Empat beradik teruja buat persiapan persekolahan – Bernama


Empat beradik teruja buat persiapan persekolahan
4 Februari 2014
  • Empat beradik teruja buat persiapan persekolahanEmpat anak kepada pasangan Azizul Raheem Awalludin dan Shalwati Norshal yang ditahan di Sweden iaitu (dari kiri) Aisyah, 15, Ammar, 12, Adam, 11 dan Arif, 7, memilih pakaian sekolah sambil dibantu ibu saudaranya, Shaleen Nor Shal (kanan) ketika membeli-belah di sebuah kedai di Pasir Tumboh di Kota Bharu hari ini. – Foto Bernama
< 1 / 1 >

KOTA BHARU – Empat anak pasangan warga Malaysia yang ditahan di Sweden, begitu teruja membuat persiapan persekolahan apabila ibu saudara mereka, Shaleena Nor Shal, 43, membawa mereka membeli pakaian sekolah baharu di sebuah kedai di Pasir Tumboh di sini, hari ini.

Aisyah Azizul Raheem, 15, dan adik-adiknya, Ammar, 12, Adam, 11, dan Arif, 7, kelihatan gembira apabila dibawa membeli-belah dan mencuba pakaian serta kasut baharu ditemani saudara mara yang lain.

Anak sulung pasangan itu, Aisyah, ketika ditemui di rumah ibu saudaranya di Kampung Wakaf Tok Wali, Peringat, di sini, berkata walaupun gembira dapat kembali bersekolah, namun pada masa yang sama mengakui masalah bahasa bakal menjadi cabaran utama adik beradiknya itu.

Aisyah yang akan memasuki Tingkatan Tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Kala, Melor di sini Ahad ini, berkata beliau berfikir untuk ke sekolah antarabangsa tetapi dinasihatkan ibunya supaya belajar di sekolah bantuan kerajaan dan beliau berharap dapat menguasai Bahasa Melayu di sekolah harian.

Semalam, Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan menyerahkan Surat Penempatan Sekolah kepada Aisyah dan adik-adiknya itu dan memberi kelonggaran kepada mereka untuk ke sekolah pada bila-bila masa.

Aisyah berkata, ketika tinggal di Sweden bersama keluarga, ibunya Shalwati Nor Shal dan ayahnya, Azizul Raheem Awalludin sering bertutur menggunakan Bahasa Melayu dengan mereka.

Ditanya mengenai perbezaan sesi persekolahan apabila mereka terpaksa memakai pakaian seragam, Aisyah berkata ia juga satu cabaran baharu buat beliau dan adik-adiknya kerana mereka bebas berpakaian biasa ketika bersekolah di Sweden.

“Adik lelaki saya mungkin tak ada masalah sebab mereka pakai baju dan seluar panjang.. ia seperti pakaian biasa buat mereka, tapi tak tahulah sebab saya pun tak ada masa nak bercakap dengan mereka kerana sering dikunjungi tetamu,” katanya.

Sementara itu, ibu saudaranya, Shaleena berkata walaupun sebuah sekolah antarabangsa memberi tawaran kepada empat adik beradik itu untuk meneruskan persekolahan di institusi berkenaan, namun beliau menghormati keputusan kakaknya, Shalwati Nor Shal, yang mahukan anak-anaknya untuk bersekolah di sekolah bantuan kerajaan.

“Kita berterima kasih banyak dan mengalu-alukan semua ini, tapi saya telah diamanahkan oleh kakak (Shalwati) supaya anak-anak mereka belajar di sekolah kerajaan.

“Mungkin sebab kita tak tahu apa yang mereka telah lalui di sana dan ini mungkin satu daripada sebab kakak rasa sekolah kerajaan lebih baik untu anak-anaknya,” katanya.

Selain itu, Shaleena berkata beliau turut mengajar keempat-empat anak saudaranya itu mengaji Al-Quran bagi mengekalkan rutin harian mereka ketika bersama keluarganya semasa berada di Sweden.

“Memang kakak sentiasa pastikan anak-anaknya mengaji Al-Quran terutama selepas Maghrib dan solat berjemaah bersama keluarga, dan saya akan kekalkan rutin itu walaupun empat beradik ini, untuk sementara waktu tidak bersama ibu dan bapa mereka,” katanya.

Azizul Raheem Awalludin, pegawai Tourism Malaysia di Sweden dan isteri Shalwati Nor Shal, seorang guru yang bercuti tanpa gaji, ditahan reman sejak 18 Disember tahun lepas kerana didakwa memukul tangan seorang anak lelaki mereka kerana tidak solat.  – Bernama

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s