Sekolah Tunas Bakti tawar sijil kemahiran – Bernama


Sekolah Tunas Bakti tawar sijil kemahiran
10 Januari 2014

KUCHING – Lima lagi Sekolah Tunas Bakti (STB) akan menawarkan kursus Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap Satu susulan kejayaan program itu di STB Kuching.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, lima STB terbabit ialah STB Kota Kinabalu, Sabah; STB Taiping, Perak; STB Marang, Terengganu; STB Sungai Lereh, Melaka; dan STB Telok Air Tawar, Pulau Pinang.

“Lima STB berkenaan disasar akan berdaftar sebagai Pusat Bertauliah dan Pusat Bertauliah Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran tahun ini,” katanya dalam sidang media selepas melawat STB Kuching, di sini hari ini.

Katanya STB Kota Kinabalu dan Sungai Lereh masing-masing akan menawarkan latihan dalam bidang jahitan, STB Taiping (bakeri), STB Marang (bakeri dan jahitan), manakala STB Telok Air Tawar (kimpalan).

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengganggarkan seramai 150 penghuni di enam STB, termasuk STB Kuching akan mendapat manfaat melalui kursus yang ditawarkan itu nanti,” katanya.

Mengenai STB Kuching, Rohani berkata institusi itu menawarkan kursus dalam bidang binaan bangunan berasaskan kayu, pertanian dan elektrik.

Sejak 2011, 27 pelajarnya berjaya menamatkan kursus dan lebih membanggakan ada yang sudah mendapat pekerjaan, katanya.

Sementara itu, Rohani berkata, JKM merancang mewujudkan rumah pengantara bagi penghuni yang telah menamatkan tempoh perintah di STB, untuk membolehkan mereka membiasakan diri dengan kehidupan di luar STB.

“Selain itu JKM memikirkan rumah pengantara ini dapat memberi tempat perlindungan sementara sebelum bekas penghuni (yang tidak mempunyai keluarga) mendapat pekerjaan.

“Ada pula kes-kes bekas penghuni tinggal di RKK (Rumah Kanak-kanak) bersama adik-beradik yang lain, dan apabila mencapai umur 18 tahun ada antara mereka berat hati nak tinggalkan RKK kerana adik-beradik masih berada di sana. Justeru mereka juga boleh tinggal di rumah pengantara ini,” katanya.  – Bernama

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s