Tak mengaku bersalah culik, rogol budak 10 tahun – Bernama


Tak mengaku bersalah culik, rogol budak 10 tahun
4 Februari 2014

MUAR – Seorang buruh binaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas tuduhan menculik, merogol dan melakukan seks luar tabii ke atas seorang budak perempuan berusia 10 tahun di Bakri di sini, 28 Januari lepas.

Sia Tiong Yap, 29, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Suzana Mokhtar selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya oleh jurubahasa sebaik sahaja Timbalan Pendakwa Raya Kartini Kasran selesai membacakan pertuduhan.

Dia mengaku tidak bersalah atas tuduhan pertama melarikan seorang kanak-kanak perempuan dengan sebuah kereta di Lorong Jaafar, Jalan Mahmud, Bukit Pasir, dekat sini bagi tujuan memuaskan nafsunya pada 28 Januari 2014, lebih kurang jam 2 petang.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 367 Kanun Keseksaan kerana menculik yang boleh membawa hukuman penjara 10 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan luar tabii secara paksa terhadap mangsa di Ladang Kelapa Sawit Batu 8 Setengah, Bakri, dekat sini, masing-masing pada pukul 2.30 dan 2.50 petang, hari yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377(c) Kanun Keseksaan kerana melakukan seks luar tabii secara paksa, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau sebatan, jika disabitkan kesalahan.

Bagi pertuduhan keempat, tertuduh didakwa merogol mangsa di lokasi sama, kira-kira pukul 3 petang pada hari yang sama dan didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan untuk tuduhan ini , dia boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu majistret dalam bahasa Mandarin untuk menawarkannya jaminan dengan alasan sudah berkahwin dan mempunyai anak yang perlu disara.

Bagaimanapun, Kartini meminta mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh berikutan kesalahannya yang sangat serius.

Majistret Suzana kemudian menetapkan 20 Februari bagi sebutan semula kes untuk mendapatkan laporan perubatan dan kimia selain membolehkan tertuduh melantik peguam.  РBernama

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s