Gelagat hari pertama persekolahan – Kosmo


Gelagat hari pertama persekolahan

 

 

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR
khadijah.mohamadnor@kosmo.com.my

 

GELAGAT Adam Mukhriz Mohamad (kiri) yang bergurau dengan rakan baharunya, Ahmad Dany Irsyad pada hari pertama persekolahan di SK Tengku Azizah, Kuantan, Pahang.

 

SABAN tahun, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Sekolah Kebangsaan (SK) PPR Taman Lembah Subang, Wan Zayuhisham Wan Yusoff, 41, sentiasa teruja dengan kedatangan hari pertama persekolahan.

Ini kerana, pada hari tersebut, beliau dapat memerhatikan pelbagai situasi yang berlaku dalam kalangan pelajar, terutamanya mereka yang baru menjejakkan kaki ke alam persekolahan.

Momen-momen seperti pelajar menangis kerana ditinggalkan ibu bapa selepas dihantar ke sekolah, riang bermain bersama rakan-rakan baharu serta gelagat mereka di dalam kelas begitu istimewa apabila dikenang kembali.

“Alhamdulillah, pada tahun ini, hanya ada seorang pelajar yang menangis. Selebihnya bergembira dan seronok apabila dapat ramai kawan baharu.

“Pada hari kedua persekolahan, kami dapati kedatangan pelajar adalah penuh,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Menurut beliau, dalam penelitiannya, kebanyakan pelajar sekarang sudah mampu berdikari dan tidak menangis apabila datang ke sekolah.

“Bagi pendapat saya, pelajar yang masih takut-takut dan menangis pada hari pertama bersekolah merupakan mereka yang tidak mengikuti pendidikan awal prasekolah atau tadika,” terang Wan Zayuhisham yang mempunyai 17 tahun pengalaman sebagai warga pendidik.

SEORANG pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chong Hwa di Setapak menunggu ibu bapa untuk pulang di hadapan kelasnya.

 

Tarik minat

Dalam usaha menarik minat pelajar tahun satu ini, beliau memberitahu, penggunaan buku cerita bergambar merupakan satu kaedah yang baik, namun tidak ramai guru yang mempraktikkannya.

Ia disebabkan, penceritaan untuk satu atau dua muka surat, boleh memakan masa selama lima hingga enam minit.

“Paling penting, setiap guru harus menunjukkan kasih sayang mereka terhadap para pelajar terutamanya mereka yang baru melangkah ke darjah satu. Jangan menengking atau marah-marah, sebaliknya bersabar dalam setiap situasi.

“Harus diingat mereka adalah individu yang baru hendak berdikari,” katanya sambil menambah bahawa pihak sekolah kini telah melaksanakan program kit transisi Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) di bawah seliaan guru bimbingan dan kaunseling yang bermula pada tahun 2010.

Dalam pada itu, melihat kepada gambar yang dirakam lensa kamera jurugambar Kosmo! di negeri-negeri seluruh negara ternyata ia membawa pelbagai tafsiran.

Imej

Ada yang gembira, ada yang mungkin mengantuk kebosanan apabila menunggu terlalu lama dan ada kurang yang bersemangat membuat kerja sekolah yang diberikan guru.

Di Kuching, Sarawak contohnya, sungguhpun para pelajar SK Muhibbah perlu memakai jaket keselamatan untuk ke sekolah dengan menaiki sampan, namun mereka tetap ceria pada hari pertama persekolahan.

Kesusahan itu tidak melunturkan semangat mereka mencari ilmu.

Di Kuantan, Pahang pula, pelajar tahun satu SK Tengku Azizah masing-masing teruja menyiapkan tugasan mewarna lukisan yang diarahkan guru.

Malah, dalam keasyikan melaksanakan tugas tersebut, ada juga di antara pelajar yang bergurau sesama rakan yang baharu dikenali.

PARA pelajar memakai jaket keselamatan sebelum menaiki sampan untuk ke sekolah di Kuching, Sarawak.

 

Di Shah Alam, Selangor, aksi pelajar baharu SK Raja Muda Seksyen 4, Tunku Hazeem Qadir yang mencubit pipi ibunya, Ermaliza Hazeem Yusof sempat dirakam jurugambar. Situasi itu jelas membayangkan kemesraan hubungan antara si ibu dan anak.

Di Kuala Lumpur pula, gelagat seorang pelajar yang menunggu ahli keluarganya untuk pulang selepas tamat waktu persekolahan di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chong Hwa, Setapak turut mendapat perhatian.

Sekolah berkenaan telah dilawati oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada hari pertama sekolah dibuka.

Tidak ketinggalan, para guru juga dilihat bertungkus lumus menjalankan tanggungjawab mereka dalam memastikan semua pelajar memahami arahan yang diberikan.

Malah, ada yang terpaksa menggunakan alat pembesar suara bagi membolehkan suara mereka didengari semua pelajar yang mengikuti program orientasi yang dianjurkan pihak sekolah.

Semoga anak-anak yang memulakan alam persekolahan ini akan belajar dengan bersungguh-sungguh agar menjadi insan berbakti kepada agama, bangsa dan negara apabila dewasa kelak.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s