Kadet JPJ di sekolah menengah seluruh negara – Sinar Harian


Kadet JPJ di sekolah menengah seluruh negara
WARTAWAN SINAR HARIAN
10 Februari 2014
  • Kadet JPJ di sekolah menengah seluruh negaraIsmail (empat, kanan) bergambar dengan pengawas yang baru dilantik selepas Majlis Pelancaran Penghayatan Bulan Disiplin dan Watikah Pelantikan Pengawas di SMK Padang Midin, di sini, semalam.
< 1 / 1 >

KUALA TERENGGANU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan memperkenalkan Kadet JPJ di semua sekolah menengah di seluruh negara dalam tempoh terdekat ini bagi melahirkan generasi berdisiplin ketika berada di jalan raya.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, pendekatan diambil itu adalah bagi memberi bimbingan kepada pelajar tentang kepentingan keselamatan jalan raya.

Katanya, pengenalan Kadet JPJ di peringkat sekolah adalah usaha kerajaan meningkatkan kesedaran rakyat khususnya generasi muda pentingnya mematuhi peraturan jalan raya.

“Ini kerana tiada jalan penyelesaian dengan hanya mengaplikasikan penguatkuasaan, sekatan dan juga saman yang dikenakan kepada pengguna jalan raya,” katanya Majlis Pelancaran Penghayatan Bulan Disiplin dan Penyampaian Watikah Pelantikan Pengawas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin, di sini, semalam.

Katanya, pendekatan secara menyeluruh perlu dilaksana bermula dari sekarang bagi mengurangkan kadar kemalangan dan kematian menerusi pendidikan awal, khususnya sebaik sahaja mereka memasuki tingkatan satu atau berumur 16 tahun.

“Apabila mereka berumur 16 tahun, mereka telah layak untuk mendapat lesen B2. Melalui pembangunan pendidikan ini, kita dapat menanam sikap tanggungjawab dan  prihatin berhubung isu-isu keselamatan jalan raya dalam diri mereka,” katanya.

Menurutnya, setiap negeri akan memilih sebuah sekolah sebagai ‘pilot projek’ untuk diperluaskan di seluruh negara  bagi menubuhkan Kadet JPJ ini, bagi negeri Terengganu pihaknya memilih Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin.

Bagaimanapun, beliau berkata, perbincangan mengenai persediaan modul yang bakal digunakan akan dibincangkan bersama Kementerian Pendidikan terlebih dahulu.

Sementara itu, apabila ditanya berhubung perkembangan terkini mengenai Ops Tahun Baharu Cina, beliau berkata, kadar kemalangan dilihat semakin berkurangan, namun enggan mengulas lanjut kerana operasi itu masih belum tamat.

Bolehkah guru terus menjadi lilin? – Sinar Harian


Bolehkah guru terus menjadi lilin?
PROF MADYA DATUK DR MOHAMMAD AGUS YUSOFF
10 Februari 2014
  • Agus YusoffAgus Yusoff
< 1 / 1 >

TANGGUNGJAWAB guru dalam membangunkan generasi besar sekali.

Di sekolah, guru mengajar, menjadi kerani, mengisi data dan maklumat murid, menjadi jurulatih, dan pelakon di pentas. Pun begitu, guru tetap seronok dengan tugas mereka.

Namun, dengan terlaksananya sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) pada tahun 2011, keseronokan guru berubah.

Guru tidak senang dengan PBS bukannya kerana beban tugas yang bertambah, tetapi tidak tahan dengan karenah merekodkan penilaian pelajar ke dalam sistem
komputer berpusat.

Ini kerana sistemnya lembab dan selalu tergantung.

Keadaan inilah yang menyebabkan terdapat guru yang bangun sebelum Subuh sewaktu trafik internet lancar bagi memasukkan data ke dalam sistem PBS kementerian.

Kementerian menyedari rungutan guru ini dan berjanji untuk mengatasinya pada April 2014 nanti.

Maka, guru diminta bersabar. Pun begitu, terdapat guru yang hilang sabar.

Pada 22 Februari ini, sekumpulan guru yang menamakan Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM) merancang untuk mengadakan bantahan di Putrajaya.

Persoalannya, mengapa mereka mahu mengadakan bantahan ini?

Apa masalahnya dengan sistem PBS ini? Perlukah sistem ini diteruskan atau
dihapuskan?

Bagi saya, sistem ini mempunyai banyak kelemahan yang mewajarkan Kementerian melihat semula pelaksanaannya?

Apa kelemahannya? Saya perturunkan hujahnya di bawah.

Masalah dengan sistem PBS?

1. Sistem ini tiada peperiksaan akhir tahun dan tiada peperiksaan berpusat seperti UPSR dan PMR. Jika tanpa peperiksaan, bagaimana menilai pencapaian murid? Bagaimana ibu bapa dapat mengetahui pencapaian anak mereka?

2. Sistem ini tidak sesuai dilaksanakan selagi nisbah guru-murid dan kemudahan sekolah bandar-luar bandar tidak seimbang. Di sekolah pedalaman misalnya, bagaimana mereka mahu mendapatkan kemudahan internet untuk merekodkan maklumat pelajar?

3. Sistem ini memerlukan kemudahan sekolah yang mencukupi. Bagaimana melaksanakannya dengan baik jika mendapatkan kertas dari pejabat
sekolah pun sukar? Tinjauan saya mendapati guru membeli sendiri
kertas, pencetak dan toner yang diperlukan mereka.

4. Cara pembahagian band tidak konsisten. Guru-guru sendiri mengakui
hal ini dengan mengatakan sistem ini sebenarnya tidak jujur; adakalanya mereka terpaksa meluluskan band setiap pelajar atas dasar simpati dan hendak mengejar band.

5. Sistem ini menyebabkan tugas utama guru mengajar menjadi semakin kurang kerana masa banyak ditumpukan kepada merekodkan maklumat pelajar dan membuat kerja-kerja perkeranian. Jika macam ini, bagaimanakah kita boleh menghasilkan insan yang cemerlang?

6. Sistem ini mewujudkan murid dan pelajar yang malas membaca, malas berusaha, malas berfikir dan hilangnya sifat ingin berlumba menjadi yang terbaik. Ini kerana murid-murid tidak lagi mempunyai tekanan untuk bersedia bagi menghadapi peperiksaan.

Ibu bapapun tidak ghairah lagi untuk menghantar anak-anak ke pusat tuisyen. Bila malas berfikir, malas mengulangkaji, maka apa hasil cemerlangnya dengan sistem ini?

Mengatasi kelemahan PBS?

Hujah di atas menunjukkan kelemahan sistem PBS. Bagi mengatasinya saya
mencadangkan dua perkara.

Pertama, sistem peperiksaan berpusat UPSR dan PMR perlu diadakan semula. Bagi saya buatlah sistem PBS atau apapun, tetapi jangan hapus bentuk peperiksaan yang sedia ada sekarang.

Pelajar perlu dinilai, bukan sahaja untuk mengetahui tahap pencapaian mereka, tetapi untuk mereka mempunyai semangat berlumba, dan juga untuk membolehkan ibubapa menilai prestasi anak mereka.

Saya menekankan keperluan peperiksaan ini kerana saya tidak mahu melihat pelajar menjadi semakin malas dan tidak suka berfikir.

Bagi saya, UPSR dan PMR sudah elok, cumanya jika hendak menilai kedua-dua aspek akademik dan kokurikulum, buatlah 50 peratus peperiksaan dan 50 peratus kokurikulum dan kerja kursus, selesai masalah.

Kedua, jika sistem ini mahu diteruskan juga, maka guru-guru perlu diberikan pembantu untuk merekodkan data kerana tanggungjawab utama guru adalah mengajar.

Guru perlu diberikan kembali keseronokan mereka mengajar tanpa dibebankan dengan kesibukan mengisi maklumat dalam komputer.

Semoganya dengan mengembalikan keseronokan mengajar guru, maka guru kekal menjadi lilin yang menerangi perjalanan generasi akan datang. Amin.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis yang dipetik dari blog beliau sendiri dan tidak semestinya mewakili pandangan Sinar Harian Online.

Kaki ‘dimakan’ kuman – Metro


Kaki ‘dimakan’ kuman

Oleh Syazwan Msar

Rompin: Seorang pelajar tingkatan tiga dari Kampung Feri, Pontian, dekat sini, yang kehilangan kedua-dua kakinya selepas dipotong hingga paras paha akibat jangkitan kuman pertengahan tahun lalu, berharap cita-cita menjadi guru akan tercapai.

Bagaimanapun, hasrat Noraini Najihah Mohd Nazri, 15, mungkin tidak kesampaian jika masalah pengangkutan untuknya mengikuti sesi persekolahan tidak diselesaikan segera.
Ibunya, Norasiah Abdul Rahim, 38, berkata, anaknya mengalami kemurungan bukan kerana kehilangan kedua-dua kakinya, tetapi disebabkan tidak dapat ke sekolah seperti gadis seusianya.

 

Dia yang bekerja menjual nasi lemak dengan pendapatan kira-kira RM400 sebulan berkata, suaminya hanya mempunyai motosikal, sekali gus menyukarkannya untuk menghantar Noraini ke sekolah.
“Noraini kehilangan kaki pada Mei tahun lalu apabila doktor menasihatkan supaya ia dipotong demi nyawanya. Sejak itu, dia selalu memencilkan diri kerana kekurangan dialaminya, malah keadaannya bertambah tertekan apabila tidak dapat hadir ke sekolah bagi mengikuti sesi persekolahan pada tahun ini.
“Walaupun Noraini tidak merungut, jauh di sudut hatinya begitu sedih dan pilu setiap kali melihat rakan sebayanya ke sekolah sedangkan dia hanya duduk di rumah saja,” katanya, ketika ditemui, di sini, semalam.

 

FotoNORAINI Najihah dibantu Norasiah dan Mohd Nazri di atas kerusi roda.

Norasiah berkata, pendapatannya dan suami yang bekerja sebagai nelayan tidak mampu memenuhi kehendak anak keduanya itu untuk membeli kenderaan lebih selesa serta kaki palsu bagi memudahkannya mengikuti pembelajaran.
“Pendapatan saya dan suami, Mohd Nazri Abdul Rahman, 49, hanya dalam lingkungan RM700 sebulan ditambah pula perlu membeli keperluan untuk Noraini seperti lampin pakai buang, ubat-ubatan dan kos rawatan di hospital kira-kira RM600 sebulan membuatkan kami bingung memikirkan jalan penyelesaian.

 

“Sebagai ibu, saya cuba memberikan yang terbaik untuknya dengan memastikan segala keperluan mencukupi, namun ada beberapa perkara tidak dapat dilaksanakan kerana bebanan kewangan,” katanya.
Ibu kepada empat anak itu berharap individu atau badan bukan kerajaan (NGO) dapat membantu meringankan beban ditanggung anaknya dengan menyediakan kaki palsu atau motosikal khas untuk golongan orang kelainan upaya (OKU) bagi memudahkannya ke sekolah, sekali gus tidak tercicir daripada pembelajaran.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/10

Murid lemas dalam kolam renang MB – Metro


Murid lemas dalam kolam renang MB

Oleh Nur Saliawati Salberi

Shah Alam: Seorang kanak-kanak perempuan yang mengikut ibu bapanya yang juga penyedia khidmat katering pada Majlis Tahun Baru Cina di Rumah Rasmi Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Seksyen 7 di sini, ditemui lemas dalam kolam renang rumah itu, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa, Amanda Dany Shah ditemui orang ramai yang berkunjung ke majlis berkenaan dalam keadaan lemah sebelum disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dipercayai akibat lemas.
Difahamkan kehilangan murid tahun satu terbabit tidak disedari ibu bapanya yang sibuk menguruskan makanan pada sambutan berkenaan dan hanya mendapat tahu mengenai kejadian itu selepas dimaklumkan orang ramai.

 

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Azisman Alias ketika dihubungi berkata, mangsa ditemui orang ramai yang kebetulan melalui kawasan berkenaan dan cuba menyelamatkannya, selain menghubungi talian kecemasan.
“Orang awam yang melihat kejadian itu terus menghubungi 999 bagi mendapatkan bantuan dan mangsa kemudian terus dibawa ke HTAR sebelum disahkan meninggal dunia sejurus tiba di hospital.
“Mangsa dipercayai menghilangkan diri semasa ibu bapanya sibuk menyediakan makanan bersama pekerja lain kepada tetamu yang hadir,” katanya.

 

Menurutnya, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Sementara itu, Abdul Khalid dalam akaun Twitternya malam kelmarin mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dengan menulis ‘Takziah kepada Puan Rini Sutari & keluarga, katerer Majlis Tahun Baru Cina PEKAWANIS, atas kehilangan puteri Amanda Dany Shah. Al-fatihah’.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/10

Guru pembimbing bantu penyesuaian – Metro


Guru pembimbing bantu penyesuaian

Kota Bharu: Dua daripada empat beradik anak pasangan warga Malaysia yang ditahan di Sweden, mendapat guru pembimbing masing-masing sekali gus membantu mereka menguasai bahasa Melayu selain menyesuaikan diri di sekolah baru.

Adam Azizul Raheem, 12, dan Arif Azizul Raheem, 8, memulakan hari pertama persekolahan di SK Padang Kala, semalam, selepas dibawa pulang dari Sweden ke negara ini, 1 Februari lalu.
Guru Besar SK Padang Kala Ab Aziz Salleh berkata, pihaknya menerima arahan daripada Jabatan Pendidikan Kelantan supaya melantik seorang guru penyelaras dan dua guru pembimbing untuk memantau perkembangan Adam dan Arif sepanjang sesi persekolahan.

 

“Guru yang dilantik memantau perkembangan bahasa dan komunikasi dua murid berkenaan sehingga mereka mampu berdikari dan menyesuaikan diri.
“Bagaimanapun, saya harap dengan persekitaran sekolah yang kondusif membantu mereka menyesuaikan diri dengan lebih cepat,” katanya ketika di temui di SK Padang Kala selepas menyampaikan buku teks kepada Adam dan Arif.
Sementara itu, guru pembimbing yang dilantik, Zakiah Abdullah berkata, dia menjangkakan tempoh sekurang-kurangnya tiga bulan diperlukan oleh Adam dan Arif untuk menyesuaikan diri termasuk untuk fasih berkomunikasi dengan murid lain.

 

“Jika mereka mudah bergaul dengan murid lain, ia akan memudahkan lagi proses itu,” katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/10

‘Tak lena tidur nak sekolah’ – Metro


‘Tak lena tidur nak sekolah’

Kota Bharu: “Rakan sekelas dan guru semua baik. Mereka banyak membantu saya dalam pelajaran, selain membantu memantapkan komunikasi saya dalam bahasa Melayu.

“Dalam kelas hari ini (semalam), saya boleh mengikuti semua subjek yang diajar, cuma mempunyai sedikit masalah dalam subjek Sejarah. Bagaimanapun ia bukan satu masalah kerana baru hari pertama bersekolah dan saya berharap mampu mengatasinya dengan melakukan lebih banyak ulang kaji,” kata Aisyah Azizul Raheem, 15, kakak sulung kepada empat beradik anak pasangan warga Malaysia yang ditahan di Sweden selepas tamat sesi persekolahan, semalam.
Aisyah memulakan hari pertama persekolahannya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Kala bersama adiknya, Ammar, 13, manakala dua adiknya Adam, 12, dan Arif, 8, belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Kala, semalam.

 

Empat beradik itu tiba pada jam 7.30 pagi bersama ibu dan bapa saudara mereka sebelum disambut dengan tepukan gemuruh 600 pelajar, guru dan kakitangan SMK Padang Kala pada perhimpunan mingguan sekolah berkenaan.
Turut menyambut kehadiran empat beradik itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Kelantan Hussain Awang dan Pengetua SMK Padang Kala Zainab Abdullah.
Aisyah ditempatkan di kelas Tingkatan Tiga Mulia, manakala Ammar di kelas Tingkatan Satu Mulia, Adam dan Arif pula ditempatkan di kelas Tahun Enam Rajin dan Tahun Dua Rajin.

 

FotoDARI kiri, Ammar, Adam, Arif dan Aisyah ketika perhimpunan di sekolah semalam.

Menurut Aisyah, dia berdebar, takut dan teruja bertemu guru dan rakan di sekolah baru sebelum ke sekolah sehingga sepanjang malam tidak tidur lena.
“Bagaimanapun, sebaik tiba di sekolah, saya lega kerana diterima baik oleh guru dan pelajar,” katanya.

 

Aisyah berkata, tiga adiknya ceria memulakan persekolahan dan dia memerlukan masa menyesuaikan diri dengan persekitaran baru selain mahu mencari rakan yang boleh membantunya di sekolah.
“Saya terkejut apabila menerima buku teks yang banyak, selain memerlukan masa menyesuaikan diri dengan keadaan di sekolah baru,” katanya yang turut memberi reaksi panas dengan cuaca pagi semalam apabila mengibas tudung dan pakaiannya selepas ditemu bual media.
Pelajar SMK Padang Kala, Anis Azmi, 15, berkata, dia menganggap Aisyah seperti rakan lain, namun memiliki kelebihan fasih berbahasa Inggeris.
“Saya dengar dia (Aisyah) fasih berbahasa Inggeris, bolehlah saya dan rakan lain tumpang belajar. Saya anggap dia sama seperti rakan lain cuma bezanya dia baru masuk ke sekolah ini.
“Saya tidak pernah berkawan dengan orang yang tinggal di luar negara. Jika sudah berkenalan nanti bolehlah saya bantu dia menyesuaikan diri di sekolah ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/10

Ratapan sebelah mayat anak – Metro


Ratapan sebelah mayat anak

Melaka: Seorang remaja terbunuh selepas motosikal ditunggang merempuh belakang sebuah lori dalam kemalangan di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam, Orlando Low Sheng Aun, 17, mati di tempat kejadian kerana kecederaan parah di kepala.
Sumber berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa merempuh belakang lori yang bergerak menyebabkannya terjatuh di atas jalan manakala motosikal ditunggang terbabas ke lorong kanan.

 

Menurutnya, tayar lori membawa muatan kelapa turut pecah akibat dilanggar motosikal mangsa dan ketika kejadian kedua-dua kenderaan itu menghala ke persimpangan lampu isyarat Bukit Piatu.
Sementara itu, bapa mangsa dikenali Low, 50-an berkata, anaknya yang masih bersekolah di Sekolah Menengah Bukit Beruang ke lokasi berhampiran tempat kejadian untuk minum bersama rakan.
“Saya hanya mengetahui kemalangan selepas dihubungi rakan anak lalu bergegas ke lokasi kejadian,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Melaka. di sini, semalam. Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman mengesahkan kejadian itu.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/10

Aspek integriti, anti rasuah dalam sukatan pelajaran – SPRM – Bernama


Aspek integriti, anti rasuah dalam sukatan pelajaran – SPRM

2014/02/10 – 15:46:45 PMCetakEmel Kawan
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pendidikan bagi memasukkan aspek integriti dan anti rasuah dalam sukatan pelajaran sekolah.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Sutinah Sutan, berkata nilai-nilai murni itu boleh diterap dalam subjek agama, moral dan sivik.

“Secara tidak langsung, ini boleh mendidik kanak-kanak dari peringkat sekolah rendah agar mempunyai kekuatan dalaman tentang nilai integriti bagi mencegah diri mereka dari melakukan perbuatan salah laku dan jenayah rasuah,” katanya.

Bercakap pada sidang media Kempen Wira Anti Rasuah Sekolah Rendah Cina di SJK (C) Ladang Harcoft, di sini, hari ini, beliau berkata SPRM juga sedang menyediakan bahan-bahan bacaan/naskah bercetak mengenai integriti dan anti rasuah untuk diedarkan di sekolah-sekolah di seluruh negara.

Selaras dengan itu, pihaknya mengambil inisiatif mengadakan program dengan Institut Pendidikan Perguruan (IPP) dan bekerjasama dengan bakal-bakal guru dengan menyediakan ‘teaching-aids’ berhubung subjek berkenaan.

Program itu bagi melatih guru berkenaan mengenai kemahiran pendidikan integriti dan anti rasuah dalam menyampaikan subjek berkenaan kepada murid-murid.

Beliau berkata, program itu diteruskan di peringkat sekolah menengah dan juga universiti.
– BERNAMA

PERUTUSAN TAHUN BARU KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA 2014


PERUTUSAN TAHUN BARU KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA 2014

10 February 2014

As-Salam dan Salam Sejahtera,

Sukacita dilampirkan Perutusan Tahun Baru Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Tahun 2014 untuk rujukan tuan/puan.

Terima kasih.

 

Muat Turun
Perutusan Tahun Baru KPPM Tahun 2014