‘Guru terlampau’: Biar Kementerian Pendidikan urus – Bernama


‘Guru terlampau’: Biar Kementerian Pendidikan urus
WARTAWAN SINAR HARIAN
1 Februari 2014
  • 'Guru terlampau': Biar Kementerian Pendidikan urusNormala (dua, kanan) ketika mengedarkan kad Tahun Baharu Cina di sekitar kawasan Dun Pemanis, kelmarin.
< 1 / 1 >

SEGAMAT – Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik) meminta agar pihak lain tidak campur tangan berkaitan isu pelajar didenda memakan rumput.

Sebaliknya pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) itu meminta agar perkara berkenaan diserahkan sepenuhnya kepada Kementerian Pendidikan.

Presiden Pendidik, Normala Sudirman berkata, campur tangan pihak lain akan menyebabkan kementerian hilang integriti dan kewibawaan dalam menangani isu perguruan serta pendidikan tanah air.

“Kami juga kurang bersetuju dengan cadangan sesetengah pihak yang mahu memecat atau menggantung gaji guru tersebut. Sepatutnya perkara ini terutama disiplin guru perlu ditangani lembaga tatatertib.

“Tambahan pula, guru ini telah meminta maaf dan ditukarkan ke sekolah lain. Jadi jangan ada pihak lain terutama portfolio kementerian lain yang cuba mencampuri urusan kementerian sehingga menjejaskan imej,” katanya.

Beliau ditemui ketika mengedarkan Kad Tahun Baharu Cina kepada peniaga Cina di sekitar Dun Pemanis, di sini, malam kelmarin.

Normala yang juga Pengerusi Lajnah Pengguna Dewan Muslimat Pas Malaysia dan Penyelia Pusat Aduan Rakyat Dun Pemanis berkata, setiap guru perlu dilayan secara adil dan diberi hak untuk membuat kenyataan di media berkaitan isu sebenar.

Katanya, tidak sewajarnya peluang berkenaan diberikan kepada satu pihak sahaja tanpa masyarakat memahami perkara sebenar yang berlaku pada guru terlibat.

Normala berkata, satu jawatankuasa khas harus dibentuk bagi memastikan kesahihan dakwaan pelajar berkenaan didenda dengan teruk oleh guru, kerana peristiwa ini sedikit sebanyak mencalarkan imej perguruan dan pendidikan negara.

Selain itu, beliau yang juga bekas guru menasihati agar warga pendidik berhati-hati dalam menghukum walaupun bertujuan untuk mendidik kerana sedikit kesilapan yang dilakukan akan mengundang kesal berpanjangan.

“Pendidik ingin menasihatkan warga pendidik di Malaysia supaya sentiasa menjaga imej dan profesionalisme perguruan serta berdedikasi semasa mendidik, bukannya secara emosional,” katanya.

Empat beradik diberi khidmat kaunseling – Bernama


Empat beradik diberi khidmat kaunseling
1 Februari 2014
  • Empat beradik diberi khidmat kaunselingNajib Tun Razak dan isterinya beramah mesra bersama empat anak pasangan Malaysia yang ditahan di Sweden di kediaman beliau di Jalan Duta di Kuala Lumpur hari ini. – Foto Bernama
< 1 / 1 >

KUALA LUMPUR – Empat anak pasangan warga Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Sweden akan diberikan khidmat kaunseling untuk membantu mereka mengatasi tekanan psikologi yang dihadapi mereka.

Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noorul Ainur Mohd Nur berkata, kaunseling itu akan dikendalikan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan secepat mungkin.

“Kita difahamkan mereka akan dibawa pulang ke kampung halaman sebelah ibu mereka di Kelantan, maka kaunseling akan dijalankan oleh pegawai di sana,” katanya kepada pemberita di kediaman peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, di Taman Duta di sini hari ini.

Sebelum itu, Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor bertemu dan bertanya khabar dengan keempat-empat anak pasangan itu Aishah Azizul Raheem, 14 dan tigak adiknya Ammar, 12, Adam, 11 dan Arif,7 sebaik mereka tiba dari Stockholm pagi ini.

Azizul Raheem Awalludin, pegawai Tourism Malaysia di Sweden dan isterinya Shalwati Norshal, seorang guru yang bercuti tanpa gaji, telah ditahan sejak 18 Disember lalu kerana didakwa memukul tangan salah seorang anak lelakinya kerana tidak bersolat.

Noorul Ainur berkata, JKM juga akan memantau perkembangan kanak-kanak itu yang akan dijaga oleh ibu saudara mereka Shaleena Norshal, 42, seorang guru di Kelantan bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan mereka terjamin.

“Pemantauan akan dijalankan setiap minggu dan laporan ini akan kita serahkan kepada Wisma Putra untuk dihantar ke Jabatan Khidmat Sosial di Sweden,” katanya.

Beliau berkata, antara perkara yang memudahkan usaha kerajaan Malaysia membawa balik keempat-empat anak rakyat Malaysia itu adalah kerana Malaysia dan Sweden telah menandatangani Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak pada 17 Februari 1995. – Bernama

Ibu beri kebenaran bawa anak pulang Malaysia – Bernama


Ibu beri kebenaran bawa anak pulang Malaysia
1 Februari 2014

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin berkata, beliau telah meminta kebenaran daripada Shalwati Norshal untuk membawa pulang empat anaknya ke Malaysia.

Katanya, beliau berbuat demikian semasa berjumpa dengan ibu empat beradik itu yang ditahan reman di penjara di Stockholm, Sweden, dengan wanita itu menandatangani surat kebenaran bagi tujuan itu.

Hamzah berkata beliau perlu meminta kebenaran terlebih dahulu supaya tidak dilihat ‘memandai-mandai’ mengambil keputusan sendiri membawa pulang empat beradik itu tanpa kebenaran ibu bapa mereka.

Katanya beliau turut berbincang dengan guru yang bercuti tanpa gaji itu mengenai persekolahan anak-anaknya di sini, dan wanita itu meminta supaya anaknya ditempatkan di sekolah kebangsaan.

“Beliau tidak mahu memasukkan anak-anaknya ke sekolah antarabangsa kerana perbezaan budaya. Kita akan bincang dengan anak-anak ini sekolah bagaimana yang mereka mahu,” katanya kepada pemberita di kediaman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, di Jalan Langgak Duta di sini, hari ini.

Beliau hadir pada majlis pertemuan perdana menteri dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor dengan empat beradik itu, Aishah, 14; Ammar, 12; Adam, 11 dan Arif, 7.

Shalwati dan suaminya Azizul Raheem Awaluddin yang merupakan pegawai Tourism Malaysia di Stockholm  kini ditahan reman sehingga 10 Februari bagi membantu siasatan memukul tangan anak lelaki mereka yang tidak solat.

Hamzah berkata Perdana Menteri juga mengarahkan beliau pergi ke Sweden untuk menyelesaikan kes itu.

“Saya telah berjumpa dengan rakan sejawatan di Kementerian Luar Sweden bagi membincangkan kedudukan kita di dalam Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak yang ditandatangani kedua-dua negara pada 17 Februari 1995.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Sweden dan kedutaan Malaysia di sana yang bertungkus-lumus menyelesaikan masalah ini sehingga berjaya membawa pulang kanak-kanak ini,” katanya.

Hamzah juga berkata pertanyaan pertama anak bongsu pasangan itu kepadanya ialah “Bila awak mahu pulang ke Malaysia? Saya mahu ikut awak.”

Sementara itu, Arif semasa ditanya oleh Najib kenapa dia mahu pulang ke Malaysia, kanak-kanak itu dalam keadaan tersipu-sipu memberitahu dia rindukan sepupunya di Kelantan, yang difahamkan mereka amat rapat dan sering bermain ‘video games’ bersama-sama. – Bernama

Kes kelar anak: Polis siap kertas laporan – Bernama


Kes kelar anak: Polis siap kertas laporan
1 Februari 2014
  • Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abd Rahim Jaafar Abd Rahim
< 1 / 1 >

BANGI – Kertas siasatan berhubung insiden seorang bapa mengelar anak perempuannya yang berusia tujuh tahun hingga mati dan  mencederakan dua lagi di Seksyen 4 Bandar Baru Bangi, akan diserah kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abd Rahim Jaafar berkata, pihaknya yakin dapat menyiapkan kertas siasatan itu secepat mungkin berdasarkan maklumat terbaru yang diperoleh.

“Biar mahkamah memutuskan sama ada untuk didakwa, atau suspek perlu dirujuk di Hospital Psikiatri, (kerana) berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada keluarga dan orang ramai, polis mengesyaki suspek mengalami masalah mental,” katanya kepada pemberita sebelum melawat Kompleks Sukan Bandar Baru Bangi sebagai langkah persiapan menghadapi PRK Dun Kajang.

Beliau berkata buat masa ini, suspek dirawat di Hospital Kajang selepas mengalami kecederaan di bahagian kepala.

“Keadaannya stabil serta boleh bercakap, soal siasat dijalankan secara minimum memandangkan suspek masih cedera serta suasana di hospital yang tidak sesuai untuk dijalankan siasatan,” katanya sambil menambah soal siasat akan dijalankan selepas suspek dibenar keluar dari hospital.

Abd Rahim berkata dua lagi anak suspek yang terselamat kini dirawat di Hospital Kajang dan Hospital Kuala Lumpur serta berada dalam keadaan stabil.

Mengulas dakwaan insiden itu mungkin ada kaitan dengan kumpulan yang mengamalkan ajaran sesat, beliau berkata polis akan meneliti kes berkenaan dari pelbagai sudut.

Dalam insiden dua hari lepas, anak bongsu suspek meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua lagi anak perempuannya berusia 10 dan 12 tahun cedera di tengkuk dan tangan sehingga menyebabkan seorang daripada mereka putus jari.

Suspek berusia 44 tahun itu ditahan reman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan.

Sementara itu, mengulas kes samun wang tunai berjumlah RM3.36 juta dari sebuah van syarikat keselamatan di stesen minyak pekan Ijok, Kuala Selangor pada 28 Januari lepas, Abd Rahim berkata, polis yakin suspek yang masih bebas akan dapat dilakukan dalam masa terdekat.

“Tangkapan masih kekal tiga orang buat masa ini dan reman telah dikenakan terhadap mereka sehingga 6 Februari ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Abd Rahim berkata polis Selangor kini bersiap sedia menghadapi PRK Dun Kajang dan masih meneliti lokasi yang bakal menjadi kawasan panas.

“Jumlah anggota yang bakal terlibat masih belum diputuskan namun polis akan sentiasa menjamin keselamatan dan kelancaran pilihan raya kecil yang akan berlangsung tidak lama lagi,” katanya.

Kerusi Dun Kajang kosong setelah Lee Chin Cheh meletak jawatan pada Isnin lepas.- Bernama

Maut beli kad tambah nilai – SInar Harian


Maut beli kad tambah nilai
ROSALWANI CHE SOH
2 Februari 2014
  • Maut beli kad tambah nilaiNorsuhadah menunjukkan lokasi kemalangan yang menimpa sepupunya. – Foto Sinar Harian
< 1 / 1 >

KOTA BHARU – Seorang remaja maut dalam kejadian langgar lari di Panchor, Kemumin, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 10 malam itu, mangsa, Muhammad Arif Salleh, 13, ditemani sepupunya, Norsuhadah Fauzi, 17, ke kedai untuk membeli kad tambah nilai telefon bimbitnya, sebelum dilanggar kenderaan jenis Myvi yang secara tiba-tiba merempuhnya dari belakang.

Norsuhadah ketika ditemui berkata, dia berjalan kaki beberapa meter di belakang mangsa di bahu kiri jalan menghala ke Panchor dan melihat sebuah kereta berwarna putih laju melepasinya dan tiba-tiba melanggar sepupunya.

“Saya nampak sebuah kereta jenis Myvi berwarna putih dan bercermin gelap melanggar sepupu saya di bahu jalan. Selepas dilanggar, dia digilis kereta terbabit yang terus berlalu pergi.

“Sebuah kenderaan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang kebetulan lalu di situ memberikan  bantuan dan membuat panggilan kecemasan,” katanya di Kampung Panji, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, mangsa diseret sejauh 4.6 meter dan ditinggalkan dalam keadaan cedera parah.

“Kenderaan itu terus beredar meninggalkan tempat kejadian dan polis masih mengesan pemilik kereta serta sedang mengenal pasti nombor pendaftarannya,” katanya kepada media, semalam.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk rawatan susulan namun disahkan meninggal dunia kira-kira jam 11 malam.

“Kita masih meneruskan siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Kanak-kanak derita kanser mata – Sinar Harian


Kanak-kanak derita kanser mata
WARTAWAN SINAR HARIAN
2 Februari 2014
  • Kanak-kanak derita kanser mataNor menunjukkan mata kiri anaknya yang membengkak akibat kanser mata. – Foto Sinar Harian
< 1 / 1 >

RANTAU PANJANG – Seorang kanak-kanak berusia 7 tahun di Kampung Kubang Chenok menderita akibat penyakit kanser mata sejak dilahirkan.

Ibunya, Nor Mohd Ariffin, 40, berkata, pada mulanya pihak hospital mendapati perkembangan mata kiri anak keduanya, Nor Batrisyia Roslan terganggu dan disahkan tidak mempunyai manik.

Namun lapan bulan selepas dilahirkan Nor berkata, mata anaknya menjadi bengkak dan kebiru-biruan.

“Pelbagai usaha saya lakukan untuk mengubati penyakit ini tetapi ia jadi makin serius malah matanya berair tanpa mengira masa.

“Saya risau penyakit ini akan mempengaruhi perkembangan persekolahannya kerana sering berulang alik ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) sebanyak empat kali sebulan,” katanya.

Nor yang juga ibu tunggal berkata, bagi mengelak penyakit anaknya menjadi semakin serius, pihak doktor mencadangkan agar mata palsu digunakan menggantikan mata asal.

Namun katanya, dia terpaksa menangguhkan pembedahan kerana usia Nor Batrisyia terlalu muda malah kulit di bahagian matanya terlalu nipis.

Menurutnya, wang pencen arwah suami dan bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat digunakan sepenuhnya untuk rawatan Nor Batrisyia dan dua lagi anaknya yang berusia 9 serta 4  tahun.

“Saya risau, penyakit ini mungkin membantutkan perkembangan akademik anak saya  kerana perlu mendapatkan rawatan secara berterusan.

“Namun saya juga juga risau sekiranya tidak dapat menampung perbelanjaan rawatan Nor Batrisyia sebelum dan selepas dibedah kelak,” katanya.

Patah tangan elak lubang – Sinar Harian


Patah tangan elak lubang
WARTAWAN SINAR HARIAN
2 Februari 2014
  • Patah tangan elak lubangMohamed Yasin melihat pergelangan tangan Nur Intan yang patah akibat terjatuh motosikal. – Foto Sinar Harian
< 1 / 1 >

KUANTAN – Seorang murid Sekolah Kebangsaan (SK) Penor, dekat sini patah pergelangan tangan kiri akibat terjatuh motosikal ditunggang bapanya ketika mengelak jalan berlubang di Kampung Penor.

Bapa mangsa, Mohamed Yasin Mat Ali, 58, berkata, ketika kejadian, dia bersama anaknya, Nur Intan Suraya Mohamed Yasin, 10, dalam perjalanan ke kedai.

Menurutnya, ketika sampai di tempat kejadian, terdapat kereta di depan dan di belakangnya.

“Kereta di depan cuba mengelak jalan berlubang dan begitu juga saya menyebabkan motosikal hilang kawalan.

“Bagaimanapun saya sempat menahan motosikal dengan kaki daripada terjatuh namun Nur Intan terjatuh ke atas jalan. Mujur kereta di belakang sempat brek,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sepat.

Mohamed Yasin berkata, pada mulanya, dia tidak menyedari pergelangan anak keempat daripada enam beradik itu patah sehinggalah guru di sekolah tempat anaknya belajar memintanya melakukan pemeriksaan lanjut di klinik.

“Selepas melakukan x-ray, doktor mengesahkan dia patah pergelangan tangan kiri.

“Sekarang sudah dua minggu dia tidak ke sekolah atas nasihat doktor,” katanya.

Mohamed Yasin yang bekerja kontrak bersih pantai, di sini terkilan kerana jalan berlubang yang didakwa sudah tiga tahun tidak dibaiki itu mengakibatkan anaknya mengalami kecederaan.

Katanya, jalan berlubang itu berpunca daripada paip pecah menyebabkan lubang sedalam 0.1 meter.

“Diharap pihak bertanggungjawab tampil membaiki jalan tersebut kerana bimbang kejadian sama berulang kepada pengguna yang lain.

“Mujur kami cedera kecil saja, namun kita tak mustahil kejadian lebih teruk berlaku sekiranya masalah terus berlarutan,” katanya.

‘Mereka akan sambung persekolahan di Kelantan’ – Metro


‘Mereka akan sambung persekolahan di Kelantan’

Sepang: “Syukur Alhamdulillah kerana mereka pulang ke Malaysia dengan selamat,” kata Shaleena Norshal, 43, adik kepada Shalwati Norshal, 46, yang kini ditahan bersama suaminya Azizul Raheem Awalludin, 38, oleh pihak berkuasa Sweden kerana didakwa memukul anak lelaki mereka yang tidak menunaikan solat.

Menurutnya, dia mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia, Pemuda UMNO, SukaGuam, masyarakat tempatan, media serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain kerana bertungkus-lumus membantu menyelesaikan masalah berkenaan.
Katanya, dia terharu dan sangat gembira dengan usaha yang dilakukan dalam membawa anak saudaranya pulang ke pangkuan keluarga di sini.

 

“Sebelum ini, kami faham perkara membawa mereka pulang sukar dilakukan kerana undang-undang ketat di Sweden.
“Namun, atas bantuan kerajaan Malaysia serta mereka yang terbabit berjaya melakukan sesuatu yang luar biasa untuk membawa anak saudara saya pulang ke pangkuan kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, semalam.
Menurutnya, empat beradik itu, Aishah, 14, Ammar, 12, Adam, 11 dan Arif, 7, akan dijaga olehnya sementara menunggu kepulangan ibu bapa mereka.

 

Katanya, buat masa terdekat, mereka akan menyambung persekolahan di Kelantan kerana ia menjadi tanggungjawabnya sebagai ahli keluarga terdekat.
“Lagipun, ini pesanan Shalwati supaya menjaga anaknya dan saya sangat bersyukur kerana boleh menjaga mereka.

 

“Selain saya, ibu bapa Azizul Raheem berada di kampung (Kelantan) dan mereka boleh bertemu keempat-empat beradik ini,” katanya. Adik kedua Azizul Raheem, Ahmad Ridzuan Awalludin, 36, turut meluahkan rasa syukur dan terima kasih kepada kerajaan Malaysia dan keprihatinan masyarakat serta media mengikuti perkembangan pasangan berkenaan.
Menurutnya, perkara membawa pulang anak saudaranya ke tanah air adalah satu yang mengejutkan.
“Kepulangan mereka turut melegakan hati kami sekeluarga terutama datuk dan neneknya di kampung.
“Sebelum ini, kami hanya mampu mengikuti perkembangan keempat-empat beradik itu melalui media dan laman sosial saja, tetapi kali ini berbeza kerana mereka sudah ada di depan mata.
“Sekarang, kami akan terus berdoa kepada Ilahi supaya Azizul Raheem dan Shalwati diberi semangat dan kesabaran untuk menempuh dugaan ini,” katanya.
Sementara itu, anak sulung pasangan terbabit, Aisyah Azizul Raheem berkata, dia dan adik-adik masih mengantuk dan kepenatan tetapi bersyukur kerana dapat pulang ke tanah air.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/02

Maut depan sepupu – Metro


Maut depan sepupu

Oleh SITI FATIMAH HASSAN

Kota Bharu: Seorang remaja berusia 13 tahun bukan saja dilanggar malah turut digilis kenderaan sama sebelum pemandunya dipercayai melarikan diri dalam kejadian menyayat hati berhampiran rumah neneknya dekat Kampung Panchor, Jalan Kemumin, di sini, jam 10 malam kelmarin.

Lebih menyedihkan, kejadian itu turut disaksikan oleh sepupunya, Nor Suhadah Fauzi, 17, yang sebelum itu bersama mangsa, Muhammad Arif Salleh berjalan kaki untuk membeli kad prabayar di sebuah kedai terletak kira-kira 15 meter dari rumah nenek mereka.

Nor Suhadah berkata, mereka berdua keluar rumah pada jam 9.46 malam untuk ke kedai memandangkan mangsa mahu menggunakan perkhidmatan Internet.

Katanya, mereka berdua hanya berjalan kaki di bahu jalan dan dia sempat memimpin tangan mangsa namun dilepaskan ketika dalam perjalanan ke kedai itu.

FotoSALLEH menunjukkan foto Muhammad Arif (gambar kecil) yang maut dirempuh.

“Mula-mula saya pimpin tangan dia tetapi dia lepas dan berjalan di depan.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/02