Dah tertera 11 tahun
Oleh Nur Izzati Mohamad
Bukit Mertajam: “Mengapa pihak sekolah perlu ikut arahan orang luar sedangkan ia sudah tersergam sejak lebih 11 tahun lalu,” kata Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Bukit Mertajam Che Azizah Ismail berhubung tindakan pihak tertentu yang meminta sekolah berkenaan menurunkan papan tanda sekolah itu yang bertulisan jawi.
Che Azizah berkata, tindakan pihak terbabit tidak wajar, malah pihaknya bertegas untuk mempertahankan papan tanda sekolah itu dengan tidak mengikut arahan diberikan pihak luar.
“Ia hanya papan tanda nama sekolah dan di atas saja bertulisan jawi sementara di bawah ditulis dalam Bahasa Melayu yang sudah ada lebih 11 tahun lalu.
“Jadi, dalam hal ini desakan seorang Sister yang meminta pihak sekolah menurunkan papan tanda ini kerana disifatkan tidak praktikal untuk sekolah mubaligh sama sekali tidak wajar dan ia dilihat cuba bermain dengan isu perkauman dan agama,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.
Che Azizah mengulas mengenai tindakan seorang Sister yang menghubungi sekolah itu beberapa hari lalu meminta papan tanda bertulisan jawi berkenaan diturunkan kerana tidak praktikal. Menurutnya, pihaknya juga kesal apabila isu sedemikian ditimbulkan pihak tertentu yang dilihat cuba memperkotak-katikkan kesucian agama Islam.
“Walaupun latar belakang sekolah ini adalah mubaligh, tetapi kebanyakan pelajar dan kakitangan adalah Melayu dan beragama Islam.
“Bahkan sekolah ini juga tidak menyekat mana-mana agama mengamalkan budaya masing-masing selari dengan falsafah pendidikan negara, namun kesal dengan pihak yang sengaja ingin mencemarkan kesucian agama Islam hanya kerana tulisan nama sekolah ditulis dalam jawi,” katanya.
Menurutnya, sekolah yang mempunyai 926 pelajar itu adalah sekolah berbilang bangsa, kaum dan agama serta tidak mempunyai agenda daripada segi agama, sebaliknya fokus dalam memberi khidmat terbaik kepada pelajar serta membantu menaikkan nama baik sekolah. Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) Datuk Ahmad Tarmizi Kamarudin berkata, pengetua SMK Convent Bukit Mertajam itu berhak untuk tidak mengikut arahan berkenaan kerana sekolah terbabit di bawah pentadbiran JPNPP dan bukan Sister terbabit.
“Jika Sister berkenaan tidak berpuas hati dengan papan tanda nama sekolah yang ditulis dengan tulisan jawi itu, dia boleh adukan kepada pihak kementerian atau jabatan pelajaran menerusi persatuan mubaligh mereka.
“Lagipun, tulisan jawi itu sudah lama dan mengapa baru sekarang dia mahu mempertikaikannya, bahkan Sister itu tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan pengetua berkenaan membuang tulisan berkenaan,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/09