Guru punca pelajar tak minat sejarah? – Bernama


Guru punca pelajar tak minat sejarah?
4 Februari 2014
  • Guru punca pelajar tak minat sejarah?Gambar Sekadar Hiasan
< 1 / 1 >

KURANGNYA minat pelajar terhadap mata pelajaran sejarah dikatakan turut berpunca daripada guru. Kurang kreatif serta tidak berkemahiran dalam pengajaran Sejarah antara permasalahan guru yang masih lagi kedengaran.

Siri kedua ini akan mengupas persoalan dan peranan guru bagi memperkasakan subjek Sejarah di sekolah. Sejauh manakah  persediaan guru Sejarah dalam menggerakkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

KUALA LUMPUR – Ada lebihan 13,000 guru sains di Malaysia. Namun apa yang berlaku, mereka ini mengajar mata pelajaran Sejarah.

Keadaan ini agak membimbangkan lebih-lebih lagi mata pelajaran Sejarah diumumkan satu daripada mata pelajaran wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Keadaan menjadi lebih buruk lagi apabila guru yang kurang berkemahiran mengajar mata pelajaran Sejarah menggunakan kaedah pengajaran konservatif “chalk and talk” yang digunakan oleh guru sebelum ini, yang juga sudah tidak lagi relevan kepada pelajar yang dahagakan idea baharu lebih kreatif.

Beberapa pihak pula mendakwa ada sebahagian guru ini kurang kreatif, tidak mempunyai kemahiran teknik pengajaran yang berkesan, terlalu bergantung kepada buku teks dan terlalu mengejar silibus, hingga gagal memberi gambaran sesuatu peristiwa sejarah dengan jelas membuatkan pelajar tidak faham apa yang disampaikan dan seterusnya “membunuh” minat mereka terhadap mata pelajaran itu.

BAGAIMANA INI BERLAKU?   

Keadaan ini dikatakan telah berlarutan hampir enam tahun apabila berlaku lebihan guru Sains susulan dasar Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang memberi tumpuan kepada bidang sains dan teknologi selaras dengan matlamat Wawasan 2020 menuju negara maju.

Untuk mencapai matlamat itu, elaun bagi guru sains dinaikkan ke 60 peratus, kata Pensyarah Jabatan Sejarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Ahmad Zainudin Husin.

“Ini menjadi satu daripada punca pengajaran Sejarah kurang berkesan di sekolah kerana kebanyakan guru kurang berkemahiran untuk menguasai teknik pengajaran dan penyampian sejarah,” katanya.

Senario ini berlaku disebabkan kurangnya pelajar aliran Sains ketika memasuki tingkatan empat, katanya. Guru-guru sains ini kemudian mendapati mereka terpaksa mengambil pilihan mengajar Sejarah.

PROFESIONALISME GURU DIPERTIKAI?

Tahap profesionalisme guru dan pengaruhnya ke atas kualiti pendidikan sejarah sering kali menjadi topik kajian ahli akademik tempatan mahupun luar negara. Rata-rata kajian yang dilakukan merumuskan kualiti sistem pendidikan tidak boleh melangkaui kualiti guru yang merupakan faktor penentu kepada sistem pendidikan.

Ini membawa kepada satu kesimpulan, bagaimana baik sekalipun sesebuah kurikulum dan buku teks yang disediakan tidak akan bermakna sekiranya guru tidak dapat melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.

Misalnya, kertas kerja yang dibentangkan Supple dalam persidangan, “Revisiting History In Asia And Europe” ada menyatakan masalah sebenar pendidikan Sejarah di kebanyakan negara tidak berkait sangat dengan buku teks tetapi banyak ditentukan oleh tinggi atau rendahnya tahap profesionalisme guru-guru Sejarah.

Berdasarkan kenyataaan itu, terbit persoalan, adakah guru-guru Sejarah di negara ini tidak profesional sehingga gagal menarik pelajar mendekati dan mencintai sejarah?

LEBIHAN GURU SAINS   

Permasalahan ini mungkin antaranya berpunca daripada guru daripada bidang lain terpaksa mengambil opsyen untuk mengajar subjek Sejarah yang dikatakan sedikit sebanyak telah memberi kesan kepada kurangnya minat pelajar terhadap sejarah.

Menurut Dr Ahmad Zainudin Husin, bagi tujuan itu, pengambilan guru sains telah diperuntukkan sebanyak 60 peratus berbanding bidang lain sebanyak 40 peratus.

Data Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) menunjukkan, 400,000 guru sedang berkhidmat di sekolah di seluruh negara dan daripada jumlah tersebut hanya 19,195 guru yang mengajar mata pelajaran Sejarah.

Akan tetapi, bukan semua guru yang mengajar Sejarah itu adalah guru yang berkelulusan atau berkelayakan dalam bidang itu. Ini kerana, daripada 19,195 guru Sejarah, hanya 9,860 guru sahaja berkelulusan dalam bidang berkenaan manakalah selebihnya adalah dalam bidang lain.

Sedangkan terdapat 8,545 guru yang mengambil kursus bidang Sejarah tetapi tidak ditawarkan mengajar mata pelajaran berkenaan.

Ini menyebabkan kedudukan mereka yang terlatih dalam bidang Sejarah terpaksa berhadapan dengan risiko tiada penempatan, sedangkan mereka mempunyai kemahiran khusus mengajar mata pelajaran tersebut dari sekolah rendah sehingga tingkatan enam,” katanya.

PERLAKSANAAN PITO

Ahmad Zainudin berkata kerajaan terpaksa mengambil inisiatif melatih guru sains untuk mengambil opsyen subjek lain termasuk Sejarah melalui Program Intervensi Tukar Opsyen (PITO).

Mereka diberi latihan semula untuk menambah opsyen seperti Sejarah selama lima minggu bagi menguasai dan menambah kemahiran pengajaran di beberapa universiti tempatan seperti UPSI, Universiti Sains Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysia.

“Sudah tentu kemahiran sejarah yang dimiliki guru ini tidak setanding dengan guru-guru yang berkelulusan bidang Sejarah biarpun mereka telah menjalani program PITO,” katanya.

Kerana itu, kebanyakan guru PITO bergantung kepada buku teks semata-mata dalam penyampaian mereka dan bukannya mementingkan pemahaman pelajar terutama kebolehan mentafsir dan menganalisis sesuatu peristiwa  sejarah yang berlaku.

“Konsep tafsiran adalah elemen penting dalam sejarah. Bagaimanapun ia tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya tanpa bersandarkan kepada fakta.

“Oleh itu guru perlu mempunyai kemahiran untuk mentafsir fakta yang  terdapat dalam buku teks bagi memudahkan pemahaman pelajar,” katanya.

Beliau berkata selain itu dasar autonomi universiti yang diperkenalkan sedikit sebanyak telah menjejaskan proses pengambilan pelajar berkualiti dalam bidang Sejarah terutama di UPSI.

Melalui dasar itu, universiti penyelidikan diberi keutamaan bagi memenuhi kuota pengambilan pelajarnya berbanding universiti bukan penyelidikan seperti UPSI.

“Sebelum ini dasar pengambilan pelajar lebih terbuka dengan memberi kebebasan kepada pemohon untuk memilih universiti tetapi setelah perlaksanaan dasar tersebut, pemilihan agak terbatas,” katanya.

Ini juga menyebabkan pengambilan pelajar yang diterima masuk dalam bidang Sejarah di UPSI berkurangan sebelum dasar itu dilaksanakan. Ia adalah antara faktor yang menjejaskan hasrat melahirkan lebih ramai guru Sejarah berkualiti, katanya.

DI MANA PERANAN IPT MEMERTABATKAN SEJARAH?   

Melahirkan guru Sejarah berkualiti bukan lagi satu pilihan sebaliknya satu kemestian selaras dengan kerangka Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM) yang dilancarkan baru-baru ini.

Namun, realitinya keadaan itu seakan sukar dicapai apabila di peringkat institut pengajian tinggi pengajian Sejarah dipinggirkan.

“Walaupun kementerian mewajibkan kelulusan subjek Sejarah dalam Sijil Persekolahan Malaysia (SPM) tetapi perkembangan di peringkat universiti tidak begitu memberangsangkan. Ini berkait rapat dengan dasar yang menitikberatkan kepada elemen ekonomi iaitu kebolehpasaran graduan,” katanya.

Keadaan ini menyebabkan bidang Sejarah semakin tidak popular dalam kalangan pelajar sehingga pihak universiti terpaksa mengambil tindakan mengecilkan pengambilan pelajar.

Ia adalah antara sebab kebimbangan yang sering dibangkitkan oleh sejarawan dan ahli akademik sejak akhir-akhir ini. Sedangkan senario ini tidak berlaku di negara barat apabila sujbek Sejarah diberikan perhatian khusus dalam membentuk kewarganegaraan rakyat mereka.

Mengambil contoh beberapa universiti barat yang tidak meminggirkan pengajian Sejarah seperti University of Cambridge, Universiti of Oxford dan Moscow States University yang mempunyai Fakulti Sejarah tersendiri.

Berbeza pula di negara ini apabila universiti tempatan bukan hanya mengecilkan jumlah pengambilan pelajar dalam jurusan pengajian berkenaan malahan juga tidak banyak IPT tempatan menawarkan ijazah dalam bidang  Sejarah.

Pensyarah Jabatan Pengurusan dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Petronas (UTP) Prof Dr Ahmad Murad Mohd Noor Merican dipetik berkata hanya tiga buah daripada kira-kira 60 buah universiti tempatan yang menawarkan ijazah dalam Sejarah.

Beliau mempersoalkan peranan cerdik pandai di negara ini dalam memperluaskan pembelajaran mata pelajaran itu serta mencadangkan agar peranan universiti diperhalusi dalam mengukuhkah platform sejarah dalam diri anak muda masa kini.

PEMERKASAAN MENYELURUH

Pengecilan jumlah pelajar Sejarah serta kurangnya penawaran pengajian itu di peringkat tertinggi, mungkin akan memberi kesan dalam melahirkan lebih ramai guru sejarah berkualiti dan pakar dalam pengajaran bidang tersebut.

Sedangkan, isu kualiti guru sering disuarakan banyak pihak yang mahu tindakan serius diambil dalam menanganinya.

Malaysia harus mengambil contoh kejayaan negara-negara seperti Jepun, Hong Kong, Korea Selatan, Findland, Kanada dan Singapura yang berjaya dalam sistem pendidikannya kerana memberi tumpuan utama kepada kualiti guru.

“Kerana itu kualiti kurikulum latihan dan kualiti pendidikan guru yang menjalani latihan tidak boleh dikompromi. Hanya graduan yang memenuhi kriteria atau keperluan sahaja ditempatkan di sekolah,” katanya.

Pemerkasaannya harus menyeluruh, yang mana penempatan guru harus menekankan aspek pengkhususan semasa latihan supaya tidak berlakunya ‘mismatch’ yang mengakibatkan guru tidak dapat mengajar dengan berkesan serta penawaran lebih banyak pengajian sejarah di peringkat pendidikan tinggi. – Bernama

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s