e-GTukar – Sistem Pertukaran Guru Secara Online – Keputusan Rayuan Pertukaran Guru Antara Negeri Sesi Januari 2014


Keputusan Rayuan Pertukaran Guru Antara Negeri Sesi Januari 2014 

Keputusan Rayuan Pertukaran Guru Antara Negeri Sesi Januari 2014 akan diumumkan mulai jam 10.00 malam pada 10 Januari 2014.

Laman web berkaitan : http://apps.moe.gov.my/epgo/

20 SJKT perlu dipindahkan – Bernama


20 SJKT perlu dipindahkan
 
10 Januari 2014
  • Datuk Dr S SubramaniamDatuk Dr S Subramaniam
< 1 / 2 >

PETALING JAYA – Sebanyak 20 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di kawasan estet akan dipindahkan ke kawasan baharu bagi mengatasi masalah kekurangan murid, kata Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan berkata sekolah berkenaan merupakan antara 25 SJKT yang mempunyai bilangan pelajar kurang daripada 60 orang, untuk tahun ini.

Pada tahun lepas, sebanyak 19 SJKT telah dipindahkan ke kawasan baharu yang mempunyai kepadatan penduduk India yang lebih tinggi, katanya kepada pemberita pada majlis jamuan makan malam amal anjuran Tamil Foundation Malaysia di sini, malam ini.

“Ada SJKT mengalami masalah di mana bilangan murid berkurangan berikutan perpindahan penduduk keluar dari kawasan perladangan, sehingga tinggal lima atau lapan keluarga saja dalam satu-satu kawasan itu,” katanya. – Bernama

Cuepacs Cadang Gaji Minimum Penjawat Awam RM1,200 – Bernama


Cuepacs Cadang Gaji Minimum Penjawat Awam RM1,200

 

Presiden Cuepacs, Azih Muda (tengah) beramah mesra bersama kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selepas sesi taklimat bersama Cuepacs di Menara DBKL pada Khamis. -fotoBERNAMA

 

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) pada Khamis mencadangkan kerajaan menaikkan kadar gaji minimum penjawat awam kepada RM1,200 bagi mengimbangi kos sara hidup yang semakin meningkat.

Presidennya, Azih Muda berkata berdasarkan analisis Cuepacs, kos sara hidup yang meningkat antara lapan dan 10 peratus sekarang memberi tekanan kepada penjawat awam khususnya yang tinggal di kawasan bandar besar, memandangkan kenaikan gaji sektor awam hanya sekitar dua hingga 2.5 peratus.

Kumpulan yang paling merasai tekanan ini ialah 54 dan ke bawah, katanya dalam sidang media selepas sesi taklimat kepada warga kerja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, di sini pada Khamis.

Beliau berkata Cuepacs juga menggesa kerajaan menyelaraskan Elaun Sara Hidup (Cola) bagi seluruh negara manakala Imbuhan Tetap Khidmat Awam dinaikkan kepada minimum RM250.

Pada 2011, Cuepacs mencadangkan kepada kerajaan agar memperkenalkan gaji minimum RM900 untuk membantu kelompok kumpulan pelaksana seperti pekerja am rendah, pembantu pejabat dan pemandu yang menerima gaji asas bawah RM700 sebulan. BERNAMA

Pengasas Sekolah Cempaka diiktiraf antarabangsa – Bernama


Pengasas Sekolah Cempaka diiktiraf antarabangsa
10 Januari 2014

KUALA LUMPUR – Pengasas Sekolah Cempaka dan Tokoh Guru Sekolah Swasta Kebangsaan Datuk Freida Mohd Pilus sekali lagi menerima anugerah Kolej Terbaik Serantau oleh Jawatankuasa Socrates di Oxford pada satu majlis di United Kingdom baru-baru ini.

Cempaka National and International School, Kampus Cheras dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata anugerah itu diterima pada Sidang Kemuncak Pemimpin Oxford ‘Sains dan Pendidikan’ pada 16 hingga 19 Disember lalu.

Pengasas rangkaian Sekolah Cempaka, Freida, menerima anugerah itu buat kali kesembilan pada sepanjang kerjayanya dalam pembangunan modal insan dan penubuhan Cempaka International Ladies’ College, Sekolah Cempaka Cheras dan Sekolah Cempaka Damansara, menurut kenyataan itu.

Freida yang juga seorang bekas penjawat awam, mula mengasaskan Sekolah Cempaka dengan menyewa sebuah banglo di Bukit Bintang pada Januari 1983 sebelum berkembang dengan membuka dua buah kampus di Cheras dan Damansara.

Sidang kemuncak itu dihadiri 180 peserta yang terdiri daripada ahli akademik, rektor, penyelidik dan pelabur dari seluruh pelusuk dunia bagi meningkatkan kualiti dalam pendidikan dan sains moden ke arah yang lebih baik. – Bernama

Jangan polemik isu tulisan jawi – Sinar Harian


Jangan polemik isu tulisan jawi
MOHD IDROS MOHD ALI
10 Januari 2014
  • Jangan polemik isu tulisan jawiPapan tanda nama sekolah yang menjadi pertikaian
< 1 / 2 >

GEORGETOWN – Mana-mana pihak tidak wajar menimbulkan isu atau polemik mengenai tulisan jawi pada papan tanda nama sekolah seperti yang ditimbulkan baru-baru ini.

Setiausaha Kelab Warisan Malaysia (Keris) Pulau Pinang, Mohamad Nor Suhaili Jamali berkata, tulisan jawi tidak memberi makna untuk berdakwah kepada orang bukan Islam kerana ia adalah tulisan yang sedia ada dan digunakan sejak zaman penjajahan British lagi.

Bahkan, penjajah itu juga tidak pernah menghalang orang Melayu menggunakan tulisan jawi sebagai lambang kemunikasi perhubungan.

“Saya berharap lembaga sekolah itu tidak mempolemikkan isu papan tanda ke arah politik dan biarlah ia dilaksanakan dengan baik.

“Mungkin ada muslihat tertentu kerana ia dibangkitkan ketika suasana masih panas berkaitan isu Kalimah ALLAH,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Beliau mengulas surat yang dihantar Sister of the Infant Jesus, Celina Wong kepada pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Bukit Mertajam agar menanggalkan tulisan jawi yang terdapat pada papan tanda yang diletakkan pada pagar sekolah.

Dalam surat itu, Wong memaklumkan bahawa ia bukan amalan di sekolah mubaligh dan tidak dibenarkan sama sekali.

Ia juga memaklumkan bahawa ia bukan sekolah kerajaan tetapi sekolah mubaligh yang menggunakan Bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar serta bukan pengantar jawi.

Isu ini menjadi panas apabila dipaparkan dalam beberapa blog termasuk salinan surat yang dihantar kepada pengetua sekolah.

Bagaimanapun, Pengarah Pendidikan Pulau Pinang, Datuk Ahmad Tarmizi Kamarudin sebelum ini menjelaskan bahawa pengetua sekolah itu berhak untuk tidak mengikut arahan itu kerana sekolah terbabit di bawah pentadbiran jabatan.

Beliau berkata, jika tidak berpuas hati dengan papan tanda itu, Sister terbabit boleh membuat aduan kepada kementerian pendidikan atau jabatan pendidikan melalui persatuan mubalighnya.

Sementara itu, Pengetua SMK Convent Bukit Mertajam, Che Azizah Ismail dilaporkan berkata bahawa papan tanda itu sudah dipasang sejak 11 tahun dan tidak wajar ditimbulkan sekarang ini.

Menurutnya, papan tanda itu tidak akan diturunkan sebaliknya terus dipertahankan kerana ia hanya membabitkan tulisan nama sekolah.

Mohamad Nor Suhaili berkata tulisan jawi tidak mampu menggugat kepercayaan pelajar bukan Islam di sekolah itu sebaliknya hanya menjadi saluran perhubungan dalam kalangan pelajar Islam.

Beliau berharap lembaga sekolah tidak terus memainkan isu itu ke arah politik sebaliknya membiarkannya berjalan seperti biasa dan bersama-sama menumpukan usaha kementerian bagi membangunkan modal insan berkualiti dalam kalangan pelajar sekolah.

“Sekolah sebagai pusat integrasi perpaduan tidak seharusnya dilibatkan dengan pelbagai fahaman politik atau fahaman yang boleh mengganggu gugat kefahaman rakyat.

“Keputusan Pengarah Pendidikan dilihat langkah tepat dan tegas dalam menyelesaikan isu berkenaan,” katanya.

Pelajar MRSM keracunan makanan – Metro


Pelajar MRSM keracunan makanan

Teks dan gambar oleh Jaafar Mulup

GEMENCHEH: Seramai 47 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dikejarkan ke Hospital Tampin (HT) jam 5 pagi tadi akibat keracunan makanan.

Difahamkan, 127 pelajar terbabit yang terdiri daripada pelajar tingkatan dua hingga lima mengadu mengalami pening, cirit birit dan muntah jam 1 pagi disyaki berpunca daripada mi goreng yang dimakan kira-kira empat jam sebelum itu di kantin asrama.

Bagaimanapun, hanya 47 daripada mereka dibawa ke HT dengan menaiki bas kerana mengalami gejala serius.

Pelajar lain diarah berehat di asrama kerana tidak serius.

Foto 

Semua pelajar terbabit dirawat sebagai pesakit luar sebelum dibenarkan pulang ke asrama.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/10

Sekolah Tunas Bakti tawar sijil kemahiran – Bernama


Sekolah Tunas Bakti tawar sijil kemahiran
10 Januari 2014

KUCHING – Lima lagi Sekolah Tunas Bakti (STB) akan menawarkan kursus Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap Satu susulan kejayaan program itu di STB Kuching.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, lima STB terbabit ialah STB Kota Kinabalu, Sabah; STB Taiping, Perak; STB Marang, Terengganu; STB Sungai Lereh, Melaka; dan STB Telok Air Tawar, Pulau Pinang.

“Lima STB berkenaan disasar akan berdaftar sebagai Pusat Bertauliah dan Pusat Bertauliah Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran tahun ini,” katanya dalam sidang media selepas melawat STB Kuching, di sini hari ini.

Katanya STB Kota Kinabalu dan Sungai Lereh masing-masing akan menawarkan latihan dalam bidang jahitan, STB Taiping (bakeri), STB Marang (bakeri dan jahitan), manakala STB Telok Air Tawar (kimpalan).

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengganggarkan seramai 150 penghuni di enam STB, termasuk STB Kuching akan mendapat manfaat melalui kursus yang ditawarkan itu nanti,” katanya.

Mengenai STB Kuching, Rohani berkata institusi itu menawarkan kursus dalam bidang binaan bangunan berasaskan kayu, pertanian dan elektrik.

Sejak 2011, 27 pelajarnya berjaya menamatkan kursus dan lebih membanggakan ada yang sudah mendapat pekerjaan, katanya.

Sementara itu, Rohani berkata, JKM merancang mewujudkan rumah pengantara bagi penghuni yang telah menamatkan tempoh perintah di STB, untuk membolehkan mereka membiasakan diri dengan kehidupan di luar STB.

“Selain itu JKM memikirkan rumah pengantara ini dapat memberi tempat perlindungan sementara sebelum bekas penghuni (yang tidak mempunyai keluarga) mendapat pekerjaan.

“Ada pula kes-kes bekas penghuni tinggal di RKK (Rumah Kanak-kanak) bersama adik-beradik yang lain, dan apabila mencapai umur 18 tahun ada antara mereka berat hati nak tinggalkan RKK kerana adik-beradik masih berada di sana. Justeru mereka juga boleh tinggal di rumah pengantara ini,” katanya.  – Bernama

Gelagat hari pertama persekolahan – Kosmo


Gelagat hari pertama persekolahan

 

 

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR
khadijah.mohamadnor@kosmo.com.my

 

GELAGAT Adam Mukhriz Mohamad (kiri) yang bergurau dengan rakan baharunya, Ahmad Dany Irsyad pada hari pertama persekolahan di SK Tengku Azizah, Kuantan, Pahang.

 

SABAN tahun, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Sekolah Kebangsaan (SK) PPR Taman Lembah Subang, Wan Zayuhisham Wan Yusoff, 41, sentiasa teruja dengan kedatangan hari pertama persekolahan.

Ini kerana, pada hari tersebut, beliau dapat memerhatikan pelbagai situasi yang berlaku dalam kalangan pelajar, terutamanya mereka yang baru menjejakkan kaki ke alam persekolahan.

Momen-momen seperti pelajar menangis kerana ditinggalkan ibu bapa selepas dihantar ke sekolah, riang bermain bersama rakan-rakan baharu serta gelagat mereka di dalam kelas begitu istimewa apabila dikenang kembali.

“Alhamdulillah, pada tahun ini, hanya ada seorang pelajar yang menangis. Selebihnya bergembira dan seronok apabila dapat ramai kawan baharu.

“Pada hari kedua persekolahan, kami dapati kedatangan pelajar adalah penuh,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Menurut beliau, dalam penelitiannya, kebanyakan pelajar sekarang sudah mampu berdikari dan tidak menangis apabila datang ke sekolah.

“Bagi pendapat saya, pelajar yang masih takut-takut dan menangis pada hari pertama bersekolah merupakan mereka yang tidak mengikuti pendidikan awal prasekolah atau tadika,” terang Wan Zayuhisham yang mempunyai 17 tahun pengalaman sebagai warga pendidik.

SEORANG pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chong Hwa di Setapak menunggu ibu bapa untuk pulang di hadapan kelasnya.

 

Tarik minat

Dalam usaha menarik minat pelajar tahun satu ini, beliau memberitahu, penggunaan buku cerita bergambar merupakan satu kaedah yang baik, namun tidak ramai guru yang mempraktikkannya.

Ia disebabkan, penceritaan untuk satu atau dua muka surat, boleh memakan masa selama lima hingga enam minit.

“Paling penting, setiap guru harus menunjukkan kasih sayang mereka terhadap para pelajar terutamanya mereka yang baru melangkah ke darjah satu. Jangan menengking atau marah-marah, sebaliknya bersabar dalam setiap situasi.

“Harus diingat mereka adalah individu yang baru hendak berdikari,” katanya sambil menambah bahawa pihak sekolah kini telah melaksanakan program kit transisi Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) di bawah seliaan guru bimbingan dan kaunseling yang bermula pada tahun 2010.

Dalam pada itu, melihat kepada gambar yang dirakam lensa kamera jurugambar Kosmo! di negeri-negeri seluruh negara ternyata ia membawa pelbagai tafsiran.

Imej

Ada yang gembira, ada yang mungkin mengantuk kebosanan apabila menunggu terlalu lama dan ada kurang yang bersemangat membuat kerja sekolah yang diberikan guru.

Di Kuching, Sarawak contohnya, sungguhpun para pelajar SK Muhibbah perlu memakai jaket keselamatan untuk ke sekolah dengan menaiki sampan, namun mereka tetap ceria pada hari pertama persekolahan.

Kesusahan itu tidak melunturkan semangat mereka mencari ilmu.

Di Kuantan, Pahang pula, pelajar tahun satu SK Tengku Azizah masing-masing teruja menyiapkan tugasan mewarna lukisan yang diarahkan guru.

Malah, dalam keasyikan melaksanakan tugas tersebut, ada juga di antara pelajar yang bergurau sesama rakan yang baharu dikenali.

PARA pelajar memakai jaket keselamatan sebelum menaiki sampan untuk ke sekolah di Kuching, Sarawak.

 

Di Shah Alam, Selangor, aksi pelajar baharu SK Raja Muda Seksyen 4, Tunku Hazeem Qadir yang mencubit pipi ibunya, Ermaliza Hazeem Yusof sempat dirakam jurugambar. Situasi itu jelas membayangkan kemesraan hubungan antara si ibu dan anak.

Di Kuala Lumpur pula, gelagat seorang pelajar yang menunggu ahli keluarganya untuk pulang selepas tamat waktu persekolahan di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chong Hwa, Setapak turut mendapat perhatian.

Sekolah berkenaan telah dilawati oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada hari pertama sekolah dibuka.

Tidak ketinggalan, para guru juga dilihat bertungkus lumus menjalankan tanggungjawab mereka dalam memastikan semua pelajar memahami arahan yang diberikan.

Malah, ada yang terpaksa menggunakan alat pembesar suara bagi membolehkan suara mereka didengari semua pelajar yang mengikuti program orientasi yang dianjurkan pihak sekolah.

Semoga anak-anak yang memulakan alam persekolahan ini akan belajar dengan bersungguh-sungguh agar menjadi insan berbakti kepada agama, bangsa dan negara apabila dewasa kelak.

Menggeletar nampak kembar kaku – Kosmo


Menggeletar nampak kembar kaku

Oleh NORLIDA AKMAR IDROS
norlida.idros@kosmo.com.my

INILAH lokasi Nur Afiza (gambar kecil) yang maut dilanggar motosikal dan kereta ketika melintas jalan untuk ke sekolahnya di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Gunong di Jalan Gunung Keriang, Alor Setar semalam.

ALOR SETAR – Niat sepasang kembar untuk tiba di sekolah lebih awal bagi menghadiri majlis bacaan Yasin tidak kesampaian apabila salah seorang daripada mereka maut dilanggar sebuah motosikal sebelum dirempuh kereta di depan sekolahnya di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 7 pagi, mangsa, Nur Afiza Baquri, 15, hendak melintas jalan bersama kembarnya, Nur Afifi menuju Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Gunong di Jalan Gunung Keriang.

Bagaimanapun, Nur Afiza yang berjalan di belakang kembarnya itu dilanggar sebuah motosikal jenis Yamaha Sport 110SS dipercayai ditunggang laju oleh seorang lelaki.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.