Murid kurang musim kemarau – Sinar Harian


Murid kurang musim kemarau
AZMAN CHE MAN
14 Februari 2014
  • Murid kurang musim kemarauIbu bapa dan murid Orang Asli SK Sungai Rual, dekat Jeli, mengikuti program motivasi sempena kempen kehadiran ke sekolah
< 1 / 2 >

JELI – Ketibaan musim kemarau yang biasanya bermula Mac setiap tahun cukup digeruni guru Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Rual, dekat sini, apabila ramai murid mereka dalam kalangan Orang Asli mula tidak hadir ke sekolah.

Ini kerana pada musim itu, ibu bapa murid terbabit akan bawa anak mereka masuk ke hutan untuk mencari makanan dan rezeki daripada sumber hutan seperti kayu gaharu, damar, rotan dan akar kayu ubat-ubatan.

Selain masalah kehadiran, situasi itu menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) sekolah berkenaan terutama bagi murid yang bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Dari segi jumlah murid, seramai 125 kanak-kanak Orang Asli terdiri daripada 56 murid lelaki dan 69 murid perempuan mendaftar di sekolah angkat kepada Kementerian Penerangan Malaysia itu bagi sesi persekolahan tahun ini.

Ambil masa lebih 10 tahun kuasai 3M

Guru Besar SK Sungai Rual, Baharuddin Daud berkata, masalah kehadiran tidak stabil dipengaruhi faktor alam sekitar itu menyebabkan ramai murid tidak datang ke sekolah.

“Faktor alam sekitar yang saya maksudkan ialah, apabila penduduk Orang Asli ini perlukan duit, mereka akan masuk hutan dan bawa sekali anak-anak untuk memburu dan mencari akar kayu,” katanya.

Menurut Baharuddin, peratus murid hadir ke sekolah biasanya antara 80 hingga 90 peratus sebelum berkurangan hingga 60 peratus apabila tiba musim kemarau.

Katanya, apabila ramai murid tidak hadir, guru terpaksa ulang mengajar subjek sama sehinggakan ada murid mengambil masa lebih 10 tahun sebelum dapat menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira.

“Sebab itu, peratusan pencapaian UPSR sekolah ini kosong peratus dan tidak seimbang kerana murid gagal dalam subjek penulisan seperti bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris.

“Bagi subjek pemahaman seperti sains dan matematik pula, pencapaian boleh dikatakan agak baik,” katanya yang mula bertugas sebagai guru besar di sekolah itu sejak hampir 14 tahun lalu.

Tambahnya, masalah kehadiran juga berkait dengan sosio-budaya masyarakat Orang Asli daripada suku kaum Jahai itu yang baharu menerima arus pembangunan moden dan terlampau mengejar kebendaan.

“Sebab itu, setiap aktiviti sekolah perlu ada habuan kerana mereka masih belum nampak (sedar) pelajaran dan pendidikan boleh mengubah taraf hidup seseorang atau sesebuah keluarga,” katanya.

Kempen murid hadir ke sekolah

Ditanya usaha bagi mengatasi masalah itu, Baharuddin berkata, pihaknya terpaksa mengadakan kempen kehadiran ke sekolah sekurang-kurangnya sekali sebulan dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menurutnya, antara NGO yang banyak membantu kempen itu ialah Empower di bawah inisiatif Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

“Empower sebagai ‘bapa angkat’ sekolah ini banyak bantu dari segi kewangan, kelas tambahan dan motivasi, manakala UMK mengadakan kempen cakna kehadiran.

“Masalah kehadiran biasanya bermula Mac, sebab itu kita adakan kempen awal, malah untuk Januari lalu sahaja, dua kempen kehadiran ke sekolah diadakan termasuk melibatkan ibu bapa,” jelasnya.

Baharuddin berkata, usaha lain termasuk menempatkan murid di asrama dan mengadakan pelbagai program lain seperti mandi pagi yang memerlukan guru pergi ke rumah murid dan menjemput mereka ke sekolah.

Turut terima anugerah

Baharuddin berkata, biar pun dibelenggu masalah kehadiran, SK Sungai Rual turut mencatat beberapa kejayaan termasuk meraih Anugerah Khas Lonjakan Prestasi di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) pada 2010.

Katanya, sekolah mula dibuka pada 1976 sebelum diambil alih Kementerian Pelajaran Malaysia pada 1996 itu turut menerima Anugerah Lonjakan Saujana Kokurikulum (Sukan dan Permainan) pada 2009.

“Dari segi bantuan, kita tidak ada masalah kerana tidak pernah dipinggirkan termasuk bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) dan Bantuan Awal Persekolahan.

“Cuma tanggungjawab berat kami ialah mahu mengubah sikap dan beri kesedaran kepada masyarakat Orang Asli ini betapa pentingnya ilmu pengetahuan,” kata Baharuddin.

Dalam bidang akademik pula, katanya, pencapaian terbaik ialah pada UPSR 2005 apabila seorang murid sekolah itu mendapat keputusan 1A 2B 2C dan lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s