Tangguh dulu kenaikan – Metro


Tangguh dulu kenaikan

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Semua 15,000 ahli Gabungan Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia (GPBSM) di seluruh negara akur arahan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) supaya tidak menaikkan kadar tambang bas sekolah bagi sesi persekolahan 2014 bermula semalam.

Presiden GPBSM Mohd Rofik Mohd Yusof berkata, pihaknya tidak menerima laporan ada pengusaha menaikkan kadar tambang bas sekolah biarpun sebelum ini gabungan itu bercadang menaikkan sehingga 30 peratus.
Katanya, pihaknya sudah memaklumkan kepada semua ahli GPBSM di seluruh negara supaya menangguhkan dulu cadangan menaikkan tambang bas sekolah sehingga mendapat kelulusan dan diputuskan SPAD.

 

“Pada hari pertama sesi persekolahan hari ini (semalam), tiada kenaikan tambang bas sekolah dan semua pengusaha dalam kalangan ahli GPBSM diminta mengekalkan harga asal tambang itu sehingga keputusan muktamad diputuskan SPAD.
“Setakat ini, GPBSM tidak menerima sebarang laporan daripada mana-mana pihak terutama ibu bapa mengenai kenaikan kadar tambang bas sekolah, bagaimanapun kami tidak bertanggungjawab jika ada kalangan pengusaha menaikkan kadar tambang sesuka hati kerana mereka bukan ahli GPBSM.
“Ahli gabungan ini kekal dengan komitmen mereka untuk menunggu sehingga kadar baru itu diputuskan SPAD seperti dibincang dan dipersetujui dalam perbincangan antara gabungan ini dengan agensi berkenaan pada 24 Disember lalu,” katanya.

 

Menurut Mohd Rofik, GPBSM sedia bertolak ansur dengan SPAD bagi menangguhkan sementara rancangan menaikkan kadar tambang bas sekolah kerana tidak mahu menambah beban masyarakat yang membuat persiapan persekolahan anak masing-masing bagi sesi 2014.
Beliau berkata, bagaimanapun kenaikan kadar baru itu tetap akan dilaksanakan selepas Tahun Baru Cina seperti diputuskan dalam mesyuarat bersama SPAD baru-baru ini., biarpun agensi itu tidak membuat keputusan dalam tempoh terdekat ini.

 

Katanya, ini kerana pengusaha tidak lagi mampu menanggung kenaikan kos bahan api dan alat ganti kenderaan yang naik mendadak.
“Kos operasi bulanan pengusaha bas sekolah di seluruh negara kini meningkat mendadak antara RM600 hingga RM800 kesan kenaikan harga diesel.
“Selama ini, pengusaha menyerap kenaikan itu sementara menunggu keputusan permohonan kepada SPAD, namun jika tiada sebarang keputusan, kami tidak dapat mengawal lebih 15,000 ahli di seluruh negara untuk menaikkan sendiri kadar tambang.
“Justeru, kami berharap SPAD tidak menangguh terlalu lama cadangan menaikkan kadar tambang itu sebaliknya membuat keputusan secepat mungkin seperti dipersetujui dalam mesyuarat 24 Disember lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/03

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s