SEMAKAN PENEMPATAN GURU BAHARU LEPASAN DIPLOMA PERGURUAN LEPAS IJAZAH – SEKOLAH RENDAH (DPLI-SR) BAGI TAHUN 2014


SEMAKAN PENEMPATAN GURU BAHARU LEPASAN DIPLOMA PERGURUAN LEPAS IJAZAH – SEKOLAH RENDAH (DPLI-SR) BAGI TAHUN 2014

16 January 2014

Sukacita dimaklumkan bahawa GURU BAHARU LEPASAN DIPLOMA PERGURUAN LEPAS IJAZAH – SEKOLAH RENDAH (DPLI-SR) BAGI TAHUN 2014 yang telah diperaku boleh disemak di portal KPM mulai 16 Januari 2014 jam 6.00 petang ini sehingga 30 Januari 2014.

Tarikh penempatan adalah mulai 20 Januari 2014. Bagi guru yang ditempatkan ke negeri Sabah, Sarawak dan Labuan, sila lapor diri di IPG Kampus Pendidikan Teknik pada masa dan tarikh yang ditetapkan. Harap maklum.

Sila layari: http://apps.moe.gov.my/gsst/semakanJan2014ren/

Warga Pakistan dituduh mencabul – Sinar Harian


Warga Pakistan dituduh mencabul
WARTAWAN SINAR HARIAN
17 Januari 2014

SEREMBAN – Seorang pekerja kedai kain warga Pakistan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam, atas tuduhan mencabul kanak-kanak berusia sembilan tahun, dalam kejadian awal Januari lalu.

Tertuduh, Muhammad Sallem, 28, yang diwakili peguam Mohamad Zahid Ahmad mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas pertuduhan yang dibacakan kepadanya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Siti Khairiah Abdul Razak.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa di sebuah butik di Nilai 3, di sini kira-kira 5 petang, pada 6 Januari lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Sara Afiqah Zulkipli mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau kedua-duanya.

Terdahulu, tertuduh merayu agar dikenakan wang jaminan yang rendah memandangkan dia datang ke negara ini untuk bekerja bagi menanggung ahli keluarganya di Pakistan dengan memperoleh pendapatan sebanyak RM800 sebulan.

Siti Khairiah menetapkan wang jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin warga tempatan serta pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Beliau menetapkan sebutan kes pada 17 Februari depan.

Kes pukul anak: Anak pasangan Malaysia tak gembira – Bernama


Kes pukul anak: Anak pasangan Malaysia tak gembira
17 Januari 2014
  • Pukul anak tak solat, pasangan dikenal pastiPasangan warga Malaysia yang ditahan di Sweden atas dakwaan memukul anak lelaki mereka. – Foto dipetik daripada Astro Awani
< 1 / 1 >

KUALA LUMPUR – Empat anak pasangan warga Malaysia, yang ditahan polis Sweden setelah didakwa memukul mereka kerana enggan bersolat, menyatakan rasa tidak selesa tinggal bersama keluarga angkat berlainan agama di negara itu.

Anak sulung pasangan itu yang mahu dikenali sebagai Aisyah, 14, berkata, beliau dan tiga adik lelakinya yang berusia 7, 11 dan 12 tahun ditempatkan bersama keluarga angkat yang disediakan pihak khidmat sosial negara itu sejak ibu bapa mereka ditahan pada 18 Disember lepas.

Aisyah berkata mereka tidak gembira dengan keadaan di dalam rumah berkenaan.

“Kami tidak gembira tinggal dengan keluarga angkat sebab keluarga ini bela anjing.

“Keluarga angkat juga makan makanan tidak halal…walaupun kami tidak diberi makanan itu tetapi kami berkongsi pinggan mangkuk yang sama,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Aisyah berkata mereka juga berulang kali menyatakan hasrat pulang ke Malaysia secepat mungkin namun tidak dibenarkan pihak khidmat sosial.

Katanya mereka juga tidak dibenarkan bertemu ibu bapa dan anggota keluarga dari Malaysia.

Menurutnya seminggu selepas penahanan ibu bapa mereka, keluarga dari Malaysia datang untuk bertemu dengan mereka namun tidak dibenarkan oleh pihak berkuasa Sweden.

Anak kedua yang mahu dikenali sebagai Ammar pula berkata mereka mahu pulang ke Malaysia secepat mungkin kerana tidak tahan tinggal dengan keluarga angkat itu.

“Kami rindukan mummy dan daddy…kami nak balik Malaysia tapi mereka tidak benarkan. Kami sedih, setiap kali balik sekolah mummy dan daddy tiada.

“Sebelum ini, mummy dan daddy hantar dan ambil kami di sekolah. Sekarang terpaksa naik kenderaan awam sendiri. Adik bongsu pun menangis setiap hari sebab rindukan mummy dan daddy,” katanya.

Tahanan reman pasangan suami isteri itu, yang dipercayai kakitangan Tourism Malaysia di Stockholm dan guru yang bercuti tanpa gaji, dilanjutkan dua minggu lagi bagi membantu siasatan. – Bernama

Isu buka tudung: Pengurusan sekolah minta maaf – Bernama


Isu buka tudung: Pengurusan sekolah minta maaf
17 Januari 2014

KOTA TINGGI – Lembaga Pengurusan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Nan Ya hari ini memohon maaf secara terbuka kepada seorang guru mualaf sekolah itu yang sebelum ini dilaporkan diugut dan dipaksa membuka tudungnya jika ingin terus mengajar di sekolah itu.

Pengerusi sekolah itu Phang Ah Ngang, 72, bersama guru besarnya, Chiew Swee Tuan memohon maaf kepada guru berusia 25 tahun itu, di Dewan Terbuka Kampung Johor Lama, Kota Tinggi dekat sini.

Ia dilakukan di hadapan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Suptritenden Rahmat Othman serta Penghulu Mukim Johor Lama Mohd Nazri Kasmin dengan turut dihadiri Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kota Tinggi Mohamad Fadil Ishak.

Dalam satu kenyataan, Phang berkata beliau dengan ikhlas hati memohon maaf secara peribadi kepada guru berkenaan serta masyarakat Islam Kampung Teluk Sengat dan masyarakat Islam di negara ini amnya.

“Saya harap isu ini selesai dan dapatlah kita semua hidup dalam harmoni sesuai dengan slogan 1Malaysia,” katanya yang kemudian berjabat tangan dengan guru tersebut sebagai tanda permohonan maafnya.

Sementara itu Chiew berkata sebagai guru besar sekolah itu, beliau tidak pernah menghalang guru berkenaan ataupun mana-mana pelajar Islam di sekolah itu memakai tudung.

Menurutnya sebagai rakyat Malaysia yang hidup dengan pelbagai kaum dan agama, beliau memahami sensitiviti terhadap perkara itu dan faham memakai tudung adalah wajib untuk wanita beragama Islam.

“Sebagai guru besar, saya pasti menghormati agama Islam, guru serta murid beragama Islam tanpa mengira kaum. Sebagainya penjawat awam pula, saya berjanji akan mematuhi sepenuhnya semua peraturan dalam perintah kerajaan tanpa keraguan dan saya akan menguruskan hal sekolah dengan lebih peka dan berhati-hati.

“Segala salah faham daripada segi perbualan dan kata-kata yang tidak munasabah yang diperkatakan sebelum ini secara tidak sengaja sehingga menjadi gangguan emosi bagi mana-mana pihak, saya mohon ampun dan maaf,” katanya.

Guru mualaf yang terlibat pula berkata beliau menganggap kes itu telah selesai dengan permohonan maaf yang dilakukan secara terbuka oleh pihak pengurusan sekolah pada hari ini.

Katanya, beliau berhasrat untuk menumpukan perhatiannya pada karier sebagai pendidik dan seorang muslimah sejati.

“Saya terima permohonan maaf ini dengan hati terbuka dan tidak mahu melanjutkannya lagi dan berharap semua pihak yang telah mengambil berat tentang perkara itu sebelum ini supaya tidak lagi memperbesarkan kes ini memandangkan ia isu yang sensitif,” katanya yang bakal mendirikan rumahtangga pada bulan depan.

Sementara itu, Rahmat berkata polis telahpun selesai melakukan siasatan berhubung kes itu dan akan menyerahkannya untuk dipertimbangkan pejabat Timbalan Pendakwa Raya sama ada pertuduhan akan diteruskan atau sebaliknya.

“Kita berharap kes ini selesai namun selagi mana pihak pengadu tidak menarik balik laporan kes ini selagi itu kes ini berjalan,” katanya. – Bernama

Lima beradik gembira dapat IC, sijil kelahiran – Bernama


Lima beradik gembira dapat IC, sijil kelahiran
17 Januari 2014

MELAKA – Lima beradik yang tidak mempunyai kad pengenalan dan sijil kelahiran gembira apabila mereka menerima dokumen pengenalan diri itu hari ini.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah yang juga Anggota Parlimen Tangga Batu menyerahkan dokumen itu kepada Nurul Hidayah Muhammad Khairuddin, 16, Susmeeta, 14, Siti Fatimah, 10, Muhammad Muharam, 7, dan Siti Aisyah, 4.

Turut hadir Penyelia Bahagian Kelahiran dan Kematian Jabatan Pendaftaran Negara (Melaka) Md Yusof Hussin.

Nurul Hidayah, anak kedua daripada lapan beradik berkata sebelum ini mereka menghadapi pelbagai masalah termasuk sukar bersekolah disebabkan tiada dokumen pengenalan diri.

“Gembira sangat…sebelum ini sedih…semua orang tanya kenapa tak ada kad pengenalan,” katanya kepada pemberita selepas penyerahan dokumen itu Kampung Paya Mengkuang 2, Bukit Rambai di sini.

Ibu mereka, Khatijah Syed Mohamed, 42, berkata kehidupan keluarganya yang sentiasa berpindah-randah menyebabkan enam daripada lapan anaknya tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan menghadapi kesukaran untuk bersekolah.

“Kami sekeluarga selalu berpindah dari satu negeri ke satu negeri kerana menghadapi masalah kewangan dan anak yang dilahirkan tidak sempat didaftarkan mengikut prosedur,” kata suri rumah itu.

Khatijah berkata anak mereka juga menghadapi kesukaran untuk mendapatkan dokumen pengenalan diri disebabkan suaminya, Muhammad Khairuddin Abdullah, 54, yang merupakan seorang mualaf lewat  mendapat surat pertukaran nama Islam.

Katanya dua lagi anaknya, Sarrah Bannu, 17, dan Abdul Razak, 9, memiliki dokumen pengenalan diri bagaimanapun seorang lagi anaknya, Muhammad Razi, 12, JPN negeri sedang mendapatkan pengesahan Hospital Taiping, Perak berhubung butiran kelahirannya.

Khatijah berkata keadaan keluarganya kini makin tidak terurus disebabkan suaminya tidak mampu bekerja kerana menghidap darah tinggi dan menghadapi masalah jantung dan akan melakukan pembedahan hujung bulan ini.

Sementara itu, Abu Bakar berkata JPN Melaka mengambil masa tiga minggu untuk memproses permohonan dua kad pengenalan dan tiga sijil kelahiran anak Khatijah.

Beliau berkata pada masa sama, pihaknya juga akan berbincang dengan Majlis Agama Islam Melaka (Maim) untuk mendapatkan sebuah rumah bagi menempatkan keluarga itu yang kini berlindung di rumah tumpangan kenalan Khatijah sejak dua bulan.

“Selepas kita selesai mencari rumah bagi keluarga ini, kita akan usaha mendaftarkan anak-anaknya di sekolah berhampiran,” katanya. – Bernama

Pasangan cikgu cuba berzina – Kosmo


Pasangan cikgu cuba berzina

 

 

Oleh JULIA ISMAIL
julia.ismail@kosmo.com.my

 

BANUN dan Norihan yang menyembunyikan muka mereka daripada dirakam ketika hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah di Kota Bharu semalam atas tuduhan cuba berzina.

 

KOTA BHARU – Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam mengarahkan seorang guru besar dan pasangannya juga seorang cikgu sekolah sama membela diri atas tuduhan cuba melakukan zina di dalam sebuah kereta di Lebuh Raya Pasir Mas-Rantau Panjang berhampiran Kampung Gaung di Pasir Mas pada April tahun 2013.

Hakim Nik Najib Che Hassan membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap tuduhan yang dihadapi pasangan itu.

Banun Mat Jusoh, 43, dan Norihan Ab. Wahab, 25, didakwa melakukan perbuatan tersebut pada pukul 8.30 malam 28 April 2013 di dalam sebuah kereta Perodua Kancil yang diletakkan di bahu jalan di lebuh raya di kawasan Pasir Mas.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Jeritan silih berganti – Metro


Jeritan silih berganti

Oleh Nur Syazwana Mansor

Pendang: Pembelajaran sesi petang bagi pelajar tingkatan satu dan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pendang, di sini, gempar apabila mereka dikejutkan dengan kejadian histeria membabitkan lebih 10 pelajar tingkatan dua selain beberapa guru sekolah berkenaan, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5 petang, semua pelajar berada dalam kelas masing-masing seperti biasa.

Menurut sumber, seorang pelajar perempuan tingkatan dua tiba-tiba menjerit menyebabkan rakan perempuan sekelas yang lain bertindak mengerumuninya untuk melihat dan mengetahui punca mangsa menjerit.

“Namun keadaan menjadi semakin buruk apabila hampir semua pelajar perempuan dari kelas sama terkena histeria dan keadaan menjadi tidak terkawal apabila satu persatu pelajar perempuan mula menunjukkan tingkah laku luar biasa.

FotoPELAJAR berkumpul di luar kelas sambil membaca surah Yasin.

“Pelajar terbabit menjerit seolah-olah dirasuk menyebabkan pelajar dari kelas lain terkejut dengan kejadian itu,” katanya di sini, semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/17