Beban emosi, kognitif dan fizikal guru

BEBANAN tugas guru dikatakan terus bertambah. – Gambar hiasan
KERJAYA sebagai guru boleh dianggap antara pekerjaan yang paling mencabar. Ia bukan hanya berhadapan dengan pujian, tetapi sebaliknya yang akan berlaku sekiranya guru tersalah mengambil pendekatan menghukum pelajar.
Itulah yang boleh kita gambarkan ke atas tindakan seorang guru yang dikatakan telah mendenda dua orang murid sekolah rendah yang tidak menyiapkan kerja sekolah mereka di Sungkai, Perak baru-baru ini.
Kanak-kanak itu disuruh makan rumput manakala loceng digantung di leher mereka gara-gara kesalahan yang dilakukan. Hukuman itu menimbulkan kemarahan ibu bapa dan ahli masyarakat yang berasakan anak-anak itu masih kecil dan tidak seharusnya diperlakukan begitu.
Lebih teruk, apabila isu ini kemudiannya digembar-gemburkan dengan nada perkauman seperti yang banyak dibincangkan di laman-laman web. Ia mungkin tidak merungkaikan isu sebenar, sebaliknya hanya akan menimbulkan masalah yang lain.
Walaupun kita tidak akan bersetuju dengan hal seumpama itu, namun sesekali ada baiknya kita melihatnya dari perspektif yang berbeza.
Bukanlah bermakna kita merestui tindakan guru tadi, tapi kita juga sewajarnya tidak membuat sebarang tanggapan negatif terhadap tugas-tugas seorang guru.
Hakikatnya, tidak ada satu pun pekerjaan di dunia ini yang terhindar daripada tekanan tetapi tugas guru dikategorikan sebagai antara yang paling teruk tekanannya.
Ia tidak hanya melibatkan tekanan pekerjaan biasa, tetapi merangkumi tiga elemen utama iaitu beban emosi, beban kognitif dan beban fizikal. Tidak semua pekerjaan akan melalui pengalaman seumpama ini.
Beban emosi berlaku apabila seseorang pekerja terpaksa menyembunyikan perasaannya yang sebenar, tetapi sebaliknya perlu menunjukkan perasaan yang diperlukan oleh orang atau persekitaran yang dilaluinya.
Dalam psikologi, ia dikenali sebagai supresi emosi. Ia merupakan antara bentuk tekanan psikologi yang sangat teruk. Misalnya, sekalipun mereka berasa sangat marah, mereka perlu tersenyum.
Perkara ini sangat kerap terjadi dalam kalangan guru khususnya apabila perlu berhadapan dengan kepelbagaian ragam kanak-kanak.
Beban kognitif pula merupakan beban yang melibatkan keperluan untuk berfikir. Sebagai guru, menjadi tugas mereka untuk berfikir dan memastikan pelajar mencapai tahap kepandaian yang diharapkan.
Beban fizikal pula lebih kepada bebanan tugas seperti jadual pengajaran yang ketat, bilangan pelajar yang ramai, atau tugasan yang bersifat fizikal.
Semua ini antara bentuk beban kerja yang tidak dilalui oleh semua jenis pekerjaan, sedangkan sebagai guru mereka perlu melaluinya setiap hari.

TEKANAN emosi turut menjadi punca guru menghukum murid secara keterlaluan.
Belum matang
Tugas sebagai ahli akademik di universiti mungkin mempunyai persamaan dengan guru. Bagaimanapun, mereka tidak perlu melalui pengalaman teruk menyembunyikan emosi mereka.
Ia lain sifatnya dengan tugas guru yang berhadapan dengan kanak-kanak yang masih belum matang.
Sebab itulah, tidak semua orang mampu menanggung tugas sebagai seorang guru. Apatah lagi untuk menjadi seorang guru yang baik yang bukan sahaja mampu berhadapan dengan kerenah pelajar, tetapi pada masa yang sama berupaya mendidik mereka menjadi manusia berguna.
Tidak ketinggalan, mereka juga diperlukan untuk melakukan tugas pentadbiran yang lain.
Kajian-kajian juga mendapati bahawa hubungan antara pelajar-guru merupakan antara elemen yang paling utama dalam proses pengajaran dan pembelajaran berbanding aspek lain seperti sukatan pelajaran, jadual waktu dan sebagainya.
Ini seolah-olah menggambarkan betapa proses menyembunyikan emosi adalah antara elemen utama yang sering mengaitkan guru dengan tekanan.
Walaupun kita mungkin menyalahkan seorang dua guru yang telah memilih ‘jalan yang salah’ dalam mendenda pelajar, tetapi harus diingat dalam kebanyakan simptom psikologi ia tidak berlaku secara mendadak.
Ia biasanya disebabkan oleh proses yang panjang. Guru terbabit mungkin telah mengalami tekanan yang teruk sejak sekian lama. Sepertimana yang diungkapkan dalam teori Hipotesis Kemarahan-Kekecewaan, seseorang itu mungkin melakukan tindakan yang tidak terjangkau akal apabila terpaksa melalui tekanan emosi yang teruk.
Mungkin sudah tiba masanya pihak terbabit meneliti semula keperluan untuk memberikan latihan menangani tekanan dalam kalangan guru.
Walaupun kita berpandangan bahawa aspek seperti keupayaan akademik atau penguasaan kaedah mengajar sangat penting, namun tanpa keupayaan untuk menguruskan emosi di bilik darjah mungkin akan menyebabkan isu salah laku akan terus menjadi episod yang selalu dilaporkan dalam konteks perguruan kita.
Pelajar ialah manusia biasa yang selalu melakukan kesilapan. Apatah lagi fasa kanak-kanak yang seringkali mencabar emosi kita.
Namun, pada masa yang sama, guru juga manusia biasa yang tidak sempurna. Saling memahami emosi dan psikologi sebagai guru mungkin memberikan kita lebih banyak ruang untuk memaafkan mereka sekiranya ada kekurangan di sana sini.
Like this:
Like Loading...