Tambang bas naik, budak sekolah demo – Sinar Harian


Tambang bas naik, budak sekolah demo
SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI
9 Januari 2014
  • Tambang bas naik, budak sekolah demoIbu bapa dan pelajar mengadakan bantahan secara aman terhadap tindakan pengusaha bas menaikkan tambang bas sekolah secara mendadak baru-baru ini.
< 1 / 2 >

BAGAN DATOH – Ambil kesempatan! Itu antara reaksi tidak puas hati sebahagian besar ibu bapa pelajar dari sembilan lokasi dekat sini, berhubung kenaikan tambang bas sekolah mulai pertengahan Januari ini.

Kata mereka, kenaikan tambang bas hingga RM25.97 bagi setiap pelajar itu, dilihat tidak muhasabah sehingga membebankan ibu bapa.

M Sundrawali, 42, berkata, dia dimaklumkan kenaikan tambang bas  sekolah itu selepas anaknya di tingkatan tiga diberikan notis oleh pemandu bas pada minggu lalu.

Menurutnya, anaknya juga dimaklumkan kenaikan tambang bas itu akan bermula pada pertengahan Januari ini.

“Apa yang memeranjatkan saya apabila tambang bas yang dinaikkan terlalu tinggi buat kami penduduk kampung di sini.

“Ini kerana, pengusaha bas sekolah  mengenakan bayaran sebanyak RM44.85 bagi seorang pelajar di kawasan estet berbanding RM32 sebelum ini. Jelas sekali harga baharu dikenakan pengusaha bas membebankan kami (ibu bapa),” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sembilan lokasi terbabit adalah Kampung Baru, Kampung Bunga Raya, Estate, Perumahan Awam, Kedai Sungai Dulang, Kunci Air Sungai Dulang, Lorong Sujakyah, Sek. Tanah Lalang dan Kampung Tanah Lalang Darat.

Terdahulu, sekumpulan pelajar dan ibu bapa mengadakan perhimpunan aman di Pekan Sungai Dulang, di sini sebagai simbolik protes berhubung keputusan Persatuan Perusahaan Bas Sekolah Hilir Perak menaikkan kadar tambang bas.

Sundrawali berkata, mereka faham kenaikan harga tambang disebabkan dengan kadar kenaikan harga minyak 20 sen bagi satu liter tetapi caj baharu  yang dikenakan ke atas setiap pelajar agak membebankan mereka yang berpendapatan kecil.

Bagi seorang ibu kepada tujuh anak, Sulasiah Moktar, 42, dari Taman Perumahan Awam berkata, kadar tambang bas sekolah baharu dibuat pengusaha itu, jelas menyusahkan ibu bapa berpendapatan rendah.

Katanya, dia yang tidak bekerja dan bergantung sepenuhnya dengan pendapatan suami  menganggap kenaikan tambang bas sekolah memberi kesan kerana  kenaikan sebanyak RM16.89 berbanding RM32 sebelum ini.

“Apa yang merunsingkan kami, dua anak kami bersekolah yang menggunakan khidmat bas sekolah tersebut dan terpaksa membelanjakan RM97.78  setiap bulan dan ianya memberi kesan terhadap perbelanjaan hari kami.

“Jika pengusaha mahu menaikkan kadar tambang bas, biarlah berpatutan kerana kami di sini hanya berpendapatan kecil, apatah lagi keluarga saya mempunyai ramai anak-anak  yang perlu bersekolah,” katanya,

Manakala seorang bapa kepada tiga anak, V Kannapan, 47, berkata, dengan gaji diterima kira-kira RM900 hasil bekerja di sebuah ladang kelapa sawit berhampiran di sini, kurang senang terhadap kenaikan itu kerana menyifatkan ia amat membebankan.

“Apatah lagi, kadangkala pengusaha bas sekolah tidak mementingkan keselesaan penumpang tetapi mengenakan bayaran sangat mahal.

“Saya terpaksa membelanjakan RM89.70  untuk dua orang anak yang menggunakan khidmat bas sekolah dan harga itu tidak berbaloi apabila ibu bapa mempunyai tanggungan ramai anak yang bersekolah,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk, Abu Salleh Sabdin, 47, berkata, walaupun anaknya tidak menggunakan perkhidmatan bas sekolah itu, rungutan ibu bapa  mengenai kenaikan tambang bas  memberikan mesej jelas kepada pihak berkaitan untuk ambil
tindakan segera.

Katanya, ini kerana kebanyakan penduduk di kawasan itu  hanya bekerja sebagai nelayan pantai mahupun bekerja sendiri dan pendapatan yang diterima rata-rata kurang daripada RM700.

Menurutnya, notis yang diberikan oleh pengusaha bas itu memberikan kadar tambang bas berbeza mengikut jarak satu-satu kampung itu.

“Semakin kampung itu jauh, semakin mahal tambang bas sekolah  mereka kenakan sebagai contoh kadar bayaran dikenakan bagi pelajar yang ditinggal di Kampung Tanah Lalang Darat dikenakan sebanyak RM56.97 berbanding RM32 sebelum ini.

“Kenaikan yang dikenakan itu terlalu mahal dan sebahagian penduduk di kawasan ini tidak mampu dengan kadar tambang bas sekolah yang baharu ditetapkan pengusaha,” katanya.

Ketua Pemuda Pas Kawasan Bagan Datoh, Mustafa Saifuddin berkata, kenaikan yang dikenakan pengusaha bas melebihi daripada 40 peratus.

Katanya, kadar kenaikan tambang bas itu juga diragui kerana tiada arahan  atau surat pekeliling membenarkan pengusaha menaikkan harga tambang.

Menurutnya, pihaknya meminta kepada pengusaha bas untuk mempertimbangkan semula kadar tambang bas yang dikenakan ke atas setiap pelajar yang menggunakan khidmat mereka kerana ianya jelas membebankan ibu bapa mereka.

“Saya faham kenaikan itu selaras dengan kenaikan harga minyak serta servis perlu dilakukan tetapi jangan naikkan tambang bas sekolah terlalu tinggi dan drastik,” katanya.

Sinar Harian akan mendapatkan maklum balas daripada pengusaha bas hari ini.

Remaja alami skoliosis perlu bantuan – Sinar Harian


Remaja alami skoliosis perlu bantuan
WARTAWAN SINAR HARIAN
9 Januari 2014
  • Remaja alami skoliosis perlu bantuanSyafiqah menunjukkan imbasan x-ray tulang belakangnya yang bengkok ke kanan.
< 1 / 1 >

PORT DICKSON – Seorang penuntut tahun dua Kolej Vokasional Port Dickson, Nursyafiqah Mohd Yazid, 17, menderita penyakit skoliosis, masalah tulang belakang bengkok dan melengkung sehingga menjejaskan kesihatannya.

Penyakit itu mula dikesan apabila ibunya mendapati baju kurung yang dipakai sewaktu Aidilfitri lalu ketara senget.

Seminggu selepas Aidilfitri, dia menjalani ujian x-ray di Klinik Kesihatan Port Dickson dan doktor mendapati tulang belakangnya membengkok ke kanan dan dia  dirujuk ke Hospital Port Dickson (HPD).

Ibunya, Aiza Ishak, 39, berkata, dia risau keadaan kesihatan Syafiqah kerana tulang belakangnya membengkok ke kanan sebanyak 66 peratus.

“Selepas pemeriksaan di HPD, Syafiqah kemudian dirujuk di Hospital Sungai Buloh dan keadaan tulangnya semakin membengkok.

“Doktor yang merawat Syafiqah memberitahu, dia perlu menjalani pembedahan untuk membetulkan semula tulangnya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Dataran Segar, Lukut.

Bagaimanapun, pembedahan itu menelan kos yang tinggi kerana memerlukan implan dipasang pada hampir sepanjang tulang belakangnya.

“Kos yang dinyatakan doktor kira-kira RM29,400 dan saya akui untuk menyediakan wang sebanyak itu, memang kami tidak mampu.

“Memandangkan pendapatan saya sebagai pembantu jualan hanya RM900, sementara suami pula RM1,200 sebulan. Selain Syafiqah, saya ada dua lagi anak berusia 10 dan 13 tahun,” katanya.

Tambahnya, sekiranya Syafiqah tidak dirawat, ia boleh menyebabkan tulang rusuknya menjadi rapat dan menghimpit organ seperti paru-paru dan jantung sehingga mengakibatkan sesak nafas.

Orang ramai yang ingin memberikan sumbangan boleh menyalurkannya di akaun Bank Rakyat atas nama Aiza Ishak, 22-056-21736-1.

Tak mengaku rogol – Sinar Harian


Tak mengaku rogol
WARTAWAN SINAR HARIAN
9 Januari 2014
  • Tak mengaku rogolPelajar lepasan SPM diiringi anggota polis keluar dari mahkamah selepas mengaku tidak bersalah merogol remaja perempuan bawah umur, tahun lalu.
< 1 / 1 >

AYER KEROH – Seorang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) didakwa di Mahkamah Juvana di sini, semalam atas pertuduhan merogol seorang remaja bawah umur, tahun lalu.

Tertuduh, berusia 17 tahun itu, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret, Syajaratudur Abd Rahaman selepas mengangguk faham pertuduhan dibacakan jurubahasa di dalam mahkamah tertutup.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh dari Tanjung Kling di sini, didakwa merogol seorang perempuan berusia 15 tahun di sebuah kebun kelapa sawit di Kampung Gelam, Tanjung Kling pada Mac 2013.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Akta Kanak-kanak 2001.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nabilah Nizam ketika pendakwaan meminta mahkamah memberikan jaminan sebanyak RM5,000 terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, bapa tertuduh yang hadir merayu mahkamah mengurangkan wang jaminan dengan alasan hanya bekerja di kilang dan menyara isteri yang tidak bekerja selain anak-anak masih belajar termasuk seorang daripadanya di institusi pengajian tinggi (IPT).

Selepas mendengar rayuan tersebut, Syajaratudur membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,000 dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 6 Februari depan bagi mendengar laporan perubatan mangsa.

Pelajar terperangkap banjir kilat – Sinar Harian


Pelajar terperangkap banjir kilat
ISMANIZA AHMAD
9 Januari 2014
  • Pelajar terperangkap banjir kilatPelajar sekolah yang terkandas menunggu air surut sebelum pulang ke rumah masing-masing
< 1 / 1 >

IPOH – Lebih 300 pelajar dari tiga sekolah di sini, termasuk penduduk dari Taman Tien Shien, Batu Gajah, terpaksa berdepan banjir kilat setelah satu jam hujan lebat tanpa henti melanda kawasan itu, kelmarin.

Berikutan kejadian itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Bernadette’s Convent, Sekolah Kebangsaan (SK) St Bernadette’s Convent dan SK Sultan Yusof terperangkap dan terpaksa menunggu air surut untuk pulang ke rumah masing-masing.

Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar berkata, penduduk di kawasan berkenaan terpaksa berdepan banjir kilat dua hingga tiga kali setahun dipercayai disebabkan Sungai Resam cetek dan tidak dapat menampung aliran air apabila hujan lebat.

“Cadangan memasang pembetung untuk penambahbaikan sungai terbabit diluluskan pada 2008 namun, projek ditukar kepada penanaman pokok sebagai konsep mesra alam.

“Apabila banyak pokok, ada sampah tersangkut dan aliran air sungai perlahan hingga kawasan ini kerap banjir,” katanya pada sidang media di Pejabat DAP, semalam.

Menurutnya, rungutan daripada penduduk yang tidak sanggup menanggung rugi dan berhabis tenaga kesan banjir kerap diterima.

“Penduduk sudah tidak sanggup berhabis wang menggantikan perabot dan peralatan yang rosak setiap kali banjir, malah mereka juga sudah tidak sanggup berpenat lelah membersihkan rumah.

“Banjir kali ini adalah yang terburuk sepanjang enam tahun, malah ada kenderaan yang dihanyutkan arus deras banjir,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihak berkenaan ada berjanji membina kolam tadahan di kawasan terbabit ketika sesi dialog yang diadakan awal tahun lalu.

Bagaimanapun, menurutnya, sehingga kini, kolam tadahan yang dijanjikan masih belum ada.

“Saya tidak nampak di mana kolam yang dijanjikan itu. Jika ada, sudah tentu banjir tidak berulang.

“Minggu depan, saya bersama Adun Tronoh, Yong Choo Kiong dan beberapa penduduk kampung akan melawat tapak kolam tadahan itu,” katanya.

Sementara itu, Choo Kiong berkata, masalah sama pernah dipanjangkan ke sidang Dun.

“Kami telah memaklumkan kepada pihak berkaitan, namun tiada respons. Ada kalanya, jawapan yang diberikan hanya sekadar menyedapkan hati.

“Saya tahu pihak berkenaan tahu dan faham masalah ini. Jadi, mereka perlu turun padang lihat masalah tersebut,” katanya.

Sabah banyak berbelanja bangunkan pendidikan – Bernama


Sabah banyak berbelanja bangunkan pendidikan
9 Januari 2014
  • Musa AmanMusa Aman
< 1 / 2 >

KOTA KINABALU – Kerajaan negeri Sabah telah banyak berbelanja untuk membangunkan pendidikan di negeri itu, termasuk memastikan keselesaan penuntut dan keluarga mereka.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman berkata, keselesaan kepada ibu bapa itu sebagai penghargaan kerajaan negeri terhadap pengorbanan mereka dalam memberi pendidikan kepada anak-anak.

“Sebab itulah kerajaan negeri membangunkan hab pendidikan di Sandakan supaya anak-anak Sabah tidak perlu pergi ke luar negeri untuk melanjutkan pelajaran.

“Kita (kerajaan negeri) faham dengan beban kos yang terpaksa ditanggung oleh ibu bapa. Bukan sahaja dalam membiayai kos pelajaran anak-anak, tetapi juga kos penginapan dan tambang penerbangan untuk melawat anak-anak di tempat pengajian,” katanya dalam Majlis Konvokesyen Kolej Yayasan Sabah Ke-18 di sini hari ini.

Menurut Musa, kerajaan di bawah pentadbiran Barisan Nasional sentiasa memikirkan langkah terbaik bagi meringankan beban rakyat, termasuk usaha mereka untuk mendapatkan pendidikan berkualiti. – Bernama

Cuepacs cadang gaji minimum RM1,200 – Bernama


Cuepacs cadang gaji minimum RM1,200
9 Januari 2014
  • cuepacs
< 1 / 1 >

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) hari ini mencadangkan kerajaan menaikkan kadar gaji minimum penjawat awam kepada RM1,200 bagi mengimbangi kos sara hidup yang semakin meningkat.

Presidennya Azih Muda berkata berdasarkan analisis Cuepacs, kos sara hidup yang meningkat antara lapan dan 10 peratus sekarang memberi tekanan kepada penjawat awam khususnya yang tinggal di kawasan bandar besar, memandangkan kenaikan gaji sektor awam hanya sekitar dua hingga 2.5 peratus.

Kumpulan yang paling merasai tekanan ini ialah 54 dan ke bawah, katanya dalam sidang media selepas sesi taklimat kepada warga kerja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, di sini.

Beliau berkata  Cuepacs juga menggesa kerajaan menyelaraskan Elaun Sara Hidup (Cola) bagi seluruh negara manakala Imbuhan Tetap Khidmat Awam dinaikkan kepada minimum RM250.

Pada 2011, Cuepacs mencadangkan kepada kerajaan agar memperkenalkan gaji minimum RM900 untuk membantu kelompok kumpulan pelaksana seperti pekerja am rendah, pembantu pejabat dan pemandu yang menerima gaji asas bawah RM700 sebulan. – Bernama

TAWARAN PERMOHONAN CUTI BELAJAR SEPARUH GAJI TANPA BIASISWA (CBSG TB) DI BAWAH PROGRAM SALURAN KEDUA/UPU BAGI PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN LEPASAN DIPLOMA AMBILAN TAHUN 2014


TAWARAN PERMOHONAN CUTI BELAJAR SEPARUH GAJI TANPA BIASISWA (CBSG TB) DI BAWAH PROGRAM SALURAN KEDUA/UPU BAGI PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN LEPASAN DIPLOMA AMBILAN TAHUN 2014

09 January 2014

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia,

Sukacita dimaklumkan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membuka peluang kepada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD) yang ingin mengikut Program Cuti Belajar Separuh Gaji Tanpa Biasiswa (CBSG TB) di bawah Program Saluran Kedua / UPU Ambilan Tahun 2014.

Sehubungan itu, PPPLD yang sedang berkhidmat dengan KPM dan berminat untuk mengikuti program ini boleh mengemukakan permohonan tersebut kepada Bahagian Tajaan Pendidikan (BT)
bagi mengikuti pengajian secara sepenuh masa di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Sekian, terima kasih.

 

Muat Turun
Maklumat Iklan Tawaran Program CBSG TB 2014
Surat Edaran Tawaran Program CBSG TB 2014
Tatacara Permohonan CBSG TB
Syarat-syarat Permohonan CBSG TB
Unjuran Bidang Pengajian
Prinsip-prinsip Pemberian CBSG TB
Urusan Perkhidmatan Semasa CBSG TB
Senarai Semak
Borang Permohonan Cuti Belajar Pegawai Perkhidmatan Pendidikan
Boang Perakuan Ketua Jabatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan
Borang Perakuan Kedudukan Kewangan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan
Borang Maklumat Pinjaman Pendidikan
Borang Maklumat Politik Pegawai Perkhidmatan Pendidikan

TAWARAN PERMOHONAN CUTI BELAJAR TANPA GAJI TANPA BIASISWA(CBTG TB) BAGI PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN AMBILAN 2014


TAWARAN PERMOHONAN CUTI BELAJAR TANPA GAJI TANPA BIASISWA(CBTG TB) BAGI PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN AMBILAN 2014

09 January 2014

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia,

Sukacita dimaklumkan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membuka peluang kepada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) yang ingin mengikut Program Cuti Belajar Tanpa Gaji Tanpa Biasiswa (CBTG TB) Ambilan Tahun 2014 bagi mengikuti pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Ijazah Kedoktoran.

Sehubungan itu, PPP yang sedang berkhidmat dengan KPM dan berminat untuk mengikuti program ini boleh mengemukakan permohonan tersebut kepada Bahagian Tajaan Pendidikan (BT)  bagi mengikuti pengajian secara sepenuh masa di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA),  Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) serta Universiti Luar Negara yang diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia.
Sekian, terima kasih.

Muat Turun
Maklumat Iklan Tawaran Program CBTG TB 2014
Surat Edaran Tawaran Program CBTG TB 2014
Syarat-syarat Permohonan CBTG TB
Tatacara Permohonan CBTG TB
Prinsip-prinsip Pemberian CBTG TB
Urusan Perkhidmatan Semasa CBTG TB
Senarai Semak Permohonan Cuti Belajar
Borang Permohonan Cuti belajar
Borang perakuan Ketua Jabatan
Borang Perakuan Kedudukan Kewangan
Borang Maklumat Pinjaman Pendidikan
Borang Maklumat Politik