Fomca Didik Murid Prasekolah Kepentingan Pengurusan Kewangan – Bernama


Fomca Didik Murid Prasekolah Kepentingan Pengurusan Kewangan

Oleh Noor Farhana Ahmad Norain

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) — Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) mengambil inisiatif memupuk kesedaran kepentingan pengurusan kewangan dengan baik, berikutan peningkatan kos sara hidup, dengan memperkenalkan program “Ringgit Pertama Saya” di kalangan murid-murid prasekolah.

Menerusi program sedemikian kanak-kanak di beberapa tadika terpilih di seluruh negara dididik menggunakan wang dengan bijak menggunakan kaedah permainan yang menarik.

Pengarah Komunikasi Fomca, Mohd Yusuf Abdul Rahman berkata dengan berbekalkan kit permainan yang dibangunkan sendiri, kakitangan gabungan itu akan memberi penerangan kepada murid-murid prasekolah tentang apa itu wang, jenis-jenis wang dan kegunaannya.

“Kit itu mengandungi beberapa papan permainan, dan kita akan bahagikan kanak-kanak kepada beberapa kumpulan untuk bermain dengan dibantu seorang fasilitator,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini Ahad.

Mohd Yusuf berkata Fomca cuba menerapkan empat elemen iaitu perbelanjaan, simpanan jangka pendek, simpanan jangka panjang dan perkongsian menerusi kit permainan itu.

“Kita telah mulakan program ini sejak tahun lepas. Bagi tahun ini, kita telah mengunjungi kira-kira 10 tadika di seluruh negara,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Yusuf berkata program itu mendapat kerjasama sebuah institusi kewangan yang membiayai kos pembangunan kit permainan itu.

Katanya, setiap kanak-kanak di tadika yang dikunjungi akan menerima tiga buah tabung untuk membantu mereka menguruskan wang mengikut kategori iaitu perbelanjaan, simpanan dan perkongsian.

Pihak tadika berkenaan juga akan dibekalkan dengan dua kit permainan itu untuk digunakan pada masa akan datang.

Mohd Yusuf berkata mana-mana tadika yang berminat untuk mengikuti program itu boleh menghubungi Fomca di talian 03-78774741.

— BERNAMA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s