SMK Jabi diserang histeria – Sinar Harian


SMK Jabi diserang histeria
MOHD RIFAAT ABD HAMID
31 Januari 2014
  • SMK Jabi diserang histeriaKawasan inilah seorang pelajar berjalan dan bersilat di sekitar pokok.
< 1 / 2 >

POKOK SENA – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jabi, kecoh pagi semalam apabila pelajar serta guru sekolah itu diserang histeria hingga menyebabkan beberapa waris terpaksa mengambil anak mereka pulang dari sekolah itu.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, seramai 30 pelajar dan dua guru dikatakan telah diserang histeria apabila seorang pelajar yang baru masuk kelas selepas tamat pendidikan jasmani menjerit hingga membabitkan pelajar lain.

Kejadian itu juga menyebabkan seorang pelajar terpaksa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dengan bantuan ambulans selepas mengalami kancing gigi.

Menurut sumber, kejadian itu bermula apabila seorang dari pelajar tingkatan dua dikatakan baru pulang dari Pendidikan Jasmani dan tiba-tiba menjerit seperti dirasuk makhluk halus.

Selepas beberapa minit kemudian, beberapa rakan pelajar itu juga turut menjerit hingga menyebabkan pihak sekolah mengarahkan pelajar perempuan supaya berkumpul di surau sekolah itu.

“Di surau itu, pihak sekolah telah mengarahkan semua pelajar yang berada di surau itu dan membaca surah Yasin beramai-ramai. Bagaimanapun, keadaan bertambah parah apabila beberapa pelajar yang membaca turut menjerit hingga terpaksa diberi bantuan.

“Keadaan semakin kelam kabut lagi apabila dua guru yang turut membaca surah Yasin di surau itu turut dirasuk” katanya.

Menurutnya, lebih mencemaskan apabila seorang pelajar tingkatan lima  yang baru pulih dari dirasuk tiba-tiba berjalan menuju ke sebatang pokok sena di kawasan belakang sekolah itu dan bersilat di hadapan pokok itu.

Semasa beberapa guru serta rakannya mengekorinya ke pokok itu, mereka mendengar mangsa yang dirasuk itu meminta supaya sebuah bilik persalinan di sekolah itu dibersihkan kerana terdapat darah dalam bilik tersebut.

Sementara itu, seorang pelajar,  Nurul Izatul Wani Rashid berkata, semasa kejadian, dia terkejut apabila rakannya yang lain menjerit seperti dirasuk hantu.

“Suasana pada masa itu amat menyeramkan dan seolah-olah ada sesuatu yang memerhati serta berada di sekitar dalam kelas kami.

“Pada masa itu, mata saya hanya tunduk sahaja dan tidak berani memandang luar,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Kedah, Datuk Mansor Lat ketika dihubungi berkata, beliau telah dimaklumkan mengenai kejadian itu.

Namun, beliau enggan mengulas kerana belum menerima laporan lengkap.

Bagaimanapun, pihaknya akan membuat siasatan punca kejadian supaya ia tidak berulang lagi.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s