Pentadbir, PIBG perlu pantau pelajar tidak datang sekolah: Idris – Bernama


Pentadbir, PIBG perlu pantau pelajar tidak datang sekolah: Idris

2014/01/18 – 18:53:03 PMCetakEmel Kawan
BESUT: Pentadbir sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan pemimpin masyarakat diminta tidak mengambil mudah kes pelajar tidak hadir ke sekolah lebih tiga hari berturut-turut tanpa mengambil langkah penyelesaian dengan segera.

Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata jika terdapat kes seumpama itu, ia perlu disiasat supaya sebarang masalah yang dialami pelajar dapat diselesaikan dengan baik demi masa depan pelajar berkenaan.

Katanya, kadang-kadang terdapat kes yang terlepas pandang hingga menyebabkan pelajar yang tidak datang ke sekolah itu sebenarnya adalah kerana masalah kemiskinan, sakit atau kurang berminat atau dipengaruhi gejala-gejala negatif.

“Pelajar adalah aset negara, oleh itu mereka patut dibantu sedaya mungkin agar mereka mendapat pendidikan yang sempurna untuk masa depan mereka, bangsa dan negara,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau sebelum itu menziarahi 21 pelajar daripada keluarga miskin di beberapa kampung di kawasan Jerteh dan Hulu Besut di samping menyampaikan sumbangan kepada mereka.

Idris yang juga Ahli Parlimen Besut meminta semua pentadbir melapor kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) masing-masing sekiranya terdapat pelajar yang tidak mampu meneruskan pelajaran disebabkan kemiskinan

Dalam pada itu, beliau turut meminta pentadbir sekolah supaya tidak membebankan ibu bapa dengan mengenakan pelbagai bentuk yuran untuk aktiviti pelajar seperti membeli uniform dan buku rujukan yang tidak sepatutnya.
Bagaimanapun, katanya, setakat ini pihak kementerian tidak menerima sebarang rungutan dikemukakan oleh ibu bapa mengenai perkara itu. – BERNAMA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s