Bagaimana merangsang anak bercakap? – Ruby Speech Therapist


Bagaimana merangsang anak bercakap?

Kredit to: Ruby Speech Therapist.

Hidayah Salehin – Try utk Iman

Umur dah masuk 2 tahun, tapi masih cakap sikit-sikit, tunjuk sana sini, bunyi ‘uu’ ‘eeeh’ saja yang lebih….nak buat macam mana?

1) jika didapati dia sukar memahami arahan (kalau tunjuk baru ikut, kalau cakap saja, dia buat tak tahu), maka segera bawa jumpa Dr ENT.
Manalah tahu, tahi telinga tersumbat ke, ada air bertakung dalam telinga ka…

2) jika dia jenis hyperaktif, asyik lari sana sini, panjat, pegang sini, mata dah pandang sana….maka silalah latih daya tumpuan dia. Macam mana nak latih daya tumpuan?
a) latih anak permainan imaginasi. Contohnya main masak-masak. Lihat sama ada dia boleh tak buat aktiviti pelbagai dalam permainannya itu (tuang air dalam cawan, ambil sudu dan kacau, potong sayur, basuh pinggan, suap kat teddy bear dan sebagainya)
Contoh lain ialah mainan robot. Boleh tak dia buat robot tu terbang, tembak ayah, robot lompat, robot keluar kuasa lalu meletup.
Dari cara anak bermain, kita dapat lihat bagaimana anak memberi tumpuan kepada imaginasinya.
Oh ya, ipad, tv, youtube….itu bukan latihan tumpuan yang dimaksudkan di sini ya.
b) latih daya tumpuan dengan buku cerita bergambar. Cerita tentang gambar tu. Perhatikan adakah anak minat untuk mendengar cerita anda dan menunjuk kepada gambar berkaitan. Atau, dia sekadar nak menyelak kertas @ koyak sahaja.
c) menyanyi dan ikut gerak tangan/kaki bersama. Duduk di hadapan anak, nyanyi lagu ‘bangun pagi, gosok gigi’. Latih anak tiru gaya tersebut. (Menari masa tengok iklan tidak termasuk dalam latihan daya tumpuan. Ingat, komunikasi melibatkan pandangan komunikasi antara manusia, mendengar, meniru dan mengulang bersama)

3) dengar apa yang anak sebut, dan ULANG sebutannya dengan perkataan yang betul. Contoh: apabila anak kata ‘syik’ yang bermaksud nasi, maka automatik respon kita ialah ‘NASI’, ‘NASI sedap…’ ‘nak NASI?’ ‘Mak masak NASI.’
Kesilapan yang berlaku ialah, jawapan yang selalu dibuat ‘nak makan?’ ‘Sedap’ ‘nak asyik?’ – jika anda tidak mengulang target perkataan, maka anda telah rugi di situ. Jika anda meniru pula pelatnya, maka bertambahlah ruginya.

4) latih perkataan harian berbanding melatih abc, 123. Ramai ibu bapa yang bertanya, ‘anak saya boleh kenal semua huruf dan nombor, tapi tidak boleh menyebut ibu dan ayah’
Alangkah ruginya…..apalah gunanya abc, 123 jika ‘ibu ayah’ pun tak reti sebut lagi. Itu menunjukkan bahawa anak anda bijak, boleh belajar jika perkataan itu sering didengarnya. Mungkinkah dia berada di hadapan tv lebih lama berbanding berada di hadapan ibu dan ayah? Atau, sekiranya sudah duduk di hadapan ibu ayah, ibu ayah juga menyebut abc, 123 kepadanya?
Apakah itu perkataan harian? – nasi, susu, nak, dah, jom, habis, sedap, hello, bye, tu, ni, baju, sikat, tuala, cawan…..dan banyak lagi.

Murid Dipaksa Makan Rumput Terima Kaunseling – Rohani – Bernama


Murid Dipaksa Makan Rumput Terima Kaunseling – Rohani

BETONG (Sarawak): Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan memberi kaunseling, jika perlu, kepada dua murid dalam kes dihukum makan rumput, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

“Pegawai JKM telahpun berjumpa kanak-kanak terbabit dan keluarga mereka pukul 11 pagi tadi untuk menyiasat perkara sebenar yang berlaku.

“Esok pula mereka akan berjumpa dengan pihak sekolah bagi tujuan sama,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan Bantuan Awal Persekolahan kepada 786 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pusa dan 250 murid Sekolah Kebangsaan Kalok pada Ahad.

Rohani, yang juga Anggota Parlimen Batang Lupar, berkata masyarakat perlu memahami amat penting menjaga kesejahteraan emosi dan tingkah laku kanak-kanak sekali gus menjejaskan pelajaran mereka.

“Mungkin kerana kejadian ini juga boleh menyebabkan mereka tidak mahu datang ke sekolah kerana malu diejek kawan-kawan,” katanya.

Dalam insiden itu, seorang guru menggantung loceng di leher dua murid tahun empat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Khai Meng di Sungkai, Perak serta memaksa mereka makan rumput selepas gagal menyiapkan tugasan mata pelajaran Bahasa Inggeris.BERNAMA

Wanita Hampir Diserang Pakai Pakaian Ketat – mStar


Wanita Hampir Diserang Pakai Pakaian Ketat

 

Fatimah Abdullah

 

MELAKA: Seorang wanita yang memasuki kawasan sekolah untuk bertemu guru besar hampir diserang seorang pengawal keselamatan wanita didakwa berpunca daripada cara pemakaian wanita itu.

Eksekutif pemasaran, Fatimah Abdullah, 28, dari Desa Ria, Tangga Batu mendakwa pengawal dalam lingkungan umur 40-an itu memarahinya kerana memakai pakaian ketat.

Dia juga mendakwa pengawal itu cuba memukulnya sebelum dihalang oleh guru dan kerani sekolah yang melihat insiden itu.

Katanya kejadian itu berlaku pada Khamis lalu apabila dia berada di sekolah berkenaan untuk menemui guru besar bagi membincangkan mengenai hal pelajaran dua anaknya yang berumur 10 dan lapan tahun.

“Saya memakai pakaian seragam kerja ketika pergi ke pejabat sekolah. Namun pengawal keselamatan itu menuduh saya mendedahkan bentuk badan saya kerana memakai pakaian ketat.

“Saya terkejut kerana saya tidaklah berpakaian yang tidak sopan. Dia juga menyuruh saya pulang ke rumah dan menukar pakaian,” katanya.

Bagaimanapun menurut wanita itu, dia tidak mengendahkan larangan berkenaan dan meminta agar pengawal itu tidak menjaga hal peribadinya.

“Dia kemudiannya meluru ke pejabat dan saya percaya dia mahu memukul saya. Walau bagaimanapun tindakannya berjaya dihalang oleh guru dan kerani,” tambahnya.

Fatimah yang kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Tanjung Keling berkata, beliau turut mengemukakan aduan kepada Pejabat Pelajaran Daerah.

Tiada sebarang tindak balas setakat ini.

“Saya berasa dihina kerana kejadian itu berlaku dalam perhatian guru-guru dan kakitangan sekolah.

“Saya hairan dengan tindakan pengawal itu kerana saya tidak memakai skirt pendek atau bikini ke sekolah,” katanya.

“Kedua-dua anak saya juga berasa malu kerana kejadian itu menjadi buah mulut orang sekolah,” katanya.

Denda pelajar ikut garis panduan – Sinar Harian


Denda pelajar ikut garis panduan
ROSDALILAH ZAHARI
27 Januari 2014

IPOH – Gerakan Belia 4B Perak memberi tiga cadangan kepada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) supaya peristiwa dua murid sekolah diumpamakan seperti lembu dan dipakaikan loceng di SJKC Khai Meng, Sungkai tidak berulang pada masa hadapan.

Timbalan Pengerusinya, Aswannudin Harifuddin menggesa agar tindakan menghukum pelajar perlu mengikut garis panduan yang jelas.

Beliau turut meminta supaya hukuman terhadap pelajar perlu mengikut perbezaan kesalahan (disiplin atau kecil) dan guru tidak boleh menghukum sewenang-wenangnya.

“Sepatutnya, guru menerapkan nilai kasih sayang iaitu pembudayaan masyarakat penyayang dan menganggap murid sebagai anak sendiri,” katanya pada sidang media di JPN, tadi.

KJ gesa cikgu ‘terlampau’ dibuang perkhidmatan – Sinar Harian


KJ gesa cikgu ‘terlampau’ dibuang perkhidmatan
JAMILAH HAMZAH
27 Januari 2014
  • Khairy JamaluddinKhairy Jamaluddin
< 1 / 1 >

SHAH ALAM – Susulan insiden seorang guru yang memaksa dua murid makan rumput selepas gagal menyiapkan tugasan, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin hari ini menggesa Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) mengambil tindakan tegas dan drastik terhadap tenaga pengajar tersebut.

Menurutnya, tindakan menukar tempat perkhidmatan guru itu tidak mencukupi sebaliknya perlu dibuang daripada perkhidmatan tersebut mengikut tatacara yang terdapat dalam suruhanjaya itu.

“Saya minta SPP mengambil tindakan tegas terhadap guru itu, bukan hanya dengan pindahkan guru tersebut, ia tak cukup, sebab ramai orang di luar sana marah dengan tindakan guru itu.

“SPP perlu menggunakan tatacara yang ada termasuk membuang guru tersebut daripada perkhidmatannya,” katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Minggu lalu, guru berkenaan bertindak menggantung loceng di leher Muhammad Nasvinder Muhammad Amit dan Mohd. Izat Iqbal Mohd. Harith masing-masing 10 tahun dan memaksa mereka makan rumput selepas gagal menyiapkan tugasan mata pelajaran Bahasa Inggeris.

Semalam, media melaporkan guru yang mengajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Khai Meng dekat Sungkai, Perak telah ditukar ke sekolah lain dan turut diberi surat amaran yang atas tindakan keterlaluannya.

Rogol: Mahkamah keluar waran tangkap – Bernama


Rogol: Mahkamah keluar waran tangkap
27 Januari 2014

KOTA KINABALU – Mahkamah Sesyen di sini hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap seorang pengurus operasi restoran yang gagal hadir untuk prosiding jatuh hukum hari ini selepas didapati bersalah merogol gadis bawah umur yang kemudian dikahwininya.

Waran tangkap terhadap Riduan Masmud, 40, dikeluarkan Hakim Ummu Khaltom Abd Samad yang turut menetapkan 3 Februari ini untuk semakan waran tangkap itu.

Satu sijil perubatan daripada Hosiptal Queen Elizabeth di sini dikemukakan menyatakan pengurus restoran itu tidak sihat untuk hadir di mahkamah hari ini.

Bagaimanapun, Ummu Khaltom tidak berpuas hati dengan butiran di dalam sijil itu yang tidak menyatakan penyakit dihidapinya dan bila dia boleh hadir di mahkamah.

Peguam YS Lo menyerahkan perkara itu diputuskan oleh mahkamah selepas beliau gagal menghubungi anak guamnya dan anggota keluarganya untuk menentukan penyakit dihidapinya semasa prosiding ditangguh selama sejam.

Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharuddin berkata, agak menghairankan apabila Riduan tiba-tiba jatuh sakit dan tidak hadir untuk jatuh hukum sedangkan dia hadir pada hari kes itu diputuskan Jumaat lepas.

Riduan mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan merogol budak sekolah berumur 12 tahun itu antara 9 pagi dan 10 pagi pada 18 Februari tahun lepas di tepi jalan dekat Air Terjun Kionsom di Inanam dekat sini.

Dia berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Pada 20 Mei tahun lepas, Riduan memberitahu mahkamah yang dia telah menikahi budak perempuan itu.

Pihak pendakwaan memanggil 19 saksi dalam perbicaraan antara 1 Julai dan 14 November tahun lepas, manakala Riduan, yang tidak diwakili peguam semasa diperintah membela diri, mengemukakan tiga saksi termasuk dirinya.

Peguam Mary Lee bertindak sebagai peguam pemerhati Sabah Women’s Action Resource Group (SAWO), Women’s Centre for Change, Penang (WCC Penang), Sisters in Islam dan Mama Anne of Bukit Harapan, manakala peguam Mary Florence Gomez
bagi Persatuan Undang-undang Sabah dan Voice of the Children Malaysia. – Bernama

Jangan hukum pelajar di luar batasan – Bernama


Jangan hukum pelajar di luar batasan
27 Januari 2014

BALING – Pengarah Pelajaran negeri Kedah Datuk Mansor Lat hari ini mengingatkan para guru di negeri itu agar tidak menghukum pelajar di luar batasan dan garis panduan yang telah ditetapkan Kementerian Pendidikan.

Malah beliau turut mengingatkan supaya para guru bersikap lebih bertanggung jawab terhadap pelajar dan tidak menghukum anak didik mereka dengan sewenang-wenangnya tanpa memikirkan kesan yang bakal dihadapi.

“Apa saja tindakan keterlaluan yang dilakukan guru terhadap pelajar mereka tidak boleh disembunyikan daripada pengetahuan masyarakat,” katanya selepas menyampaikan bantuan awal persekolahan RM100 kepada 487 pelajar termasuk 32 pelajar Orang Asli kampung Lubuk Legong di Sekolah Kebangsaan Siong di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan seorang guru yang melayan dua murid tahun empat di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Khai Meng di Sungkai, Perak seperti lembu apabila menggantung loceng di leher dan memaksa mereka makan rumput kerana gagal menyiapkan tugasan sekolah yang diberikan, Khamis lalu.

Terdahulu, ketika berucap merasmikan majlis itu, beliau turut meminta agar ibu bapa dan waris pelajar supaya memahami serta menghargai wang bantuan awal persekolahan yang diberikan kerajaan itu.

Seorang ibu pelajar Orang Asli, Norlela Rajin, 26, berkata bantuan awal persekolahan itu boleh meringgankan beban menyediakan persiapan persekolahan anaknya.

“Saya berterima kasih kepada kerajaan yang memberi wang bantuan awal persekolahan untuk kami guna membeli pakaian dan peralatan sekolah anak-anak kami,” katanya.  – Bernama

Dirotan tanpa belas kasihan – Sinar Harian


Dirotan tanpa belas kasihan
NOR FARHANA YAACOB
27 Januari 2014
  • Dirotan tanpa belas kasihanKesan calar pada lengan Francis. – Foto Sinar Harian
< 1 / 1 >

JASIN  – Hanya kerana dituduh mengambil barang rakan sekelas, seorang murid tahun empat bukan sahaja dipaksa mengaku, malah turut dirotan beberapa kali dalam bilik darjah.

Mangsa, K John Francis, murid sebuah Sekolah Kebangsaan Jenis Tamil (SKJT) di Simpang Bekoh, dekat sini mengalami kesan lebam pada tangan dan kaki setelah dirotan seorang guru.

Malah, Francis turut trauma apabila kejadian dia dirotan disaksikan rakan kelas termasuk adik kembarnya, Christoper yang berada di kelas sama.

Datuk mangsa, P Arokasamy, 63, berkata, dia hanya menyedari cucunya dirotan guru setelah melihat perubahan tingkah laku Francis dan keadaannya lesu sehingga hampir pengsan.

Menurutnya, Francis menceritakan dia dirotan dan dicubit di bahagian perut oleh gurunya kerana tidak mahu mengaku mengambil barang rakan sekelas.

“Ada beberapa rakan Francis datang melawatnya turut bercerita dia telah dirotan hampir di seluruh badan kira-kira setengah jam.

“Saya terkilan kerana guru terbabit menuduh cucu saya tanpa usul periksa dan menyuruh Francis mengaku dia mencuri sedangkan dia tidak berbuat demikian,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Francis berkata, dia segera ke sekolah berkenaan untuk memaklumkan perkara itu kepada guru besar, malangnya guru besar tiada pada waktu itu.

“Apabila saya minta nombor telefon guru besar, mereka tidak mahu memberikannya sehinggalah saya memberitahu akan membuat laporan polis berkenaan perkara itu, barulah saya dapat nombor telefon terbabit,” katanya.

Arokasamy berkata, berikutan kejadian itu, dia membuat laporan di Balai Polis Jasin, Khamis lalu sebelum Francis menjalani pemeriksaan di Hospital Jasin pada hari sama.

“Saya tidak marah sekiranya cucu saya dirotan untuk diajar, namun apa yang dikesalkan guru terbabit merotan tanpa belas kasihan.

“Sepatutnya dia perlu siasat terlebih dahulu sebelum menyuruh cucu saya mengaku dia mengambil barang itu,” katanya.

Tambahnya, dia sekeluarga terkilan apabila dua hari selepas kejadian itu, guru terbabit bersama guru besar baru datang ke rumahnya.

“Dia bagaimanapun tidak meminta maaf pada kami, malah langsung tidak bertanyakan tentang keadaan cucu saya,” katanya yang juga telah memanjangkan kes cucunya di Pejabat Pelajaran Daerah Jasin.

Hukum macam lembu – Metro


Hukum macam lembu

Oleh MUHAMMAD APENDY ISSAHAK

Sungkai: Seorang guru Bahasa Inggeris sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina, di sini, bertindak melampaui batas apabila memperlakukan dua muridnya seperti lembu dengan menggantungkan loceng di leher dan memberi rumput sebagai makanan, Khamis lalu.

Hukuman tidak masuk akal itu dikenakan terhadap murid tahun empat itu hanya kerana mereka gagal menyiapkan kerja sekolah diberi.
Terkejut selepas mengetahui mengenai kejadian itu, ibu seorang daripada mereka membuat laporan di Balai Polis Sungkai, kelmarin. Yarnis Kasuma Dewi Zainal Aripin, 32, berkata, anaknya kini trauma dengan kejadian itu berikutan dikutuk dengan panggilan ‘lembu’ oleh murid lain, terutama rakan sekelas serta turut takut untuk ke sekolah.

 

“Ketika buat laporan polis, guru Bahasa Inggeris itu bersama guru besar turut hadir dan mereka mengaku mengenakan hukuman tidak masuk akal itu dan meminta maaf.
“Bagaimanapun, lebih memeranjatkan kami, guru besar terbabit mengakui, hukuman menggantung loceng di leher beberapa kali dikenakan terhadap beberapa murid lain sebagai denda tidak membuat kerja sekolah,” katanya dalam sidang media di Surau Awamiah, Taman Permai, di sini, semalam.
Yarnis berkata, guru besar itu mendakwa hukuman menggantung loceng di leher tidak mendapat bantahan ibu bapa lain.

 

FotoDUA murid yang mendakwa diberi rumput sebagai makanan.

“Saya kesal dengan tindakan pihak sekolah. terutama guru Bahasa Inggeris yang baru tahun lalu dipindahkan ke sekolah itu. Saya bukan hantar dia ke sekolah tentera hingga perlu didenda sedemikian rupa.
“Harap Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) mengenakan hukuman setimpal terhadap guru berkenaan, termasuk memindahkannya. kerana anak kami ‘takut’ ke sekolah lagi untuk berdepan dengannya,” katanya.

 

Ibu seorang lagi murid yang turut dikenakan hukuman sama, Siti Aisyah Hashim, 32, kecewa kerana tidak menyangka guru berkenaan sanggup melakukan perbuatan seumpama itu.
Katanya, memang guru terbabit dan guru besar menemui mereka di balai polis selepas laporan dibuat serta meminta maaf, namun ia seperti tidak ikhlas.
“Sejurus selepas berbincang di balai polis dan memohon maaf, mereka terus berlalu pergi tanpa menemui atau berkata apa-apa kepada kami. Malah, kami pula diberi cadangan oleh PPD untuk memindahkan anak ke sekolah lain.
“Kami terpaksa menghantar anak ke sekolah sama kerana berdekatan rumah. Anak kami mengikuti pelajaran aliran Cina sejak tadika lagi, lebih baik pindahkan guru itu, bukan anak kami,” katanya.
Anak Siti Aisyah yang hadir sama dalam sidang media berkenaan, turut menceritakan apa berlaku dan melakonkan semula bagaimana dia dan rakan sekelasnya didenda dengan hukuman memakai loceng serta diberi rumput.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/26

Guru minta maaf, kes selesai – Metro


Guru minta maaf, kes selesai

Sungkai: Polis menganggap kes hukuman tidak masuk akal terhadap dua murid tahun empat sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina, di sini, yang leher mereka digantung loceng dan diberi makan rumput ketika sesi persekolahan pagi Khamis lalu, selesai selepas semua pihak terbabit berbincang.

Ketua Polis Daerah Tapah Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, pihaknya menerima laporan daripada ibu bapa mengenai kes itu sehari selepas kejadian dan siasatan dijalankan sejurus laporan diterima.
“Dalam laporan yang kami terima, ibu seorang murid berkenaan, Yarnis Kasuma Dewi Zainal Aripin, mendakwa anak lelakinya berusia 10 tahun bersama seorang rakan sekelasnya didenda dengan dipakaikan loceng di leher oleh seorang guru Bahasa Inggeris kerana gagal menyiapkan kerja sekolah.

 

“Ibu murid terbabit turut mendakwa, kedua-dua murid itu juga diberi rumput sambil guru berkenaan mengatakan ‘lembu tak buat kerja rumah mesti kena makan rumput’ dan merakam gambar mereka untuk dimuatnaik ke Facebook,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Menurutnya, hasil laporan diterima di Balai Polis Sungkai itu, ketua balai memanggil semua pihak yang terbabit dalam kejadian itu, termasuk kedua-dua murid itu.
“Perjumpaan itu turut dihadiri guru besar dan dua wakil Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batang Padang, Tapah. Dalam perbincangan itu, guru berkenaan mengaku mengenakan hukuman menggantung loceng di leher, tapi tidak memberi kedua-dua murid itu makan rumput.

 

“Guru itu mengaku memberi hukuman berkenaan kerana tidak menyiapkan kerja sekolah selama dua minggu, sedangkan murid terbabit berpotensi dalam subjek berkenaan dan dia memohon maaf,” katanya.
Som Sak berkata, ibu bapa dan sekolah kemudian bersetuju menyelesaikan kes itu secara baik serta menyerahkan tindakan lanjut terhadap guru itu kepada PPD.

 

Pengarah Jabatan Pelajaran negeri Perak Muhamad Roli Hassan ketika dihubungi pula berkata, siasatan mengenai kes itu dijalankan PPD Batang Padang untuk mengambil tindakan sewajarnya, termasuk tindakan tatatertib.
Sementara itu, Setiausaha Agung MCA Datuk Seri Ong Ka Chuan yang juga Ahli Parlimen di kawasan kejadian berkata, hukuman dikenakan terhadap murid itu adalah tidak wajar.
Menurutnya, semua guru tanpa mengira jenis sekolah perlu lebih berhati-hati ketika mengajar dan mengenakan hukuman terhadap murid.
“Apabila menghukum, guru mesti melihat pantang larang dan sensitiviti masyarakat serta tidak boleh menghukum dengan cara yang akan dilihat sebagai memalukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/26