Remaja dilapor hilang – Sinar Harian


Remaja dilapor hilang
WARTAWAN SINAR HARIAN
1 Februari 2014
  • Remaja dilapor hilangThinagaran
< 1 / 1 >

TELUK INTAN – Seorang tukang kebun buntu memikirkan nasib cucunya yang menghilangkan diri dipercayai mengikuti kenalan, sejak 23 Januari lalu.

A Sukumaran, 64, dari Taman Harumi, Langkap, dekat sini, berkata, R  Thinagaran, 16, gagal ditemui hingga kini.

Katanya, kehilangan cucu kesayangannya itu disedari apabila remaja itu tidak pulang ke rumah selepas berjumpa seorang rakan.

Menurutnya, pada hari sama, kira-kira jam 7.30 petang, dia menerima panggilan telefon daripada isteri rakannya yang memberitahu cucunya ditahan polis dalam operasi di Jalan Kampung Banjar, Teluk Intan.

“Saya menghubungi pihak polis untuk mendapatkan maklumat mengetahui cucu namun polis menafikan ada menahan cucu saya,” katanya ketika ditemui di Pejabat DAP Parlimen Teluk Intan, di sini, kelmarin.

Katanya, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat tentang Thinagaran diminta menghubungi talian 013-4905048.

Enam beranak ditahan – Sinar Harian


Enam beranak ditahan
WARTAWAN SINAR HARIAN
1 Februari 2014
Abdul Aziz Abdul Aziz
< 1 / 2 >
TANAH MERAH – Enam sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Renab, Jalan Kampung Renab, Bukit Bunga, dekat sini, kelmarin.

Pada serbuan kira-kira jam 4 petang itu, kesemua suspek berusia 12 tahun hingga 71 tahun ditahan sepasukan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang menjalankan Ops Cantas Khas PGA.

Ketua Polis Tanah Merah, Deputi Superintendan Abdul Aziz Mahmud berkata, penahanan enam beranak terbabit dibuat berikutan penemuan lebih tiga kilogram ketulan mampat ganja dianggarkan bernilai RM9,000.

Katanya, ketika serbuan, tiga lelaki berusia 71, 36 dan 31 tahun serta seorang perempuan warga Thailand dipercayai isteri kepada lelaki warga emas terbabit sedang makan di ruang tamu rumah berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut di dalam rumah ini menemui dua paket ketulan mampat ganja dianggarkan seberat 35 gram di dalam poket hadapan sehelai seluar ‘T-track’ panjang berwarna kelabu.

“Pemeriksaan di ruang tamu juga menemui satu paket ketulan mampat ganja seberat kira-kira 15 gram disembunyikan di dalam satu bantal,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Abdul Aziz berkata, pasangan suami isteri terbabit kemudiannya membawa anggota serbuan ke satu kawasan longgokan kayu terletak kira-kira tiga meter dari rumah berkenaan.

Katanya, pemeriksaan di bawah longgokan kayu ini menemui satu beg plastik sampah hitam, di dalamnya beberapa lagi plastik dan setelah dirungkai, terdapat satu ketulan mampat ganja dianggarkan seberat satu kilogram.

“Pasangan terbabit kemudian membawa anggota serbuan ke sebuah telaga lama yang tidak digunakan terletak kira-kira 4.5 meter dan terdapat satu longgokan kayu kering.

“Hasil pemeriksaan menemui dua ketulan mampat ganja di dalam beg plastik sampah berwarna hitam dengan anggaran berat satu kilogram setiap satu ketulan,” katanya.

Abdul Aziz berkata, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dipercayai anak kepada pasangan berkenaan yang baharu balik ke rumah itu turut ditahan.

“Polis turut merampas sebuah kereta Mercedes Benz berwarna coklat dan hasil ujian saringan awal ke atas semua suspek, seorang daripada mereka didapati positif dadah jenis ‘opiate’,” katanya.

Tambahnya, kesemua suspek ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(1) dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sekolah tahfiz pertama beroperasi – Sinar Harian


Sekolah tahfiz pertama beroperasi
WARTAWAN SINAR HARIAN
1 Februari 2014
  • Sekolah tahfiz pertama beroperasiPara pelajar Madrasah Tahfiz Al-Umm dan Jawatankuasa Pengurusan Sura Kampung Sepakat merakam kenangan bersama Kadi Daerah Rompin, Adnan Mamat (duduk, tengah) ketika majlis pembukaan.
< 1 / 1 >

ROMPIN – Usaha untuk menubuhkan sebuah sekolah tahfiz oleh penduduk Kampung Sepakat, Kuala Rompin, di sini, sejak tahun 80-an kini menjadi kenyataan apabila ia berjaya ditubuhkan atas usaha generasi sekarang yang juga merupakan pihak pengurusan di surau kampung tersebut.

Difahamkan, sekolah tahfiz yang diberi nama Madrasah Tahfiz Al-Umm yang dibina dalam kawasan surau Kampung Sepakat itu juga adalah sekolah tahfiz pertama di daerah ini dan telah beroperasi secara rasmi pada 18 Januari lalu.

Setiausaha Madrasah Tahfiz Al-Umm, Abu Bakar Mamat, 46, berkata, sangat bersyukur kerana usaha yang dirintis selama lebih 30 tahun akhirnya terlaksana.

“Usaha untuk menubuhkan tahfiz ini telah dirintis generasi awal kampung ini sejak sekitar tahun 80-an dan tahun lalu usaha tersebut disambung generasi sekarang oleh pihak pengurusan Surau Kampung Sepakat.

“Sekolah tahfiz ini dikelola sepenuhnya oleh Jawatankuasa Pendidikan Surau Kampung Sepakat yang diketuai ustaz Ibrahim Man,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, sumbangan dalam bentuk kewangan dan juga tenaga oleh pelbagai pihak sangat dihargai dan semoga ia akan kekal berterusan.

“Sumber kewangan penubuhan sekolah adalah sumbangan masyarakat sekitar dan pelbagai pihak dalam bentuk wang ringgit dan bahan binaan serta makanan.

“Namun begitu, pihak sekolah masih lagi memerlukan sumbangan untuk menampung makanan harian pelajar di sini,” katanya.

Bilangan pelajar bagi sesi pertama 2014 seramai 20 orang yang datang dari pelbagai tempat antaranya Johor Bahru, Mersing, Pekan dan penduduk tempatan sekitar usia 10 hingga 17 tahun.

Kepada yang berminat untuk memberi sumbangan derma kepada Madrasah Tahfiz Al-Umm boleh menyalurkannya melalui akaun Agro Bank atas nama Bendahari Surau Kampung Sepakat di nombor akaun 2006331000007967.

Sementara itu, Kadi Daerah Rompin, Adnan Mamat berharap dengan wujudnya sekolah tahfiz tersebut akan mencetuskan semangat kepada masyarakat untuk lebih mendalami dan belajar al-Quran secara khusus.

Gadis OKU kena rogol – Sinar Harian


Gadis OKU kena rogol
WARTAWAN SINAR HARIAN
1 Februari 2014
  • Azmi Abdul RahimAzmi
< 1 / 1 >

KUALA PILAH – Seorang gadis orang kurang upaya (OKU), menjadi mangsa pemuas nafsu rakan lelakinya apabila diajak bermalam di rumahnya di Kampung Gunung Pasir, Seri Menanti dekat sini.

Mangsa, 15, yang kudung pergelangan tangan kiri sejak dilahirkan dirogol pada 5 September tahun lalu di rumah suspek berusia 20 tahun.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Azmi Abdul Rahim berkata, adik mangsa menyedari kakaknya keluar bersama suspek kira-kira jam 1.30 pagi pada 5 September lalu selepas suspek menjemputnya di rumah.

“Kemudian kakaknya pulang ke rumah pada 6 September kira-kira jam 8.30 malam selepas dihantar suspek.

“Adik lelakinya yang curiga melihat situasi itu, telah mendesak mangsa menceritakan apa yang berlaku. Mangsa mengaku mereka telah melakukan hubungan seks ketika bermalam di rumah suspek,” katanya.

Mangsa kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Seri Menanti pada 6 September.

“Suspek yang merupakan seorang penganggur melarikan diri sejak sebulan lalu selepas mengetahui mangsa membuat laporan polis.

“Bagaimanapun suspek berjaya ditangkap pada 21 Januari lalu, jam 5 petang di rumahnya, di Kampung Gunung Pasir, dan semasa pemeriksaan suspek gagal menunjukkan kad pengenalannya” katanya.

Atas kesalahan itu, suspek dituduh di Mahkamah Majistret Kuala Pilah atas kesalahan gagal menunjukkan kad pengenalan semasa pemeriksaan polis mengikut peraturan 25(1) PPPN 1990 pada 28 Januari lalu.

“Pada 29 Januari, suspek dituduh di Mahkamah Seksyen Kuala Pilah atas kesalahan merogol mangsa untuk dua pertuduhan kerana merogol sebanyak dua kali pada masa berlainan di tempat yang sama,” katanya.

Bagaimanapun, suspek tidak mengaku bersalah atas kesemua pertuduhan dan diikat jamin sebanyak RM11,000.

‘Mangsa lari ke rumah saya’ – Sinar Harian


‘Mangsa lari ke rumah saya’
MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
1 Februari 2014
  • 'Mangsa lari ke rumah saya'Jenazah mangsa disolatkan di Surau Al-Kauthar, Seksyen 4, Bandar Baru Bangi, semalam selepas solat Jumaat.
< 1 / 1 >

BANGI – “Salah seorang mangsa (anak suspek) yang cedera lari dan masuk ke dalam rumah saya,” kata salah seorang jiran menceritakan detik kejadian itu.

Jiran yang enggan dikenali itu berkata, melihat mangsa berumur 12 tahun itu cedera serta berlumuran darah, dia meminta isterinya membawa mangsa ke Hospital Kajang untuk mendapatkan rawatan.

Lelaki yang berumur lingkungan 70-an itu berkata, beliau meminta tiga orang jirannya mengangkat mangsa masuk ke dalam kereta sebelum dibawa ke hospital.

Menurutnya, sejurus selepas itu, dia hendak ke rumah suspek namun dihalang jiran yang mengatakan suspek berada di rumahnya sambil memegang parang.

Seorang lagi jiran yang enggan dikenali berkata, keluarga suspek dikenali oleh penduduk setempat sebagai orang baik-baik dan alim.

“Mereka selalu solat berjemaah hampir setiap waktu di surau berdekatan rumah mereka,” katanya.

Namun, beliau berkata, setiap kali solat jemaah, suspek bersama tiga anak lelakinya tidak akan solat bersebelahan jika mereka berjemaah.

“Sekiranya suspek berada di tengah saf, ketiga-tiga anak lelakinya mungkin berada di sebelah kiri atau kanan saf tersebut,” katanya ketika ditemui di rumah suspek di Seksyen 4, Bandar Baru Bangi, di sini, semalam.

Ditanya adakah suspek mempunyai masalah keluarga dengan anak-anaknya, lelaki berumur lingkungan 20-an itu menepis dakwaan sambil mengatakan suspek rapat dengan salah seorang anak perempuannya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, semua mangsa berada dalam keadaan stabil di Hospital Kajang dan Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Menurutnya, ibu jari tangan kiri mangsa berumur 10 tahun itu putus dan kini sedang dirawat di Hospital Kajang.

“Seorang lagi mangsa berumur 12 tahun mengalami kecederaan di belakang tengkuk dan sedang dirawat di HKL,” katanya ketika ditemui di tanah perkuburan Islam Sungai Tangkas, Kajang, semalam.

Menurut Ab Rashid, suspek kini dirawat di bawah pengawasan polis di Hospital Kajang.

Polis juga sedang menunggu laporan hospital sama ada suspek mengalami masalah mental atau tidak.

Katanya, suspek tidak mempunyai rekod masalah mental dan dia direman selama seminggu bermula semalam untuk membantu siasatan.

Cubaan wartawan untuk mendapat penjelasan daripada keluarga mangsa gagal kerana keluarganya enggan ditemubual serta mengelak untuk bertemu pihak media.

Jenazah dikebumikan di tanah perkuburan Islam Sungai Tangkas, Kajang, kira-kira jam 3 petang semalam disaksikan keluarga serta jiran terdekat mangsa.