Kerajaan Lulus RM150 Juta Naik Taraf Pendidikan SJKT – Bernama


Kerajaan Lulus RM150 Juta Naik Taraf Pendidikan SJKT

 

Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam (kanan) melihat tapak baru Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Rumbia pada Majlis Meletak Batu Asas di Alor Gajah, Melaka, Ahad. Turut kelihatan Anggota Parlimen Alor Gajah, Datuk Koh Nai Kwong (dua, kiri) dan Guru Besar SJKT Rumbia, P.Kamalapathy (kiri). -fotoBERNAMA

 

ALOR GAJAH: Kerajaan persekutuan meluluskan peruntukan RM150 juta bagi tahun 2013/2014 dalam usaha meningkatkan taraf pendidikan di lebih 300 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) seluruh negara.

Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata peruntukan meliputi RM100 juta pada 2013 dan RM50 juta pada tahun ini akan digunakan untuk memindahkan sekolah sedia ada ke kawasan atau bangunan baharu dan meningkatkan kemudahan termasuk penambahan bilik darjah.

Beliau berkata sekolah yang mempunyai kurang murid di kawasan tertentu seperti di estet juga bakal dipindahkan ke kawasan perumahan atau bandar.

Dr Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan berkata pada masa ini, terdapat 60 sekolah mempunyai murid kurang daripada 25 orang manakala 15 sekolah mempunyai kurang daripada 10 murid.

“Sekarang kita sedang mengemas kini senarai sekolah ini dan kita beri keutamaan (untuk dipindahkan) pada sekolah yang sudah mendapat tanah,” katanya kepada pemberita selepas majlis meletak batu asas SJKT Rumbia di sini Ahad.

Dr Subramaniam berkata proses menaik taraf pendidikan SJKT mula menunjukkan perkembangan positif dengan tahun lepas mencatatkan rekod terbaik iaitu seramai 1,298 pelajar memperoleh 7A bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

“Ia adalah pencapaian terbaik murid SJKT berbanding hanya antara 300 hingga 400 orang pada tahun-tahun sebelumnya dan saya yakin jumlah mereka akan bertambah sekiranya proses menaik taraf infrastruktur SJKT dilakukan secara berterusan,” katanya.

Beliau berkata pada masa sama, pihak SJKT disaran memberi penekanan terhadap penguasaan bahasa Melayu kepada murid sebagai persediaan mereka melanjutkan pendidikan di peringkat sekolah menengah.

Terdahulu, katanya SJKT Rumbia yang dibina dengan kos RM2.5 juta di atas tanah seluas 0.8 hektar itu dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun depan.

Katanya pada masa ini, 123 murid belajar di bangunan lama SJKT Rumbia yang menumpang di tanah Sekolah Kebangsaan Rumbia di sini sejak 46 tahun lepas. –BERNAMA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s