Budak temui mayat tertiarap – Sinar Harian


Budak temui mayat tertiarap
ROSALWANI CHE SOH
14 Februari 2014
  • Budak temui mayat tertiarapAnggota bomba sedang cuba mengangkat mayat mangsa kelmarin. – Foto Sinar Harian oleh KHIRU SHALEH ABDULLAH
< 1 / 1 >

KOTA BHARU- Niat seorang kanak-kanak untuk memancing ikan di kawasan sungai yang terletak hampir 50 meter dari rumahnya terbantut selepas menemui mayat lelaki tertiarap dalam sungai di Kampung Banggu, Binjai di sini petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, Nasrullah Syarib, 8 berkata, dia ke kawasan itu selepas pulang dari sekolah untuk memancing ikan.

“Saya memang sering ke kawasan berkenaan dan menghabiskan masa memancing ikan berseorangan. Lagipun saya sudah biasa ke kawasan terbabit yang terletak tidak jauh dari rumah.

“Namun ketika menghampiri tebing sungai, saya terkejut selepas meneliti objek yang di sangka sampah sebenarnya merupakan mayat seorang lelaki,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.

Nasrullah berkata, dengan perasaan takut, dia terus berlari ke rumah dan memberitahu bapanya, Syarib Mohd Jusoh, 30, yang kebetulan ada di  kediamannya untuk melaporkan kejadian itu kepada polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman mengesahkan menerima laporan kejadian.

Azham berkata, mayat terbabit  dipercayai telah mati lebih dari lima hari lalu.

“Pasukan Penyiasat dan Forensik (D10) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK) telah dihantar ke tempat kejadian dan menjalankan pemeriksaan lanjut.

“Melalui siasatan awal mendapati mayat yang dijumpai adalah seorang lelaki bangsa Melayu berbaju hitam dan memakai seluar pendek (boxer) warna coklat,” katanya.

Beliau berkata, hasil pengecaman terhadap mayat yang dibuat oleh ibu mangsa, Norma Che Daud,

“Dia mengenali mayat berkenaan, melalui rupa paras, baju yang dipakai termasuk jam tangan jenama Calvin Klien (CK) di tangan kiri mangsa,” katanya.

Menurut ibunya, kali terakhir melihat mangsa ialah pada Selasa lalu apabila mangsa dikatakan keluar dari rumah pada hari itu dan terus tidak pulang ke rumah.

“Sebelum ini keluarganya dalam proses membuat laporan mengenai kehilangan si mati sebelum mayatnya dijumpai kelmarin. Setakat ini, tiada kesan jenayah dijumpai dan mayat dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat dan siasatan lanjut,” katanya.

Sekolah panas, tak selesa – Sinar Harian


Sekolah panas, tak selesa
WARTAWAN SINAR HARIAN
14 Februari 2014
  • Sekolah panas, tak selesaNoh (tengah) menyampaikan bantuan awal persekolahan diiringi Marpuaton di Dewan Seri Bestari SMK Dato Haron, semalam
< 1 / 1 >

TANJONG KARANG – Panas dan tidak selesa. Begitulah keadaan bilik mesyuarat dan pusat sumber Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Haron yang sering membuatkan pelajar dan guru tidak selesa melakukan aktiviti mesyuarat dan menelaah pelajaran.

Pengetua SMK Dato Haron, Marpuaton Sastero berkata, dua kemudahan itu sering mendapat rungutan apabila tidak dapat menggunakannya dalam keadaan selesa sekali gus mendorong pihaknya memohon peruntukan kepada pemimpin setempat.

Menurutnya, pencapaian keputusan Peperiksaan Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) menunjukkan meningkatkan yang memberangsangkan sekali gus membuatkan pihaknya mahukan yang terbaik untuk warga sekolah itu.

Menurutnya, sudah pasti warga sekolah mahu bilik mesyuarat dan pusat sumber sekolah itu dilengkapi pendingin hawa bagi memberi keselesaan kepada warga sekolah.

“Selain itu, pihak sekolah juga memohon kepada Ahli Parlimen, Datuk Seri Noh Omar supaya dapat menyumbangkan dana untuk membeli kelengkapan kerusi yang terhad untuk kegunaan sekolah.

“Selalunya pihak sekolah terpaksa menyewa kerusi dari luar untuk aktiviti seperti mesyuarat dengan modal yang besar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG), Penyampaian Bantuan Awal Persekolahan dan Perasmian Sudut Parlimen di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Haron, semalam.

Permohonan itu menerima res-pons positif Noh yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor apabila peruntukan berjumlah RM175,000 diluluskan untuk sekolah itu.

Peruntukan meliputi kerja baik pulih pusat sumber, bilik mesyuarat, dana untuk kelab guru dan yuran PIBG mengikut jumlah kehadiran ibu bapa menggembirakan warga sekolah dan ibu bapa yang
hadir.

Noh menjelaskan, sudah menjadi keutamaan pihaknya memberi keselesaan anak penduduk dan warga sekolah untuk menjalani sesi pembelajaran setiap hari demi mencapai kecemerlangan setiap tahun.

“Saya difahamkan sekolah ini berjaya mencapai peratusan peningkatan keputusan cemerlang dari 61 peratus kepada 67 peratus selain berjaya melahirkan lapan pelajar yang meraih keputusan cemerlang 9A dan 8A berbanding dua sahaja pada tahun terdahulu.

“Sejak dulu lagi, saya memang lebihkan pendidikan anak bangsa Parlimen Tanjong Karang kerana dengan hanya pendidikan, mereka mampu merubah nasib keluarga mereka untuk lebih berjaya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Negeri Selangor, Mahmud Karim dalam ucapannya berkata, sokongan ibu bapa penting dalam membantu pihak sekolah mencorakkan masa depan anak mereka untuk lebih berjaya selepas tamat sekolah nanti.

“Saya percaya dan yakin mereka mampu berjaya dalam bidang kemahiran dan keusahawanan,” katanya.

Diserang rakan dengan pisau – Sinar Harian


Diserang rakan dengan pisau
WARTAWAN SINAR HARIAN
14 Februari 2014

KUALA TERENGGANU – Seorang pelajar tidak menyangka rakannya masih menyimpan dendam kerana perselisihan faham kecil sebelum ini dengan tergamak menyerang dirinya menggunakan sebilah pisau sehingga menerima jahitan di pergelangan tangan.

Kejadian berlaku di hadapan sebuah sekolah di Binjai, Kemaman, kira-kira jam 2.15 petang, kelmarin.

Menurut sumber, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa, 17, dalam perjalanan pulang dari sekolah ke rumahnya di Kampung Batu 4 Dalam, Kemaman, sebelum didatangi rakannya itu dengan
ditemani seorang lelaki menaiki motosikal.

“Kedua-dua suspek bertindak menghimpit motosikal dinaiki mangsa sebelum menghayunkan pisau ke arah belakang badan dan pergelangan tangan kanan mangsa.

“Mangsa tidak sempat mengelak menyebabkan pergelangan tangannya cedera, sebelum kedua-dua suspek terus beredar meninggalkan mangsa yang sedang dalam kesakitan,” katanya.

Jelas sumber lagi, sejurus suspek beredar, mangsa segera mendapatkan rawatan di Hospital Kemaman dan menerima beberapa jahitan di pergelangan tangannya akibat terkena senjata tajam tersebut.

Katanya, mangsa yang bimbang keselamatan dirinya pada masa akan datang membuat laporan di Balai Polis Chukai, Kemaman, untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Che Suza Che Hitam ketika dihubungi mengesahkan penahanan kedua-dua suspek berusia 18 tahun itu, kira-kira jam 10.30 malam hari yang sama.

Katanya, suspek kini direman untuk disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.

100 pelajar keracunan makanan – Kosmo


100 pelajar keracunan makanan

 

 

Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM
megatlutfi.rahim@kosmo.com.my

 

SEBAHAGIAN daripada pelajar SMK Syed Hassan mendapatkan rawatan kerana keracunan makanan di Klinik Kesihatan Kangar, Perlis semalam.

 

KANGAR – Seramai 100 orang pelajar asrama lelaki dan perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Hassan di sini mengalami sakit perut dan muntah-muntah dipercayai akibat keracunan selepas makan malam di dewan makan asrama sekolah itu petang kelmarin.

Seorang pelajar, Mohd. Izhar Raffi, 15, berkata, perutnya memulas dan dia muntah-muntah pada pukul 12.30 pagi kelmarin dipercayai berpunca daripada hidangan makan malam yang disediakan di kantin asrama sekolah itu.

“Menu makan malam itu seperti biasa iaitu nasi ayam tetapi semasa makan, kami tidak berasa sebarang kelainan.

“Namun beberapa jam selepas itu perut saya mula sakit dan mengalami muntah-muntah,” dakwanya ketika ditemui di Klinik Kesihatan Kangar di sini semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Guru mengamuk belasah empat pelajar – Kosmo


Guru mengamuk belasah empat pelajar

 

 

Oleh FIRDAUS HASSAN
firdaus.hassan@kosmo.com.my

 

SEORANG daripada mangsa melakonkan semula aksi dia ditendang oleh seorang guru yang mengamuk di sebuah sekolah di Sitiawan, Perak semalam.

 

SITIAWAN – Empat pelajar tingkatan satu sebuah sekolah menengah di sini melalui detik menakutkan apabila seorang guru lelaki mengamuk dan bertindak membelasah mereka sehingga mengalami kecederaan kelmarin.

Dalam kejadian pukul 5 petang di makmal komputer sekolah itu, guru berkenaan didakwa menendang sebelum menumbuk dua pelajar lelaki dan dua pelajar perempuan.

Seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun mendakwa, dia ditendang di muka oleh guru tersebut hanya kerana tidak membawa buku latihan.

“Akibat perbuatan guru tersebut, saya mengalami pendarahan di bahagian dagu dan dibawa oleh dua orang rakan ke bilik guru untuk membuat laporan.

“Saya sempat memaklumkan kejadian tersebut kepada keluarga sebelum mereka datang membawa saya untuk membuat laporan polis,” ceritanya.

Seorang lagi mangsa yang merupakan pelajar perempuan mendakwa, dia menerima nasib sama apabila guru yang bagaikan dirasuk bertindak keluar dari makmal komputer dan menumbuk lima kali di bahagian mukanya.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Murid kurang musim kemarau – Sinar Harian


Murid kurang musim kemarau
AZMAN CHE MAN
14 Februari 2014
  • Murid kurang musim kemarauIbu bapa dan murid Orang Asli SK Sungai Rual, dekat Jeli, mengikuti program motivasi sempena kempen kehadiran ke sekolah
< 1 / 2 >

JELI – Ketibaan musim kemarau yang biasanya bermula Mac setiap tahun cukup digeruni guru Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Rual, dekat sini, apabila ramai murid mereka dalam kalangan Orang Asli mula tidak hadir ke sekolah.

Ini kerana pada musim itu, ibu bapa murid terbabit akan bawa anak mereka masuk ke hutan untuk mencari makanan dan rezeki daripada sumber hutan seperti kayu gaharu, damar, rotan dan akar kayu ubat-ubatan.

Selain masalah kehadiran, situasi itu menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) sekolah berkenaan terutama bagi murid yang bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Dari segi jumlah murid, seramai 125 kanak-kanak Orang Asli terdiri daripada 56 murid lelaki dan 69 murid perempuan mendaftar di sekolah angkat kepada Kementerian Penerangan Malaysia itu bagi sesi persekolahan tahun ini.

Ambil masa lebih 10 tahun kuasai 3M

Guru Besar SK Sungai Rual, Baharuddin Daud berkata, masalah kehadiran tidak stabil dipengaruhi faktor alam sekitar itu menyebabkan ramai murid tidak datang ke sekolah.

“Faktor alam sekitar yang saya maksudkan ialah, apabila penduduk Orang Asli ini perlukan duit, mereka akan masuk hutan dan bawa sekali anak-anak untuk memburu dan mencari akar kayu,” katanya.

Menurut Baharuddin, peratus murid hadir ke sekolah biasanya antara 80 hingga 90 peratus sebelum berkurangan hingga 60 peratus apabila tiba musim kemarau.

Katanya, apabila ramai murid tidak hadir, guru terpaksa ulang mengajar subjek sama sehinggakan ada murid mengambil masa lebih 10 tahun sebelum dapat menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira.

“Sebab itu, peratusan pencapaian UPSR sekolah ini kosong peratus dan tidak seimbang kerana murid gagal dalam subjek penulisan seperti bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris.

“Bagi subjek pemahaman seperti sains dan matematik pula, pencapaian boleh dikatakan agak baik,” katanya yang mula bertugas sebagai guru besar di sekolah itu sejak hampir 14 tahun lalu.

Tambahnya, masalah kehadiran juga berkait dengan sosio-budaya masyarakat Orang Asli daripada suku kaum Jahai itu yang baharu menerima arus pembangunan moden dan terlampau mengejar kebendaan.

“Sebab itu, setiap aktiviti sekolah perlu ada habuan kerana mereka masih belum nampak (sedar) pelajaran dan pendidikan boleh mengubah taraf hidup seseorang atau sesebuah keluarga,” katanya.

Kempen murid hadir ke sekolah

Ditanya usaha bagi mengatasi masalah itu, Baharuddin berkata, pihaknya terpaksa mengadakan kempen kehadiran ke sekolah sekurang-kurangnya sekali sebulan dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menurutnya, antara NGO yang banyak membantu kempen itu ialah Empower di bawah inisiatif Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

“Empower sebagai ‘bapa angkat’ sekolah ini banyak bantu dari segi kewangan, kelas tambahan dan motivasi, manakala UMK mengadakan kempen cakna kehadiran.

“Masalah kehadiran biasanya bermula Mac, sebab itu kita adakan kempen awal, malah untuk Januari lalu sahaja, dua kempen kehadiran ke sekolah diadakan termasuk melibatkan ibu bapa,” jelasnya.

Baharuddin berkata, usaha lain termasuk menempatkan murid di asrama dan mengadakan pelbagai program lain seperti mandi pagi yang memerlukan guru pergi ke rumah murid dan menjemput mereka ke sekolah.

Turut terima anugerah

Baharuddin berkata, biar pun dibelenggu masalah kehadiran, SK Sungai Rual turut mencatat beberapa kejayaan termasuk meraih Anugerah Khas Lonjakan Prestasi di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) pada 2010.

Katanya, sekolah mula dibuka pada 1976 sebelum diambil alih Kementerian Pelajaran Malaysia pada 1996 itu turut menerima Anugerah Lonjakan Saujana Kokurikulum (Sukan dan Permainan) pada 2009.

“Dari segi bantuan, kita tidak ada masalah kerana tidak pernah dipinggirkan termasuk bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) dan Bantuan Awal Persekolahan.

“Cuma tanggungjawab berat kami ialah mahu mengubah sikap dan beri kesedaran kepada masyarakat Orang Asli ini betapa pentingnya ilmu pengetahuan,” kata Baharuddin.

Dalam bidang akademik pula, katanya, pencapaian terbaik ialah pada UPSR 2005 apabila seorang murid sekolah itu mendapat keputusan 1A 2B 2C dan lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).