Guru rugi RM4,000 disamun dua lelaki – Harian Metro


Guru rugi RM4,000 disamun dua lelaki

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

ARAU: Seorang guru memasak berdepan detik mencemaskan apabila bukan saja dipijak, tetapi turut diugut dengan ‘pisau Rambo’ di lehernya ketika disamun dua lelaki di depan dewan orang ramai Kampung Gelam, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.50 petang itu, mangsa, Hasnah Hashim, 47, dari Taman Bukit Kayangan Indah, Kangar mengalami luka kecil di leher dan tangan serta kerugian RM4,000 apabila rantai lehernya dilarikan suspek bermotosikal.
Hasnah isteri kepada Ketua Biro Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Perlis, Adnan Jahaya, berkata ketika kejadian tiada sesiapa di situ kerana kelas memasak dikendalikannya belum dimulakan.

 

“Saya bersendirian di situ dan kebetulan waktu itu hujan sebelum didatangi dua suspek berusia 30-an dengan alasan untuk berteduh dari hujan.
“Seorang daripada mereka menerpa dan menolak saya hingga jatuh tertiarap. Dalam masa sama seorang lagi meletakkan pisau di leher serta memijak belakangsaya,” katanya.
Hasnah berkata, dia tidak dapat berbuat apa-apa kerana tangannya dipegang suspek selain badannya turut dipijak.

 

 

“Mereka merentap rantai sebelum melarikan diri apabila saya menjerit,” katanya. Hasnah berkata, jeritannya disedari seorang penduduk sebelum dia bertindak menjerit ke arah suspek.
“Suspek melarikan diri apabila penduduk kampung mula datang ke situ,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Arau, di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Mohd Nadzri Hussain mengesahkan kejadian dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.