11 Sekolah Rendah Di Sabah Ditutup Akibat Banjir – Bernama


11 Sekolah Rendah Di Sabah Ditutup Akibat Banjir

KOTA KINABALU, 15 Jan (Bernama) — Sebelas buah sekolah rendah di empat buah daerah di Sabah ditutup akibat banjir ekoran hujan berterusan sejak awal pagi semalam.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) Datuk Jame Alip berkata sekolah itu terletak di Kota Kinabalu, Sipitang, Kota Belud dan Sipitang.

“Kota Kinabalu melibatkan empat buah sekolah iaitu SK St Cathrine, SK Gudon, SK Kebayau dan SK Tombongon. Di Tuaran, ia melibatkan dua buah sekolah iaitu SJK (C) Chung Hwa Tenghilan dan SK Kauluan.

“Di Kota Belud, ia melibatkan tiga buah sekolah iaitu SK Menunggui, SK Tampasuk 1 dan SK Lasau Tintapon.

Di Sipitang, dua buah sekolahnya ialah SK Lubuk Darat dan SK Kawang manakala SJK (C) Sin Boon tidak ditutup namun kelasnya dipindah ke tingkat atas,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata sekolah-sekolah itu menampung kira-kira 2,000 murid.

Jame berkata sekolah-sekolah berkenaan akan dibuka semula setelah air banjir surut kecuali bagi sekolah yang turut terlibat dengan tanah runtuh.

Sementara itu di Tuaran, sebuah keluarga di Kampung Mongkolud telah berpindah atas nasihat JKR disebabkan tanah runtuh.

Setiausaha Bencana Alam Daerah Tuaran, Abdullah Sani berkata lima anggota keluarga terbabit kini tinggal di rumah keluarga mereka yang lain.

“Pihak Jawatankuasa Bencana Alam Daerah Tuaran akan memantau keadaan di kawasan yang berisiko dinaiki air dan tanah runtuh. Sebarang pertanyaan boleh dimajukan ke bilik urusetia bencana alam di talian 088-093055,” katanya.

— BERNAMA

SJKT Seaport Hanya Dipindah, Bukan Ditutup – Kamalanathan – Bernama


SJKT Seaport Hanya Dipindah, Bukan Ditutup – Kamalanathan

 

Kamalanathan menyampaikan ucapannya kepada ibu bapa murid SJKT Seaport ketika melakukan lawatan ke sekolah itu pada Rabu.- fotoBERNAMA

 

PETALING JAYA: Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil)(SJKT) Seaport tidak ditutup sebaliknya dipindahkan ke lokasi baharu, kata Timbalan Menteri Pendidikan P. Kamalanathan.

Beliau berkata jumlah keseluruhan sekolah Tamil masih kekal 523 buah, termasuk SJKT Seaport yang dipindahkan ke Kampung Lindungan di sini.

“Sekolah ini dipindahkan berikutan tapak lama SJKT Seaport tidak dapat dibuat pembangunan (naik taraf sekolah) kerana tanah itu dimiliki beberapa pihak termasuk Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor.

“Jadi, saya ingin memberi peringatan kepada pihak tertentu agar tidak terus menyebarkan berita tidak benar bahawa sekolah ini ditutup,” katanya selepas melawat sekolah dan bertemu ibu bapa serta penjaga murid di tapak sekolah baharu itu, Rabu.

Hadir sama Pengarah Pendidikan Selangor Datuk Mahmud Karim dan Guru Besar sekolah, M. Panginiammal.

SJKT Seaport baharu yang dibina kira-kira tiga kilometer dari lokasi lama memiliki satu blok bangunan empat tingkat dan mula digunakan awal bulan ini melibatkan 170 murid dan 16 guru.

Beberapa portal berita sebelum ini melaporkan 23 murid SJKT Seaport memulakan sesi persekolahan di bawah pokok di sebuah tanah lapang dengan mendakwa sekolah itu ditutup secara tiba-tiba sebelum sesi persekolahan tahun ini bermula.

Kamalanthan berkata ibu bapa dan penjaga kumpulan murid itu perlu segera memasukkan anak-anak mereka ke sekolah bagi mengelakkan masalah seperti murid terlepas untuk didaftarkan sebagai calon UPSR atau mengambil peperiksaan. – BERNAMA

Tumbuk Timbalan Menteri Pendidikan, Muhammad Rizuan Diberi Surat Tunjuk Sebab – mStar


Tumbuk Timbalan Menteri Pendidikan, Muhammad Rizuan Diberi Surat Tunjuk Sebab

 

P. Kamalanathan ketika dirawat selepas ditumbuk oleh Muhammad Rizuan pada Isnin lalu.

 

PETALING JAYA: Penolong Setiausaha Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Hulu Selangor, Muhammad Rizuan Suhaimi diberikan surat tunjuk sebab oleh Ibu Pejabat Umno berikutan tindakanya menumbuk Timbalan Menteri Pendidikan, P. Kamalanathan.

Setiausaha Agung Umno, Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, surat tunjuk sebab itu merupakan tindakan awal daripada pihak parti sebelum tindakan lanjut diambil.

Menurutnya, Umno memandang serius terhadap tindakan Muhamamad Rizuan selain kesal dengan insiden yang tidak sewajarnya berlaku.

“Sehubungan itu Ibu Pejabat Umno akan mengambil tindakan terhadap beliau (Muhammad Rizuan) dan telah mengajukan surat tunjuk sebab yang perlu dijawab sebelum tindakan lanjut diambil.

“Umno juga menolak tindakan kekerasan dalam apa-apa penyelesaian masalah sebagaimana yang telah dilakukan oleh pihak terbabit terhadap Kamalanathan,” katanya dalam satu kenyataan di sini Rabu.

Beliau berkata, Umno tetap berpendirian teguh untuk menyelesaikan sebarang masalah melalui mesyuarat dan perbincangan tanpa melibatkan sebarang pertelingkahan atau kekasaran yang mengundang keadaan lebih buruk.

Hasrat remaja belajar tahfiz tidak kesampaian – Sinar Harian


Hasrat remaja belajar tahfiz tidak kesampaian
WARTAWAN SINAR HARIAN
15 Januari 2014
  • Hasrat remaja belajar tahfiz tidak kesampaian
< 1 / 1 >

BANDARAYA MELAKA – Hajat seorang remaja untuk menjadi pelajar tahfiz tidak kesampaian apabila dia dan rakannya maut dalam kemalangan di Jalan Bukit Rambai/Tanjung Minyak di sini, pagi semalam.

Muhammad Nur Alif Adzhar, 15, meninggal dunia selepas motosikal diboncengnya dilanggar sebuah kereta berhampiran Taman Perwira Cheng 2, dalam kejadian kira-kira  jam 5.30 pagi.

Difahamkan Alif  seorang pekerja kilang perabot dan rakannya Muhammad Sharmeen Ab Malek, 17, yang juga pelajar tingkatan lima, Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Rambai dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Rambai Indah selepas keluar minum kira-kira jam 4 pagi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman ketika dihubungi berkata, kedua-dua mangsa dipercayai dilanggar sebuah kereta dari arah bertentangan di Persimpangan Lampu Isyarat Tanjung
Minyak dan Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ).

“Kereta dipandu seorang lelaki berusia 38 tahun dikatakan mengelak sebuah motosikal yang tiba-tiba keluar dari simpang Jalan Perwira, Cheng di sebelah kiri sebelum terbabas ke lorong bertentangan dan merempuh motosikal dinaiki kedua-dua mangsa.

“Pemandu kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan manakala mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, ibu saudara Alif, Maria Md Isa, 44, berkata, anak saudara yang memanggilnya Mama itu dikatakan sebelum kejadian itu, sempat bermain futsal bersama Sharmeen dan rakan mereka dengan menaiki motosikal milik ibu saudara lain.

“Mereka yang tinggal berdekatan dikatakan pulang ke rumah kira-kira jam 4 pagi sebelum keluar semula menaiki motosikal milik bapa Sharmeen untuk minum di kedai.

Tambah Maria, Alif  pernah menyatakan hasrat untuk menjadi penghafaz al-Quran sekiranya tidak dapat menyambung semula pelajaran di tingkatan tiga ketika mereka bertemu kelmarin.

Bapa maut, anak cedera nahas – Sinar Harian


Bapa maut, anak cedera nahas
NORFARAHAH OTHMAN
15 Januari 2014
  • Bapa maut, anak cedera nahasOrang ramai melihat pasukan paramedik membawa seorang mangsa ke hospital. Gambar kecil: Mohd Nor Manap.
< 1 / 1 >

BENTONG – Hasrat seorang anak untuk menghantar ayah ke hospital untuk menerima rawatan sesak nafas tidak kesampaian apabila mereka sekeluarga kemalangan di Kilometer 12 Jalan Lama Bentong-Kuala Lumpur kira-kira jam 11.15 pagi semalam.

Dalam kejadian itu, mangsa, Mohd Nor Manap, 66, meninggal dunia selepas kereta jenis  Proton Saga dinaiki bersama tiga yang lain bertembung dengan lori jenis Hicom.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohamad Nor berkata, ketika kejadian, mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan duduk di bahagian penumpang hadapan manakala anak lelakinya, 22, memandu kenderaan.

Menurutnya, turut berada dalam kenderaan itu ialah menantu perempuannya berusia 18 tahun dan anak perempuan mangsa berusia 15 tahun dalam perjalanan dari arah Gombak ke Bentong.

“Siasatan awal mendapati lori dari arah Bentong ke Gombak yang dipandu lelaki berusia 28 tahun itu bertembung dengan kereta mangsa ketika tiba di tempat kejadian.

“Akibat kejadian itu, kenderaan dinaiki empat sekeluarga itu remuk di bahagian depan namun kesemua mereka berjaya dibawa keluar dengan bantuan orang awam,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohamad Mansor berkata, kesemua mangsa dibawa ke Hospital Bentong untuk rawatan manakala pemandu lori tidak mengalami kecederaan.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia akibat parah di bahagian kepala manakala tiga yang lain cedera ringan.

“Siasatan juga mendapati keadaan jalan lurus dua hala tidak sibuk dan cuaca terang ketika kejadian berlaku,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

100 murid terselamat blok bangunan ranap akibat banjir lumpur di Tamparuli – Berita Harian


100 murid terselamat blok bangunan ranap akibat banjir lumpur di Tamparuli

2014/01/15 – 18:47:38 PMCetakEmel Kawan
TAMPARULI: Kira-kira 100 murid Sekolah Kebangsaan Bawang, di sini, terselamat apabila satu daripada tiga blok bangunan sekolah itu ranap akibat banjir lumpur, sebentar tadi.

PELAKSANAAN BAUCAR BUKU 1MALAYSIA TAHUN 2014


PELAKSANAAN BAUCAR BUKU 1MALAYSIA TAHUN 2014

Kategori Surat Siaran
Bil 20
Tahun 2014
Jabatan Bahagian Kewangan
Fail Surat Siaran Pelaksanaan Baucar Buku 1Malaysia Tahun 2014
Garis Panduan Pelaksanaan Baucar Buku 1Malaysia Tahun 2014
Tarikh 01 January 2014

SEMAKAN PENEMPATAN PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN SISWAZAH BIL 2/2014 (DPLI-GSTT AMBILAN KHAS)


SEMAKAN PENEMPATAN PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN SISWAZAH BIL 2/2014 (DPLI-GSTT AMBILAN KHAS)

15 January 2014
Sukacita dimaklumkan bahawa Semakan Penempatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah Bil 2/2014 (DPLI-GSTT AMBILAN KHAS) boleh dibuat di Laman Web Rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia bermula 13 Januari 2014 (Isnin) jam 5.00 petang sehingga 17 Januari 2014 (Jumaat).