‘Tak lena tidur nak sekolah’ – Metro


‘Tak lena tidur nak sekolah’

Kota Bharu: “Rakan sekelas dan guru semua baik. Mereka banyak membantu saya dalam pelajaran, selain membantu memantapkan komunikasi saya dalam bahasa Melayu.

“Dalam kelas hari ini (semalam), saya boleh mengikuti semua subjek yang diajar, cuma mempunyai sedikit masalah dalam subjek Sejarah. Bagaimanapun ia bukan satu masalah kerana baru hari pertama bersekolah dan saya berharap mampu mengatasinya dengan melakukan lebih banyak ulang kaji,” kata Aisyah Azizul Raheem, 15, kakak sulung kepada empat beradik anak pasangan warga Malaysia yang ditahan di Sweden selepas tamat sesi persekolahan, semalam.
Aisyah memulakan hari pertama persekolahannya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Kala bersama adiknya, Ammar, 13, manakala dua adiknya Adam, 12, dan Arif, 8, belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Kala, semalam.

 

Empat beradik itu tiba pada jam 7.30 pagi bersama ibu dan bapa saudara mereka sebelum disambut dengan tepukan gemuruh 600 pelajar, guru dan kakitangan SMK Padang Kala pada perhimpunan mingguan sekolah berkenaan.
Turut menyambut kehadiran empat beradik itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Kelantan Hussain Awang dan Pengetua SMK Padang Kala Zainab Abdullah.
Aisyah ditempatkan di kelas Tingkatan Tiga Mulia, manakala Ammar di kelas Tingkatan Satu Mulia, Adam dan Arif pula ditempatkan di kelas Tahun Enam Rajin dan Tahun Dua Rajin.

 

FotoDARI kiri, Ammar, Adam, Arif dan Aisyah ketika perhimpunan di sekolah semalam.

Menurut Aisyah, dia berdebar, takut dan teruja bertemu guru dan rakan di sekolah baru sebelum ke sekolah sehingga sepanjang malam tidak tidur lena.
“Bagaimanapun, sebaik tiba di sekolah, saya lega kerana diterima baik oleh guru dan pelajar,” katanya.

 

Aisyah berkata, tiga adiknya ceria memulakan persekolahan dan dia memerlukan masa menyesuaikan diri dengan persekitaran baru selain mahu mencari rakan yang boleh membantunya di sekolah.
“Saya terkejut apabila menerima buku teks yang banyak, selain memerlukan masa menyesuaikan diri dengan keadaan di sekolah baru,” katanya yang turut memberi reaksi panas dengan cuaca pagi semalam apabila mengibas tudung dan pakaiannya selepas ditemu bual media.
Pelajar SMK Padang Kala, Anis Azmi, 15, berkata, dia menganggap Aisyah seperti rakan lain, namun memiliki kelebihan fasih berbahasa Inggeris.
“Saya dengar dia (Aisyah) fasih berbahasa Inggeris, bolehlah saya dan rakan lain tumpang belajar. Saya anggap dia sama seperti rakan lain cuma bezanya dia baru masuk ke sekolah ini.
“Saya tidak pernah berkawan dengan orang yang tinggal di luar negara. Jika sudah berkenalan nanti bolehlah saya bantu dia menyesuaikan diri di sekolah ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/10

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s