Enam beranak ditahan – Sinar Harian


Enam beranak ditahan
WARTAWAN SINAR HARIAN
1 Februari 2014
Abdul Aziz Abdul Aziz
< 1 / 2 >
TANAH MERAH – Enam sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Renab, Jalan Kampung Renab, Bukit Bunga, dekat sini, kelmarin.

Pada serbuan kira-kira jam 4 petang itu, kesemua suspek berusia 12 tahun hingga 71 tahun ditahan sepasukan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang menjalankan Ops Cantas Khas PGA.

Ketua Polis Tanah Merah, Deputi Superintendan Abdul Aziz Mahmud berkata, penahanan enam beranak terbabit dibuat berikutan penemuan lebih tiga kilogram ketulan mampat ganja dianggarkan bernilai RM9,000.

Katanya, ketika serbuan, tiga lelaki berusia 71, 36 dan 31 tahun serta seorang perempuan warga Thailand dipercayai isteri kepada lelaki warga emas terbabit sedang makan di ruang tamu rumah berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut di dalam rumah ini menemui dua paket ketulan mampat ganja dianggarkan seberat 35 gram di dalam poket hadapan sehelai seluar ‘T-track’ panjang berwarna kelabu.

“Pemeriksaan di ruang tamu juga menemui satu paket ketulan mampat ganja seberat kira-kira 15 gram disembunyikan di dalam satu bantal,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Abdul Aziz berkata, pasangan suami isteri terbabit kemudiannya membawa anggota serbuan ke satu kawasan longgokan kayu terletak kira-kira tiga meter dari rumah berkenaan.

Katanya, pemeriksaan di bawah longgokan kayu ini menemui satu beg plastik sampah hitam, di dalamnya beberapa lagi plastik dan setelah dirungkai, terdapat satu ketulan mampat ganja dianggarkan seberat satu kilogram.

“Pasangan terbabit kemudian membawa anggota serbuan ke sebuah telaga lama yang tidak digunakan terletak kira-kira 4.5 meter dan terdapat satu longgokan kayu kering.

“Hasil pemeriksaan menemui dua ketulan mampat ganja di dalam beg plastik sampah berwarna hitam dengan anggaran berat satu kilogram setiap satu ketulan,” katanya.

Abdul Aziz berkata, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dipercayai anak kepada pasangan berkenaan yang baharu balik ke rumah itu turut ditahan.

“Polis turut merampas sebuah kereta Mercedes Benz berwarna coklat dan hasil ujian saringan awal ke atas semua suspek, seorang daripada mereka didapati positif dadah jenis ‘opiate’,” katanya.

Tambahnya, kesemua suspek ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(1) dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s