Tidak sekolah kerana miskin – Kosmo


Tidak sekolah kerana miskin

Oleh IKHWAN IDERIS
ikhwan.ideris@kosmo.com.my

ROHANI (dua dari kiri) bersama anak-anak di rumah mereka di Kuantan, Pahang semalam.

KUANTAN – Akibat kesempitan hidup dan masalah kewangan, empat beradik yang tinggal di Kampung Batu Lapan dekat sini tidak bersekolah seperti kanak-kanak lain sejak dua tahun lalu.

Nasib malang yang menimpa Nurhasni Azira Zulkarnain, 18; Nurhasni Amelia Zulkarnain, 17; Mohd. Daniel Iskandar Zulkarnain, 12 dan Mohd. Daniel Haikal Zulkarnain, 7, bermula sejak mereka kehilangan ayah dalam satu tragedi kemalangan pada 26 April 2011.

Tambah merumitkan keadaan, ibu mereka, Rohani Ibrahim, 35, yang turut terlibat dalam kemalangan sama mengalami kecederaan di bahagian dada masih kekal sakit sehingga ke hari ini dan hanya mampu melakukan kerja-kerja ringan seperti upah menjahit untuk mencari rezeki.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Pasangan belasah pelajar di sekolah – Metro


Pasangan belasah pelajar di sekolah

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim dan Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Ibu bapa samseng. Itu gelaran paling sesuai buat sepasang suami isteri berusia 40-an yang menyerang dan memukul seorang pelajar berusia 16 tahun dalam kawasan sekolah menengah di Ampang, di sini.

Dalam kejadian pada jam 11 pagi Isnin lalu, pasangan terbabit dikatakan bertindak demikian selepas anak lelaki mereka mengadu dipukul rakan sekelasnya.

Menurut sumber, ketika kejadian pasangan suami isteri itu hadir ke sekolah anak mereka bagi menerima bantuan persekolahan RM100 untuk setiap pelajar yang diberikan kerajaan.

Katanya, kejadian bermula apabila anak kepada pasangan itu didakwa bergaduh di dalam kelas berkenaan dengan seorang pelajar lain kerana berselisih faham.

“Anak pasangan itu kemudian mengadu kepada ibunya.

Tanpa usul periksa, wanita terbabit terus masuk ke dalam kelas dan menampar seorang pelajar lelaki yang didakwa bergaduh dengan anaknya.

“Biarpun cuba ditenangkan guru kelas, wanita terbabit terus memukul pelajar berkenaan sehingga guru kelas terpaksa memanggil guru disiplin bagi menenangkan suspek,” katanya.

Menurutnya, guru disiplin yang bergegas ke kelas berkenaan pada mulanya menenangkan wanita terbabit dan mengarahkan dua pelajar yang terbabit dalam pergaduhan mengikutnya ke biliknya untuk tindakan lanjut.

“Suami wanita itu meluru ke bilik darjah dan mencekik pelajar yang bergaduh dengan anaknya, selain menendang kepala mangsa dan menghentaknya ke meja guru,” katanya.

Sumber itu berkata, perbuatan ganas lelaki itu turut disertai isterinya dengan sama-sama memukul mangsa.

“Guru disiplin menghubungi pegawai polis yang bertanggungjawab memantau masalah disiplin sekolah itu atau dikenali sebagai Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS).

“Anggota polis bergegas ke tempat kejadian dan menenangkan keadaan sebelum menahan pasangan suami isteri terbabit.
Mereka dibawa ke Balai Polis Pandan Indah untuk siasatan lanjut,” katanya.

Sumber itu berkata, guru disiplin dan pelajar yang dipukul pasangan terbabit cedera di kepala juga membuat laporan di balai polis sama.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Khairuldin Saad mengesahkan laporan berhubung kejadian berkenaan dan memberitahu pasangan suami isteri itu dibebaskan dengan ikat jamin.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24

Dinoda hingga pengsan – Metro


Dinoda hingga pengsan

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Parit Buntar: Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun dikejar sekumpulan empat lelaki sebelum diperkosa di sebuah rumah kosong di Jalan Abdul Raof, di sini, sehingga pengsan.

Dalam kejadian jam 7.50 malam, Rabu lalu, mangsa dikatakan berjalan bersendirian menuju ke kedai runcit membeli barang keperluan.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, mangsa dikejar empat lelaki tidak dikenali sebelum diculik dan dibawa ke rumah kosong di kawasan berhampiran.

Menurutnya, mangsa dipercayai diperkosa 15 minit sebelum ditinggalkan dalam keadaan trauma.

“Mangsa ditemui penduduk dalam keadaan tidak memakai selipar dan pakaian berlumpur sebelum dibawa pulang ke rumahnya.

Mangsa menceritakan apa yang berlaku kepada keluarganya sebelum satu laporan polis dibuat,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang masih berada dalam keadaan lemah dan trauma dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk rawatan.

“Polis mengambil keterangan daripada mangsa yang mendakwa diculik empat lelaki.

“Siasatan polis di tempat kejadian menemui sekeping papan lapis yang mempunyai kesan darah.

Papan itu dihantar ke Jabatan Kimia untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, jarak antara rumah kosong itu dengan rumah jiran sekeliling ialah 20 meter.

FotoDI rumah usang ini remaja 13 tahun diperkosa hingga pengsan.

Mat Fauzi berkata, polis menjalankan siasatan segera dan menahan suspek berusia 22 tahun di kawasan berkenaan.

“Polis kini menjalankan siasatan terperinci dan memburu tiga lagi suspek.
Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan atas kesalahan merogol,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/25