, yang menghidap masalah kedudukan jantung tidak normal mendapat perhatian Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-tugas Khas Terengganu Ghazali Taib yang akan membawa kes itu kepada kerajaan negeri.

Ghazali berkata beliau akan berusaha memastikan murid tahun dua Sekolah Kebangsaan (SK) Wakaf Mempelam itu mendapat rawatan kesihatan yang sewajarnya.

“Saya akan merujuk perkara ini kepada Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Muhammad Pehimi Yusof untuk tindakan susulan,” katanya kepada pemberita ketika melawat sekolah itu hari ini.

Muhd Faiz Muntazil merupakan antara empat individu di negara ini yang dilahirkan dengan keadaan jantung terletak di luar “sarung” dan yang pertama di Terengganu.

Dari segi luaran tidak ada yang membezakan murid kelas pendidikan khas itu dengan kanak-kanak lain, kecuali keadaan jantungnya yang jelas terbonjol di dada.

Masalah itu juga memerlukannya berhati-hati dalam melakukan aktiviti fizikal bagi melindungi jantungnya.

Sementara itu bapanya Munzir Awang, 38, mengalu-alukan sebarang bentuk bantuan daripada kerajaan negeri bagi menyelamatkan nyawa anak sulungnya.

“Saya dah cuba merawat Muhd Faiz di merata tempat dan membuat rawatan secara berkala di Institut Jantung Negara tetapi doktor memaklumkan peluangnya hanya 50-50 untuk hidup normal jika menjalani pembedahan.

“Saya enggan mengambil risiko itu dan berharap akan ada teknologi perubatan yang lebih canggih di masa depan untuk merawat penyakit anak saya ini,” katanya.

Ketika memulakan persekolahannya awal tahun lalu, kerajaan Terengganu menyumbangkan sebuah kerusi roda bagi memudahkan pergerakan Muhd Faiz Muntazil selain membina sebuah tandas khas untuknya.

Guru Besar SK Wakaf Mempelam, Muda Awang berkata beliau akan terus memantau dan memastikan murid itu selesa sepanjang berada di sekolah.

“Muhd Faiz memerlukan penjagaan yang sangat rapi kerana keadaan fizikalnya boleh mendatangkan bahaya bila-bila masa dan kami sangat mengambil berat soal keselamatannya,” katanya. – Bernama

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s