Hukuman anak biar berpadan – Kosmo


Hukuman anak biar berpadan

 

KAEDAH merotan sebenarnya bukanlah satu cara terbaik dalam menghukum kesalahan anak-anak.- Gambar hiasan

 

TIDAK semua perkara yang kita lakukan sesuai dalam apa jua keadaan. Ia bergantung kepada budaya dan norma masyarakat di sesebuah negara.

Itu yang mungkin dapat kita gambarkan dengan apa yang dihadapi oleh pasangan Malaysia, Shalwati Norshal dan Azizul Raheem Awalludin yang sedang disiasat oleh pihak berkuasa Sweden kerana telah memukul anak mereka yang tidak bersolat.

Walaupun amalan untuk menghukum anak tidak bersolat mungkin suatu yang lazim dalam konteks masyarakat Islam secara am, bagaimanapun ia tidak semestinya direstui dalam semua masyarakat. Ini kerana setiap masyarakat mempunyai nilai yang tersendiri dalam melihat atau menangani sesuatu perkara.

Kita juga tidak sewajarnya menyalahkan ibu bapa tadi yang menggunakan pendekatan tersebut dalam mendidik anak-anak mereka kerana ia adalah kaedah yang diajar oleh Islam kepada penganutnya.

Solat adalah perkara wajib yang menjadi tiang agama. Merotan atau menghukum anak-anak yang tidak menjalani ibadah sembahyang perlu dilihat dalam konteks positif.

Walaupun kelihatannya seperti menyakitkan, tetapi sangat jarang ibu bapa mengambil pendekatan agresif terhadap anak-anak mereka. Ia hanya sekadar memukul kerana sayang dan bukannya kerana benci.

Bagaimanapun, masyarakat Barat melihat bentuk hukuman anak-anak dalam perspektif yang berbeza. Kebanyakan negara-negara itu telah mengharamkan hukuman yang dilihatnya menyakitkan.

Namun, ia tidak bermakna bahawa hukuman merotan anak-anak ini dianggap sebagai sesuatu yang paling teruk.

Satu tinjauan yang dilakukan terhadap 1,600 pembaca sebuah akhbar di Perth, Australia pada tahun 2012 mendapati, 80 peratus daripada responden menyokong agar hukuman rotan dikembalikan di sekolah.

Begitu juga yang ditunjukkan dalam satu kaji selidik pada tahun 2011 oleh Times Education Supplement, akhbar sisipan mingguan yang popular di United Kingdom. Daripada sejumlah 2,000 keluarga yang dikaji, 49 peratus daripadanya berpandangan bahawa hukuman yang berat seperti merotan atau memukul patut diperkenalkan semula di sekolah.

Malah, majoriti daripada pembaca mencadangkan agar kanak-kanak sekolah yang melakukan kesalahan ini dihukum dengan cara yang agak tradisional seperti menghalau mereka keluar kelas (89 peratus), dihukum selepas waktu persekolahan (86 peratus) dan menggantung persekolahan (84 peratus).

MENDIDIK anak-anak menunaikan solat perlu dilakukan sejak mereka kecil bagi membentuk keperibadian yang baik.

 

Mengatasi masalah displin

Merotan juga bukan sesuatu yang teruk dalam mendidik anak-anak. Dalam satu siri eksperimen kajian yang dilakukan oleh penyelidik di Idaho State University di Amerika Syarikat sekitar tahun 1980-an, ia cuba membandingkan di antara kanak-kanak bermasalah disiplin yang dihukum dengan cara dirotan dan satu lagi kumpulan yang tidak dikenakan tindakan sama.

Kajian juga cuba melihat sama ada anak-anak ini akan patuh dengan 30 siri arahan ibu mereka.

Hasil eksperimen menunjukkan kanak-kanak yang dirotan lebih patuh dengan arahan berbanding dengan mereka yang tidak.

Bagaimanapun, ibu bapa perlu berhati-hati dengan kaedah merotan anak-anak. Ia mungkin tidak relevan dalam semua bentuk tingkah laku mereka. Anak-anak yang mempunyai perangai yang agak agresif misalnya, tidak boleh mudah diubah sekiranya dirotan.

Daripada 27 kajian yang telah dilakukan, ia menunjukkan bahawa anak-anak yang dirotan ini akan cenderung untuk menjadi lebih agresif berbanding sebelumnya. Ini kerana apabila dihukum dengan cara yang kasar, mereka akan berasa malu, marah dan sedih sekali gus menyebabkan mereka cenderung menjadi lebih agresif.

Memahami psikologi

Persoalan yang timbul, apakah bentuk hukuman yang terbaik bagi mendidik anak-anak? Walaupun semua ibu bapa mempunyai niat yang murni bagi mendisiplinkan anak-anak mereka, pada masa yang sama keperluan memahami psikologi anak-anak ini perlu juga diperhatikan.

Sekiranya setiap kali anak melakukan kesalahan, hukuman yang menyakitkan tidak mengubah perilaku mereka, ada baiknya hukuman yang sama tidak diulangi.

Lantaran itu, dalam psikologi, selain hukuman yang dianggap sebagai bentuk ‘peneguhan negatif’, ibu bapa juga sewajarnya lebih memfokuskan kepada ‘peneguhan positif’.

Contohnya, jika anak-anak ini menyempurnakan solat sebanyak lima kali sehari atau menyiapkan kerja sekolah seperti yang ditetapkan, mereka wajar diberikan penghargaan berupa ganjaran atau pujian.

Ia boleh diberikan dengan cara memberikan mereka ‘markah terkumpul’ yang boleh ditukarkan dengan hadiah tertentu.

Daripada hanya memberikan mereka hukuman yang menyakitkan bagi setiap kesalahan, adalah lebih baik memberikan mereka ganjaran sekiranya melakukan sesuatu yang kita harapkan.

Semua ini pada akhirnya bertujuan untuk membentuk nilai mulia dalam diri mereka. Kita, sebagai ibu bapa atau guru sentiasa mengharapkan yang terbaik daripada anak-anak kita.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s