KURSUS 4 SIRI PENGKARYA GURU KPM 2014


KURSUS 4 SIRI PENGKARYA GURU KPM 2014

30 January 2014

Mahu hasilkan buku kanak-kanak? Sertailah kursus 4 Siri Pengkarya Guru anjuran Majlis Buku Kebangsaan Malaysia.

Cikgu akan pelajari:

·         Teknik menulis dan mengilustrasi buku kanak-kanak

·         Teknik mengarang cerita dan menghasilkan storyboard

·         Bagaimana menghasilkan dummy berdasarkan cerita?

serta BERPELUANG UNTUK MEMASARKAN KARYA KEPADA PENERBIT TEMPATAN!

Kursus akan diadakan di Lembah Kelang pada tarikh-tarikh yang berikut:

·         7, 8 dan 9 Mac 2014

·         10, 11 dan 12 April 2014

·         23, 24 dan 25 Mei 2014

·         26, 27 dan 28 Okt 2014

Pada akhir kursus, setiap peserta akan menghasilkan sekurang-kurangnya sebuah buku.

Hantarkan butiran lengkap berserta sampel penulisan atau ilustrasi yang telah sedia untuk dimuat naik melalui borang yang boleh didapati di www.moe.gov.my\mbkm  sebelum 10 Februari 2014.

KURSUS PENTERJEMAHAN UNTUK GURU KPM 2014


KURSUS PENTERJEMAHAN UNTUK GURU KPM 2014

30 January 2014

Sertailah kursus 4 Siri Pengkarya Guru anjuran Majlis Buku Kebangsaan Malaysia. Kursus ini akan dijalankan dalam 4 sesi.

Cikgu akan mempelajari:

– ASAS DAN TEORI PENTERJEMAHAN

– SINTAKSIS DAN SEMANTIK DALAM TERJEMAHAN

– KAEDAH DAN PROSEDUR TERJEMAHAN

– LARAS DAN PERISTILAHAN

– BAHASA MELAYU DALAM PENTERJEMAHAN

– PENTERJEMAHAN TEKS SAINS SOSIAL

Semua sesi akan berlangsung di Lembah Kelang pada:

·         13, 14, 15 dan 16 Mac 2014

·         3, 4, 5 dan 6 April 2014

·         11, 12 dan 13 April 2014

·         18, 19 dan 20 April 2014

Pada akhir kursus, setiap peserta akan menghasilkan sekurang-kurangnya sebuah buku yang akan diterjemahkan dari bahasa Melayu ke bahasa Inggeris atau dari bahasa Inggeris ke bahasa Melayu.

Hantarkan butiran lengkap berserta tugasan yang telah untuk dimuat naik melalui borang yang boleh didapati di  www.moe.gov.my\mbkm  sebelum 10 Februari 2014

Ponteng sekolah buat maksiat – Sinar Harian


Ponteng sekolah buat maksiat
WARTAWAN SINAR HARIAN
5 Februari 2014
  • Ponteng sekolah buat maksiatPemandangan seperti ini biasa dilihat sekitar pusat rekreasi air terjun.
< 1 / 1 >

KULIM – Masalah ponteng sekolah bukan satu perkara baru malah ada antara mereka yang menjadikan kawasan rekreasi seperti air terjun untuk bermadu kasih.

Walaupun perbuatan mereka dilakukan secara senyap, namun ia berjaya dikesan penduduk tempatan.

Seorang penduduk yang tinggal berhampiran sebuah taman rekreasi di sini berkata, selalunya pelajar sekolah berpasangan akan menaiki motosikal berasingan dan berjumpa di rumah rehat disediakan sebelum berjalan ke kawasan lebih sunyi dan jauh dari pandangan orang ramai.

Menurutnya, dari tinjauan, kebanyakan pelajar sekolah terlibat berusia antara 16 hingga 17 tahun dan memakai uniform sekolah.

Mereka akan ke kawasan rekreasi seawal jam 8 pagi dan meletakkan motosikal mereka dalam kawasan semak.

Katanya penduduk juga telah mengenal pasti beberapa lokasi yang sering dijadikan tempat pasangan ini ponteng sekolah selain melakukan maksiat.

Papan tanda turut dipasang bagi mengingatkan pengunjung supaya tidak melakukan perbuatan sumbang, bagaimanapun ia tidak diendahkan.

“Penduduk sering jumpa motosikal yang disembunyikan. Ada penduduk yang memberi teguran kepada pasangan terlibat tetapi tidak dihiraukan. Alasannya, mereka ingin belajar.

“Kita ada kemudahan perpustakaan di Pekan Kulim. Kalau betul hendak belajar, pergilah ke sana dan bukan duduk di tempat sunyi dan berpasangan. Oleh itu, saya minta pihak berkuasa pantau dan tahan pasangan terlibat supaya taman rekreasi ini tidak dijadikan tempat mereka melakukan maksiat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penguatkuasa Pejabat Agama Islam Daerah Kulim Kedah (PADK) Azmi Rejab berkata, dari tangkapan dibuat, pasangan bawah umur dan masih bersekolah merupakan golongan yang paling ramai ditahan setiap kali operasi dijalankan.

“Saya ingin memaklumkan kepada penduduk kampung bahawa orang awam juga boleh menahan mana-mana pasangan yang melakukan maksiat di kawasan rekreasi.

“Apa yang perlu mereka lakukan adalah merakamkan perbuatan dibuat oleh pasangan itu sebelum menyerahkan mereka kepada mana-mana balai polis berhampiran dan memaklumkan tangkapan itu kepada PADK. Kami akan datang ke balai polis dan membuat tangkapan semula,” katanya.

Azmi meminta kerjasama orang ramai supaya tidak mencederakan pasangan terlibat sebaliknya menyerahkan mereka kepada polis supaya tindakan undang-undang dapat diambil terhadap mereka terlibat.

Subjek Sejarah lebih menarik dengan aplikasi ICT – Bernama


Subjek Sejarah lebih menarik dengan aplikasi ICT
 
5 Februari 2014
 
 

PENGAJARAN Sejarah, memerlukan anjakan paradigma dalam menarik minat pelajar menghayati mata pelajaran itu. Kaedah berkonsepkan pergantungan sepenuhnya terhadap buku teks, kini dianggap sudah tidak berapa sesuai lagi.
    
Teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dikatakan antara penyelesaian terbaik menangani kemelut itu dan artikel akhir ini cuba menerokai akan kepentingannya.
   
KUALA LUMPUR – Di sebalik tanggapan ramai pihak bahawa Sejarah adalah mata pelajaran membosankan, hakikat sebenarnya ia amat menarik untuk diterokai dan dipelajari.
    
Namun, semua itu bergantung kepada sejauhmana keberkesanan guru Sejarah dalam penyampaian maklumat, sedangkan mereka masih lagi dengan cara lama, tidak ada pembaharuan yang akhirnya memberi kesan kepada minat pelajar.
    
Pemindahan maklumat berkonsepkan stereotaip yang digunapakai selama ini dengan tumpuan hanya kepada buku teks dan hafalan setiap fakta sejarah,
sudah tidak mampu lagi diterima pelajar.
    
Dalam menangani senario ini, terdapat beberapa pandangan bahawa minat seseorang itu terhadap sesuatu boleh dipupuk dengan mengeksploitasikan apa yang digemari generasi muda.
    
“Pelajar hari ini amat menggemari segala yang berkaitan teknologi, seperti laman sosial dan permainan digital. Jadi, mengapa tidak untuk kita
mengaplikasikan pendekatan ICT supaya mereka minat belajar Sejarah”, kata Pensyarah Pengkomputeran dan Teknologi Maklumat, Taylor’s University, Dr Wong Seng Yue.
   
Permainan digital
   
Pendekatan teknologi seperti permainan digital berbentuk video atau elektronik kini telah diaplikasikan dalam dunia pendidikan dan adalah sesuatu yang tidak asing lagi di negara barat.
    
Permintaan terhadapnya juga memberangsangkan apabila pelbagai permainan pendidikan Sejarah sudah dibangunkan di negara luar yang mana negara kita agak ketinggalan dalam aspek kemodenan pengajaran berbentuk sedemikian.
    
Keberkesanan medium berkenaan dapat dirujuk daripada kajian tempatan mahupun luar negara yang mendapati paradigma itu berjaya menarik minat dan
memotivasi pelajar untuk lebih menghayati Sejarah.    

Kaedah ini menjadi pendekatan popular, ada kemungkinan besar disebabkan oleh kecenderungan generasi hari ini yang lebih banyak menghabiskan masa mereka dengan permainan digital itu.
    
Di Amerika Syarikat, industri permainan video menjana hasil pendapatan tahunan sebanyak AS$15 bilion dan populasi yang bermain adalah antara umur 10 hingga 34 tahun.
    
Di Malaysia pula, hasil kajian oleh Wong di lima buah sekolah menengah sekitar kawasan Kajang membabitkan 582 pelajar tingkatan empat mendapati 92 peratus daripada mereka mempunyai pengalaman bermain permainan digital.
    
“Sebanyak 45.7 peratus pelajar bermain permainan digital selama satu hingga tiga jam dalam tempoh seminggu. Manakala 19.7 peratus pelajar bermain permainan digital lebih daripada tiga jam seminggu.
    
“Bagaimanapun, kebanyakan permainan ini berunsurkan hiburan dan keganasan. Saya berpandangan ada keperluan mengadaptasikan kekuatan teknologi maklumat seperti permainan digital agar Sejarah lebih menarik,” katanya kepada Bernama.
   
Memperkenal PPMIS
   
Bagi mentransformasi kaedah pengajaran ‘chalk and talk’, Wong telah mengambil inisiatif membangunkan Permainan Pendidikan Multimedia Interaktif Sejarah (PPMIS).   
 
PPMIS adalah kajian yang dijalankan oleh Wong di lima buah sekolah menengah sekitar kawasan Kajang untuk mengenalpasti keberkesanan permainan multimedia dalam pengajaran sejarah.
    
Ia menekankan konsep, bermain, berhibur dan pada masa sama belajar, PPMIS adalah permainan yang memberi fokus kepada Sejarah tingkatan empat, bab sembilan mengenai perkembangan di Eropah.
    
Istimewanya, permainan digital ini direkabentuk merangkumi enam aras berdasarkan zaman iaitu pertengahan, renaissance, reformasi, penjelajahan dan penerokaan, revolusi pertanian, revolusi perindustrian dan imperialisme.
    
Dan, ini memberi peluang kepada pelajar memahami secara jelas peristiwa setiap zaman apabila kaedah pengajaran interaktif ini memerlukan mereka
menyelesaikan halangan atau masalah berlaku sebelum dapat meneruskan permainan ke peringkat seterusnya.
    
“Dalam proses penyelesaian masalah dan halangan, pemain akan diperkenalkan beberapa fakta, peristiwa sejarah yang berlaku pada zaman berkenaan.
    
“Persekitaran permainan dimodelkan menyerupai keadaan persekitaran zaman itu dan pengenalan atau latar belakang topik ini turut disediakan,” jelas beliau.
   
Kelebihan permainan digital
   
Permainan digital itu menjadi antara wahana ke arah penyelesaian masalah pembelajaran Sejarah dalam kalangan pelajar.
   
Mengikut kajian Wong, kesukaran memberi gambaran dalam pembelajaran Sejarah merangkumi sebanyak 38.8 peratus selain faktor lain yang mana diyakini permainan digital mampu menangani permasalahan itu.
    
Potensi permainan digital ini sangat luas kerana ia dapat memotivasi serta meningkatkan kemahiran pelajar dari aspek penyelesaian masalah, menggalakkan interaktif serta kerjasama dalam kumpulan.
    
“Respons diterima terhadap PPMIS yang dijalankan ke atas pelajar tingkatan empat di lima buah sekolah terbabit adalah sangat baik. Pelajar berasa seronok dan terhibur apabila bermain permainan sejarah, pendekatan menarik berbanding pengajaran sebelum ini,” katanya.
    
Bagaimanapun, bukan mudah menyiapkan sesuatu permainan digital. Kos tinggi dan masa juga agak lama untuk menyiapkannya kerana prosesnya rumit dan hanya dapat dibangunkan oleh mereka yang mahir teknologi.
    
Atas sebab itu, para guru sekolah mencadangkan agar Wong menghasilkan satu ‘perisian’ yang memudahkan mereka untuk membangunkan permainan multimedia Sejarah bagi setiap bab dengan segera.
    
PPMIS, tidak merangkumi semua topik dan hasil kajian di sekolah sekitar Kajang, menampakkan guru berminat untuk mengaplikasikan kaedah
berkenaan.   

Geografi dalam Sejarah    

Selain pendekatan permainan digital, terdapat pelbagai alternatif lain terbentang luas di depan mata tetapi tidak disedari untuk mempraktikkannya dalam pengajaran Sejarah.
    
Antaranya melalui ‘google earth’ ataupun ‘google maps. Pensyarah di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya Dr Shakila Yacob berkata
guru Sejarah boleh menggunakan pelbagai aplikasi ‘google earth’ dalam pengajaran mereka seperti membentuk peta 3D, membuat lawatan maya dan animasi.
    
Ini menjadikan mata pelajaran itu lebih interaktif, katanya semasa membentangkan kertas kerjanya, ‘Digitalisasi Sejarah-Perkembangannya di
Malaysia’, pada Sidang Kemuncak Sejarah di sini baru-baru ini.    

“Contohnya, kita menggunakan google earth untuk menunjukkan di mana sungai Johor Lama, Kota Tinggi, monumen bersejarah di sepanjang sungai berkenaan, sekali gus akan dapat mempertingkatkan pemahaman dan penghayatan pelajar terhadap peristiwa sejarah mengenai Kesultanan Melayu Johor Lama.
    
“Sebenarnya, cara kita mengajar Sejarah adalah salah… dan sudah tiba masanya untuk kita melakukan pembaharuan,” katanya. – Bernama