Tumbuk Kamalanathan: KJ tak akan pertahan ahlinya – Bernama


Tumbuk Kamalanathan: KJ tak akan pertahan ahlinya
 
16 Januari 2014
  • Khairy JamaluddinKhairy Jamaluddin
< 1 / 1 >

KUALA LUMPUR – Pemudo Umno tidak boleh mempertahan tindakan seorang ahlinya menumbuk Timbalan Menteri Pendidikan, P.Kamalanathan baru-baru ini, kata Ketua pergerakan itu, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata apa jua sebab atau tekanan yang dihadapi anggota berkenaan iaitu Penolong Setiausaha Pemuda Umno Hulu Selangor, Muhammad Rizuan Suhaimi, tindakan agresif seperti itu tidak boleh diambil terhadap Kamalanathan atau sesiapa sahaja.

“Dia ada berjumpa dengan saya dan menjelaskan faktor-faktor berlakunya insiden itu. Saya terima penjelasan itu namun apapun sebabnya, kita tidak boleh bertindak secara fizikal,” katanya kepada pemberita selepas meninjau harga di Pasar Borong Kuala Lumpur.

Khairy berkata surat tunjuk sebab yang diminta Pengurusan Umno ialah bagi membolehkan Muhammad Rizuan menyatakan versi beliau berhubung insiden itu dan menyerahkan kepada proses disiplin parti untuk meneliti kes berkenaan.

Pada 12 Januari lepas, Kamalanathan ditumbuk seorang lelaki di pejabat wakil rakyat itu selepas satu program di kawasan Hulu Selangor. – Bernama

Lima sekolah masih ditutup akibat banjir di Sabah – Kosmo


Lima sekolah masih ditutup akibat banjir di Sabah

 

16/01/2014 1:41pm

 

KOTA KINABALU – Lima buah sekolah rendah di empat daerah di negeri ini masih ditutup akibat banjir ekoran hujan lebat sejak kelmarin.

Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah, Datuk Jame Alip berkata, lima sekolah tersebut adalah SK Kesapang dan SK Pituru di Kota Belud, SK Litang di Kinabatangan, SJK (C) Sin Boon di Sipitang dan SK Bawang di Tamparuli.

“Penutupan sekolah ini melibatkan lebih 500 orang murid dan 79 orang guru,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. – KOSMO!

SK Bawang guna kabin sebagai kelas sementara – Bernama


SK Bawang guna kabin sebagai kelas sementara

 

16/01/2014 1:55pm

 

KOTA KINABALU – Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah, Datuk Jame Alip memberitahu sebuah kabin akan dijadikan kelas sementara bagi menggantikan sebuah blok Sekolah Kebangsaan Bawang, Tamparuli yang runtuh dilanda banjir lumpur semalam.

Beliau berkata, pihaknya telah memohon peruntukan dengan Kementerian Pendidikan untuk membina kabin itu.

Sebuah lagi blok sekolah itu yang turut dilanda banjir lumpur masih boleh digunakan, katanya kepada pemberita semasa meninjau sekolah itu hari ini.

Murid tahun satu, lima dan enam yang sedang belajar di blok itu sempat meninggalkan kelas semasa kejadian kira-kira 10 pagi itu.

Jame berkata, bagaimanapun sekolah yang mempunyai 124 pelajar dan 19 guru itu terpaksa ditutup buat sementara waktu sehingga keadaan benar-benar stabil.

“Untuk jangka masa panjang, sekolah ini perlu dipindahkan ke kawasan yang sesuai memandangkan keadaan tanah yang mendap dan tidak sesuai dari segi faktor keselamatan kepada para pelajar,” katanya. – Bernama

Kementerian Pendidikan sedia berbincang dengan pengusaha kantin sekolah – Kosmo


Kementerian Pendidikan sedia berbincang dengan pengusaha kantin sekolah

 

16/01/2014 2:49pm

 

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan bersedia untuk berbincang dengan pengusaha kantin bagi mencari mekanisme terbaik menangani kenaikan harga makanan di sekolah.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, kementerian akan meneliti dan mengenal pasti bantuan yang boleh diberikan kepada mereka supaya kenaikan harga makanan tidak berlaku.

Menurutnya, langkah tersebut diambil bagi memastikan pelajar tidak menanggung beban ekoran kenaikan kos harga barang yang dipercayai menekan para pengusaha pada ketika ini. – KOSMO!

Kerajaan lancar kad pengenalan seragam penjawat awam – Bernama


Kerajaan lancar kad pengenalan seragam penjawat awam

 

16/01/2014 4:41pm

 

PUTRAJAYA – Kerajaan hari ini melancarkan kad pengenalan seragam bersekuriti tinggi untuk semua kakitangan kerajaan sebagai langkah mengelakkan penyamaran dan pemalsuan dokumen pengenalan penjawat awam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Joseph Entulu Anak Belaun semasa melancarkan kad itu di sini berkata, selain menyimpan data peribadi dan rekod penjawat awam, kad itu menggunakan teknologi ID forensik untuk mengelakkan kecurian dan pemalsuan identiti oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, kad yang dibangunkan secara bersama oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan S5 Systems Berhad itu dilengkapi 35 ciri keselamatan dan menggunakan teknologi NexCode, Contactless Chip dan Biometric untuk mengesan identiti individu.

Kad itu juga mempunyai potensi untuk diperluaskan penggunaannya bagi urusan perniagaan dan perbankan pada masa depan, dan juga untuk mendapatkan keistimewaan khas penjawat awam seperti potongan harga penginapan hotel, katanya.

Tambahnya, kad itu kini digunakan oleh 650 kakitangan SPA, dan akan diperluas penggunaannya kepada kakitangan kementerian dan agensi lain secara berperingkat, terpulang kepada kesediaan mereka menggunakannya. – Bernama

SK Temai cuti 2 hari – Metro


SK Temai cuti 2 hari

Pekan: Jabatan Pendidikan negeri memberi cuti dua hari kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Temai, di sini, mulai semalam selepas dinaiki air sejak kelmarin.

Banjir yang berlaku berikutan limpahan air Sungai Pahang itu menyebabkan tiga kelas, dewan dan kantin sekolah dimasuki air setinggi 0.5 meter dan memaksa peralatan dipindahkan ke tempat tinggi.
Pengarahnya Rosdi Ismail berkata, bagi menjamin keselamatan murid, guru dan kakitangan, cuti selama dua hari diberikan dan jika air tidak surut, tambahan cuti sehari lagi akan diberikan. Menurutnya, keseluruhan kawasan SK Temai termasuk padang permainan dinaiki air dan tidak selamat untuk aktiviti persekolahan, justeru keputusan menutup sekolah berkenaan terpaksa dilakukan.

 

“Bulan lalu sekolah berkenaan turut ditenggelami banjir lebih dua meter dan menjadi pusat pemindahan yang menempatkan lebih 120 mangsa terdiri daripada penduduk setempat.
“Kali ini gelombang kedua sekali lagi melanda, walaupun paras air tidak terlalu tinggi berbanding bulan lalu, namun tindakan menutup tetap dilakukan bagi menjamin keselamatan murid, guru dan kakitangan sekolah,” katanya, di sini, semalam.
Guru besar SK Temai Sarehat Mokhtar berkata, air mula naik kelmarin hingga memaksa guru dan kakitangan sekolah memindahkan pelbagai peralatan dan perabot dalam kelas prasekolah ke tempat tinggi. Katanya, banjir gelombang kedua berlaku selepas air Sungai Pahang yang terletak beberapa meter melimpah dan masuk ke dalam kawasan sekolah termasuk padang permainan.

 

“Kita berharap air cepat surut dan tidak bertahan terlalu lama seperti yang berlaku bulan lalu, banjir bulan lalu bertahan lebih dua minggu dan menyebabkan banyak kerosakan.
“Tidak mustahil air akan naik sekiranya hujan terus berlaku yang menyebabkan air Sungai Pahang melimpah,” katanya yang berharap penjaga tidak membenarkan anak mereka ke sekolah selagi air belum surut.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/16

Jumlah sekolah tutup kurang – Metro


Jumlah sekolah tutup kurang

Kota Bharu: Jumlah sekolah yang ditutup akibat banjir di negeri itu berkurangan kepada 10 sekolah semalam berbanding 22 sekolah sebelum ini.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan Hussain Awang berkata, 10 sekolah yang ditutup itu adalah di daerah Pasir Mas dan Tumpat.
“Di Tumpat, dua sekolah yang ditutup adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Bendang Pak Yong dan Sekolah Agama Bantuan Penuh Kerajaan (SABK) Nurul Huda.

 

“Di Pasir Mas pula sekolah yang ditutup adalah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Khay Boon, SK Bakong, SK Seri Rantau Panjang 1, SK Rantau Panjang, SK Gelang Mas, SABK Al Falah Siram, SABK Diniah Bonggor dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang,” katanya.
Menurutnya, sehingga kini, jumlah murid dan pelajar yang tidak dapat bersekolah adalah seramai 4,840 daripada 183 kelas, manakala jumlah guru pula 407 orang.
Sementara itu, banjir di negeri ini semakin pulih apabila hanya 772 mangsa membabitkan 321 keluarga ditempatkan di dua pusat pemindahan di daerah Pasir Mas sehingga jam 7 malam, semalam.

 

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan Datuk Mat Rahim Ismail berkata, Sungai Golok di Rantau Panjang masih merekodkan paras bahaya melebihi 9.57 meter.
“Manakala Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat pula menunjukkan bacaan 2.33 meter iaitu melebihi paras amaran (2.15 meter).

 

“Sekali gus air Sungai Golok di Rantau Panjang mula beralih ke Tumpat,” katanya.
Menurutnya, paras air di Sungai Golok dekat Kuala Jambu, Tumpat kini dilaporkan meningkat kepada paras bahaya dan melimpah ke Kampung Simpangan, Tumpat.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/16

PPS diperluas ke 200 sekolah rendah – Metro


PPS diperluas ke 200 sekolah rendah

Kuala Lumpur: “Tugas mereka dianggap mustahak supaya semua masalah yang berlaku di sekolah dapat diketahui dengan lebih cepat sebelum sebarang tindakan lanjut dilakukan,” kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh.

Anggota polis yang ditugaskan sebagai Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) kini mula diperluaskan ke 200 sekolah rendah di seluruh ibu negara selepas ia diperkenalkan di sekolah menengah pada Oktober tahun lalu. Menurutnya, statistik pihaknya menunjukkan kira-kira 500 sekolah rendah dan menengah sudah mempunyai PPS.
“Pengagihan pegawai PPS berpangkat Konstabel hingga Sarjan adalah bergantung kepada jumlah murid dan permasalahan yang berlaku di sekolah terbabit,” katanya pada sidang media selepas Majlis Dialog Bersama Guru Besar Sekolah Rendah dan PPS Kuala Lumpur di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM), Cheras, di sini, semalam. Hadir sama, Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Ismail Musa dan Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Seri William Lim Wie Tee.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/16

Ibu bapa sambut baik – Metro


Ibu bapa sambut baik

Kuching: Tindakan pengurusan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Setia, di sini, menangguhkan sesi persekolahan buat sementara hingga Isnin depan disambut baik ibu bapa yang berharap serangan histeria terhadap pelajar dapat diselesaikan.

Seorang bapa pelajar yang dikenali sebagai Amir, 43, berkata, dia mendapat tahu kejadian histeria yang berlaku di sekolah anaknya sejak Jumaat lalu, tetapi tidak mengendahkannya dan menganggapnya perkara biasa.
“Anak saya ada memaklumkan mengenai kejadian yang berlaku di sekolahnya, tetapi saya tetap mengarahkannya bersekolah kerana sesi persekolahan baru saja bermula.

 

“Namun, pagi ini (semalam), saya terkejut apabila dimaklumkan anak lelaki diserang histeria dan terus bergegas ke sekolah untuk memeriksa keadaannya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tabuan Melayu, di sini, semalam.
Amir berkata, dia berharap pengurusan sekolah terbabit mencari jalan penyelesaian bagi mengelakkan perkara itu berulang dengan mendapatkan khidmat pakar dalam mengatasi masalah gangguan berkenaan.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/16

Pengsan lihat lembaga – Metro


Pengsan lihat lembaga

Oleh Nur Nadia Hafiza Jamaluddin

Kuching: “Saya melihat satu lembaga berambut panjang keluar daripada badan rakan yang dirawat seorang ustaz dan menuju ke arah saya.

“Selepas itu, saya terus tidak sedarkan diri,” kata Akilah Mansur, 17.

Dia antara 70 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Setia, di sini, yang diserang histeria ketika perhimpunan pagi di dewan sekolah, Isnin lalu dan berulang lagi, semalam.

Masalah itu yang dikatakan bermula sejak Jumaat minggu lalu memaksa pihak pengurusan menutup sekolah itu enam hari, bermula semalam.

FotoKAKAK kepada pelajar yang mengalami histeria, Azian Ibrahim (kanan) menunjukkan luka dialami adiknya, Natasha.

Mengimbas kejadian Isnin lalu, Akilah berkata, pada mulanya dia cuba menenangkan beberapa rakannya yang ketakutan selepas diserang histeria.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/16