Cabul: Dua remaja cedera dipukul – Bernama


Cabul: Dua remaja cedera dipukul
2 Februari 2014

KOTA BHARU – Gara-gara disyaki mencabul kehormatan seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun, dua remaja lelaki cedera dipukul sekumpulan lelaki di Taman Desa Kemumin, Padang Tembak di sini semalam.

Ketua Daerah Polis Kota Baharu Asisten Komisioner Azham Othman berkata kejadian pada 6 pagi itu menyebabkan kedua-dua remaja cedera di kepala dan badan dipercayai dipukul dengan batang besi.

“Dua remaja itu, yang sedang berehat di sebuah rumah, dikejutkan dengan kedatangan enam lelaki yang bertindak menyerang mangsa secara bertubi-tubi di bahagian kepala serta badan.

“Mereka kemudian turut dibawa kumpulan lelaki berkenaan ke sebuah rumah lain sebelum dipukul dengan besi,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Azham berkata siasatan awal mendapati dua remaja itu dipukul setelah disyaki mencabul pelajar berkenaan hari yang sama di sebuah rumah di Pengkalan Chepa pada 2 pagi.

“Sebelum kejadian, dua remaja itu telah membawa pelajar berkenaan untuk keluar dengan menaiki kereta sebelum bertindak membawa gadis itu ke sebuah rumah seorang daripada remaja berkenaan.

“Seorang daripada remaja itu bertindak menarik tangan gadis itu masuk ke dalam rumah sebelum bertindak membuka baju pelajar itu menyebabkan baju gadis tersebut terkoyak, selain cuba menciumnya,” katanya.

Azham berkata bagaimanapun, remaja berkenaan kemudian melepaskan gadis itu dan menghantar mangsa balik semula ke rumahnya.

“Pelajar perempuan itu turut membuat laporan polis mengenai kejadian cabul yang menimpa dirinya pada hari kejadian,” katanya.

Kedua-dua remaja kini ditahan reman empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Polis turut mencari kumpulan lelaki yang memukul dua remaja itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. – Bernama

Pelajar sekolah kena cekup – SInar Harian


Pelajar sekolah kena cekup
WARTAWAN SINAR HARIAN
3 Februari 2014
  • Pelajar sekolah kena cekupTrafik mengeluarkan saman terhadap seorang remaja dan motosikalnya turut disita.
< 1 / 1 >

KULIM – Untuk memastikan kadar kemalangan dapat dikurangkan, Trafik Kulim melancarkan Ops Samseng Jalanan di sekitar kawasan pekan dan jalan utama bagi mengesan pemandu yang gagal mematuhi undang-undang.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, dari sekatan dijalankan sepanjang musim Tahun Baru Cina, lebih 10 motosikal disita kerana pelbagai kesalahan.

Katanya, dari jumlah itu, penunggang motosikal bawah umur dan pelajar sekolah merupakan golongan yang paling ramai ditahan.

“Antara kesalahan yang mengakibatkan motosikal mereka disita adalah tidak memiliki lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, tidak ada perlindungan insurans dan memandu secara melulu,” katanya.

Katanya, polis berjaya mengurangkan jumlah kemalangan maut berbanding tahun lalu.

Menurutnya, operasi seperti itu akan diteruskan dari masa ke semasa untuk memastikan pengguna jalan raya lebih bertanggungjawab di masa akan datang.

Kerajaan Lulus RM150 Juta Naik Taraf Pendidikan SJKT – Bernama


Kerajaan Lulus RM150 Juta Naik Taraf Pendidikan SJKT

 

Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam (kanan) melihat tapak baru Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Rumbia pada Majlis Meletak Batu Asas di Alor Gajah, Melaka, Ahad. Turut kelihatan Anggota Parlimen Alor Gajah, Datuk Koh Nai Kwong (dua, kiri) dan Guru Besar SJKT Rumbia, P.Kamalapathy (kiri). -fotoBERNAMA

 

ALOR GAJAH: Kerajaan persekutuan meluluskan peruntukan RM150 juta bagi tahun 2013/2014 dalam usaha meningkatkan taraf pendidikan di lebih 300 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) seluruh negara.

Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata peruntukan meliputi RM100 juta pada 2013 dan RM50 juta pada tahun ini akan digunakan untuk memindahkan sekolah sedia ada ke kawasan atau bangunan baharu dan meningkatkan kemudahan termasuk penambahan bilik darjah.

Beliau berkata sekolah yang mempunyai kurang murid di kawasan tertentu seperti di estet juga bakal dipindahkan ke kawasan perumahan atau bandar.

Dr Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan berkata pada masa ini, terdapat 60 sekolah mempunyai murid kurang daripada 25 orang manakala 15 sekolah mempunyai kurang daripada 10 murid.

“Sekarang kita sedang mengemas kini senarai sekolah ini dan kita beri keutamaan (untuk dipindahkan) pada sekolah yang sudah mendapat tanah,” katanya kepada pemberita selepas majlis meletak batu asas SJKT Rumbia di sini Ahad.

Dr Subramaniam berkata proses menaik taraf pendidikan SJKT mula menunjukkan perkembangan positif dengan tahun lepas mencatatkan rekod terbaik iaitu seramai 1,298 pelajar memperoleh 7A bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

“Ia adalah pencapaian terbaik murid SJKT berbanding hanya antara 300 hingga 400 orang pada tahun-tahun sebelumnya dan saya yakin jumlah mereka akan bertambah sekiranya proses menaik taraf infrastruktur SJKT dilakukan secara berterusan,” katanya.

Beliau berkata pada masa sama, pihak SJKT disaran memberi penekanan terhadap penguasaan bahasa Melayu kepada murid sebagai persediaan mereka melanjutkan pendidikan di peringkat sekolah menengah.

Terdahulu, katanya SJKT Rumbia yang dibina dengan kos RM2.5 juta di atas tanah seluas 0.8 hektar itu dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun depan.

Katanya pada masa ini, 123 murid belajar di bangunan lama SJKT Rumbia yang menumpang di tanah Sekolah Kebangsaan Rumbia di sini sejak 46 tahun lepas. –BERNAMA

Shalwati mahu sekolah biasa – Kosmo


Shalwati mahu sekolah biasa

 

 

Oleh ADHAM SHADAN dan ROSMIZAN RESDI
berita@kosmo.com.my

 

AISHAH (dua dari kanan) bersama adik-adiknya, Ammar (dua dari kiri) Adam (kiri ) dan Arif bersama sepupu mereka di kota Bharu semalam.

 

KOTA BHARU – Biarpun tidak fasih berkomunikasi dalam bahasa Melayu, keempat-empat anak pasangan Azizul Raheem Awalludin dan Shalwati Norshal bakal bersekolah di sekolah harian biasa atas permintaan ibu mereka.

Bapa saudara empat beradik itu, Badrul Hisyam Mahzan, 55, berkata, hasrat tersebut telah dimaklumkan Shalwati kepada Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin untuk disampaikan kepada ahli keluarganya di sini ketika timbalan menteri berkenaan melawat pasangan suami isteri itu di pusat tahanan di Sweden baru-baru ini.

Badrul Hisyam berkata, keluarganya akan mengusahakan supaya keempat-empat anak saudaranya itu, Aishah, 15, dan tiga adiknya Ammar, 12, Adam, 11, dan Arif, 7, untuk disekolahkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Kala berhampiran kediaman adiknya, Shaleena Norshal di Wakaf Tok Wali, Melor.

“Adik saya, Shalwati minta mereka disekolahkan di sekolah kebangsaan biasa. Saya hormati keputusannya yang mahukan anak-anak mereka bersekolah biasa dan bukan sekolah antarabangsa.

“Kami akan memohon untuk mereka ditempatkan di SMK Padang Kala dan SK Padang Kala, yang dekat dengan rumah, kalau ada ruang dan kekosonganlah. Macam Aishah, dia akan masuk ke tingkatan tiga dan Arif akan ke darjah satu,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di rumah Shaleena di sini semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Permudah proses persekolahan – Metro


Permudah proses persekolahan

Jertih: Kementerian Pendidikan memberi jaminan akan memudahkan proses persekolahan empat beradik yang baru pulang ke tanah air kelmarin dari Sweden berikutan ibu bapa mereka ditahan pihak berkuasa negara itu sejak kira-kira sebulan lalu.

Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh berkata, sebagai warganegara Malaysia, mereka mempunyai hak untuk belajar dan mendapatkan pendidikan terbaik di negara ini seperti terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM).

Katanya, menerusi PPPM, setiap rakyat negara ini akan dipastikan mendapat hak dan peluang untuk belajar dengan memperoleh pendidikan terbaik.

 

 

“Semua rakyat Malaysia akan kita pastikan mempunyai hak dan ruang untuk belajar serta mendapat pendidikan terbaik termasuk (empat beradik) kanak-kanak berkenaan (yang baru pulang dari Sweden),” katanya.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/03