Golongan bapa usah lepas tangan – Metro


Golongan bapa usah lepas tangan

Oleh Hamizah Badiran

Kuala Lumpur: Keluarga dan masyarakat memainkan peranan penting dalam membantu menangani masalah sosial dalam kalangan remaja yang semakin menular di negara ini.

Naib Presiden Hal Ehwal Wanita (HELWA) Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Fadhlina Siddiq berkata, selain ibu, peranan bapa amat mustahak bagi memastikan anak berada di landasan yang betul.

“Kebanyakan bapa hanya tahu lepas tangan selepas memarahi anak yang bermasalah sebelum meletakkan semua tanggungjawab di bahu isteri untuk memulihkan anak.

“Berdasarkan pengalaman saya membantu remaja bermasalah, situasi ini yang berlaku apabila golongan ibu saja yang hadir menghantar atau menghadiri majlis membabitkan anak mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan muka depan Metro Ahad bertajuk jerat londeh, lesbian goda di laman sembang telefon.

Laporan itu menyelongkar perilaku segelintir remaja bawah umur yang kemaruk bertukar gambar bogel sesama jantina menerusi telefon bimbit sebelum hubungan songsang mereka berakhir di ranjang.

Lebih membimbangkan, gejala tidak sihat itu membabitkan pelajar seawal usia 13 tahun yang menjadikan aplikasi di telefon pintar seperti WeChat dan Line sebagai medan mencari pasangan songsang.

Fadhlina mengakui, ketiadaan aduan daripada masyarakat turut menjadikan perkara berkenaan menjadi lebih kritikal.

“Kita ada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) yang boleh menyekat mana-mana sumber negatif ini, tetapi mereka memerlukan masyarakat sebagai pemberi maklumat supaya masing-masing boleh membanteras masalah ini.

“Jika tiada aduan, ini bermakna, orang ramai turut sama menerima perbuatan negatif berkenaan.

Selain teguran daripada pemimpin, secara peribadi saya rasakan khatib perlu bersuara dalam memberi nasihat kepada umum ketika menyampaikan khutbah,” katanya.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/27

Guru melampau diarah tukar sekolah – Metro


Guru melampau diarah tukar sekolah

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Seorang guru Bahasa Inggeris dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Khai Meng, Sungkai, Perak yang bertindak melampau dengan menghukum anak muridnya seperti lembu pada Khamis lalu menerima hukuman apabila diarahkan bertukar sekolah selain turut diberikan surat amaran tegas.

Keputusan itu dibuat Kementerian Pendidikan semalam selepas mengambil kira pelbagai aspek selain menyifatkan hukuman diberikan guru berkenaan dianggap keterlaluan dan tidak wajar dilakukan.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Khair Mohamad Yusof berkata, pihaknya meneliti hasil siasatan dibuat Jabatan Pendidikan Perak sebelum membuat keputusan menukarkan guru berkenaan ke sekolah lain.

Beliau berkata, kementerian juga mengarahkan Pengarah Pendidikan Perak mengeluarkan surat amaran tegas kepada guru berkenaan kerana bertindak keterlaluan mendenda hanya kerana murid berkenaan tidak menyempurnakan kerja sekolah.

“Kami juga ingin jelaskan isu murid tidak membuat kerja sekolah bukan kesalahan disiplin sebaliknya ia sebahagian proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dan ia harus ditangani mengikut (PdP) iaitu menerusi bimbingan berterusan.

“Kementerian juga sedar isu berkenaan dibincangkan secara meluas menerusi media dan pelbagai pihak khususnya ibu bapa murid berkenaan turut menyatakan perasaan tidak puas hati terhadap guru berkenaan,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan di sini, semalam.

Katanya, tindakan dibuat guru berkenaan turut memberi imej kurang baik kepada kementerian.

Justeru, Dua hukuman diberikan itu wajar dan setimpal dengan kesalahan dilakukan.

Metro Ahad semalam melaporkan guru berkenaan memberi hukuman tidak masuk akal kepada dua anak muridnya iaitu seperti memperlakukan muridnya itu seperti lembu dengan menggantungkan loceng di leher dan memberi rumput sebagai makanan.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/27

2 murid didenda seperti lembu kembali bersekolah Berita Harian


2 murid didenda seperti lembu kembali bersekolah

2014/01/27 – 09:52:06 AMCetakEmel Kawan
SUNGKAI: Dua murid sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina di sini yang dihukum seperti lembu oleh guru Bahasa Inggeris mereka dengan digantungkan loceng dileher dan diberi rumput sebagai makanan hanya kerana gagal menyiapkan kerja sekolah kembali bersekolah seperti biasa pagi ini.

Kedua-dua murid terbabit dihantar ibu masing-masing kira-kira jam 7 pagi tadi.

Wakil dari Jabatan Kebajikan Masyarakat juga dijangka datang menemui kedua-dua pelajar terbabit dan pentadbiran sekolah pada waktu rehat jam 10 pagi nanti.

Pelajar perempuan maut dalam kebakaran di Sik – Bernama


Pelajar perempuan maut dalam kebakaran di Sik

2014/01/27 – 13:02:29 PMCetakEmel Kawan
SIK: Seorang pelajar perempuan tingkatan empat maut dalam kebakaran di rumahnya di Kampung Changhai, Jeneri di sini awal pagi tadi.

Siti Aishah Che Ani, 16, pelajar Sekolah Menengah Tunku Sulong, Jeniang di sini mati di tempat kejadian dalam kebakaran kira-kira 4.45 pagi tadi.

Turut tercedera dalam kebakaran rumah yang didiami empat beranak itu ialah abang mangsa, Mohd Firdaus Izwan Che Ani, 18, yang melecur di beberapa bahagian tubuh.

Bapa dan ibu pelajar itu, Che Ani Md Isa, 59, dan Normah Zainon, 51, dilaporkan selamat.

Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Daerah Sik, Mohd Faisol Izwan Hang Tuah memberitahu pihaknya berjaya mengawal api daripada merebak ke rumah berdekatan.

Beliau berkata, mayat pelajar itu dihantar ke Hospital Daerah Sik untuk bedah siasat. – BERNAMA

Guru besar dihukum denda RM148,500, penjara 2 tahun – Bernama


Guru besar dihukum denda RM148,500, penjara 2 tahun

2014/01/27 – 13:04:14 PMCetakEmel Kawan
ALOR SETAR: Seorang guru besar dijatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM148,500 atas lima tuduhan salah guna kuasa membabitkan bekalan pakaian seragam kokurikulum sekolah pada 2008 dan 2009 bernilai RM32,400.

Hakim Mohd Rosli Osman menjatuhkan hukuman itu terhadap Zakaria Md Lazim, 56, yang bertugas di Sekolah Kebangsaan Tandop Besar (SKTB), Kuala Nerang dekat sini.

Dia didakwa menggunakan jawatannya untuk memilih ZNR Kuala Nerang Enterprise (ZNR), sebagai pembekal set pakaian Puteri Islam bernilai RM3,300 yang dia mempunyai kepentingan kerana pemilik ZNR, Ros Adimas Md Lazim, adalah adiknya sendiri.

Bagi pertuduhan kedua, ketiga dan keempat, Zakaria juga dituduh menggunakan jawatannya untuk memilih ZNR sebagai pembekal set pakaian Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) bernilai RM6,300, set pakaian Tunas Kadet Remaja Sekolah (TKRS) bernilai RM8,200 dan set pakaian Pengakap bernilai RM8,700 pada November 2008.

Zakaria juga didakwa bagi pertuduhan kelima, menggunakan jawatannya untuk memilih ZNR sebagai pembekal set pakaian seragam PBSM, Pengakap, Puteri Islam dan TKRS bernilai RM5,900 di SKTB pada September 2009.

Zakaria didakwa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi semua pertuduhan.

Hakim menetapkan hukuman penjara bermula dari tarikh hukuman dijatuhkan (hari ini), manakala tertuduh akan dipenjara 15 bulan lagi jika gagal membayar jumlah denda yang ditetapkan. Dia tidak membayar denda itu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Fieza Fazlin Fandi manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Nizan Azdahari. – BERNAMA

SEMAKAN RAYUAN PENEMPATAN MURID BERKEPERLUAN KHAS 2014


SEMAKAN RAYUAN PENEMPATAN MURID BERKEPERLUAN KHAS 2014

24 January 2014
Sukacita dimaklumkan bahawa Semakan Rayuan Penempatan Murid Berkeperluan Khas 2014 telah dibuka mulai 24 Januari 2014 sehingga 5 Februari 2014. Sila layari laman sesawang di sini untuk membuat semakan.

MAJLIS PERUTUSAN YAB MENTERI PENDIDIKAN TAHUN 2014


MAJLIS PERUTUSAN YAB MENTERI PENDIDIKAN TAHUN 2014

24 January 2014

Majlis Perutusan YAB Menteri Pendidikan Tahun 2014 boleh ditonton secara langsung pada 28 Januari 2014, jam 10.30 pagi melalui TV1 dan laman web-laman web berikut:
www.eduwebtv.com
www.eduwebtv.my
www.tvpendidikan.my

 

KENYATAAN OLEH KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA BERKAITAN GURU MENDENDA MURID KERANA TIDAK MENYEMPURNAKAN KERJA SEKOLAH DI SJKC KHAI MENG, SUNGKAI, PERAK


KENYATAAN OLEH KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA BERKAITAN GURU MENDENDA MURID KERANA TIDAK MENYEMPURNAKAN KERJA SEKOLAH DI SJKC KHAI MENG, SUNGKAI, PERAK

26 January 2014