Isu buka tudung: Pengurusan sekolah minta maaf – Bernama


Isu buka tudung: Pengurusan sekolah minta maaf
17 Januari 2014

KOTA TINGGI – Lembaga Pengurusan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Nan Ya hari ini memohon maaf secara terbuka kepada seorang guru mualaf sekolah itu yang sebelum ini dilaporkan diugut dan dipaksa membuka tudungnya jika ingin terus mengajar di sekolah itu.

Pengerusi sekolah itu Phang Ah Ngang, 72, bersama guru besarnya, Chiew Swee Tuan memohon maaf kepada guru berusia 25 tahun itu, di Dewan Terbuka Kampung Johor Lama, Kota Tinggi dekat sini.

Ia dilakukan di hadapan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Suptritenden Rahmat Othman serta Penghulu Mukim Johor Lama Mohd Nazri Kasmin dengan turut dihadiri Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kota Tinggi Mohamad Fadil Ishak.

Dalam satu kenyataan, Phang berkata beliau dengan ikhlas hati memohon maaf secara peribadi kepada guru berkenaan serta masyarakat Islam Kampung Teluk Sengat dan masyarakat Islam di negara ini amnya.

“Saya harap isu ini selesai dan dapatlah kita semua hidup dalam harmoni sesuai dengan slogan 1Malaysia,” katanya yang kemudian berjabat tangan dengan guru tersebut sebagai tanda permohonan maafnya.

Sementara itu Chiew berkata sebagai guru besar sekolah itu, beliau tidak pernah menghalang guru berkenaan ataupun mana-mana pelajar Islam di sekolah itu memakai tudung.

Menurutnya sebagai rakyat Malaysia yang hidup dengan pelbagai kaum dan agama, beliau memahami sensitiviti terhadap perkara itu dan faham memakai tudung adalah wajib untuk wanita beragama Islam.

“Sebagai guru besar, saya pasti menghormati agama Islam, guru serta murid beragama Islam tanpa mengira kaum. Sebagainya penjawat awam pula, saya berjanji akan mematuhi sepenuhnya semua peraturan dalam perintah kerajaan tanpa keraguan dan saya akan menguruskan hal sekolah dengan lebih peka dan berhati-hati.

“Segala salah faham daripada segi perbualan dan kata-kata yang tidak munasabah yang diperkatakan sebelum ini secara tidak sengaja sehingga menjadi gangguan emosi bagi mana-mana pihak, saya mohon ampun dan maaf,” katanya.

Guru mualaf yang terlibat pula berkata beliau menganggap kes itu telah selesai dengan permohonan maaf yang dilakukan secara terbuka oleh pihak pengurusan sekolah pada hari ini.

Katanya, beliau berhasrat untuk menumpukan perhatiannya pada karier sebagai pendidik dan seorang muslimah sejati.

“Saya terima permohonan maaf ini dengan hati terbuka dan tidak mahu melanjutkannya lagi dan berharap semua pihak yang telah mengambil berat tentang perkara itu sebelum ini supaya tidak lagi memperbesarkan kes ini memandangkan ia isu yang sensitif,” katanya yang bakal mendirikan rumahtangga pada bulan depan.

Sementara itu, Rahmat berkata polis telahpun selesai melakukan siasatan berhubung kes itu dan akan menyerahkannya untuk dipertimbangkan pejabat Timbalan Pendakwa Raya sama ada pertuduhan akan diteruskan atau sebaliknya.

“Kita berharap kes ini selesai namun selagi mana pihak pengadu tidak menarik balik laporan kes ini selagi itu kes ini berjalan,” katanya. – Bernama

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s