Pelajar maut nahas ketika melintas ke sekolah – Bernama


Pelajar maut nahas ketika melintas ke sekolah
9 Januari 2014

ALOR SETAR – Seorang pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Gunong, Gunung Keriang di sini maut selepas dirempuh sebuah kereta pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira 7 pagi itu, Nur Afiza Baquri, 15, yang sedang melintas jalan untuk ke sekolah di seberang jalan rumahnya telah dilanggar sebuah motosikal yang menyebabkannya terpelanting ke arah bertentangan dan dirempuh sebuah kereta.

Ibu pelajar itu, Zaiton Ahmad, 40, berkata pagi tadi Nur Afiza bersama-sama kembarnya Nur Afifi keluar awal untuk ke sekolah yang terletak 100 meter dari rumahnya.

“Lepas mereka keluar, akak dengar bunyi dentuman dan bagitau suami, Baquri Baharom, 38, ada kemalangan berlaku tapi masa tu tak tahu lagi anak yang dilanggar sebelum kakak (Nur Afifi) menjerit beritahu adik (Afiza) dilanggar,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.

Katanya dia dan suami terus bergegas pergi melihat keadaan anaknya tetapi semasa mereka memanggil nama anaknya itu, mangsa tidak memberi sebarang reaksi.

“Pemandu kereta yang melanggar dia yang juga jururawat di Hospital Jitra cuba periksa nadi adik tapi sudah tidak berdenyut sebelum bawa ke HSB. Adik (disahkan) meninggal di hospital kerana cedera parah di bahagian kepala,” katanya.

Katanya jenazah anaknya itu akan dikebumikan di tanah perkuburan Gunung Keriang selepas selesai proses bedah siasat.

Nur Afifi berkata dalam kemalangan itu, motosikal itu terbalik manakala kembarnya terpelanting ke laluan bertentangan sebelum dilanggar sebuah kereta.

Ibu saudara kembar itu, Rosniza Mohd Zohir, 33, berkata kemalangan kerap berlaku  di kawasan itu kerana pada waktu pagi kenderaan banyak lalu lalang dan laju ditambah pula keadaan yang gelap kerana tiada lampu jalan.

“Sebelum ini, ramai dah minta pihak yang bertanggungjawab memasang lampu isyarat dan kon tapi sampai sekarang tiada tindakan yang diambil dan sudah banyak kemalangan kat sini,” katanya. – Bernama

Bapa angkat ke tali gantung – Metro


Bapa angkat ke tali gantung

Johor Bahru: “Kehidupan adik-beradik arwah (mangsa) sangat perit dan terseksa dan tindakan kamu (tertuduh) terhadap arwah adalah sangat kejam.

“Berikutan itu, mahkamah mendapati kamu bersalah dan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap kamu,” kata Hakim Mahkamah Tinggi Johor Bahru Hakim Datuk Abdul Halim Aman, di sini, semalam.
Abdul Halim berkata demikian ketika menjatuhi hukuman gantung sampai mati terhadap seorang pemungut barangan lusuh selepas mendapati tertuduh bersalah mendera dan menyebabkan kematian anak angkatnya yang juga orang kelainan upaya (OKU) dalam kejadian dua tahun lalu.

 

Tertuduh, Abdul Aziz Abdullah (gambar), 44, didakwa menyebabkan kematian anak angkatnya Nur Jalilah Abdullah, 12, di Blok 12, Jalan Desa Mutiara 7, Taman Desa Mutiara, di sini, kira-kira pada jam 1 tengah hari 25 April 2012. Abdul Halim menjatuhi keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.
Dalam penghakimannya, Abdul Halim berkata, pada 29 Oktober 2013, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/08

Adik ‘syiling’ kasihani nenek – Metro


Adik ‘syiling’ kasihani nenek

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

Kuala Lumpur: “Adik kumpul duit syiling sejak tadika sebab nak bayar yuran sekolah. Duit tak laku, yang satu sen pun adik pungut masuk tabung sebab adik nak kaya, boleh belajar kat Mesir jadi doktor,” kata Nur Khatijah Abdullah.

Dia yang lebih mesra disapa Tijah, 7, berkata, tiada siapa mendidiknya mengenai amalan menabung sebaliknya kesedaran itu timbul selepas melihat kepayahan hidup nenek dan datuknya membesarkannya sejak kematian ibu akibat penyakit tibi.
“Mak meninggal dunia ketika Tijah umur dua tahun, ayah pula tak ada. Nenek kerja tukang cuci, tok wan (datuk) tak kerja sebab sakit jadi Tijah kesian, masa tadika Tijah kumpulah duit sendiri untuk masuk tahun satu.

 

“Tijah cakap kat nenek Tijah nak belajar sampai Mesir nanti boleh jadi doktor, boleh ubatkan sakit tok wan,” katanya ketika ditemui di rumah neneknya di Taman Dagang di sini semalam.
Kisah murid Sekolah al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Integrasi Ar Rahmaniah, Taman Dagang, Ampang itu mula mendapat perhatian media apabila gambarnya membawa duit syiling berjumlah RM64 untuk membayar yuran sekolah berjumlah RM130 tersebar di Internet.
Prihatin dengan nasib dialami, guru sekolah berkenaan kemudian mengutip wang sumbangan peribadi sesama mereka bagi menampung baki jumlah yuran terbabit.

 

Menceritakan semula peristiwa berkenaan, nenek kanak-kanak itu, Shamsiah Yusof, 55, berkata Tijah pergi ke sekolah berkenaan membawa bersama duit syilingnya itu untuk membayar yuran sambil ditemani suaminya, Mohd Rodzi Ariffin, 61.
“Setibanya di sekolah, suami mengeluarkan syiling itu dari uncang kain yang dibawa sebelum beberapa guru membantu menyusunnya di atas meja untuk mengira jumlahnya bagi membayar yuran paling rendah berjumlah RM130.

 

“Suami pula tidak sangka pada masa sama seorang guru mengambil gambar tersebut dan berkongsi kisah itu melalui Whatsapp dengan rakan-rakannya yang lain sehinggalah semalam (kelmarin) baru saya diberitahu kisah Tijah sudah tersebar luas di Internet,” katanya.
Shamsiah yang bekerja sebagai tukang cuci di sebuah kilang berhampiran dengan pendapatan bulanan RM900 berkata dia memang tiada niat meraih simpati.
“Selagi mampu bekerja saya akan kerja untuk menampung kehidupan kami tiga beranak dan sejak kisah Tijah tersiar, banyak sumbangan diterima daripada orang ramai dan saya berjanji akan memegang amanah itu untuk kos pendidikan Tijah sehingga dia berjaya,” katanya menahan sebak.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/08

Papa jahat disebat 12 kali – Metro


Papa jahat disebat 12 kali

Oleh Siti Fatimah Hassan

Kota Bharu: Seorang penoreh getah dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan merogol anak tirinya berusia 13 tahun pada November tahun lalu.

Hakim Mohd Yusoff Yunos menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh yang berusia 38 tahun selepas dia membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa merogol mangsa berusia 13 tahun dan perhubungan dengannya tidak dibenarkan di bawah undang-undang, hukum agama, adat atau kebiasaan, untuk berkahwin dengannya.

 

Kesalahan dilakukan di sebuah rumah tanpa nombor di Kuala Krai, pada jam 2.30 pagi November 2013.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 376(3), Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun dan boleh disebat tidak kurang 10 sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya Asmah Azhari mengendalikan pendakwaan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

 

Mengikut fakta kes, tertuduh membahasakan dirinya sebagai ‘papa’ kepada anak tirinya iaitu mangsa dalam kejadian itu selepas berkahwin dengan ibunya pada Ogos 2008.
Pada waktu berkenaan, mangsa sedang tidur di rumahnya dan tersedar selepas mendapati tertuduh berada di dalam bilik sebelum dirogol.

 

Tertuduh merogol mangsa sejak mangsa berusia 10 tahun dan turut meminta mangsa tidak memberitahu sesiapa.
Mangsa tidak memberitahu sesiapa dia dirogol kerana takut dicederakan dan bimbang ibunya dan tertuduh bergaduh.
Mangsa yang tidak tahan dengan perbuatan tertuduh kemudian memaklumkan ibunya melalui surat dan neneknya sebelum laporan polis dibuat dan mangsa dihantar untuk pemeriksaan di hospital.
Terdahulu, Asmah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap tertuduh kerana dia sepatutnya melindungi mangsa sebagai bapa tiri.
“Tertuduh ialah bapa tiri yang sepatutnya menjaga keselamatan mangsa. Kejadian berlaku ketika mangsa sedang tidur dan jenayah seperti ini berleluasa, justeru, saya pohon hukuman berat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/09

Dah tertera 11 tahun – Metro


Dah tertera 11 tahun

Oleh Nur Izzati Mohamad

Bukit Mertajam: “Mengapa pihak sekolah perlu ikut arahan orang luar sedangkan ia sudah tersergam sejak lebih 11 tahun lalu,” kata Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Bukit Mertajam Che Azizah Ismail berhubung tindakan pihak tertentu yang meminta sekolah berkenaan menurunkan papan tanda sekolah itu yang bertulisan jawi.

Che Azizah berkata, tindakan pihak terbabit tidak wajar, malah pihaknya bertegas untuk mempertahankan papan tanda sekolah itu dengan tidak mengikut arahan diberikan pihak luar.
“Ia hanya papan tanda nama sekolah dan di atas saja bertulisan jawi sementara di bawah ditulis dalam Bahasa Melayu yang sudah ada lebih 11 tahun lalu.

 

“Jadi, dalam hal ini desakan seorang Sister yang meminta pihak sekolah menurunkan papan tanda ini kerana disifatkan tidak praktikal untuk sekolah mubaligh sama sekali tidak wajar dan ia dilihat cuba bermain dengan isu perkauman dan agama,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.
Che Azizah mengulas mengenai tindakan seorang Sister yang menghubungi sekolah itu beberapa hari lalu meminta papan tanda bertulisan jawi berkenaan diturunkan kerana tidak praktikal. Menurutnya, pihaknya juga kesal apabila isu sedemikian ditimbulkan pihak tertentu yang dilihat cuba memperkotak-katikkan kesucian agama Islam.
“Walaupun latar belakang sekolah ini adalah mubaligh, tetapi kebanyakan pelajar dan kakitangan adalah Melayu dan beragama Islam.

 

“Bahkan sekolah ini juga tidak menyekat mana-mana agama mengamalkan budaya masing-masing selari dengan falsafah pendidikan negara, namun kesal dengan pihak yang sengaja ingin mencemarkan kesucian agama Islam hanya kerana tulisan nama sekolah ditulis dalam jawi,” katanya.
Menurutnya, sekolah yang mempunyai 926 pelajar itu adalah sekolah berbilang bangsa, kaum dan agama serta tidak mempunyai agenda daripada segi agama, sebaliknya fokus dalam memberi khidmat terbaik kepada pelajar serta membantu menaikkan nama baik sekolah. Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) Datuk Ahmad Tarmizi Kamarudin berkata, pengetua SMK Convent Bukit Mertajam itu berhak untuk tidak mengikut arahan berkenaan kerana sekolah terbabit di bawah pentadbiran JPNPP dan bukan Sister terbabit.

 

“Jika Sister berkenaan tidak berpuas hati dengan papan tanda nama sekolah yang ditulis dengan tulisan jawi itu, dia boleh adukan kepada pihak kementerian atau jabatan pelajaran menerusi persatuan mubaligh mereka.
“Lagipun, tulisan jawi itu sudah lama dan mengapa baru sekarang dia mahu mempertikaikannya, bahkan Sister itu tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan pengetua berkenaan membuang tulisan berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/09

Mayat ditemui – Sinar Harian


Mayat ditemui

Sepang: Mayat seorang kanak-kanak lelaki, Salman Mokhtar, 11, yang hanyut dalam longkang besar selepas tergelincir di Jalan Suasana 2/7, Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, Jumaat lalu ditemui di perangkap sampah sungai Bukit Changgang, Dengkil, kira-kira 50 kilometer dari tempat mangsa terjatuh, petang semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sepang Deputi Superintendan Zaldino Zaludin ketika dihubungi mengesahkan penemuan itu dan mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Serdang bagi tujuan pengecaman mayat oleh keluarganya.
“Mayat mangsa ditemui tersangkut di perangkap sampah Sungai Changgang ketika seorang pekerja sedang membersihkan kawasan berkenaan. “Ibu mangsa mengesahkan mayat yang ditemui itu adalah anaknya,” katanya.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/08

Subahat perkosa isteri – Metro


Subahat perkosa isteri

Oleh Shamsul Munir Safini

Kangar: Suami kepada seorang wanita mengaku tidak bersalah apabila dihadapkan di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, atas pertuduhan bersubahat dengan remaja lelaki untuk merogol isterinya dan menakutkan mangsa ketika melakukan hubungan kelamin pada awal tahun ini.

Pada masa sama, remaja lelaki berusia 15 tahun itu juga meminta dibicarakan apabila didakwa merogol wanita terbabit di mahkamah sama.
Pengakuan berkenaan dibuat tertuduh Mahathir Abu Bakar, 22, yang juga peniaga sate dan remaja lelaki terbabit apabila pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Abdul Rashid Daud.

 

Mahathir didakwa bersubahat dengan remaja lelaki terbabit merogol isterinya yang berusia 19 tahun di dalam sebuah rumah di Kampung Belat Raja, Jalan Tambun Tulang, Arau, jam 3.15 petang, pada 1 Januari lalu.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh juga didakwa dalam suatu perkahwinan yang sah menyebabkan ketakutan kecederaan kepada isterinya untuk melakukan persetubuhan dengan mangsa di tempat, masa dan tarikh sama.
Kedua-dua kesalahan berkenaan didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 376 kanun sama dan Seksyen 375A kanun sama.

 

Remaja lelaki bawah umur itu pula didakwa merogol wanita terbabit dengan tiada kerelaan di tempat, masa dan tarikh sama dengan kesalahan didakwa mengikut Seksyen 376 kanun sama.
Pertuduhan mengikut Seksyen 376 boleh dihukum penjara 20 tahun dan sebatan, manakala Seksyen 375A boleh dipenjara lima tahun, jika sabit kesalahan.

 

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Fazril Sani Mohamed Fadzil, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Fazril Sani memohon mahkamah supaya tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin kerana akan mengganggu mangsa selain membabitkan ahli keluarga sendiri.
Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh merayu dikenakan ikat jamin sebelum Abdul Rashid memutuskan tertuduh pertama yang juga suami mangsa tidak dibenarkan ikat jamin, manakala remaja lelaki terbabit dibenarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.
“Tertuduh (pertama) adalah suami kepada mangsa dan dianggap boleh mengganggu keterangan mangsa di mahkamah kelak jika tertuduh boleh diikat jamin,” katanya.
Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 10 Februari depan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/09

Guru putih mata cinta pandang pertama – Metro


Guru putih mata cinta pandang pertama

Kuantan: Terpedaya dengan janji seorang lelaki kasanova yang kononnya mahu mengahwininya, seorang guru kerugian kira-kira RM1,500 selepas ditipu lelaki terbabit.

Difahamkan, lelaki itu menggunakan taktik kononnya jatuh cinta pandang pertama dan berjanji mahu berkahwin sebelum menghilangkan diri selepas memperoleh sejumlah wang daripada mangsa.
Guru itu yang mahu dikenali sebagai Rina, 31, mengakui mengenali lelaki berusia 39 tahun terbabit pada 18 November tahun lalu melalui sebuah laman sosial.

 

Dia yang berasal dari Kampung Peramu, Tanjung Lumpur, di sini, berkata, pada mulanya dia hanya mengenali lelaki terbabit yang mendakwa bekerja sebagai koordinator projek sebuah syarikat pembekal barangan komputer terkemuka di Singapura itu sebagai kenalan biasa, sebelum lama-kelamaan lelaki terbabit dikenali sebagai Syah meluahkan perasaan selain menyatakan memperisterikannya.
“Saya terkejut mendengar luahan lelaki itu kerana kami baru saja berkenalan dan pada masa sama, saya juga jatuh cinta walaupun kami tidak pernah bertemu,” katanya yang mengajar di sebuah sekolah menengah di bandar ini.
Wanita itu berkata, pada 25 November tahun lalu, dia bertemu dengan Syah di Terminal Sentral Kuantan, di sini.

 

“Lelaki itu mendakwa sanggup datang dari Singapura semata-mata untuk bertemu saya,” katanya.
Rina berkata, sebelum kedatangan Syah ke bandar ini, dia ada memesan beberapa barangan daripada lelaki terbabit seperti beg tangan, minyak wangi, dan telefon bimbit dari Singapura.

 

Katanya, sebelum lelaki terbabit pulang ke Singapura, dia ada menyerahkan RM500 kepada lelaki itu sebagai wang pendahuluan membeli barang dipesan itu.
“Selepas lelaki itu pulang ke Singapura pada 29 November lalu saya ada memasukkan RM950 lagi kepadanya untuk membeli barang yang saya pesan.
“Dia berjanji akan datang semula ke Kuantan untuk memberikan barangan berkenaan dan meminang saya pada 7 Disember lalu,” katanya di sini, semalam.
Rina berkata, bagaimanapun apabila hampir tiba tarikh berkenaan, lelaki terbabit menghubunginya memaklumkan dia memerlukan RM3,000 untuk menyelesaikan masalah di tempat kerja sebelum dapat datang ke bandar ini. “Saya tidak dapat memberikan wang seperti diminta kerana tidak mempunyai simpanan sebanyak itu menyebabkan lelaki itu marah berbeza dengan sikap lembutnya selama ini,” katanya.
Dia berkata, selepas insiden itu, dia tidak lagi dapat menghubungi terbabit termasuk melalui laman sosial “Saya kemudian laporan berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, di sini, semalam,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusof, mengesahkan pihaknya menerima laporan mangsa dan siasatan lanjut masih dilakukan berhubung kes itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/09

Bantai pegawai pantau kelas – Metro


Bantai pegawai pantau kelas

Oleh Shamsul Munir Safini

Padang Besar: “Saya tergamam melihat seorang rakan ditumbuk di bahu, belakang kepala dan badannya oleh dua guru lelaki di kaki lima kelas sebelum kejadian itu dileraikan.”

Begitu kata seorang saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Hisham, 30-an, apabila melihat rakannya yang juga pegawai di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dikepung dan ditumbuk dua guru berusia 40-an yang berlagak ala samseng dalam kejadian di sebuah sekolah rendah, di sini.

Dalam kejadian jam 8.50 pagi kelmarin, mangsa berusia 39 tahun dibelasah dua guru lelaki terbabit yang dipercayai akibat berang dengan tindakannya memantau sesi mengajar di dalam kelas yang dikendalikan seorang daripada mereka.

Sebelum itu, Hisham berkata, pada kira-kira jam 7.30 pagi, dia bersama 30 pegawai Jabatan Pendidikan negeri daripada Bahagian Sektor Penilaian sekolah hadir ke sekolah berkenaan.

FotoWARTAWAN Harian Metro menemu bual saksi kejadian pergaduhan antara guru dan pegawai Jabatan Pendidikan Negeri.

Kehadiran mereka termasuk mangsa bertujuan memantau sesi pembelajaran berikutan prestasi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sekolah itu kurang memuaskan.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/09

Enam beranak terselamat – Metro


Enam beranak terselamat

Oleh Zul Ikhwan Muhammad

MERSING: Enam beranak yang dalam perjalanan pulang ke Pasir Mas, Kelantan terselamat selepas pacuan empat roda Toyota Hilux dinaiki mereka terbabas dan terbalik di dalam parit di Kilometer 17, Jalan Endau-Mersing di sini, pada jam 9 pagi tadi.

Kejadian berlaku di satu selekoh di situ apabila satu daripada tayar Toyota Hilux berkenaan yang dipandu Mohd Sabri Daud, 40, pecah menyebabkan dia hilang kawalan.

Menurut Mohd Sabri, ketika melalui selekoh itu, dia gagal mengawal kenderaan apabila tayar pecah manakala jalan pula licin akibat hujan.

Mohd Sabri yang baru menghantar anak sulungnya, Nur Ayuni, 13, mendaftar di Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru bertolak pada jam 6.30 pagi tadi untuk pulang ke Pasir Mas bersama isteri, Ruzinah Ramli, 36.

FotoKEADAAN Toyoto Hilux yang terbalik selepas terbabas. FOTO Ikhwan Muhammad

Pasangan itu ditemani empat anak mereka iaitu Nur Adila, 3, Muhammad Amir Lukman, 7, Muhammad Akram, 10, serta Nur Athirah, 12.
Enam beranak itu dibawa ke Hospital Mersing untuk rawatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mersing Deputi Superintendan Zulkepli Hashim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/09