Sembelih anak tujuh tahun – Metro


Sembelih anak tujuh tahun

Oleh Mohd Fadly Samsudin

Kajang: Seorang bapa yang mengalami masalah kemurungan sejak beberapa hari lalu bertindak menyembelih anak perempuannya berusia tujuh tahun hingga mati menggunakan parang sebelum menetak dua lagi anaknya dalam kejadian di rumahnya di Seksyen 4, Bandar Baru Bangi, di sini, petang semalam.

Kejadian itu hanya disedari apabila anak kedua lelaki berkenaan yang berusia 15 tahun pulang ke rumah pada jam 4.15 petang sebelum mendapati bapanya sedang memegang parang yang berlumuran darah.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, bimbang dicederakan, mangsa terus berlari ke tingkat atas rumah sebelum masuk ke dalam bilik abangnya.

Selepas mengunci pintu bilik, mangsa menghubungi polis memaklumkan kejadian berkenaan.

FotoSUSPEK yang cedera di kepala dibawa ke hospital.

Beliau berkata, sebaik menerima maklumat, sepasukan polis dikejarkan ke lokasi kejadian namun sebaik tiba, suspek yang bekerja sebagai juruelektrik itu sudah melarikan diri.
“Siasatan awal di dalam rumah berkenaan menemui dua lagi anak perempuan kepada suspek berusia 10 dan 12 tahun turut mengalami kecederaan termasuk seorang daripadanya putus jari dipercayai ditetak bapa mereka manakala seorang lagi mengalami kecederaan di belakang tengkuk.

“Pemeriksaan di dalam sebuah bilik di tingkat bawah rumah menemui mayat seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun dengan kesan kelar di leher,” katanya.

Menurutnya, suspek yang melarikan diri ditemui di kawasan sungai kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian.

“Ketika ditemui, suspek dalam keadaan basah dan cedera di kepala selain turut memegang parang iaitu senjata yang dipercayai digunakan untuk membunuh dan menetak anaknya itu,” katanya.

Katanya, dua anak suspek yang cedera dibawa ke Hospital Kajang untuk rawatan.

“Mayat kanak-kanak berusia tujuh tahun itu dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat,” katanya memberitahu, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK).

Sementara itu, jiran mangsa yang enggan dikenali ketika ditemui di lokasi kejadian berkata, ibu mangsa tiada di rumah ketika kejadian kerana berada di tempat kerja.

“Lelaki terbabit seorang yang pendiam dan selalu menunaikan solat berjemaah di surau berhampiran kawasan perumahan ini.

“Malah, dia sering membawa semua anaknya bersama setiap kali ke surau berkenaan,” katanya.

Katanya, sejak kebelakangan ini, lelaki berkenaan sering kelihatan murung.

“Lelaki berkenaan mempunyai enam anak dan ketika kejadian hanya lima daripada anaknya berada di rumah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/31

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s