Guru perlu beriadah kurangkan tekanan kerja – Bernama


Guru perlu beriadah kurangkan tekanan kerja
14 Januari 2014
  • riadah
< 1 / 1 >

KUALA LUMPUR – Meluangkan masa beriadah dan bersukan sekurang-kurangnya 30 minit tiga kali seminggu menjadi antara kaedah terbaik yang boleh diamalkan guru bagi mengurangkan tekanan kerja.

Aktiviti seumpama itu juga dapat memastikan mereka sentiasa kekal cergas, cerdas dan sihat, kata Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional Prof Madya Dr Mohd Ali Hassan.

Beliau berkata, melakukan pemeriksaan kesihatan dan pergigian secara berkala mampu membantu guru mengoptimumkan penjagaan kesihatan, apatah lagi mereka kini berdepan pelbagai cabaran dunia pendidikan yang menuntut mereka untuk terus bermotivasi dan meningkatkan produktiviti.

“Sekiranya guru ‘cuai’ menjaga kesihatan, ini menyebabkan mereka tidak bermaya, tidak bertenaga atau tidak sihat…Apabila kurang sihat mereka ambil cuti sakit dan ini menjurus kepada proses pembelajaran tergendala,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Menurutnya, apabila seorang guru memberi contoh penjagaan kesihatan yang baik, amalan mereka itu secara tidak langsung boleh dicontohi pelajar.

Berkongsi pandangan sama, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Hashim Adnan yakin guru sememangnya memikirkan soal kesihatan, namun risau dan prihatin terhadap prestasi murid menyebabkan ada yang terlepas pandang kerana bertungkus-lumus menyiapkan segala tugasan.

Peka akan pentingnya penjagaan kesihatan dalam kalangan guru mendorong Koperasi Yayasan Guru Malaysia Bhd (KYGMB) menawarkan kad perubatan komprehensif dikenali sebagai MediSihat bagi memudahkan golongan itu mendapatkan rawatan.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah KYGMB, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, produk yang akan diperkenal dalam masa terdekat itu menawarkan polisi insurans perubatan bagi penghospitalan dan pembedahan sehingga RM450,000, selain perlindungan kemalangan peribadi sehingga RM150,000.

Untuk tujuan itu, pihaknya baru-baru ini menandatangani memorandum persefahaman dengan Pathlab Health Management Sdn Bhd, sebuah makmal patalogi dan klinikal.

“Kesihatan adalah aspek penting yang harus diberi perhatian oleh guru, dan kami berharap dengan adanya kemudahan seperti ini mereka sentiasa menjaga kesihatan mereka selain mendapat perlindungan kos rawatan sewajarnya,” katanya.

Keunikan kad MediSihat ini termasuk faedah menjalani pemeriksaan darah komprehensif di hampir 50 cawangan Pathlab.

Bekas Ketua Pengarah Pelajaran itu berkata, pihak koperasi bersedia memberi pinjaman sehingga 10 tahun kepada ahlinya untuk membiayai premium insurans secara keseluruhan, manakala bayaran balik kepada koperasi dilaksanakan melalui potongan gaji.

Justeru, guru-guru digalakkan berdaftar sebagai anggota koperasi bagi memudahkan mereka menikmati keistimewaan kad itu, katanya. – Bernama

Digigit ular sawa luar sekolah – Sinar Harian


Digigit ular sawa luar sekolah
NURULATIQ AHMAD BANDI
14 Januari 2014
  • Digigit ular sawa luar sekolahHairul Nizam melihat kepala anaknya yang cedera digigit ular sawa.
< 1 / 2 >

PORT DICKSON – Seorang murid tahun dua Sekolah Kebangsaan (SK) Port Dickson, dekat sini cedera akibat digigit ular sawa di luar pagar hadapan sekolah berkenaan, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 petang itu, Mohd Hafiy Arsyad Hairul Nizam, 8, digigit ular berkenaan yang panjangnya kira-kira setengah meter.

Bapa mangsa, Hairul Nizam Mohd Safari, 33, berkata, dia mengetahui anaknya digigit ular berkenaan selepas diberitahu pemandu van sekolah anaknya.

Menurutnya, dia bergegas dari tempat kerja ke sekolah sebaik dimaklumkan tentang kejadian tersebut.

“Sebaik tiba di sekolah, saya dapati anak saya sudah dibawa duduk di wakaf bersebelahan pondok pengawal keselamatan di dalam kawasan sekolah. Dia tenang dan tidak menangis sebelum saya segera membawanya ke Klinik Kesihatan Port Dickson untuk rawatan,” katanya.

Penolong Juruteknik Stesen Janakuasa Tuanku Ja’afar itu berkata, anaknya kemudian dikejarkan ke Hospital Port Dickson untuk rawatan dan ditahan di wad.
Katanya, semasa anaknya menerima rawatan di klinik, dia kembali semula ke tempat anaknya digigit ular berkenaan.

“Saya mahu mencari kepastian jenis ular yang menggigit kepala anak saya itu. Selagi tidak jumpa, hati saya risau. Saya cari dari satu pokok ke pokok dalam keadaan berhati-hati, sebelum kira-kira lima minit kemudian saya nampak ada seekor ular.

“Bomba kemudian dipanggil untuk membantu menangkap ular berkenaan,” katanya ketika ditemui di wad kecemasan Hospital Port Dickson, semalam.

Sementara itu, Mohd Hafiy berkata, semasa kejadian dia bersama rakannya baru tamat sesi sekolah dan lalu di bawah pokok berkenaan untuk ke van sekolah.

“Masa lalu bawah pokok, tiba-tiba kepala rasa sakit. Saya mendongak, tiba-tiba nampak ular. Saya terus lari sebelum ada orang tolong. Memang rasa sakit,” kata anak kedua daripada tiga beradik itu.

Dalam pada itu, Pegawai Bomba, Shaharudin Saari berkata, sekumpulan anggota bomba dikejarkan ke tempat kejadian dan berjaya menangkap ular sawa di kawasan berkenaan.

Misi Cuepacs 2014 berat – SInar Harian


Misi Cuepacs 2014 berat
WARTAWAN SINAR HARIAN
14 Januari 2014
  • AZIH MUDAAZIH MUDA
< 1 / 1 >

KONGRESS Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), antara badan popular yang lantang membela hak penjawat awam di negara ini. Penggal 2013-2016, badan ini dinaungi Presiden baharu, AZIH MUDA menggantikan Datuk Omar Osman bagi meneruskan misi memperjuangkan nasib kira-kira 1.4 juta penjawat awam. Walaupun baharu menggalas peranan itu, tanggungjawab berat menanti beliau lebih-lebih lagi tahun ini, berlaku rentetan kenaikan harga barangan yang memberi kesan kenaikan kos sara hidup.

Menyedari cabaran dan beban yang semakin berat bakal digalas, Azih menggariskan hala tuju Cuepacs dan beberapa tuntutan kepada Kerajaan dalam membantu penjawat awam menangani kos sara hidup. Ikuti wawancara Wartawan Sinar Harian, Noor Azura Sahril dan Jurugambar, Zulfadhli Zaki bersama beliau, di pejabatnya.

SINAR HARIAN: Tahniah atas pelantikan sebagai Presiden baharu Cuepacs. Seterusnya, apakah langkah dan hala tuju Cuepacs selepas ini?

AZIH: Umum mengetahui Cuepacs adalah kongres kesatuan sekerja yang bergabung dengan kesatuan sekerja, sama ada di peringkat persekutuan, negeri, badan berkanun atau pihak berkuasa tempatan di seluruh negara.

Segala suara yang berbangkit daripada ahli gabungan ini yang secara keseluruhannya  penjawat awam akan disampaikan kepada Cuepacs, dan Cuepacs merupakan  adalah payung kepada mereka.

Dalam tempoh penggal lalu, hubungan Cuepacs dengan ahli begitu  rapat dan sentiasa  turun padang, ke peringkat akar umbi. Begitu juga dengan penggal ini, saya akan teruskan kesinambungan ini untuk turun padang mendengar dan menyampaikan kepada kerajaan.

Apa yang Cuepacs perlu perkemas adalah hala tuju baharu yang disasarkan bermula 2014, adalah bagaimana soal kebajikan penjawat awam mendapat pembelaan sewajarnya.

SINAR HARIAN: Justeru, apakah fokus Cuepacs dalam membantu golongan ini?

AZIH: Hari ini, kita lihat Malaysia bergerak setanding dengan negara maju. Penjawat awam, yang sebahagian besarnya kumpulan pelaksana ini bekerja keras, berkhidmat dengan majikan mereka iaitu kerajaan.

Apalagi mereka ini adalah tulang belakang kepada kerajaan, ada antara yang berkhidmat sehingga 40 tahun tentunya jasa mereka dihargai  kerajaan, kerana merekalah yang membina negara bangsa. Oleh itu, Cuepacs memahami keluh kesah pekerja, supaya kerajaan mendengar apa yang dilahirkan oleh pekerja.

Bagi memastikan kebajikan ini, Cuepacs juga menitikberatkan soal anak-anak dan keluarga mereka dalam soal  pendidikan, pekerjaan dan utamanya adalah melahirkan modal insan yang mampu menjadi aset negara pada masa akan datang.

Kalau penjawat awam sebilangan besar peratusnya adalah golongan pelaksana, tidak mampu memberi didikan kepada anak mereka setaraf dengan negara maju,  kita bimbang dia tidak akan mampu melahirkan modal insan kepada negara.

Itulah harapan Cuepacs, bukan sahaja kepada penjawat awam, malah negara.

SINAR HARIAN: Tahun 2014, dikatakan tahun kenaikan kos sara hidup.  Penjawat awam juga turut tidak terkecuali menerima tempias kenaikan ini. Apakah inisiatif Cuepacs dalam meringankan beban penjawat awam?

AZIH: Dari segi semasa, kemelut kenaikan kos harga barang adalah fenomena yang berlaku di luar jangkaan kita. Bukan sahaja penjawat awam,  tetapi rakyat di bandar, pinggir bandar dan luar bandar yang disebut sebagai rakyat biasa juga terkesan dengan kenaikan harga barang.

Jika gagal dikawal, penjawat awam jadi miskin seperti dahulu. Terpaksa mencari pekerjaan lain bagi menampung kos perbelanjaan.

Kita lihat secara kasar pun, apabila harga minyak, kenaikan tarif elektrik, kenaikan kadar tol dan pelbagai kenaikan lagi akan mempengaruhi harga barang-barang pengguna dalam pasaran, termasuk bahan mentah.

Kita juga hairan, mengapa syarikat GLC turut  memilih masa ini untuk kenaikan,  TNB umpamanya. Tetapi perlu kita ingat kenaikan tarif ini kepada industri, produk daripada industri ini mahal dan akan dijual dengan harga yang lebih mahal akhirnya pengguna kena bayar kos yang lebih.

Pasaran menentukan harga. Kita bimbang dengan GST pada 1 April 2015, akan dilaksanakan. Sudahlah harga barang naik, ditambah cukai 6 peratus itu. Di mana sumbernya?

Berdasarkan analisis Cuepacs, kos sara hidup yang meningkat antara lapan dan 10 peratus sekarang memberi tekanan kepada penjawat awam khususnya yang tinggal di kawasan bandar besar, memandangkan kenaikan gaji sektor awam hanya sekitar dua hingga 2.5 peratus.

Kumpulan pelaksana 2, yang gaji asasnya RM800 ditambah elaun,  berpendapatan RM1,100 sebulan pastinya tidak mampu menampung kos sara hidup terutamanya di bandar besar.

Pendapatan itu hanya mampu menampung perbelanjaan dua minggu. Akhirnya mereka (penjawat awam) terpaksa mencari kerja lebih masa.

SINAR HARIAN: Apakah cadangan Cuepacs dalam meringankan beban  penjawat awam?

AZIH: Cuepacs dalam menjaga kebajikan mahu kerajaan menaikkan kadar gaji minimum penjawat awam kepada RM1,200 bagi mengimbangi kos sara hidup yang semakin meningkat.

Sepatutnya RM1,200 paling minima dan kita jangka dalam tempoh akan datang, ia akan disemak semula.

Pada 2011, Cuepacs mencadangkan kepada kerajaan supaya memperkenalkan gaji minimum RM900 untuk membantu kelompok kumpulan pelaksana seperti pekerja am rendah, pembantu pejabat dan pemandu yang menerima gaji asas bawah RM700 sebulan.

Kami juga menyarankan kerajaan menyelaraskan Elaun Sara Hidup (Cola) bagi seluruh negara tanpa mengira kawasan luar bandar atau bandar. Kerajaan juga perlu mempertimbangkan kenaikan Cola sedia ada dari RM300 kepada RM450.

Bercakap dengan kenaikan kos, harga di luar bandar adalah lebih mahal berbanding di bandar  kerana logistik. Dengan kenaikan harga minyak dan kadar tol ini meningkatkan lagi  kos logistik.

Selain itu, Cuepacs juga mencadangkan kepada kerajaan, meningkatkan elaun perumahan penjawat awam sedia ada. Dengan kenaikan harga rumah sekarang ini, jumlah sedia ada tidak  mencukupi. Kebajikan perumahan, penting dalam kehidupan keselesaan keluarga. Kita sedia maklum, kenaikan harga rumah sekarang berlaku luar biasa.

Persoalannya, adakah mampu penjawat awam membeli rumah RM150,000 ke atas. Justeru, Cuepacs mencadangkan tidak menswastakan pinjaman perumahan kerajaan.

Cuepacs tidak bersetuju bahagian pinjaman  ia diserahkan kepada bank, yang akhirnya akan memberi bebanan kepada peminjam.

Kerajaan perlu bina rumah lebih rendah daripada rumah Prima, menyegerakan membina rumah di bawah RM90,000 ke bawah termasuk mempertimbangkan kuota 30 peratus dibina oleh  Jabatan Perumahan Negara dibawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

SINAR HARIAN: Adakah Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) oleh kerajaan meringankan beban rakyat menangani kenaikan kos sara hidup?

AZIH:  Saya tidak fikir ia menyelesaikan semua masalah, tetapi mungkin hanya satu dua. Kerajaan beri BR1M sebagai usaha membantu rakyat yang memerlukan.

Subsidi tidak dinikmati oleh golongan sasaran. Oleh itu langkah kerajaan mengurangkan subsidi dan memberikan BR1M benar-benar membantu rakyat. Malah, ada penjawat awam juga mendapat  BR1M.

SINAR:  Bagaimana  pula respons Cuepacs terhadap 11 langkah penjimatan oleh Kerajaan. Adakah itu boleh dianggap usaha  Kerajaan itu memadai, sewaktu rakyat juga diminta berjimat?

AZIH:  Pendekatan penjimatan  yang dilaksanakan kerajaan itu  bertepatan dan wajar diterima semua pihak. Cuepacs menyokong penuh usaha drastik kerajaan dalam memastikan pengurusan kewangannya diurus secara lebih berkhemah dan tidak dibazirkan dengan perbelanjaan tidak relevan.

Mengoptimumkan penggunaan pejabat dan premis kerajaan, Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), pengurangan lima peratus kos utiliti elektrik serta mengetatkan pelantikan juru perunding untuk projek fizikal kerajaan mampu menjimatkan perbelanjaan bulanan. Dalam pada itu, kerajaan perlu  mengurangkan agihan pengurusan projek pembangunan kepada banyak kontraktor, selain memastikan projek yang dilaksanakan tidak terbengkalai atau lewat siap.

SINAR HARIAN: Sebagai badan yang membela hak-hak  penjawat awam, bagaimana respons Kerajaan terhadap tuntutan Cuepacs?

AZIH: Perdana Menteri sentiasa memberi komitmen dan iltizam, kerajaan akan membantu rakyat berpendapatan rendah, lebih-lebih lagi dalam hal kebajikan mereka.

Cuepacs amat mengalu-alukan, malah Cuepacs juga melihat soal kebajikan ini bukan hal retorik.Kita harapkan satu perbincangan dengan kerajaan dalam mencari jalan. Peranan kedua belah pihak memastikan situasi menang-menang agar segala tuntutan dapat dilaksanakan.

Siasatan guru mualaf diarah buka tudung selesai – Sinar Harian


Siasatan guru mualaf diarah buka tudung selesai
WARTAWAN SINAR HARIAN
14 Januari 2014

SENAI – Siasatan berhubung kes seorang guru mualaf di sebuah sekolah  yang diarahkan membuka tudung, di Kota Tinggi, selesai.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman mengesahkan telah mengambil keterangan daripada empat individu berhubung isu tersebut.

“Kita tidak rekod percakapan selain ambil keterangan daripada empat individu yang dikaitkan dalam perkara ini.

“Kes ini dilaporkan pada 8 Januari lalu, di mana pengadu (guru) telah membuat laporan polis dan susulan itu, guru besar dan individu yang dikatakan mengarahkan tindakan terbabit serta seorang penduduk telah diambil keterangan.

“Siasatan kes ini telah selesai dan kita telah hantar ke Peguam Negara bagi tindakan lanjut,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Sementara itu, tindakan mengarahkan guru wanita berusia 25 tahun itu membuka aurat disifatkan menghina agama Islam.

Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadut mempersoalkan adakah kualiti pengajaran seseorang guru itu akan terjejas apabila tenaga pengajar ini menutup aurat dengan mengikut syariat Islam sehingga memaksanya membuka tudung.

“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku dan tindakan  individu tersebut bukan sahaja melanggar undang-undang dan perlembagaan negara, tetapi ia juga jelas menghina agama Islam dan penganutnya.

“Saya amat kecewa dengan perkara yang berlaku dan  saya mendesak pihak berwajib antaranya Jabatan  Pelajaran negeri untuk mengambil tindakan segera  terhadap pihak bertanggungjawab dan jangan bersikap lepas tangan dalam isu ini,” katanya.

Rabu lalu,  seorang guru mualaf  diarah membuka tudungnya oleh ahli jemaah pengurus sekolah  selain diancam keselamatannya sekiranya guru  tersebut enggan berbuat demikian.

Susulan kejadian itu, penduduk di kampung berkenaan, menggantung beberapa kain rentang dan menampal puluhan poster bagi membantah tindakan tersebut kelmarin.

Gajet boleh jadi racun – Bernama


Gajet boleh jadi racun
14 Januari 2014

GAYA ibu bapa menghadiahkan telefon dan tablet berinternet kepada anak mungkin dianggap bersesuaian dengan zaman teknologi, namun ia sebenarnya mampu mempengaruhi si anak kepada masalah sosial, terutama aktiviti seksual luar nikah.

Pengerusi Badan Bertindak Kesedaran Penderaan Seksual Kanak-kanak (MCPSA) Sabri Rahman berkata budaya menghadiahkan gajet kepada anak sebagai pengganti kesibukan ibu bapa perlu dihentikan kerana ia akan menjadi racun yang mendorong berlakunya pelbagai masalah sosial termasuk kes rogol dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

“Mereka (ibu bapa) menyedari kesibukan itu, malangnya mereka tidak mencari jalan untuk meluangkan masa bersama sebaliknya menghadiahkan gajet untuk menggembirakan anak-anak dan menebus waktu kesibukan mereka,” katanya kepada Bernama.

Beliau mengulas mengenai laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mendedahkan kes rogol membabitkan kanak-kanak sejak kebelakangan ini berpunca daripada penyalahgunaan internet membabitkan pelaku yang masih bersekolah.

Siasatan mendapati punca utama mereka terlibat dalam jenayah itu selepas terpengaruh dengan media sosial seperti Facebook dan laman sesawang yang memaparkan video dan bahan-bahan lucah di internet.

Agensi berita di London melaporkan kajian terbaharu ‘The Journal of Pediatrics’ mendapati perbuatan mengirim pesanan serta gambar lucah secara elektronik atau ‘sexting’ berkemungkinan mendorong aktiviti seksual membabitkan bukan sahaja pelajar sekolah tinggi tetapi juga pelajar sekolah rendah berusia 12 hingga 14 tahun.

Jurnal berkenaan mendedahkan kajian yang dijalankan ke atas 420 responden gred tujuh di lima sekolah rendah awam di bandar Rhode Island, Amerika Syarikat mendapati pelajar cenderung untuk bercium, melakukan seks oral atau hubungan seks berbanding rakan sebaya yang tidak menghantar mesej lucah.

Asas kebimbangan Sabri dikukuhkan lagi apabila gajet yang diberikan kepada anak tidak dipantau sebaliknya dibiarkan menjadi ‘sahabat’ yang boleh merosakkan minda terutama untuk golongan kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun.

“Lebih mengecewakan apabila masih ramai ibu bapa yang tidak ‘IT savvy’, mereka sendiri pun tidak tahu menggunakan gajet canggih apa lagi untuk memantau gajet yang digunakan anak-anak,” katanya.

Malah agensi turut melaporkan hasil kajian itu saintis mendapati, ‘sexting’ dikaitkan dengan kecenderungan perlakuan seksual seperti menyentuh alat sulit, seks oral dan seks vagina.

Menurut pengkaji, kumpulan ini empat hingga tujuh kali lebih cenderung melakukan perlakuan seksual lain.

Penceramah bebas Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid pula berkata gajet berinternet ibarat lautan tanpa sempadan mampu memberi masyarakat pelbagai ilmu namun bagi golongan kanak-kanak dan remaja, yang dipenuhi perasaan ingin tahu penerokaan laman sesawang tanpa kawalan pastinya mengundang impak negatif.

“Memang kanak-kanak dan remaja lebih pantas menguasai dunia digital berbanding ibu bapa, sifat kurang matang dan tidak sedar akan membawa kepada akibat negatif yang serius,” katanya.

Antara cadangan lain, Wan Akashah turut meminta agar filem dan drama yang menayangkan adegan mesra suami isteri seperti berpeluk dan bercium tidak disiarkan di kaca televisyen.

Beliau berkata penerbit drama dan filem perlu memberi perhatian isu berkenaan kerana adegan seperti itu yang dianggap biasa bagi golongan dewasa tetapi sebenarnya sesuatu yang baharu bagi kanak-kanak yang mendorong mereka untuk menirunya.

Presiden Lembaga Kaunselor Malaysia Prof Madya Dr Mohamed Fadhil Che Din berkata senario kini menyaksikan banyak kes-kes rangsangan seksual yang ditonton dan dipelajari golongan kanak-kanak dan remaja secara tidak langsung melalui media sosial dan persekitaran.

Justeru beliau berkata untuk membendung kes seumpama itu, ibu bapa dan masyarakat perlu mengambil perhatian serius kerana ia melibatkan pembentukan sahsiah diri generasi masa hadapan. – Bernama

Didakwa rogol remaja sebanyak tiga kali – Sinar Harian


Didakwa rogol remaja sebanyak tiga kali
WARTAWAN SINAR HARIAN
14 Januari 2014
  • Didakwa rogol remaja sebanyak tiga kaliAidi didakwa merogol gadis bawah umur di sebuah bilik di sebuah rumah di Kampung Gaung, 1 Januari lalu.
< 1 / 1 >

– Seorang lelaki yang dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini, semalam mengaku tidak bersalah atas tuduhan merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun sebanyak tiga kali pada awal tahun ini.

Tertuduh, Aidi Mamat, 29, yang merupakan seorang penganggur tidak mengaku bersalah dan memohon untuk dibicarakan atas ketiga-tiga tuduhan tersebut ketika dihadapkan di depan Hakim, Irwan Suainbon.

Dalam tuduhan pertama, Aidi didakwa merogol gadis bawah umur itu di salah sebuah bilik di sebuah rumah di Kampung Gaung, Lemal di sini pada jam 3 pagi, 1 Januari lalu.

Bagi pertuduhan kedua pula, ia dilakukan pada hari yang sama iaitu pada jam 6.30 pagi dan tuduhan ketiga pada jam 9 pagi di tempat yang sama.

Pendakwaan tersebut dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mariah Omar mengikut seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.

Mahkamah menetapkan 10 Februari ini untuk sebutan kes. Tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin dan hakim menasihatkan tertuduh mendapatkan khidmat guaman.

Pengusaha kantin akur turun harga – Kosmo


Pengusaha kantin akur turun harga

 

KUALA SELANGOR – Sebahagian besar pengusaha kantin yang menaikkan harga makanan dan minuman sejak sesi persekolahan bermula awal bulan ini telah akur untuk menurunkan semula harga berikutan campur tangan Kementerian Pendidikan.

Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pihaknya mengarahkan guru besar dan pengetua sekolah terlibat untuk bersemuka dengan pengusaha kantin sekolah masing-masing bagi menangani masalah tersebut.

“Kementerian (Pendidikan) ada terima beberapa aduan rasmi, namun selepas ditegur pengurusan sekolah, pengusaha telah menurunkan semula harga makanan dan minuman di kantin mereka.

“Saya juga telah minta guru besar dan pengetua agar sentiasa memantau harga makanan dan minuman di kantin sekolah masing-masing bagi memastikan murid tidak terbeban,” katanya selepas merasmikan Anugerah Kecemerlangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) peringkat kebangsaan di Sekolah Kebangsaan (SK) Ijok, Bestari Jaya dekat sini semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Timbalan Menteri ditumbuk cikgu – Kosmo


Timbalan Menteri ditumbuk cikgu

 

 

Oleh SUHANA YUSOP, SHAHRULANOOR ISHAK dan NUR AISHAH AMIN
berita@kosmo.com.my

 

KAMALANATHAN yang cedera dirawat sebagai pesakit luar
di Hospital Kuala Kubu Bharu kelmarin.

 

RAWANG – Kira-kira 20 orang yang berada di pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Hulu Selangor di Bukit Beruntung dekat sini kelmarin tergamam menyaksikan P. Kamalanathan (gambar kecil) ditumbuk oleh seorang cikgu yang berang selepas mengesyaki Timbalan Menteri Pendidikan itu bersikap tidak wajar terhadap bapanya.

Kejadian pada pukul 2.30 petang itu dikatakan berlaku sebelum Kamalanathan yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat MIC mengadakan mesyuarat bersama 20 anggota Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Hulu Selangor.

Sebelum memulakan mesyuarat, Kamalanathan, 48, yang juga Ahli Parlimen Hulu Selangor bersalaman dengan semua yang hadir.

“Semasa bersalaman itu datang seorang lelaki yang dikenali berusia 30 tahun untuk berjabat tangan dengan Kamalanathan tetapi lelaki itu dikatakan menggenggam kuat tangan Kamalanathan,” kata sumber itu.

Kamalanathan yang merasakan ada sesuatu yang tidak kena bertanya mengenai tindakan lelaki itu sebelum cikgu itu bertanya Kamalanathan kenapa dia bersikap tidak wajar terhadap bapanya.

Serentak pertanyaan itu, lelaki yang mengajar di sebuah sekolah di Batang Kali dikatakan terus melepaskan satu tumbukan kuat ke leher Kamalanathan sebelum meninggalkan pusat khidmat itu.

DI ruang pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Hulu Selangor di Bukit Beruntung inilah Kamalanathan didakwa ditumbuk oleh seorang guru lelaki.

 

Sumber itu memberitahu, siasatan polis mengesyaki suspek naik berang selepas beranggapan Kamalanathan bertindak mengusir bapanya yang juga bekas seorang guru besar yang datang berjumpa dengan mangsa semasa program pemeriksaan mata di pusat khidmat itu antara pukul 8 pagi hingga 2 petang pada hari sama.

“Semasa pertemuan itu, bapa suspek dikatakan memohon supaya menantunya (isteri suspek) yang bekerja sebagai guru Bahasa Inggeris di Batu Pahat, Johor ditukarkan ke Hulu Selangor.

“Bagaimanapun, Kamalanathan memberitahu, dia hanya boleh memberi surat sokongan dan tidak lebih daripada itu sambil menerangkan guru Bahasa Inggeris memang sukar untuk ditukarkan,” kata sumber itu lagi.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Pantau harga kantin sekolah – Metro


Pantau harga kantin sekolah

Oleh Na’imah Mohamed

Kuala Selangor: Kementerian Pendidikan meminta guru memantau harga makanan di kantin sekolah dilaporkan naik mendadak sejak sesi persekolahan dibuka baru-baru ini.

Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh berkata, ia bagi memastikan tidak berlaku perbuatan mengambil untung yang keterlaluan dengan menggunakan peluang yang ada untuk menaikkan harga barang.
“Saya harap masyarakat sedar, walaupun ada berlaku kenaikan harga barang seperti petrol dan tarif elektrik, pengusaha kantin tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil kesempatan dengan meraih keuntungan berlipat kali ganda.

 

“Kementerian mahu rakyat dan sekolah memainkan peranan. Ada beberapa aduan diajukan kepada saya, tetapi apabila guru di sekolah menegur pengusaha kantin, mereka menurunkan harga dan kita tidak mengambil tindakan,” katanya ketika sidang media pada Majlis Anugerah Kecemerlangan UPSR 2013 peringkat Kebangsaan di Sekolah Kebangsaan Ijok, semalam.
Terdahulu, ketika berucap, Idris berkata semua pihak perlu memberi sedikit masa kepada KPM untuk merealisasikan pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM) kerana ia mempunyai tempoh sehingga 2025, dan bukan mengkritiknya dalam akhbar dan blog.
Katanya, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah menyediakan satu pelan pendidikan yang begitu baik sehingga mendapat pengiktirafan badan dunia seperti Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

 

“Sebagai permulaan, peningkatan memberangsangkan dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2013 terutama di sekolah luar bandar, membuktikan pelan PPPM baru dilancarkan tahun lalu adalah satu pencapaian baik. “Tahun ini, kita raikan 46 sekolah yang mendapat keputusan baik di seluruh negara. Banyak sekolah di Sabah dan Kelantan, sekolah luar bandar juga menunjukkan prestasi yang baik.
“Perkara pertama iaitu akses pendidikan menjadi asas kepada pelan PPPM sudah mula dirasai sekolah luar bandar,” katanya.

 

Pada majlis itu, seramai 46 guru besar dari sekolah rendah di seluruh negara menerima Anugerah Kecemerlangan UPSR 2013, mengikut kriteria yang ditetapkan termasuk satu sekolah pendidikan khas iaitu Sekolah Rendah Pendidikan Khas Kota Kinabalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/14

Tolonglah anak saya – Metro


Tolonglah anak saya

Oleh Nur Lela Zulkipli

Kuala Lumpur: “Mama boleh tak bedah kaki adik dan ganti kaki baru? Adik nak pergi sekolah macam kawan-kawan lain.” Itu permintaan seorang kanak-kanak orang kelainan upaya (OKU) selepas terpaksa berhenti sekolah berikutan tiada kemudahan untuk OKU sepertinya disediakan.

Alliy A’fif Kamaron Zaman, 9, yang menghidap penyakit lemah otot sejak berusia enam bulan terkilan selepas permintaannya supaya kelasnya di tingkat tiga ditempatkan ke tingkat bawah tidak dilayan oleh pengurusan sekolah.
Menurut ibu kanak-kanak berkenaan Widyawati Mohd Nor, 35, lebih menyedihkan apabila guru besar sekolah anaknya belajar seolah-olah menghalau Alliy A’fif daripada meneruskan persekolahan di sekolah berkenaan.

 

Katanya, berikutan itu, dia hanya mampu meminta surat berhenti sekolah daripada pengurusan sekolah berkenaan selepas anaknya tidak mampu menaiki tangga selain berisiko untuk jatuh. “Pihak sekolah memberi alasan bahawa nama kelas sudah diletakkan di pintu kelas sedia ada dan menyusahkan untuk ditukar ke tingkat lain.
“Saya sedih mengapa sistem semudah ini tidak boleh ditukar sedangkan keadaan anak saya yang tidak boleh berjalan perlu diutamakan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Harian Metro turut difahamkan Alliy A’fif memperoleh keputusan memuaskan di sekolah berkenaan ketika tahun satu dan dua, namun pada tahun ini langsung tidak dapat hadir ke sekolah berikutan kedudukan kelasnya di tingkat atas.

 

Menurutnya, keadaan bertambah sukar apabila kelas anaknya itu pada tahun ini terletak di tingkat tiga hingga memerlukan pembantu bagi mengangkat Alliy A’fif yang mempunyai berat badan melebihi 30 kilogram.
Widyawati berkata, dia tidak meminta anaknya itu diberikan layanan istimewa, cukup memadai dia diberikan kelas di tingkat bawah sesuai dengan keadaan fizikalnya.

 

“Anak saya hingga sekarang tidak dapat ke sekolah dan hanya menunggu jawapan daripada sekolah yang lebih jauh untuk menerimanya memandangkan sekolah itu mempunyai kemudahan lif.
“Saya hanya mahukan anak saya menerima pendidikan seperti kanak-kanak sebaya, bukannya diabaikan seperti ini,” katanya.
Ibu kepada tiga anak itu kini menunggu jawapan daripada Sekolah Kebangsaan Seri Bintang Selatan untuk menempatkan Alliy A’fif memandangkan hanya sekolah berkenaan yang menyediakan lif. “Kini saya perlu tunggu hingga hujung bulan ini jika sekolah yang dipohon terdapat kekosongan, namun jika tiada, saya buntu untuk menyelesaikan masalah anak saya ini.
“Doktor mengesahkan anak saya hanya tidak berupaya untuk berjalan sendiri dan perlu menggunakan kerusi roda, namun dia normal dari segi tahap intelektual,” katanya.
Sementara itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Sri Permaisuri, Cheras ketika dihubungi Harian Metro enggan mengulas lanjut mengenai keadaan dihadapi Alliy A’fif.
Pada masa sama, jurucakap Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan berkata, kanak-kanak OKU lebih sesuai ditempatkan di sekolah yang mempunyai kemudahan lif.
“Sebuah sekolah tidak boleh sewenang-wenangnya boleh mengubah kedudukan kelas atas beberapa faktor seperti mungkin terdapat susunan tertentu bagi sesebuah sekolah itu.
“Bagaimanapun, JPWP sudah dimaklumkan mengenai keadaan Alliy A’fif dan sedang mencuba sedaya upaya untuk ditempatkan ke sekolah yang dipohon,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/14